ADSENSE

Ahad, 26 Februari 2017

Siput Dolen Masak Lemak Cili Padi

Pagi tadi, lebih kurang pkul 10. Terdengar bunyi hon di depan rumah. Encik Suami kata, itu kawannya. Dia pun keluar dan tak sampai dua minit masuk semula membawa sesuatu. Katanya, kawannya bawakan isi siput dari Semporna. 
Nak masak apa? Amie tanya.
Masak apa-apalah, jawabnya.
Kebetulan memang nak masak untuk makan tengahari.
Alhamdulillah. Rezeki jangan ditolak. Walaupun tak pernah makan, apa salahnya kita mencuba! Mudah-mudahan murah rezeki kawan Encik Suami.
Sebenarnya kami tak tahu nama siput yang Amie masak ini. Yang Amie tahu hanyalah siput tarik dan siput kahanga. Itu pun sebab biasa makan di kedai. Kata Encik Suami, kawan yang hantar isi siput ini kata, nama siput ini mengikut bahasa tempatan (Bajau) 'dolen'. Kalau mengikut bahasa Dusun (bahasa ibunda kawan tadi), siput ini dipanggil 'talasiu'. Terima kasih juga buat rakan sekerja, Puan Hajjah Al Maidah yang memberi info tambahan melalui FB. Katanya memang nama siput ini dolen, atau kandolleng. Alhamdulillah.


 Inilah rupa Siput Dolen Masak Lemak Cili Padi yang Amei olah sebagai lauk makan tengahari kami.

Ini isi siput dolen @ talasiu. Memandangkan isi siput yang agak banyak (lebih kurang 1 kg), Amie masak separuh saja. Isi siput ini dijual dengan harga RM20.00. Jom lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
500 gram isi siput dolen @ talasiu
2 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugur
1 cawan santan pekat
1 biji cili merah - hiris-hiris
garam / perasa pilihan
3 sudu besar minyak

Bahan tumbuk / kisar:
20 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup
1 cm halia
1 cm belacan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk/kisar hingga bersama serai hingga wangi.
2. Masukkan isi siput dolen @ talasiu.
3. Gaul rata dan tambahkan asam keping serta cili merah hiris.
4. Tuangkan santan.
5. Kacau sekali-sekala dan apabila santan mula mendidih, tambahkan garam / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Orang kata kalau masak begini eloklah tumbuk saja bahan perencahnya...hiks! Tumbuk kasar-kasar, jangan terlalu halus. Tapi kunyit hidup tu tumbuk haluslah ye.

Pertama kali masak siput dolen @ talasiu ni, memang teruja sikit nak tahu apa hasilnya! Nampaknya tidak ada air siput yang keluar sewaktu proses menumis!

Asam keping tu Amie masukkan saiz kecil saja sebab ia jenis yang masam! Kalau terlalu masam nanti terganggu p[ulak rasa siput tu. Cili merah tu pulak, kalau nak tambah cili hijau lagi cantik. Tak bubuh dua-dua jenis cili itupun tak apa. Saja jew masukkan nak bagi meriah!

Jangan lupa tuangkan santan. Amie bubuh secawan saja, sebab mulanya nak bubuh banyak takut kecut isi siput, nanti tinggal kuah saja! Rupanya isi siput pun tak berapa nak kecut! Jangan lupa perasakan dengan garam atau perasa pilihan masing-masing ye.

Dah siap!
Pada Amie.... siput ni sedap diratah saja!
Bentuknya pun comel macam macaroni!

Tiada ulasan: