ADSENSE

Ahad, 10 September 2017

Jalan-Jalan Cari Makan di Perth

Setiap kali baca catatan perjalanan dalam blog, kebayakan penulis berpesan : Jangan lepaskan peluang menikmati Fish & Chips di Kaili's Cafe! Nampaknya fish & chips menjadi penanda aras bagi sesiapa yang berkunjung ke Perth! Jadi, dalam kepala asyik terbayang barangkali setiap hari, setidak-tidaknya kami akan isi perut dengan fish & chips....ahaks!

Akhirnya dapat menjejakkan kaki di Kaili's Cafe.

Pada hari ke-4, kami berkesempatan untuk menikmati Fish & Chips di Kaili's Cafe yang terletak di dermaga Fremantle. Makan tengahari kami ini memang termasuk dalam pakej, jadi kami makan sajalah satu pinggan kongsi 4 orang.


 Sumber : Haila Amir

Setiap seorang dapat sekeping ikan goreng dan sepaket kecil sos tartar. Kentang gorengnya pula memang mengenyangkan dengan saiz potongannya yang 2 kali ganda kentang goreng KFC atau McDonalad...hiks! Minuman air mineral percuma, tapi kalau nak minuman lain kena bayar sendiri.

 Kalau tak mahu sos tartar, boleh pilih sos lain tapi kena bayarlah.

Izah & Ilah beli tiga jenis sos dengan harga $4 (AUD4) setiap satu.
Kecil saja bekasnya. Tu laaa... tak dengar pesan orang yang berpengalaman datang ke sini supaya bawa sos sendiri...hiks! Bukan apa, nak habiskan kentang goreng begitu saja tentulah nampak terkulat-kulat sebab dah biasa cecah sos! Lain kali kalau beli KFC tu, lebihan sos cili simpan elok-elok. Boleh bawa ke sini...kihkihkihhhh!

Rugi rasamya kalau berjalan ke tempat orang tapi tak rasa makanan tempatan. Walaupun kebab bukan makanan tempatan, tapi Amie nak juga cuba! Amie beli satu set kebab campuran di Ispa Kebabs dengan harga $15.

Sambil menikmati makan malam (masakan Chah), kami makan kebab juga. Kebab ini kebab daging campur ayam. Portion dia memang besar! Dan sudah tentunya sedap! Tak habis kami makan berenam malam itu (mungkin ada makanan lain). Keesokan paginya kami panaskan dalam microwave untuk sarapan, tapi tak habis juga. Akhirnya kami bungkus bawa masuk dalam kereta menuju ke Pinnacle. Di pertengahan jalan, perut rasa lapar, jadi kami makan lebihan kebab tersebut!

Berhampiran homestay kami, ada pula kedai Turki! Apalagi, setiap kali pulang dari berjalan, kami singgah di sini.

Izah beli pizza kambing dengan tambahan cheese berharga $18. Saiznya yang besar, memang tak muat perut menampungnya! Tapi rasanya memang naik jempol!

Pada hari yang lain pula, Amie cuba pizza salami. Bukan apa... bila nampak perkataan 'salami' terus lupa diri nama sendiri pun Salami....ahaks! Apa lagi, bukan senang nak jumpa pizza salami halal! Amie order satu dengan harga $16. Sedap! Ha ha haaa.... Salami makan salami!

Lama-lama pekerja dan tuan Thornlie Kebab kenal muka kami. Hari berikutnya Amie pesan pizza sucuklu. Dalam sucuklu pun ada salami juga! Amie pun tak segan-segan tanya tentang 'salami' dan akhirnya perkenalkan diri sebagai Salami...kahkahkahhh! Tuan kedai mengangkat ibu jarinya sambil berkata lebih kurang begini maksudnya : Salami ialah selamat! Sementara pekerjanya yang sedang sibuk menyiapkan topping pizza menyampuk : Salami eat salami!
Best makan pizza sucuklu di sini tau! Memang paling sedap di antara pizza yang Amie beli di sini. Dalam hati berangan, akan beli pizza pide pula keesokannya, tapi tak ada rezeki untuk singgah lagi disebabkan hari agak lewat, sebab agak lama memborong minyak wangi di Chemist Warehouse.

Bersebelahan dengan Thornlie Kebab, terdapat sebuah pasaraya. Di sini jugalah kami masuk dan membeli buah-buahan segar. Amie sempat beli sepaket strawberi mengandungi 5 biji, dengan harga &1.99, dan juga 2 biji  buah pisang kaki atau persimon, dengan harga $2.49 sebiji.

