ADSENSE

Sabtu, 7 Oktober 2017

Betik Tumis Pedas Dengan Kerang

Betik sebenarnya sejenis buah yang sungguh enak jika kita olah menjadi hidangan sayur dalam menu harian kita! Selain menggemarinya sebagai masakan sup bersama ayam, Amie juga suka tumis betik mengkal, atau betik separuh masak bersama perencah tertentu. Kali ini Amie tambahkan kerang pula. Sebelum ini Amie tumis ikut gaya keluarga sebelah suami, dengan mencampurkan hati dan mempedal ayam. Untuk melazatkannya, tambah sedikit bancuhan air asam jawa.

Bahan-bahan:
1/2 biji buah betik mengkal / setengah masak - lebih kurang 500 gram - buang kulit dan biji - potong ikut citarasa
1 cawan isi kerang
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan setengah cawan air
3 sudu besar minyak
2 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa 
3 cawan air

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 labu bawang besar 
3 biji cili hijau
10 biji cili padi

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan hiris hingga layu.
2. Masukkan kerang, dan kemudian tambahkan bancuhan air asam jawa. Biarkan mendidih.
3. Masukkan betik dan gaul rata, dan tuangkan air. Biarkan masak sehingga kuah hampir pekat dan betik menjadi lembut.
4. Perasakan dengan perencah Maggi Cukup Rasa. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

Tiada ulasan: