ADSENSE

Ahad, 21 Mei 2017

Rendang Bunga Betik

Orang kata, yang pahit itulah ubat!
Benarkah?
Nak cerita tentang bunga betik , tapi kalau nak tahu khasiatnya silalah berbual-bual dengan Pak Google...hiks! Sebelum ini Amie pernah kongsikan resepi bunga betik atau kembang kates (ikut bahasa Melayu Cocos). Bila memasuki keluarga sebelah Encik Suami barulah Amie 'belajar makan' bunga betik! Biasanya MIL olah bunga betik menjadi kerabu, ditambah dengan jantung pisang dan pucuk ubi. Biasanya MIL suka masak 'lodeh'. Masakan lodeh MIL berbeza dengan masakan lodeh kita. Boleh klik di sini : SAYUR LODEH COCOS.

Cerita tentang Rendang Bunga Betik pula, resepi ini pernah tersiar dalam majalah SAJI Februari 2017. Resepinya pun mudah, dan bagi penggemar sayur-sayur pahit, tentu teruja nak mencubanya.

RENDANG BUNGA BETIK
Bahan-bahan:
400 gram bunga betik
2 cawan pati santan
2 sudu besar kerisik
2 helai daun kunyit – hiris halus
Garam dan gula / perasa pilihan secukup rasa

Bahan kisar:
20 biji cili padi
2 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
3 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup
2 batang serai
1 sudu besar udang kering

Cara penyediaannya:
1. Rebus bunga betik hingga layu dan toskan airnya.
2. Campurkan kesemua bahan kecuali bunga betik, garam, gula dan hirisan daun kunyit di dalam kuali.
3. Masak sehingga terbit minyak.
4. Akhir sekali masukkan bunga betik, hirisan daun kunyit,  kerisik, gula dan garam.
5   5. Kacau rata, dan padamkan api dapur.


Petua: Untuk kurangkan rasa pahit bunga petik, tambahkan dua atau tiga keping asam keping semasa merebus bunga betik tersebut.


Jumaat, 19 Mei 2017

Jalan-Jalan Cari Makan di Lahad Datu : Khadijah Catering

Fairuz sudah bertolak ke Kota Kinabalu awal pagi tadi bersama-sama rakan pengakap untuk mengikuti Perkhemahan Hari Belia di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu. Walaupun baru sembuh dari demam, tapi semangat untuk ikut berkehmah tetap berkobar-kobar! Tinggallah Fuad yang masih terbatuk-batuk! Setiap kali tiba waktu makan, jenuhlah kita dengan Encik Suami memanggilnya, memujuk jamah makanan! 
Untuk makan malam tadi, kami bawa Fuad dan Firdaus untuk makan steamboat, tapi bila sampai ke restoran, tempat sudah penuh ditempah! Ada meja tapi sudah kehabisan dapur! Kami pun berpatah balik sambil berkira-kira untuk mencari tempat makan yang mampu memenuhi selera Fuad!

Akhirnya kami pun berhenti di hadapan Khadijah Catering di Bandar Seri Perdana! Banyak kali juga kami makan di sini dan sebelum ini Amie pernah tulis tentang WARUNG KHADIJAH IKAN BAKAR. Khadijah Catering dan Warung Khadijah Ikan Bakar mempunyai tuan yang sama. Bezanya Warung Khadijah Ikan Bakar terletak di jalan masuk ke Taman Aman manakala Khadijah Catering terletak di Bandar Seri Perdana. Kedudukan kedua-duanya pun tak jauh, rasanya tak sampai 1 km.

 Restoran ini menawarkan hidangan laut dan masakan lain dengan harga mampu bayar. 

Antara pilihan minuman daripada jus buah-buahan, dan harganya juga sangat berpatutan!

 Begitu juga dengan pilihan ikan segar.

 Maaflah...gambar tak berapa jelas sebab Amie gunakan hp...hiks! Tak pandai ambil gambar guna hp! Atau sebenarnya hp Amie tu hp cap kapak...hahaha!



Setiap kali Amie makan di sini, walaupun tak makan nasi, Amie mesti pesan ikan bolu @ ikan susu bakar! Istimewanya ikan ini ttida bertulang, atau dengan kata lain ikan susu tanpa tulang! Tulangnya sudah dibuang, tak tinggal satu pun!


Nampaknya, malam ini kami bernasib baik sebab dapat tempat duduk di bahagian belakang yang terbuka! Restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan, namun perkhidmatannya boleh dikatakan baik.  Para pekerjanya nampak begitu peramah melayan pelanggan. Tidaklah begitu lama untuk menunggu pesanan tiba di meja. Firdaus pun tak sempat nak mengamuk disebabkan kebosanan....ahaks!

Fuad mungkin rasa bosan sedikit sebab tidak ada teman berkelahi : Fairuz! Tapi, syukurlah. Sekurang-kurangnya Fuad sudah mula kelihatan cergas sedikit.

 Minuman yang kami pesan : Jus lobak merah, air kelapa dan ice lemon tea.

 Amie punya : Teh lemon panas.

 Pilihan menu Firdaus sudah tiba di meja. 

Suka sangat Firdaus makan mee goreng. Jangan hairan tau! Biasanya setiap hidangan yang dipesan akan datang bersama semangkuk kecil sup kosong!

 Kuey teow goreng. Siapa punya? Amie punyalah!

Ini nasi goreng paprik Encik Suami.


 Nasi Goreng Pattaya. Fuad punya ni.

 Tom Yam Udang saiz kecil dengan harga RM7.00.

 Dan ikan bolu @ susu bakar saiz kecil.
Ini khas untuk ratah-ratah!

Kongsi berdua dengan Encik Suami. Harga seekor ikan bolu bakar saiz kecil (taklah kecil sangat) ini ialah RM7.30 sen. Amie suka sangat bahagian perutnya yang berlemak tu! Untuk yang berhajat untuk singgah di sini, dan makan santai-santai bersama keluarga, bajetnya tidaklah terlalu tinggi. Memang harganya sangat berpatutan. Untuk kesemua menu di atas, kesemuanya berharga RM48.20 sen sahaja!
Dan tidak termasuk ketam di bawah ini ye.

 Ini ketam kulit lembut!
Amie saja jew masukkan di sini sebab ini antara gambar menu yang kami pernah makan di Khadijah Catering yang belum Amie padam dari hp. 

Ketam telur masin!
sedap diratah begitu saja!

Isnin, 15 Mei 2017

Nasi Ayam

Hati sangat risau bila dengar khabar Abang Farid demam. Tambah risau bila dia terpaksa berkali-kali ke klinik dan terpaksa ambil darah untuk mengesan kalau terkena apa-apa penyakit atau jangkitan. Alhamdulillah setelah dua minggu kemudian sihat walafiat. Fuad pula sakit. Puaslah Amie menelefon mengingatkannya supaya pergi ke klinik. Syukurlah, akhirnya sembuh beberapa hari kemudian. Oh! Bila anak-anak duduk berjauhan, memang tak senang duduk dibuatnya bila terdengar khabar mereka sakit. Tak lama kemudian, Firdaus pula demam, dan jenuhlah juga Encik Suami ulang-alik bawa ke klinik. Mujurlah si kecil itu rajin makan ubat! Tiba-tiba Fairuz pula jatuh sakit! Kebetulan pula musim peperiksaan! Dua kali Encik Suami membawanya untuk rawatan hospital. 
Fuad yang baru sampai dari Labuan pula, bila sampai rumah sekali lagi demam! Maka tiga beradik itu pun demamlah! Ketika mereka demam, Encik Suami pula jatuh sakit!
Amie?
Kuatkan semangat!
Kalau semua sakit, siapa yang akan uruskan rumahtangga?
Alhamdulillah. Walaupun sakit kepala, batuk dan pening tapi masih boleh bergerak, sebab melihat Encik Suami tak suka tunjuk sakit...kita pun segan!
Teringat Fairuz yang tidak menjamah makanan selama 6 hari, dan Fuad yang juga tidak boleh menelan makanan, Amie usahakan juga mencari apa-apa minuman atau buah yang boleh diterima tekak anak-anak. Sedih betul melihat bibir Fairuz yang pecah-pecah dan berdarah! Akhirnya Encik Suami bawa Fairuz dan Fuad ke kedai Cina Muslim untuk minum air 'buang panas'. 
Alhamdulillah. Ikhtiar itu nampaknya membuahkan hasil.

