ADSENSE

Ahad, 23 Julai 2017

Sup Ayam Hutan Tumis Darat

Selamat berhujung minggu buat rakan pengunjung Amie's Little Kitchen.
Nampaknya hujung minggu bukan bererti kita boleh berehat panjang, kerana ketika inilah sahaja kita berpeluang untuk seharian bersama keluarga dan pada masa yang sama mengambil kesempatan membersihkan segala enjuru rumah, luar dan dalam! Itu pun kalau sempat, atau kalau larat! Amie mengaku kalah! Memang tak larat dengan kudrat dan tulang empat kerat! Memang tenaga Encik Suami dan anak-anak sangat diperlukan!
Jom kita cerita tentang resepi hari ini. Pagi tadi, seawal pukul 7 pagi Amie sudah mula masak.... he he heee bukan masak untuk sarapan, tapi masak untuk hidangan tengahari. Amie masak sup ayam hutan gunakan slow cooker. Pukul 8.30 pagi kami keluar untuk bersarapan, dan terus ke pasar tani. Singgah sebentar di pasar raya dan terus melencong ke kampung Encik Suami mencari daun kesum segar! Sampai rumah, jam sudah menunjukkan angka 11.30 pagi. Aroma sup ayam hutan menerpa ke hidung ketika kami buka pintu dapur!

Akhirnya terhidanglah Sup Ayam Hutan Tumis Darat yang direnih selama 7 jam menggunakan slow cooker. Maklumlah, daging ayam hutan kerasnya mengalahkan ayam jantan kampung! Boleh jew masak gunakan pressure cooker, tapi Amie lebih berminat untuk memasak slow...slowwww...... Encik Suami kata, alangkah sedapnya makan nasi dengan sup ayam hutan!

Saiz ayam hutan kali ini agak kecil sedikt berbanding ayam hutan yang Amie masak ungkep pada mingu lepas. Amie potong menjadi 8 bahagian.  Amie masukkan air panas mendidih ke dalam slow cooker, dan kemudian masukkan potongan ayam hutan bersama halia dan sebiji bawang besar di potong dadu. Amie kongsikan resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam hutan yang sudah dibersihkan - potong menjadi 8 bahagian
1 labu bawang besar - potong dadu 
3 cm halia - diketuk
1.8 liter air panas mendidih
4 biji kentang - kupas dan belah dua
1 batang lobak merah - kupas dan potong bulat

Cara:
Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam slow cooker. Tekan butang slow dan biarkan masak hingga daging ayam hampir empuk. Masukkan kentang dan lobak merah. Biarkan sup terus direnih

Bahan tumbuk: / kisar
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
7 biji cili padi - kalau nak lebih pedas, boleh tambah lagi
1/2 sudu kecil lada putih
1 sudu besar ketumbar biji
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil jintan manis

Bahan penumis:
1 batang kulit kayu manis 
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 labu bawang besar - hiris kasar
2 batang serai - diketuk
3 cm lengkuas - diketuk 
2 bonggol pokok ketumbar - rendam dalam air supaya pasirnya tanggal - bilas hingga bersoh dan ketuk sedikit

Bahan lain:
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
hirisan daun ketumbar
bawang goreng 

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan penumis hingga harum.
2. Kemudian masukkan bahan tumbuk dan tumis lagi hingga sebati. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit kuah sup ayam hutan yang sedang direnih. Tumis sehingga mendidih.
3. Masukkan bahan tumisan tadi ke dalam periuk slow cooker yang berisi sup ayam hutan.
4. Tutup periuk semula, dan biarkan lagi selama 2 jam.
5. Ketika ini ayam hutan sudah benar-benar empuk, begitu juga dengan lobak merah dan kentang.
6. Perasakan dengan garam  / perasa pilihan.
7. Hidangkan panas. Jika suka sediakan sambal kicap dan perahkan limau nipis atau limau kasturi ketika menikmati Sup Ayam Hutan Tumis Darat ini. Jangan lupa taburkan bawang goreng dan daun ketumbar.

Nampak macam lama sangat menunggu 7 jam untuk hirup kuah sup ayam hutan! Bukannya kita kena tunggu mengadap slow cooker selama itu! Buatlah kerja-kerja lain sambil menikmati aroma sup sementara menunggu ayam hutan empuk....hiks! Apa yang Amie suka bila guna slow cooker ni, air yang kita bubuh tak akan berkurang! Sebanyak mana kita masukkan ketika mula merenih, begitulah banyaknya kuah sup ketika ayam masak empuk untuk dihidangkan. Jadi tak perlu risau kuah menjadi kering.

 Selamat mencuba!
Tak ada ayam hutan, ayam kampung pun sedap!
Tak ada ayam kampung, ayam pencen pun boleh!
Tak makan ayam pencen, ayam daging pun okey!

Rabu, 19 Julai 2017

Resepi Amie's Little Kitchen Di Majalah SAJI Edisi Ogos 2017

Jom meriah-meriahkan lagi dunia masakan tanah air!
Kata Jean Anthelme Brillat-Savarin:
Tell me what you eat, and I will tell you who you are!
Terima kasih saudari Zanasham Salim dan krew  Majalah SAJI kerana sudi memaparkan resepi hasil air tangan Amie untuk keluaragn Ogos ini. Jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang sudah tentunya baru keluar dari 'oven' dan hangat di pasaran!

Kali ini SAJI menghidangkan Menu Harian, dan antaranya termasuklah resepi dari Amie's Little Kichen seperti di bawah ini:










 Resepinya?
Jangan lupa dapatkan Majalah SAJI Edisi Ogos 2017 di pasaran.

Selasa, 18 Julai 2017

Ayam Masak Ungkep lagi!

Dalam kepala....
Goreng telur dadar sajalah. Makan dengan nasi panas, dan tambahkan sambal udang kering yang masih berbaki. Kalau tak cukup lagi, tambahkan serunding ayam. Letih sungguh hari ini. Kejap lagi bolehlah rehatkan badan!
Tiba-tiba Firdaus muncul di pintu dapur.
Mommy masak apa?
Mommy masak nasi, sayang.
Mommy masak ayam macam semalam ya... ayam pedan (pedas - lidahnya masih pelat, tak boleh sebut huruf 's' dengan betul.
Adeeehhh.... tak boleh nak cakap apa bila dengar permintaan si kecil Firdaus!
Daun nak makan ayam pedan. (Daus nak makan ayam pedas), katanya lagi.
Oh! Kelmarin hampir 3 jam masak ayam hutan! Ada lagi seekor ayam hutan dalam peti sejuk, tapi tak larat dah nak masak lama-lama hari ini. Rupanya bukan Encik Suami dan Fairuz saja yang kata sedap, Firdaus pun masih teringat ayam hutan masak ungkep itu!
Untuk tidak menghampakan permintaan Firdaus, Amie pun masak ayam ungkep sekali lagi, tapi Amie gunakan ayam daging biasa.


Bahan-bahan:
1 kg daging ayam bahagian peha - jadikan 12 potongan
3 batang serai - dititik
2 helai daun bay - (gantikan daun salam yang habis)
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
3 cawan air
garam dan gula melaka / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
 
Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
3 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 biji buah keras
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai, daun bay dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula atau perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana panas.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan.
6. Apabila kuah hampir kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, matikan api.
 
Alhamdulillah.... siap juga Ayam Masak Ungkep sebelum Firdaus tertidur! Dapatlah kita suapkan Firdaus nasi lauk ayam ungkep sepinggan penuh! Bukan Firdaus minta suap, tapi kita yang rasa rindu nak menyuap dia!

Isnin, 17 Julai 2017

Ayam Hutan Masak Ungkep

Bertemu kembali .
Alhamdulillah, dapur maya ini masih di hati, walaupun sudah agak lama tidak berkunjung ke sini.

Dah lama tak kongsi paparan, rasa kekok pula untuk memulakan mukadimah. Senangnye beginilah :
Amie kongsikan resepi Ayam Hutan Masak Ungkep. Sampai maksudnya kan? Nak tambah sedikit maklumat : Amie gunakan ayam hutan. Tak sempat timbang berapa gram, mungkin dalam 1 kg. Amie potong kepada 8 bahagian. Ayam hutan ni tersangatlah 'hutannya' dan sebab itulah Amie gunakan 2 liter air untuk 'mengungkepnya'! Kalau nak cepat empuk, gunakan saja pressure cooker. Habis cerita. Amie masak cara biasa, dengan api perlahan macam orang kampung selalu buat. Cili padi yang digunakan pula cli padi minyak, yang dah masak merah, sebab itu saja cili padi yang ada. Amie tambahkan dua helai daun bay, menggantikan daun salam.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam hutan - bersihkan dan potong 8 bahagian kemudian  lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - perap seketika antara 25-30 minit
3 batang serai - dititik
2 helai daun bay (gantikan daun salam)
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
2 liter air
garam dan gula / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
3 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 biji buah keras
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai, daun bay dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula atau perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana panas.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan.
6. Apabila kuah hampir kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, matikan api.

Encik Suami kata Ayam Hutan Masak Ungkep  memang sangat sedap! Memang Amie pun tak nafikan! Hampir 3 jam memasaknya dengan penuh kesabaran. Maklumlah, isi ayam yang pejal, kemudian dimasak ala-ala renih gitu sampai empuk, bukankah meresap sebati semua rempahnya?

Oh! Ayam Hutan Masak Ungkep!

Khamis, 6 Julai 2017

Kuih Raya 2017

Bertemu kembali.
Hampir sebulan tak berkunjung ke dapur maya, rasa kekok pula!
Ramadhan telah berlalu, tapi tak banyak kongsi resepi. Kononnya 'sakit hati' sebab beratus entri kena 'copet' dan dijadikan entri blogger lain! Kalau diingat kembali, rasa sakit hati tak akan surut! Jadi, kononnya nak berehatlah seketika. Bila berehat seminggu dua, bertimbunlah pula gambar resepi dalam kamera. Timbul semangat nak buat entri, malangnya komputer pula rosak!
Alhamdulillah, Encik Suami rajin pula bawa ke kedai dan semang untuk berblogging datang semula.
Sayangnya.... walaupun ada gambar yang hendak dikongsi, tapi resepi entah ke mana!
Apa pun, rasanya belum terlambat untuk paparkan kuih raya...hiks!
Nanti kalau rajin, Amie kongsikan pula resepinya.
Kepada yang berkunjung ke dapur Amie, diucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.