ADSENSE

Ahad, 30 April 2017

Udang Tumis Pedas Sayur Rampai

Sepanjang minggu lepas, badan tak berapa sihat. Ketika itulah Fairuz ambil alih kerja-kerja dapur. Alhamdulillah, anak bujang kami sudah boleh diharap. Selain mengemas rumah, menjaga Firdaus, dari membuat susu sehinggalah memandikan dan menukarkan lampin pakai buang, dialah juga yang masak nasi dan lauk-pauknya. Dah siap, dia pun bangunkan Amie (yang selama tiga empat petang terpaksa merehatkan diri sebaik sahaja sampai ke rumah). Kadang-kadang Fairuz tanya, nak masak apa? Amie kata masak apa-apa sajalah yang ada di dalam peti sejuk. Ada sekali, Amie sudah beransur sihat. Fairuz tetap juga mahu masak. Dia tanya Amie macamana nak masak sup ayam. Amie kata, tambahlah kentang atau lobak merah. Buang kulit ayam, sebab nanti sup penuh lemak ayam!
Bila Amie jengok dapur sebab terbau aroma sup, rupanya Fairuz rebus kentang dengan bawang putih dan halia. Kentang dah mula empuk.  Ayam tak masuk lagi, sebab dia sedang buang kulitnya!
Oh! Anak Mommy sayang!
Dia berusaha untuk masakkan Mommy rupanya!
Tak sampai hati nak tegur, nak tanya : Kenapa rebus kentang dulu?
Kadang-kadang, kalau Amie berjauhan dari anak-anak, sama ada Fuad atau fairuz akan telefon Amie, macamana nak masak ini, macamana nak mask itu. 
Buat anak-anak Mommy yang disayangi:
Blog masak-masak ini sebenarnya Mommy dedikasikan untuk kalian. In shaa Allah, Mommy akan cuba masak dan ambil gambar langkah demi langkah, walaupun hanya masakan yang mudah-mudah. Nanti, bolehlah belajar dari sini. 

Tengahari tadi, sempat masak Udang Tumis Sayur Rampai dan ikan susu bakar. Fairuz menghadiri kelas tuisyen, jadi pulang agak lewat sedikit. Untuk panduan Fairuz dan Fuad yang sesekali suka masak di dapur (terutama apabila ketiadaan Mommy), beginilah cara mengolahnya.

Bahan-bahan:
15 ekor udang segar - bersihkan
1 cawan hirisan lobak merah
1 cawan hirisan kubis
1 cawan hirisan daun bawang
1 labu bawang besar - dihiris 
3 ulas bawang putih - dihiris
10 biji cili padi minyak - dihiris
1 sudu besar stok ayam pekat
1/3 cawan minyak

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili padi sehingga layu.

 2. Masukkan udang dan masak sehingga udang berubah warna.

 3. Tambahkan stok ayam pekat sebagai perasa dan kacau sebati.

 4. Masukkan lobak merah. Kacau sekali-sekala sehingga lobak merah layu.

 5. Kemudian masukkan kubis. Kacau lagi sehingga kubis layu.

 6. Akhir sekali, masukkan daun bawang. 

 7. Kacau dua tiga kali dan padamkan api dapur.

Roti Inti Kacang Hitam

Selamat berhujung minggu buat rakan-rakan pengunjung tersayang. Moga sihat dan ceria selalu. Hari ini, Amie berdua sahaja dengan Firdaus. Fairuz menghadiri kelas tuisyen, sementara Encik Suami menyiapkan tugas yang belum selesai. Keluar awal pagi, balik tengahari untuk makan dan kemudian keluar lagi. 
Firdaus!
Jom temankan Mommy uli tepung di dapur.
Kita buat roti inti kacang hitam yang Baba suka beli tu! 

Dapat 16 ketul roti belum berinti, tapi Firdaus 'cukai' seketul! Tinggal 15!
Ingatkan dah faham bahasa, ikut arahan tapi rupanya lawan tokey!
Habis tepung dan bijan bertaburan. Semua nak dipegang oleh budak kecik satu ni!


Resepinya pun tidaklah semewah mana, hanya gunakan bahan asas sahaja. Itu pun kata Encik Suami (setiap kali Amie buat roti), dah cukup sedap dan lembut! Alhamdulillah. Makan roti baru keluar oven memang sedapkan!