Dah tak tahu nak masak apa untuk menggamit selera makan anak-anak, akhirnya Amie masak nasi ayam. Anak-anak memang tak cerewet kalau bab makan. Jadi, supaya tekak tidak sakit sewaktu makanan melaluinya, Amie masak nasi ayam lembik sedikit, dan rebus daging ayam hingga empuk. Encik Suami pula, katanya mulutnya pahit dan Amie tahu, untuk mengurangkan pahit itu Encik Suami suka makan yang agak masam-masam. Jadi, Amie gandingkan nasi ayam, dengan ayam rebus serta kerabu mangga.

 Sayu pula rasa hati bila Fairuz hanya menjamah sedikit sahaja nasi ayam!

Tak apalah. Yang penting Fairuz dan Fuad mula berselera untuk makan setelah demam beberapa hari. Fairuz terpaksa cuti sekolah selama 3 hari atas nasihat doktor  dan mengambil peperiksaan pada hari yang lain.

Resepi nasi ayam ini resepi yang biasa Amie buat. Cuma kali ini Amie buatkan kerabu mangga campur lobak merah, dengan hirisan bawang srta daun ketumbar untuk Encik Suami. Kalau nak tengok resepinya bolehlah klik DI SINIDI SINIDI SINIDI SINI dan banyak lagi. Cari sajalah ye..hiks!

Ahad, 14 Mei 2017

Jalan-Jalan ke Pulau Sakar

Jom susuri Teluk Darvel, kemudian kita mendarat di Kampung Tanjung Paras dan melihat-lihat sekitar Pulau Sakar! Hmmmm.... entah berapa kali merancang untuk menjejakkan kaki ke pulau nan satu ini, akhirnya kelmarin 13 Mei 2017 barulah tercapai hasrat hati. Bukan jauh mana pun, dan bukan baru sebulan dua tinggal di Lahad Datu, tapi sudah 25 tahun! Hiks.....! Kami sekadar ingin jalan-jalan melihat pemandangan di Pulau Sakar.

Bagi pencinta alam sekitar nan menghijau, barangkali di sini boleh dijadikan tempat untuk merehatkan minda!

Kami bertolak dari jeti Lahad Datu sekitar pukul 9 pagi. Ketika itu matahrai terang memancar, langit biru dan awan cerah sepanjang perjalanan.

Bot yang disewa boleh memuatkan seramai 12 orang penumpang. Mula-mula kami hanya 5 orang sahaja, dan akhirnya James, terpaksa batalkan kerana tidak cukup penumpang. Bot yang ditempah disewakan kepada penumpang lain untuk memancing di pulau tersebut. Namun Kamsiah berusaha, nekad untuk meneruskan hasrat yang asyik tertangguh itu! Katanya, apa pun, dia tak peduli, biarpun tak cukup penumpang dan bayar berganda, dia tetap akan pergi!
Tanpa persiapan yang rapi, akhirnya kami bulatkan hati untuk menjejakkan kaki ke Pulau Sakar pada pagi Sabtu itu!
Dan, dari jumlah yang hanya beberapa kerat, terlebih pula muatan penumpang yang sepatutnya 12 orang kepada 13 orang! Jadi, rombongan kami seramai 13 orang itu pun meredah lautan nan tenang dan terlindung oleh Teluk Darvel!

Seronok naik bot ketika ini. Airnya tenang dan agak cetek. Rasa gayat seperti naik bot ketika belayar ke pulau-pulau di Semporna, sedikit pun tidak terasa!

Lebih kurang 15 minit , bot mula menghampiri perkampungan di Pulau Sakar. 

Kami mendarat di kawasan ini... di hadapan sebuah sekolah rendah di Kampung Tanjung Paras.



Pemandangan rumah atas air berhampiran sekolah.


