ADSENSE

Isnin, 17 Julai 2017

Ayam Hutan Masak Ungkep

Bertemu kembali .
Alhamdulillah, dapur maya ini masih di hati, walaupun sudah agak lama tidak berkunjung ke sini.

Dah lama tak kongsi paparan, rasa kekok pula untuk memulakan mukadimah. Senangnye beginilah :
Amie kongsikan resepi Ayam Hutan Masak Ungkep. Sampai maksudnya kan? Nak tambah sedikit maklumat : Amie gunakan ayam hutan. Tak sempat timbang berapa gram, mungkin dalam 1 kg. Amie potong kepada 8 bahagian. Ayam hutan ni tersangatlah 'hutannya' dan sebab itulah Amie gunakan 2 liter air untuk 'mengungkepnya'! Kalau nak cepat empuk, gunakan saja pressure cooker. Habis cerita. Amie masak cara biasa, dengan api perlahan macam orang kampung selalu buat. Cili padi yang digunakan pula cli padi minyak, yang dah masak merah, sebab itu saja cili padi yang ada. Amie tambahkan dua helai daun bay, menggantikan daun salam.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam hutan - bersihkan dan potong 8 bahagian kemudian  lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - perap seketika antara 25-30 minit
3 batang serai - dititik
2 helai daun bay (gantikan daun salam)
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
2 liter air
garam dan gula / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
3 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 biji buah keras
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai, daun bay dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula atau perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana panas.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan.
6. Apabila kuah hampir kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, matikan api.

Encik Suami kata Ayam Hutan Masak Ungkep  memang sangat sedap! Memang Amie pun tak nafikan! Hampir 3 jam memasaknya dengan penuh kesabaran. Maklumlah, isi ayam yang pejal, kemudian dimasak ala-ala renih gitu sampai empuk, bukankah meresap sebati semua rempahnya?

Oh! Ayam Hutan Masak Ungkep!

2 ulasan:

Phong Hong berkata...

Nampak sedap tu, Amie. Ayam hutan ni daging dia liat. Kat sini tak terjumpa kot. Kalau guna ayam kampung, OK kot.

Amie berkata...

PH,
Ya... dagingnya pejal macam daging ayam kampung yang jantan tu he he heee.