Bahan A:
11 gram yis  (1 paket)
1 cawan air suam

Bahan B:
3 1/2 cawan tepung gandum
4 sudu besar gula pasir
2 sudu besar susu tepung
2 sudu besar marjerin
1 biji telur

Bahan tambahan:
Sebiji telur dan 1 sudu besar susu cair - bancuh untuk glis atas roti
Bahan hiasan : bijan hitam 

Inti:
Inti kacang hitam secukupnya

 Cara:
1.  Untuk Bahan A : Masukkan yis ke dalam bekas berisi air. Biarkan selama 10 minit sehingga keluar buih.
2. Bahan B : Telur dipukul ringan. Dalam sebuah mangkuk besar, masukkan tepung gandum, susu tepung, gula, marjerin dan telur. Gaul rata.
3. Tuangkan sedikit demi sedikit bancuhan yis dan uli adunan tepung sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.
4. Rehatkan doh selama satu jam. Doh akan mengembang dua kali ganda dari bentuk doh asal.
5. Uli sekali lagi doh tersebut, dan tumbuk-tumbuk sedikit.
6. Bahagikan doh kepada dua bahagian. Dan setiap bahagian di bahagi dua lagi. Amie dapat 16 biji doh, tapi Firdaus nak isi juga sebiji dengan inti, jadi tinggallah 15 biji.
7. Leperkan doh, dan isikan dengan satu sudu besar inti kacang hitam. Kemudian tutup semula dengan kemas. Jika suka, hiris sedikit bahagian luar doh menggunakan pisau tajam sehingga kelihatan intinya.
8. Kemudian letakkan di dalam cawan kertas mengikut saiz yang sesuai.
9. Sapukan sedikit bancuhan telur dan susu cair di atas roti dan kemudian taburkan sedikit bijan hitam.
10. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan (sekurang-kurangnya 10 minit) dengan suhu 150'C atau mengikut tahap kepanasan oven masing-masing untuk membakar roti selama 25 minit.

Firdaus makan 3 ketul!


Sabtu, 29 April 2017

Fish and Chips

Hari ini tukar kebiasaan hidangan tengahari. Yang penting kenyang perut...hiks! 
Wokey!
Jom nikmati sajian tengahari yang sangat ringkas tapi sedap. Amie sediakan hidangan Fish and Chips. Untuk menyiapkannya, tidaklah sesukar mana. Dah selalu sangat makan Fish & Chips di luar, sesekali eloklah buat di dapur sendiri. Banyak versi cara penyediaan Fish and Chips ini. Memang seronok sewaktu menonton rancangan televisyen yang memaparkan resepi ini, tetapi kalau kita buat sendiri lagi seronok...hiks!

 Bahan-bahan:
3 keping fillet ikan dory
4 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar tepung beras
1 cawan serbuk roti
2/3 cawan air
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
2 sudu kecil serbuk Maggi Cukup Rasa
1 sudu kecil lada hitam tumbuk
1 sudu besar jus lemon
minyak


Cara:
1. Potong fillet ikan dory mengikut saiz yang diingin - pastikan ikan dalam keadaan kering - atau lap dengan tisu dapur.
2. Renjiskan jus lemon dan taburkan lada hitam tumbuk pada fillet ikan dory. Ketepikan.
3. Campurkan tepung gandum, tepung jagung dan tepung beras dalam sebuah mangkuk. Tambahkan serbuk Maggi Cukup Rasa, soda bikarbonat dan air. Jika adunan terlalu pekat, tambahkan sedikit air lagi.
4. Celupkan ikan ke dalam adunan tepung dan kemudian golekkan di atas serbuk roti.
5. Goreng di dalam minyak yang banyak menggunakan api panas.
6. Goreng kedua-dua belah bahagian, dan apabila berwarna perang keemasan, angkat dan toskan.

 Di Australia dan New Zealand katanya Fish and Chips ditaburi garam terlebih dahulu di atas ikan dan kentang sebelum disajikan. Di Amerika Syarikat pula, Fish and Chips dinikmati bersama coleslow manakala di Kanada disajikan bersama sos tartar dan hirisan lemon. Jadi, kita ikut selera kitalah! Dah ada ikan goreng, dah ada kentang goreng, Amie tambah sayur-sayuran dan mayonis serta sos cili!

Isnin, 24 April 2017

Turkish Chicken Kebab

Alhamdulillah!
Akhirnya dapat juga merasa Turkish Chicken Kebab untuk kali kedua setelah pertama kali menikmatinya di Restoran Tamara, Istanbul.

