ADSENSE

Isnin, 6 Februari 2017

Bendi Tumis Udang Kering, Sup Ayam Kurma Merah dengan Ngaku dan Ikan Goreng Jintan

Kadang-kadang bila pulang dari kerja, rasa ingin terus menghadap meja makan dengan hidangan panas dari dapur! Namun apakan daya, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kalau tak usaha sendiri singsing lengan masuk dapur, masakan terus ada hidangan di bawah tudung saji! 
Jadi, jom kita bersilat di dapur!

Kebetulan dalam perjalanan pulang, sempat singgah di kedai. Nampak ikan segar, Amie belilah sekilo. Orang sini panggil ikan tulai atau ada juga yang panggil ikan Uji Rashid sebab matanya bulat besar. Terpandag pula bungkusan kacang bendi. Ambillah juga sebungkus, harga RM2. Tak sampai satu jam bersilat di dapur, siap dah Bendi Tumis Udang Kering, Sup Ayam Kurma Merah dengan Ngaku dan Ikan Goreng Jintan. Nasi pun sedang elok masaknya, Jom... makan. Sebenarnya makan tengahari kami yang sentiasa lewat ini merangkum makan malam! Kalau dah pukul 3.40 petang baru menyuap nasi, makan di pertengahan tengahari dan malamlah tu...hiks! Elok jew makan, azan Asar pun berkumandang!

Mula-mula Amie bilas kacang bendi. Toskan.
Kacang bendi ni cadangnya Amie nak tumis pedas dengan udang kering. Jadi, ambillah dua sudu besar udang kering dan rendam hingga lembut.

Terpandang pula ngaku yang hampir kecut sebab lebih seminggu tak diusik! Kononnya nak buat kerepek, tapi mood nak mengerepek tak juga datang! Eloklah dijadikan bahan sup, gantikan kentang! Jadi kupaslah 6 biji ngaku. Belah 4.  Sup yang Amie masak ni sangatlah ringkas. Tak perlu bubuh rempah. Hanya sekadar inginkan kuahnya untuk dihirup. Amie gunakan sukuan ayam bahagian peha, dan potong-potong.


Sup Ayam Kurma Merah dengan Ngaku

Bahan-bahan:
sukuan peha ayam - potong -potong
10 biji kurma merah - bilas
6 biji ngaku - kupas dan belah 4
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih - pecahkan
3 cm halia - hiris
lada putih - tumbuk (pilihan)
garam / perasa pilihan
2 liter air

Cara:
1. Jerang air dalam periuk. Nyalakan api dapur.
2. Masukan ayam, kurma merah, ngaku, bawang besar, bawang putih dan halia.
3. Masak dengan api kuat hingga mendidih.
4. Kemudian tutup periuk dan perlahankan api dapur.
5. Renih sehingga daging ayam empuk.
6. Perasakan dengan garam / perasa pilihan - jika suka tambahkan lada putih.
7. Padamkan api dapur.


Setelah naikkan periuk sup atas dapur, Amie terus tanak nasi. Nanti, bila semua lauk dah siap masak, nasi pun ikut sama tanaknya! Amie memang suka makan nasi yang baru masak...sedap! Dah tekan butang ON pada rice cooker, Amie pun bersihkan ikan tulai. Bubuh garam dan serbuk kunyit. Tambahkan jintan manis dan daun kari. 

 Lepas tu goreng!
Aroma ikan segar ni memang menggoda selera!
Dan perut pun semakin hebat berkeroncong!

Sementara ikan digoreng, bolehlah potong kacang bendi yang ditos tadi. Jadi, taklah berlendir bila air dah hilang. Ikut sukalah nak potong cara mana.

Oh! Pada masa yang sama sup ayam dengan kurma merah pun sudah mendidih! Jangan lupa tutup periuk, dan perlahankan api dapur ye. Ikan yang sedang digoreng tu pula, eloklah dijeling-jeling sikit. Terbalikkan kalau rasanya dah masak di bahagian bawahnya.

Ikan pun dan masak. Ikan begini elok goreng masak saja, dan bukannya goreng garing. Isinya lembut! Mmm... kalua letak atas nasi panas, bubuh kicap lemak manis...alangkah enaknya! Wokeh! Masuk ikan lain untuk gorengan yang seterusnya.

Jangan lupa toleh semula arah kacang bendi. Bahan tumisannya perlu disediakan. 
Bahan-bahan:
15 batang kacang bendi - bilas dan toskan hingga kering - hiris nipis
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
1 biji cili merah
10 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 sudu besar udang kering - rendam hingga kembang

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan kacang bendi dan gaul rata hingga layu atau berubah warna.
3. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
4. Padamkan api dapur.


 Keluarkan tenaga sedikit dengan menumbuk cili dan udang kering! 

Gorengan ikan kali kedua sudah masak. Masuk gorengan ketiga. Amie goreng 3 ekor setiap kali gorengan. Sengaja goreng ikan lebih sikit, boleh simpan untuk makan dengan ubi rebus! Suka makan ubi rebus dengan ikan goreng!

 Mulakan menumis bahan perencah untuk kacang bendi.

 Dah harum semerbak bahan tumisan, masukkanlah kacang bendi.

Gaul rata, sampailah berubah warna. Kemudian tambahkan perasa pilihan anda!
Dah siap!
Ayam pun dah empuk!
Ikan goreng pun dah habis digoreng!
Nasi pun dah tanak!
Apalagi?
Jom makan... Bismillah!

 Yang pedas itulah yang menyelerakan!
Bendi Tumis Udang Kering.

 Sup Ayam Kurma Merah dengan Ngaku menjadi pelengkap hidangan.

Inilah yang tersedap! Segar dari laut!
Ikan Goreng Jintan!

3 ulasan:

Phong Hong berkata...

Sedap sedap lauk yang Amie masak. PH nak cubalah, masak ngaku dalam sup. Selama ni, buat kerepek aje.

hazila berkata...

As Salam Amie,

Selama ni tahu ngaku buat kerepek je. Next time boleh masak dengan sup ayam pula.

Amie berkata...

PH,
ngaku tu tak juga memberi rasa yang istimewa macam cendawan shiitake, tapi cukuplah sekadar nak bagi meriah sup ha ha haa..

Hazuila,
waalaikumussalam... boleh jew... masuk dalam masakan kari pun boleh. Ngaku sama macam ubi gitu.