ADSENSE

Ahad, 5 Februari 2017

Pais Jagung


Sudah masuk hari keempat seberkas jagung sedang menunggu untuk 'diusik'! 
Encik Suami pun belum 'bising' lagi. 

Ketika sedang berbual dengan Encik Suami sambil menonton televisyen, tiba-tiba teringat jagung tersebut.
Nak buat apa dengan jagung tu? 
Buatlah kuih jagung...kuih pais jagung, kata Encik Suami.
Pais jagung yang dibungkus dalam kulit jagung tu?
Haa... itulah pais jagung. Tak bungkus dalam kulit jagung pun boleh. Masukkan dalam loyang, kukus. Kata Encik Suami lagi.
Eh! Tak pernah buatlah. Tak tahu nak buat pais jagung.
Bukannya susah. Arwah mak dulu selalu buat. Parut jagung tu. Tinggalkan sedikit untuk dihiris. Tambah kelapa parut, tepung dengan gula. Macam hafal semua bahan saja Encik Suami tu.
Ye ke? Kena parut jagung? Mana kita ada pemarut? Dua tiga hari dah mencari pemarut tak jumpa-jumpa.
Ada tu... carilah. Adalah terselit di mana-mana. Haiisshh...ingatkan dia nak tolong cari.
Encik Suami nampak letih betul. Maklumlah walaupun hujung minggu tapi tetap juga ke sekolah untuk siapkan kerjanya!
Kita pun teringat Encik Suami suka makan pais jagung sebab kalau kami ke bandar dan singgah beli kuih, memang dia selalu beli. Anehnya Amie jarang sangat makan pais jagung walaupun ada di depan mata. Encik Suami beli, dia sendiri yang makan!

 Inilah hasilnya Pais Jagung yang Encik Suami suka makan tu.

 Boleh dibuat minum petang.

Termenung jugalah sesaat dua memikirkan bahan dan sukatannya. Maklum sajalah, kalau dah namanya resepi main sebut-sebut bahan, maknanya sukatannya pun main campak-campak juga. Seingat Amie (pernah makan dua tiga kali pais jagung), rasanya tidaklah begitu manis. Sedang-sedang saja, manis-manis manja dan lemak-lemak sedikit! Tak apalah...kita cuba dulu. Kesian sang jagung menunggu terlalu lama!

Bahan-bahan:
3 batang jagung = 2 cawan jagung parut (bersama sedikit hirisan jagung)
1 cawan tepung gandum 
1 cawan kelapa parut
2 sudu besar gua pasir
secubit garam
kulit jagung secukupnya

Cara:
1. Masukkan parutan jagung ke dalam sebuah mangkuk.
2. Tambahkan kelapa parut, tepung gandum, gula pasir dan secubit gara.
3. Gaul bahan hingga sebati.
4. Ambil sehelai kulit jagung. Sendukkan satu sudu besar bahan adunan di atas kulit jagung. (Jumlah bahan boleh disesuaikan mengikut kelebaran daun.
5. Tutup bahan dengan kulit jagung, kiri dan kanan dan kemudian lipat atas dan bawannya.
6. Kukus selama 30 minit.
7. Sejukkan sebelum dihidang.

Untuk percubaan pertama, eloklah gunakan jagung dalam kuantiti yang sedikit dulu. Kalau dah pandai nanti, bolehlah cuba lebih banyak.

Potong bahagian tangkai jagung sampai nampak isi jagung. Mula-mula buangkan dahulu helaian pertama dan kedua kulit jagung. Kita akan lihat bahagian dalamnya yang bersih. Ambil dengan cermat sehelai demi sehelai kulit jagung tersebut.

Nampaknya saiz jagung yang Amie gunakan ini tidak begitu besar, jadi kulitnya juga tidak begitu lebar. Sambil menyiapkan kerja ini, Amie terbayang-bayang saiz pais jagung yang biasa Encik Suami beli. Saiznya besar, dan isinya agak tebal! Tak tahulah nanti apa bentuk pais jagung yang Amie buat!

 Jadi, jangan sia-siakan kulit jagung! Simpan elok-elok. 

 Mula-mula parut jagung.

Kemudian parut kelapa. Kebetulan kelapa yang Amie parut ini kelapa muda. Putih bersih, tapi jangan lupa buang kulit arinya.


 Amie sukat parutan jagung. Cukup-cukup dapat 2 cawan!

 Amie tambahkan satu cawan kelapa parut.

 Juga satu cawan tepung gandum.

Memandangkan jagung pun sudah ada rasa manis, jadi Amie hanya gunakan 2 sudu besar gula pasir. Bab rasa manis ini, terpulanglah nak guna banyak mana. Amie tak berapa suka manis, cukuplah sekadar manis-manis manja gitu.

Jangan lupa bubuh secubit garam, lebih kurang 1/2 sudu kecil gitu. Kemudian gaul bahan hingga sebati.
Sementara itu, jangan lupa jerang air dalam periuk pengukus. Nanti sebaik sahaja siap bungkus, bolehlah terus kukus.
Hmmm..sambil siapkan pais jagung ini sambil melayan segala pertanyaan Firdaus! Kalau boleh dia pun nak parut jagung, nak parut kelapa! Katanya bekas parutan kelapa tu kecik sangatlah Mommy! Iyelahh...sebab dia nampak kelapa parut tu melompat keluar dari pemarut!

Wokey!
Ambil sehelai daun jagung.
Nampak kecik benar daun jagung ni.. Bolehlah kan. Bukannya nak dijual. Kita nak makan sendiri di rumah.
Ambil satu sudu besar bahan adunan dan letakkan di atas kulit jagung. Ratakan ikut saiz yang dikehendaki.

 Kemudian tutup bahan adunan dengan melipat kiri kanan kulit jagung.

Jangan lupa lipat bahagian atas dan bawahnya.
Lebih kurang beginilah bentuknya.

Susun dalam pengukus. Oleh kerana kulit jagung tu ada yang lebar dan ada yang kecil, jadi saiznya pun berbeza mengikut kelebaran kulit jagung tersebut. Kukus selama 30 minit atau sehingga masak. 
Biar sejuk dahulu sebelum dimakan.
Dah padamkan api dapur, Amie pun kejutkan Encik Suami yang sedang tidur. Jam hampir menunjukkan 3.30 petang. Encik Suami perlu jemput Fairuz dari kelas tuisyen. Encik Suami terus tanya.
Dah masak pais jagungnya?
Sudah. Tapi tak boleh makan sekarang. Kena tunggu sejuk dulu.
Makan panas-panaslah sedap. Kata Encik Suami dan terus ke dapur. Firdaus mengekor dari belakang. 
Amie pun ikut sama. Encik Suami ambil sebungkus dari periuk tapi Firdaus  yang makan! Encik Suami ambil lagi sebungkus!
Jeleklah isinya kalau buka waktu panas. Mesti melekat di kulit jagung! Rungut Amie.
Tidaklah! Jawab Encik Suami sambil mengunyah pais jagung.

 Inilah baki pais jagung yang ada dalam periuk pengukus.

 Amie pun buka sebungkus. Eh! Ingatkan isinya melekat di kulit jagung!
Nampak macam okey saja kan.

 Firdaus terus menyudu pais jagung masuk ke mulut!

 Suapan pertama!
Dia pun mengunyah dengan penuh perasaan.

Kemudian dia terus menyudu dan menyudu lagi!
Sebenarnya makan pais jagung ni tak perlu gunakan sudu, tapi sebab masih panas, Amie hulurkan sudu untuk Firdaus.

Sedap tak dik?

Firdaus makan lebih 3 atau 4 bungkus pais jagung!

Nampak cantikkan warnanya?
Sebelum Encik Suami keluar rumah, siap berpesan : Jangan habiskan kuih tu. Nanti Baba nak makan lagi!
Tapi sempat mengomen : Sepatutnya ada hirisan jagung dalam pais tu!
Alaaa... lupa!

6 ulasan:

LiNa_Pg berkata...

Assalam kak amie..
Wah menarik dan klasik resepi pais jagung ni..ala2 lepat jugak kan.Uniknya dibalut dgn daun jagung

Omong Mak Long..... berkata...

Assalam Amie,

Berkenan pulak nengok lepat jagong di atas. Agak-agak jagong dalam tin boleh digunakan kemudian dihancukan sedikit dalam "food processor" kan? Pembungkusnya di pasaraya kawasan kami ada jual kelopak kulit jagong kering (orang Mexican guna kelopak jagong untuk membungkus sejenis masakan dipanggil tamale). Musim sejuk jarang dapat jagong segar.

Phong Hong berkata...

Kalau En Suami suka, kena buat lah, kan? Nampaknya Amie punya Pais Jagung ni laku sangat. Kena buat lagi tau. hah..hah...

Amie berkata...

Lina,
waalaikumussalam...
ya, unik betul sebab balut dgn kulit jagung... macam bau jagung rebus pulak waktu dikukus.

Mak Long,
waalaikumussalam..
boleh jew Mak Long... yang penting jadi, dan Mak Long suka. Selamat mencuba ye Mak Long.

PH,
habis dah tak tinggal lagi pais jagung tu he he hee...

Ogy berkata...

Tak terpernah terfikir....ada pais jagung..kemas buatan amie...boleh cuba ni..tq amie..

Amie berkata...

Ogy,
pais jagung ni dah dekat 25 tahun saya tengok, beli, makan... tapi baru kali ini tergerak hati nak buat...ha ha haaa...