Walaupun dengan menggunakan resepi yang paling asas, sekurang-kurangnya Amie sudah berhasil....ahaks! Memang ada bezanya gambar atas dengan gambar bawah. Gambar atas, hasil air tangan Amie. Gambar bawah, hidangan nasi bersama Turkish Chicken Kebab di Istanbul! Bezanya? He he heee.... kebab ayam yang Amie hasilkan warnanya gelap sikit! Amie bubuh bahan tambahan, iaitu puri tomato dan serbuk kunyit. Mungkin itu yang menyebabkan warnanya gelap sedikit. Maklumlah, setiap kali tutorial resepi dengan pak google, banyak pulak versi yang Amie jumpa!

Masih terasa keenakan hidangan nasi bersama kebab ayam sebulan lebih sebulan yang lalu!

Amie kongsikan resepi yang Amie ambil dari BASIC TURKISH CHICKEN KEBAB. Terima kasih buat admin The Spruce : Elizabeth Wilson Taviloğlu.

What you'll need:
2 boneless chicken breasts, or 4 to 5 boneless thighs
1 medium onion
2 cloves garlic
1/2 cup plain yogurt or milk
3 tablespoons vegetable oil
2 tablespoons tomato paste
1 teaspoon ground black pepper
1 teaspoon paprika
1 teaspoon salt
Oregano, sumac and paprika for garnish

How to make it:
Heat the grill to medium.
Wash the chicken in very cold water for several minutes. Blot the meat dry on paper towels. Cut the meat into bite-sized cubes about the size of large dice.
Using the finest grater possible, grate the onion and garlic cloves. Pour the pulp and juice into a very fine mesh strainer and using a wooden spoon, press out the juice into a separate bowl. Discard the onion and garlic pulp.
In a glass or ceramic bowl, combine the onion/garlic juice, yogurt or milk, oil, tomato paste and seasonings. Add the cubed chicken and toss to coat. Cover the bowl and refrigerate it for at least 4 hours, or overnight for the best results.
When you are ready to cook the chicken, remove the pieces from the marinade and thread them onto small metal or bamboo kebab skewers. The chunks of chicken can touch each other, but don’t put them too closely together.
Sprinkle the kebabs with salt and put them on the grill. Grill them evenly on all sides, about 12 minutes total. You can sprinkle Turkish spices like oregano and paprika over the hot kebabs to add extra flavor.

Good try!

Ahad, 23 April 2017

Simit

Percubaan kali pertama membuat simit, sejenis roti Turki yang dibuat secara tradisional. Simit mula dikenali seawal tahun 1520-an di negara tersebut. Bentuknya bulat seperti cincin, dan disekelilingnya dipenuhi bijan. Rasanya agak kering, dan enak dimakan begitu saja sambil menikmati minum petang terutamanya teh epal atau caya (sejenis teh Turki). Amie pernah menikmatinya di salah sebuah hotel sebagai sarapan pagi, dan Amie cicah dengan madu. Jika dicelup dalam sup panas, juga sangat enak!

Setelah bertutorial dengan pak google, akhirnya Amie putuskan untuk mencuba resepi yang paling mudah. Ini disebabkan, begitu banyak versi resepi simit. Bagaimanapun, sudah semestinya bahan asas yang sama seperti tepung, bijan dan yis kering  digunakan! Nampaknya, hasil simit Amie kelihatan montel seperti tuannya! Ha ha haaa... orang kata, kalau badan bulat, kuih yang dihasilkan pun montel!

Ini dia rupa sebenar simit yang sangat terkenal sebagai makanan ringan atau jajan di Turki. Harganya cuma TL1 sahaja bersamaan dengan RM1.30. 

 Nampak cantik tersusun, dan bentuknya kelihatan lebih besar berbanding simit yang Amie buat!

Warnanya juga lebih gelap. Barangkali hasil penggunaan molasses atau sirap delima. Amie hanya gunakan gula yang dilarutkan dalam air. Mungkin sekiranya jika celupa dalam dark molasses, roti siminit yang dihasilkan akan lebih gelap warnanya!

Sekurang-kurangnya Amie sudah mencuba. Memulakan memang agak sukar, sebab tidak ada pengalaman. Apa pun Amie sekadar suka-suka, sebab memang suka tengok simit di Turi.