Kami melewati Sekolah Kebangsaan Tanjung Paras. Terbayang guru-guru yang terpaksa meredah lautan berulang-alik dari Lahad Datu untuk tiba di sini setiap hari. Bagaimana kalau cuaca buruk? Hujan atau air laut bergelora! Teringat pula seorang bekas anak murid Tingkatan 5 yang selalu lewat sampai ke sekolah pada tahun lepas. Pukul berapa dia bangun pagi? Kemudian menunggu bot untuk menyeberang ke sebelah daratan sana. Selepas itu mencari bas tambang untuk sampai ke sekolah! Setiap hari....oh! Berapakah tambang yang disediakan oleh ibu atau bapanya? Ya Allah! Hampir menitik air mata mengenangkan anak murid itu, yang bertubuh kurus, berwajah pucat dan pernah beberapa kali Amie minta dia berehat di rumah sebab sakit! 

Ada tanah perkuburan di sebelah kawasan sekolah dan tangga untuk menyambung perjalanan.

Akhirnya setelah menaiki tangga (mendaki bukit) kami pun sampai ke tapak binaan projek jambatan  baru.

Aduhai!
Sunggu mengasyikkan melihat pemandangan nan menghijau!


Rumah di atas air.



Jambatan ini dibina dengan menggunakan kayu belian.




Deretan pokok bakau yang menjadi pelindung kepada gelora ombak kuat di lautan!


Berpeluh-peluh jugalah kami seanjang meniti jambatan kayu di sini!


Berehat dulu seminit dua sebelum meneruskan perjalanan.

Oh!
Hati-hati tau. Jambatan berlubang!

Tenang dan menyegarkan mata memandang! Nampak riak air sedang beralun perlahan ditiup angin laut!

Akhirnya kami tiba di sebuah kampung air!
Lupa pula nak tanya apa nama kampung ini!




Ketika melalui rumah ini, Amie dan Nano berhenti seketika. Kami tanya, di mana rumah (bekas anak murid kami tahun lepas). Mereka kata, tak pernah dengar nama itu. Mungkin dia tinggal di kampung lain kot.


Wajah kanak-kanak tempatan yang berselisih dengan kami.


Nampaknya setiap penduduk kampung air di pulau ini mempunyai sangkar ikan masing-masing di hadapan rumah, atau di bawah jambatan. Selain sangkar, mereka memasang bubu dan juga perangkap ketam seperti dalam gambar di atas.

Bila terpandang kasut sekolah yang sedang dijemur, terbayang semula wajah anak murid yang kurus pucat itu. Kasut sekolah ini saiz besar, barangkali pemilik kasut ini bersekolah menengah! Tidak ada sekolah menengah di pulau ini. Jadi, mereka terpaksa menyeberang untuk sampai ke tanah besar.

Sangkar ikan di bawah jambatan.




Melihat ikan kerapu besar milik ketua kampung.


Apabila ikan kerapu mencapai saiz yang sangat besar, namanya pun bertukr menjadi ikan keratang!


Ikan masin yang sedang djemur. Ketua kampung yang baik hati mengambil beberapa ekor ikan masin untuk dijadikan umpan agar ikan keratang timbul ke permukaan!


Ketua kampung di sini. 

Beralih melihat sekumpulan anak-anak laut yang sedang memancing.

Di sana sini terlihat jemuran ikan masin.

Antara ikan yang berjaya dipancing.

Ikan-ikan segar yang sedang 'nyawa-nyawa ikan'. Kata anak-anak di sini, ikan ini akan dijadikan lauk makan di rumah mereka.

Mereka memancing menggunakan udang geragau.

Masing-masing dengan hasil tangkapan dalam bekas yang disediakan sendiri.


Jamasri dan Wong tidak mahu ketinggalan mencuba nasib di sini.


Ada lagi ikan masin sedang dijemur!

Wong dapat seekor anak kerapu!

Ha ha haa... punyalah besar umpan udang yang Wong gunakan, sampai tak muat masuk mulut ikan!

Berkilat-kilat air laut menyeliputi lendir di badan ikan!


Anak-anak pulau pula semakin banyak mendapat pelbagai hasil tangkapan.


Tapi Wong sekali lagi dapat anak ikan kerapu!