Strawberi tu bersaiz besar! Nak makan terpaksa potong dua atau 4, baru boleh masuk mulut. Biasanya kami hidangkan buah-buahan yang dibeli ketika makan malam atau ketika sarapan pagi.

Keesokan harinya, Amie sempat membeli buah kiwi dan buah mangga. Sebiji kiwi berharga 59sen dan sebiji mangga berharga $4.99. Nampaknya kawan-kawan yang lain pun memborong sama buah-buahan kegemaran masing-masing seperti buah limau, peach, pear, epal dan sebagainya.

Pagi-pagi lagi Dayah dah kupas mangga dan kiwi, susun cantik-cantik letak atas meja, sementara menunggu sarapan pagi yang Chah masak dihantar ke homestay kami.

Sekali lagi kami berkesempatan makan fish & chips di lapangan terbang Perth. Makan tengahari pada hari terakhir tidak terdapat dalam pakej kami. Perut pun memang sudah berlagu minta diisi sebaik sahaja keluar dari kawasan Araluen Botanic Park, maklumlah banyak tenaga digunakan bergerak dari satu tempat ke satu tempat, dari tanah rendah ke tanah tinggi memburu tulip! Kami dijangka terbang pada pukul 4.30 petang ke Kuala Lumpur, dan sebagaimana waktu datang ke Perth kami memang sudah membuat bayaran tambahan untuk makan pergi balik dalam kapal terbang. Tapi, mana mungkin dapat menahan lapar sampai ke petang! Pemandu kami mencadangkan kami makan fish & chips dahulu sementara menunggu waktu pelepasan.

Satu set fish & chips di sini berharga $21.50. Pejam mata sajalah (tak mahu kira matawang MYR : AUD21.50 = RM77.40) gandaan AUD1=RM3.6. Syukurlah tak tercekik sewaktu makan sebab boleh pilih sendiri air minuman kegemaran yang diberi secara percuma! Malam itu, kami dihidangkan Nasi Ayam Uncle Chin dalam Air Asia, tapi tak larat nak makan. Mungkin sebab sudah kenyang makan fish & chips di airport Perth, atau mungkin keletihan! Rasanya letih kot...sebab nak pejamkan mata saja sebaik duduk di bangku kapal terbang!

Dan yang tak dapat dilupakan dalam siri jalan-jalan cari makan di Perth, sudah tentulah aiskrim besar gedabak dengan harga $6 ketika kami mengunjungi kilang coklat! Orang lain sibuk pilih coklat, kita sibuk nak makan aiskrim!

Sebenarnya ada asikrim saiz lebih kecil dengan harga $3 dan $5, tapi tamak punya pasal....ha ha haaa, siapa lagi yang tamak tu kalau bukan yang sedang menulis ni...kihkihkihhh!

Buat Chah, tour guide kami sepanjang kami berada di Perth : Terima kasih banyak kerana sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik buat kami. Chah tidak dapat menyertai kami ke setiap tempat, kerana mungkin Chah sibuk menyiapkan makanan untuk kami. Nampak sungguh kegigihan Chah, walaupun sibuk dengan anak-anak yang masih kecil, tapi Chah cekal dan penuh semangat berusaha mencari kehidupan di negara orang. Chah kata, bisnesnya dalam bidang ini baru bermula dan sentiasa meminta cadangan atau komen untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa. Pagi pertama kami tiba di Perth, Chah sediakan nasi goreng dengan telur mata. Melihat hidangan pagi kami, terasalah seolah-olah berada di tempat sendiri!

Pagi pertama di Perth, kami bersarapan nasi goreng telur mata serta jus buah dan susu yang dibekalkan oleh Chah.

Owner tempat penginapan kami menyediakan segala kelengkapan termasuk peralatan dapur. Memang sesuai sangatlah bagi keluarga yang ingin bercuti di sini, boleh masak-masak. Lagipun pasaraya dekat dengan homestay ini, kalau jalan kaki mungkin memakan masa 3 atau 4 minit sahaja.

Pada pagi yang lain pula, Chah masak mee goreng, barangkali spaghetti goreng. Chah bubuh sosej saiz besar. Baki makanan yang tidak habis, kami jadikan bekalan ketika dalam perjalanan. Memandangkan waktu makan tengahari seringkali lewat, dapatlah isi perut dahulu dengan bekalan yang dibawa dari homestay.

 Ambil kesempatan deko-deko sarapan pagi menggunakan pinggan di dapur!

 Bila Chah sediakan mee hoon goreng, sekali lagi terasa seperti berada di tempat sendiri!