In shaa Allah, lain kali akan cuba lagi untuk menghasilkan bentuk yang lebih kurus...hiks! Kali ini hanya paparkan gambar, lain kali kalau Amie buat lagi, in shaa Allah akan Amie paparkan sekali resepinya.

Simit dalam kenangan!

Sebiji simit ini kalau celup dalam semangkuk sup cendawan panas..... walaaaa!
Kenyang tau!

Sabtu, 22 April 2017

Turki (37) : Istanbul - Doha - Kuala Lumpur - Kota Kinabalu - Lahad Datu

Ini merupakan catatan terakhir dalam kembara kami ke negara Turki yang dijadualkan selama 9 hari 7 malam. 
Return Flight
Istanbul Ataturk International Airport
Saturday : 25 March 2017
1945hrs
QR246
Ketika ini di negara kita:
Ahad : 0045 malam

Alhamdulillah, kami selamat mendarat di Doha.
Hamad International Airport
Saturday 25 March 2017
2355hrs
Ketika ini di negara kita:
Ahad : 0445 pagi.

Kami dijadualkan meneruskan penerbangan dari Doha ke Kuala Lumpur pada pukul 0250 waktu Doha (waktu kita 0720) dan akan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 1530 waktu Malaysia.

Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang untuk melakukan yang terbaik, tetapi tidak semua perancangan itu berjaya dilaksanakan seperti yang dikehendaki. Lewat malam di lapangan terbang Doha, kami menanti dan menanti Atie menguruskan tiket penerbangan kami yang nampaknya tergendala. Bukan kami sahaja, malah ramai lagi penumpang lain yang terpaksa beratur dan menunggu giliran untuk penerbangan seterusnya.

Gambar Ehsan : Puan Suryani

Inilah keadaan sebahagian anggota rombongan kami yang sabar menanti Atie menguruskan penerbangan seterusnya di kaunter. Memang rasa letih, sejuk dan mengantuk, tapi bila melihat Atie berdiri begitu lama  dalam barisan, rasanya Atie berganda-ganda lagi letihnya berbanding kami!

Gambar Ehsan : Puan Suryani

Hampir menjelang pukul 5 pagi, barulah urusan penerbangan selesai. Kami akur dengan apa yang berlaku. Penerbangan kami tidak dapat diteruskan pada pagi itu memandangkan cuaca buruk, dan masa yang dijangka sesuai untuk terbang ke Kuala Lumpur ialah pada pukul 7.30 malam! Bermakna kami perlu menunggu satu hari lagi! 

Alhamdulillah! Syukur kepada Allah atas rezeki yang diberikan pada pagi itu! Kami layak mendapat penginapan di Swiss Belhotel Doha. Walaupun kami tiba di hotel tersebut pada pukul 6 pagi, tetapi kami boleh merehatkan diri di situ sehingga petang, sebelum kembali semula ke lapangan terbang. Pada masa inilah Amie mengambil keputusan minta tolong Farid ubah tiket penerbangan dari Kuala Lumpur - Kinabalu - Lahad Datu. Alhamdulillah, sekali lagi Allah permudahkan urusan, walaupun tempat duduk penuh pada hari Isnin, tetapi dapat juga tempat pada hari Selasa. Dan syukur sekali lagi, majikan meluluskan cuti rehat khas selama 2 hari!

Apabila pintu bilik terbuka, rasanya ingin saja 'terjun' masuk selimut!






Dan tak sabar juga nak 'terjun' dalam bilik air!


Sempat timbang berat badan. Yuhuuuuu! Turun 2 kg rupanya! Ini berkat jalan-jalan bakar kalori selama seminggu di Turki!




Luas sungguh bilik penginapan kami!



Alhamdulillah. Sejadah pun ada disediakan!




Pemandangan di waktu pagi dari tingkap hotel.
Jom sarapan pagi.









Pagi itu, masing-masing nampak berselera menikmati sarapan pagi. Apa tidaknya! Ada nasi goreng weiii!


Selesai bersarapan, kami kembali semula ke bilik, dan sambung ngorok hihihiiiii.....


Sejuk-sejuk ni, alangkah enaknya dapat menikmati secawan teh panas! Tapi, tidur lagi baguskan ...hiks!

Tidak dinafikan, memang kami berasa sangat selesa berada di hotel ini. Pada ketika ini, hilanglah buat sementara waktu kegundahan hati sebab delay he he heee....  Syukur ya Allah! Di sebalik kesukaran yang sedikit, Engkau turunkan rahmat kemudahan yang sangat bear buat kami!