Jom tengok sekali lagi hasil tangakapn anak-anak pulau sebelum tinggalkan tempat ini.



Segarnya ikan!
Dimasak singgang saja pun sudah cukup sedap!
Makan dengan nasi panas...adeeehhh! Jangan lupa picitkan cili padi!


Wong sekali lagi dapat anak ikan kerapu! Kali ini dia gunakan umpan udang kecil pulak!




Ini hasil pancingan James!
Anak kerapu juga!




 Kami sudah masuk ke dalam bot, tapi James dan Wong masih memancing!


 Tinggallah anak-anak pulau ye!

 Dan ketua kampungnya juga!
Jumpa lagi dan terima kasih sudi layan kami di sini.

 Antara bagang yang terdapat di sini.


 Projek Ternakan Ikan Marin Irunji Parija.


Sebelum masuk ke sangkar ternakan ikan, kami berhenti rehat di pintu masuk. Haus dan dahaga sangatlah dirasai ketika ini! Alhamdulillah, pemilik bot memberikan kami air secara percuma!

 Berebut ambil botol air!

 Dan kemudian menikmati bekalan masing-masing!


 Orang lain sibuk makan, James dan Wong sibuk memancing!




 Banyaklah pula ikan kerapu di perairan Lahad Datu ini ye!


 Biarlah James dengan wong dengan ikan mereka!


 Kita isi perut masing-masing!



 James dan Wong dapat lagi ikan kerapu!




 Seronoknya anak Al Maidah berenang dalam air!

 Rasa nak ikut serta!

 James!
Kalau aku duduk gaya itu, dah lama terbongkang dalam air laut!

 Nano mencuba nasib memancing di sini. 








Leka memancing dan berehat di sini, akhirnya terlupa untuk melihat tempat ternak ikan marin!

 Dalam tong biru ini air hujan, untuk cuci tangan.

Kami meninggalkan tempat ternakan ikan marin, dan kemudian bot berhenti perlahan-lahan di sebuah beting pasir.

 Sebelum itu teruja sangat nak lihat bulu babi atau landak laut!

Terima kasih kepada adik (petugas bot) yang mengambil seekor landak laut (bahasa tempatan disebut Tayyum - bahasa Bajau).  Bulunya sangat tajam dan kalau tak pandai pegang, apabila tercucuk bulu tayyum, akan terasa bisanya!

Jangan pegang begini ye... Aksi ini bukan untuk dititu! Ini tangan profesional saja yang boleh buat begini.

 Wah! Sempat posing atas beting pasir!

 Jom kita lihat landak laut sekali lagi!

 Landak laut ini bergerak-gerak, berpusing-pusing nak larikan diri!


 Boleh dimakan tau!

 Sebelum meninggalkan beting pasir!

Hmmm.... beting pasir! Lupalah ilmu geografi fizikal yang dipelajari berpuluh tahu yang lalu!




 Ini kapal berisi minyak, tempat kapal besar mengisi minyak semasa berlabuh!

 Dari kejauhan terlihat kilang minyak sawit!
Dari sini minyak sawit terus disalurkan ke dalam kapal.

 Wokeh...!
Sudah sampai ke tanah besar.



 Terima kasih atas perkhidmatan bot  dengan 300 kuasa kuda yang sangat cekap!
Jumpa lagi.

 Jom cari sesuatu untuk basahkan tekak dan isi perut!


Terima kasih kam, sanggup ambil dan hantar kami pulang!
Walaupun acara jalan-jalan kita itu tak terancang sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya terbakarlaj juga kalori kita!

Info tambahan:
Sebahagian besar penduduk Pulau Sakar berketurunan Bajau. Salah satu makanan tradisional mereka ialah putu. Putu, sejenis makanan yang diperbat daripada ubi parut. Petang kelmarin, ketika keluar bersama Encik Suami, sempat beli putu dan lauk-pauknya.

Putu biasanya dimakan bersama kilau (isi ikan mentah diperap bersama jus limau atau cuka, halia, cili padi, hirisan bawang, hirisan mangga dan garam). Selain itu putu juga boleh dinikmati bersama rumpai laut dan juga ikan bakar.