ADSENSE

Selasa, 22 Ogos 2017

Nasi Goreng Kencur

Kencur @ cekur bukanlah herba asing bagi Amie. Sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan hidangan yang mengandungi kencur seperti kerabu atau keluban dalam bahasa kami. Dalam hidangan pecal orang kampung kami misalnya, bukan sambal pecal namanya kalau tak bubuh isi kencur....hiks! Dan sesungguhnya kencur juga mempunyai banyak khasiat perubatan. Rajin-rajinlah cari info untuk tambah ilmu kalau nak tahu kehebatan herba istimewa ini.
Dan, untuk paparan resipi kali ini Amie kongsikan Nasi Goreng Kencur. Masak pedas-pedas! Baru tahu tinggi rendahnya langit....hiks!




Bahan-bahan:
2 cawan nasi putih sejuk
5 helai daun kencur – hiris halus
1 papan petai – ambil isinya
7 biji cili padi - hiris - nak lebih pedas, boleh tambah
½ cawan ikan bilis goreng
2 sudu besar minyak

Bahan tumbuk:
3 biji isi kencur
1 biji cili merah – buang biji
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 cm belacan
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara memasak:
1.            Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
2.            Masukkan nasi dan gaul sebati.
3.            Tambahkan cili padi, petai, ikan bilis dan hirisan daun kencur.
4.            Kacau rata sehingga petai dan daun kencur berubah warna.
5.            Perasakan dengan garam.
6.            Padamkan api dapur dan sedia untuk dihidangkan.



Tambahkan hirisan daun kencur segar, hirisan timun, telur goreng, ikan bilis goreng, keropok malinjo dan isi petai! Walllaaaa.... enak banget!

Ahad, 20 Ogos 2017

Sup Ayam Akar Ginseng

Bertemu lagi.
Sebelum beradu, Amie kongsikan resipi Sup Ayam Akar Ginseng. Dalam masyarakat Cina, ginseng memang tidak asing lagi, dan mereka sangat arif tentang  khasiat akar ginseng. Antara khasiatnya termasuklah menguatkan daya tubuh badan serta menguatkan ingatan. Selain itu herba ini juga dipercayai membantu melancarkan peredaran darah dan sistem saraf serta mengatasi masalah imsomnia. Rajin-rajinlah bertanya Pak Google tentang khasiat ginseng ini....hiks! Katanya, ginseng juga mampu menurunkan kadar kolesterol jahat dan mengurangi stres!


Bagaimanapun khasiatnya sudah tentulah tidak terbukti dengan hanya menghirup supnya seumur hidup sekali! Kenalah amalkan selalu!



Bahan-bahan:
400 gram hirisan dada ayam - kalau ada ayam kampung lagi bagus
7 helai akar ginseng
7 batang tong sam (herba cina)
7 hirisan nyuk chuk (herba cina)
7 hirisan pek kee (herba cina)
7 biji kurma merah
7 biji longan kering
1 cm halia – hiris
5 ulas bawang putih – pecahkan
½ sudu kecil lada putih – tumbuh
2 liter air
Garam

Cara memasak:
1.         Jerang air di dalam periuk.
2.         Masukkan hirisan ayam, akar ginseng, tong sam, nyuk chuk, pek kee, kurma merah, longan kering, halia dan bawang putih.
3.         Setelah masakan mendidih, pelahankan api dapur dan tutup periuk.
4.         Renih sekurang-kurangnya 2 jam setengah. (2 ½ jam)
5.         Akhir sekali perasakan dengan garam dan lada sulah.
6.         Sup Ayam Akar Ginseng sedia dinikmati ketika masih panas.



 Slurrrpppp!

Sabtu, 19 Ogos 2017

Acar Belut Kering / Masin

Belut?
Pernah makan belut kering / masin?
Kalau ada belut kering atau belut masin, sedap dibuat acar. Resipi ini dah lama Amie olah, tapi baru berkesempatan untuk dipaparkan.



Bahan-bahan:
300 gram belut masin / kering
300 gram jeruk mangga
3 sudu besar serbuk kari
15 ulas bawang putih
15 biji bawang merah kecil
7 biji cili hijau
7 biji cili merah
½ cawan  cuka
½ cawan air
Minyak untuk menggoreng
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:
7 biji cili kering
3 cm halia
1 biji bawang besar

Cara penyediaannya:
1.         Belut  masin / kering dihiris sepanjang 3 cm, kemudian direndam sebentar dan toskan airnya.  Goreng  sehingga kekuningan dan angkat. Ketepikan.
2.         Tinggalkan  4 sudu besar cawan minyak bekas gorengan belut masin di dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
3.         Kemudian masukkan serbuk kari dan gaul sebati, diikuti dengan gula pasir, garam dan cuka serta air.
4.         Setelah kuah mendidih, masukkan jeruk mangga, bawang putih, bawang merah, cili hijau dan cili merah dan  belut masin yang telah digoreng tadi. Kacau rata dan kecilkan api.
5.         Setelah kuah pekat, boleh tambahkan lagi  gula atau garam mengikut kesesuaian rasa.
6.         Padamkan api dapur.
7.         Enak dinikmati bersama nasi panas.


Oleh kerana hasil acar belut ini agak banyak, Encik Suami bawakan sedikit untuk kakak ipar di kampung. Amie tanya : Kakak makan belut ke? Jawab Encik Suami : Eh! Kenapa pulak tak makan? 
Beberapa hari kemudian, kami menziarahi kakak ipar Amie di kampung. Amie tidak bertanya tentang acar belut, sebaliknya kakak ipar seronok bercerita tentang acar belut yang Encik Suami bawakan. Katanya:
Sedap betul acar ikan masin yang Mie kirim hari tu.  Habis kakak makan.
Amie terus menyampuk : Oooo... kakak pandai makan belutkah?
Jawabnya: Kalau belut kakak tak makan. Tak boleh masuk tekak. Itulah saja satu-satunya jenis ikan yang kakak tak boleh terima.
Amie tak tahu nak cakap apa. 
Dalam hati berkata : Maafkan saya kak. Yang kakak habis makan tu sebenarnya belut masin!

Khamis, 17 Ogos 2017

Salmon Panggang Sos Lada Hitam

Lupakan buat seketika hidangan nasi untuk tengahari, kita nikmati Salmon Panggang dengan Sos Lada Hitam. Biasanya Amie buat sos lada hitam untuk dijadikan cecahan ayam panggang, tapi kali ini Amie gandingkan dengan ikan panggang pulak.

Sambil memanggang ikan salmon, Amie sediakan sos lada hitam seperti di bawah ini. Biasanya Amie gunakan mentega, tapi nampaknya tidak ada lebihan mentega, yang ada hanya minyak sapi. Amie gunakan saja minyak sapi. Aduhai! Memang tak rugi mencuba gunakan minyak sapi. Sudahlah aromanya sungguh menggoda selera, rasa sos lada hitam pun lebih enak berbanding gunakan mentega!

Bahan-bahan:
1 labu bawang besar - dicincang halus
3 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar tepung gandum
400ml susu segar
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
5 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis

Cara memasak:
1. Panaskan minyak sapi dan goreng bawang besar hingga kekuningan.
2. Masukkan tepung gandum dan kacau rata.
3. Seterusnya tambahkan susu segar.
4. Sambil mengacau sos, masukkan sos lada hitam, lada hitam tumbuk, sos tiram dan kicap manis.
5. Setelah sos mendidih dan kelihatan likat, padamkan api dapur.

Oh! Terlupa nak cerita ikan salmon pulak. Oleh kerana kami makan bertiga (Firdaus memang tak berminat), jadi Amie panggang 3 keping ikan salmon. Setelah dibersihkan, sapukan kedua-dua belah ikan salmon dengan sedikit sos lada hitam (dari botol ye, bukannya sos lada hitam yang Amie masak di atas tu). Lepas tu panggang di dalam kuali ajaib. Sama juga ceritanya dengan sos lada hitam yang Amie masak, Amie sapukan sedikit minyak sapi ketika memanggang ikan salmon.

Selain ikan salmon panggang, Amie goreng kentang, dan tambahkan kacang dalam tin serta tomato ceri dalam hidangan.