Atie...
Jom makan tengahari!

Desserts ...
Kegemaran Atie!
Seronok tengok Atie pilih!
Tapi puding bakar berkaramel tak ada di sini ye Atie.
















Masha Allah.... Nasi Kabsah!


Lauk-pauk pilihan yang sedap-sedap belaka!



Popia! Rasanya dua ketul juga Amie makan! Sedap oooo....

Nasi Kabsah yang cantik!

Sup jagung pun sedap!

Bismillah.... sedapnya, kata Atie.


Tak mahu lepas peluang jamah serba sedikit desserts yang ada!


Kan dah kata tadi... Amie ambil popia dua kali...hiks! 

Lepas makan tengahari, jalan-jalan sekejap melihat-lihat sekitar hotel.









Menjelang pukul 4 petang, kami dibawa semula ke lapangan terbang. Check in berjalan dengan lancar, dan kami terus masuk ke pintu untuk berlepas. 

 Abadikan kenangan di sini. Terpegun seketika melihat siasana lapangan terbang yang sangat luas!

Sementara menunggu waktu untuk berlepas, kami masuk ke surau untuk menunaikan solat Maghrib. Pada masa inilah datang dugaan yang tak pernah Amie sangka akan berlaku!
Kasut Amie hilang dari dalam rak!
Kawan-kawan ikut mencari, tapi tetap tak jumpa! Pekerja pembersihan turut mencari sehingga ke bilik air, tetapi tetap tidak ditemui!
Mungkin yang terambil kasut ambil itu, tersalah ambil kasut! Kalau begitu, sudah tentulah kasutnya tertinggal di situ, tetapi sehingga habis kasut di situ (dipakai oleh tuannya masing-masing yang keluar dari surau), sepasang kasut pun tidak ada!
Mujurlah, dalam keadaan kalut itu, seorang hamba Allah, seorang wanita menenangkan keadaan Amie.
Katanya, dia ada sepasang selipar. 
Dikeluarkannya dari beg sandangnya sepasang selipar warna ungu.
Katanya lagi : Pakailah. Kalau tak jumpa kasut awak, awak pakai sajalah selipar ni.
Amie hanya mampu ucapkan terima kasih kepadanya.
Tidak sempat bertanya, siapa namanya. Dari mana dan hendak kemana?
Apa yang sempat Amie fikir waktu itu sudah tentulah : Asalkan kaki beralas!
Nak cari atau beli kasut di mana? 
Beberapa minit lagi kapalterbang akan berlepas, dan kebetulan kami sudah berada di pintu pelepasan!
Di snilah.... kasutku hilang!

Dalam keadaan kalut tak berkasut dan hanya berselipar Jepun, masih juga mampu ketawa! Nurhidayah pula sempat rakam gambar. Katanya: Marilah saya ambilkan gambar buat kenangan kakak!

Syukurlah Amie pakai stoking... itupun stoking yang dibekalkan (Amie simpan dalam beg) dalam penerbangan dari Istanbul ke Qatar! Kalau tidak, nampak sungguhlah 'kaki ayam' Amie tu...hihihiiiii!

Salawati:
Kita melawat Mevlana di Konya,
Naik belon panas gembira tak terkira,
Tak akan kulupa selama-lamanya,
Coklatmu berharga 400 lira!

Banyak kenangan suka dan duka,
di Nevsehir, mataku ternoda,
di Grand Bazaar, kita diperdaya,
kasutku pula hilang di Doha!

Saat-saat terakhir untuk menaiki pesawat, Amie sempat meninjau-ninjau orang ramai yang sedang duduk menunggu panggilan masuk. Amie mencari wanita yang memberikan selipar kepada Amie, dan yaa.... Amie terus mengejar seorang wanita yang Amie yakin itulah orangnya!
Assalamualaikum. Puankah yang berikan saya selipar di surau tadi?
Wanita itu tersenyum.
Bukan saya. Awak silap orang.
Oh! Maaf!

Kami terbang pada pukul 7.30 malam (12.30 malam waktu negara kita) dan selamat mendarat di KLIA lebih kurang pukul 8 pagi Isnin bersama 27 Mac 2017.

 Akhirnya berpisahlah kami di KLIA.
Jumpa lagi Salawati!