Chah tukar menu pula. Pagi seterusnya Chah masak spaghetti. Kami deko-deko lagi, tambah lebihan kentang goreng yang dipanaskan dan juga lasagna (tak habis makan malam sebelumnya).

Hari terakhir di Perth, Chah masakkan kami nasi lemak!
Nampak benar Chah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dengan cuba memberikan yang terbaik buat kami! Dengan jumlah ahli rombongan seramai 24 orang, sudah tentunya Chah tidak menang tangan menyediakan segalanya. Yang penting, hidangan perlulah disediakan tepat pada masanya dan dalam keadaan sempurna. Selain sambal, ikan bilis dan kacang tanah goreng, telur rebus dan timun, Chah tambahkan ayam goreng potong kecil-kecil.

Ini pula hidangan makan malam kami pada malam pertama bermalam di Perth. Chah masak daging, dengan sayur dan telur dadar! Kenyang sungguh kami malam itu, ditambah pula dengan kebab yang Amie beli, dan pizza kambing Izah. Kami simpan lebihan makanan dalam peti sejuk, dan dipanaskan semula keesokan paginya.

 Malam berikutnya Chah masak sambal ikan, tumis sotong dan sayur!
Dapat makan ikan sambal tu, memang cukup menyelerakan!

Chah sentiasa cuba pelbagaikan hidangan untuk kami. Walaupun bahan utamanya nasi, tapi Chah selitkan juga masakan barat termasuk lasagna. Lasagna ini bersaiz besar! Kongsi dua orang pun tak habis! Ditambah pula dengan nasi dan rusuk bebiri panggang! Waduh! Gue suka kambing...enak banget nih!

 Rusuk bebiri panggang yang sangat lembut!

 Malam terakhir, Chah masak nasi lauk kari ayam, telur dadar dan sayur tumis pula.

Makan tengahari pada hari pertama di Perth, kami dibawa ke Insan's Cafe. Di sini kami diberi pilihan untuk memilih nasi bersama sejenis lauk dan sejenis sayur. 

Kata pemandu kami, makanan kami berharga $16 seorang. Oh! Mahal sungguh harga sepinggan nasi di Perth! Ketika Amie sedang menulis entri ini, Amie sambil-sambil google tentang Insan's Cafe dan terbaca tentang Insan's Cafe di blog PROJEK TRAVEL. Menurut catatan penulis, Insan's Cafe adalah restoran yang menyediakan makanan halal Malaysia yang paling murah di Perth! Mungkin Amie salah dengar apa yang disebut oleh pemandu kami.

Sumber : PROJEK TRAVEL

Di kesempatan ini, Amie pun cadangkan untuk makan di sini, yang dikatakan makanan halal termurah di Perth. Berdasarkan catatan penulis, pada September 2016, harga di Insan's Cafe adalah seperti yang tertera di atas. Satu nasi tambah satu lauk dan satu sayur berharga $7.50 sahaja, dan bukannya $16 seperti yang Amie dengar (mungkin Amie tak dengar dengar baik ketika Amie ajukan pertanyaan kepada pemandu kami).

Sewaktu kami ala-ala picnic di tepi pantai ketika dalam perjalanan pulang dari Pinnacle untuk ke Lancelin, Chah bekalkan menu BBQ untuk kami! Chah sediakan ikan dory panggang (dalam kertas aluminium), dan juga ayam panggang. Ada tempat memanggang disediakan, dan pemandu-pemandu kami yang bertungkus-lumus memanaskan semua hidangan untuk makan tengahari. Tak dapat Amie lupakan, Chah bekalkan air teh panas manis-manis manja selain minuman sejuk lain. Sedap betul hirup teh panas kurang manis! Salawati kata, sedap betul ikan dory makan panas-panas!

Setelah meredah hujan untuk memburu kanggaroo dan koala di Caversham Wildlife, kami makan tengahari di sekitar taman tersebut. Kali ini Chah sediakan nasi goreng. Ketika kami sibuk melayan mata melihat haiwan liar, Safiuddin (kalau tak silap) keluar membeli ayam goreng halal di restoran berdekatan. Ayam goreng tu memang sedap!

 Masing-masing dapat dua ketul ayam goreng!

 Selain ayam goreng, ada whipped potato, coleslow dan kentang goreng juga. Tak ketinggalan gugusan anggur merah hijau dan strawberi.

 Jemput makan....

2 ulasan:

Mrs FaRa berkata...

Byk pilihan dan menu... Bgus..

Amie berkata...

Mrs Fara,
Menu campur-campur, ada yang beli ada yang memang sedia dimasak.