Terima kasih Nurhidayah.
Selamat sampai ke Perak (bersama Salawati).
Terima kasih sebab sudi ambilkan gambar sepanjang kembara kita ye.
Berpisahlah kami di sini. Masing-masing sibuk menunggu bagasi.
Amie bergegas menuju ke surau untuk merehatkan diri. Barangkali 'malas' untuk makan, sebab tak ada kawan, jadi perut pun masuk angin! Tertidur dalam surau, sehinggalah ke petang. Farid datang membawa sepasang kasut baru untuk Amie. Katanya, dia tak tahu nak beli kasut yang Amie maksudkan. Amie kata, tak kisahlah asalkan kasut!

Inilah kasut yang Farid belikan untuk Amie. Kesian juga anak bujang ni... Habis kuliah pukul 12 tengahari, dia pergi cari kasut. Kemudian masuk kuliah sehingga pukul 3 petang, dan cepat-cepat datang ke KLIA bawa kasut!

Ketika Amie bangun dari tidur, Amie dapati selipar warna ungu itu sudah digunakan oleh pengunjung surau untuk alas kaki sewaktu mengambil wudhu.'
Jadi, Amie wakafkan sahaja selipar ungu pemberian wanita yang Amie temui di Doha itu. Ya Allah! Engkau permudahkanlah segala urusan wanita itu walau di mana sahaja dia berada. Aamiin.

Sekarang Amie sudah berteman! 

Dah lama tak jamah masakan tempatan!
Tak cukup jamah nasi dengan ikan goreng dan masak lemak pucuk ubi, layan selera lagi dengan laksa asam!


Pagi yang ditunggu pun tiba! Sepatutnya terbang pada 26 Mac 2017 tertunda sehingga 28 Mac 2017. Apa pun segala yang berlaku adalah di luar kawalan kita sebagai hamba-Nya. Yang penting, semuanya selamat dan segala halangan dipermudahkan oleh-Nya! 

Kuala Lumpur - Kota Kinabalu

Kota Kinabalu - Lahad Datu

Alhamdulillah syukur. Pukul 4.10 petang, Amie selamat mendarat di LD. Terima kasih diucapkan buat Atie Said, tour leader kami dan syarikatnya As Syukran Vacation Agencies Sdn Bhd kerana telah membawa kami melalui satu pengalaman yang sungguh menakjubkan! Semoga usaha syarikat pelancongan ini akan terus membuahkan hasil. Budi baik Atie, kesabarannya dan sentiasa berusaha menyelesaikan segala masalah yang timbul (di luar kawalan) seperti delay d Doha sangatlah kami hargai.
Sekian. Jumpa lagi.

Entri berkaitan kembara ke Turki:
1. Lahad Datu - Tawau - Kuala Lumpur - Doha - Istanbul
2. Roman Hippodrome, Masjid Biru & Topkapi Palace
3. Makan Tengahari di Restoran Tamara dan Menyeberangi Selat Bosphorus
4. ida Kale Otel, Canakkale
5. Troy Ancient City
6. Gözbaşi mola (Olive Oil Outlet Centre)
7. Kardeşler Restaurant Bergama
8. Asklepion - Rumah Sakit Jiwa Pertama di Dunia
9. Natureast Anatolian Taste
10. Ada Class Hotel
11. Leather Garment Centre & Watching Fashion Show
12. Ephesus (Ancient Greek City)
13. Sofra Restaurant
14. Izmir Selcuk Isa Bey Mosque
15. Pamukkale - Hierapolis
16. Pam Thermal Hotel
17. Turkish Yogurt with Honey & Poppy Seed
18. Özkan Dinlenme Tesisleri
19. Mevlana Museum (Mevlana Müzesi - Konya Mevlana Mausoleum)
20. Avrasya Hotel
21. Hot Air Balloon
22. O Ağacın Altı, Göreme Belediyesi/Nevşehir
23. Underground City
24. Carpet Centre & Sekitar Göreme
25. Bindalli Restaurant Üçhisar
26. Uchisar Castle & Pasabag Valley
27. Venessa Seramik Art Gallery
28. Agzikarahan-Hoca Mesut Caravanserai
29. Ayrancı Dinlenme Tesisleri
30. Ataturk Mausoleum (Muzium Ataturk)
31. Von Resort Abant 
32. Dinlenme Tesisleri
33. Perjalanan dari Bolu ke Istanbul
34. Oleh-Oleh Grand Bazaar
35. Buhara 93 Restaurant
36. Menyusuri Selat Bosphorus

37. Istanbul - Doha - Kuala Lumpur - Kota Kinabalu - Lahad Datu