ADSENSE

Jumaat, 3 Februari 2017

Asam Pedas Tempoyak Ikan Jepun

Fuad sudah selamat sampai di Labuan pada hari Rabu lepas. Hanya 4 hari berada di rumah. Katanya, rasa sekejap sangat. Mommy pun tak sempat nak masak-masak untuk Fuad. Waktu itu kebanyakan masa dihabiskan di tempat kerja kerana banyak perkara yang perlu diuruskan. Sebelah malamnya pula, terpaksalah Encik Suami bawa kami makan di luar. Bukan apa! Bila badan sudah letih, rasa nak berehat sahaja! 
Namun begitu, sempat jugalah Amie masak untuk Fuad bila mengenangkan kata-katanya, rindu nak makan ikan. Kebetulan harga ikan melambung naik! Encik Suami pula, setiap kali kita pesan beli ikan, dibawanya pulang daging ayam! Katanya tak berbaloi beli ikan dengan harganya yang semakin tak masuk dek akal!
Suatu malam, sempat singgah di pasaraya. Kebetulan ada ikan di situ, dan harganya agak murah berbanding di pasar. Mengenangkan Fuad yang akan bercuti dan tidak ada simpanan ikan, Amie pilih ikan Jepun. Dah memang begitu nama ikan yang ditulis, jadi memang betullah itu ikan Jepun. Sebelum ini Amie gunakan bahasa tempatan untuk panggil ikan ini, iaitu ikan sulig.
Jom tengok resepi ikan Jepun yang Amie kongsikan kali ini. Menu ini sudah seminggu berlalu dan Fuad pun turut sama menikmatinya.

Ikan Jepun penuh berisi, gebu dan putih! MIL suka masak sambal dan selalu gunakan ikan ini untuk dibuat serunding! MIL panggil ikan ini ikan buntut kuning. Kalau dalam nasi berkat pula, orang kampung Encik Suami suka letakkan ikan Jepun goreng sebagai salah satu di antara lauk-pauk yang ada.

Inilah rupa ikan Jepun. Amie olah tiga ekor. Potong dua setiap seekor. 3 keping masak asam pedas tempoyak dan 3 keping lagi Amie goreng. Jom kita semak resepi Asam Pedas Tempoyak Ikan Jepun di bawah ini:
Bahan-bahan:
3 keping ikan Jepun
2 sudu besar tempoyak
5 biji terung hijau - belah dua
1 biji tomato - belah 4
2 batang serai - diketuk
7 tangkai daun kesum
3 cawan air
4 sudu besar minyak
garam / gula /perasa pilihan

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm kunyit hidup
1 cm halia
1 cm belacan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar serta serai hingga pecah minyak.
2. Masukkan tempoyak dan kacau sebati.
3. Tambahkan air dan biarkan sehingga kuah mendidih.
4. Masukkan terung hijau dan biarkan selama 5 minit.
5. Masukkan ikan Jepun. Biarkan ikan masak selama 3 - 4 minit. Tak perlu masak lama sebab ikan ini sangat lembut.
6. Kemudian masukkan daun kesum, tomato, garam / gula / perasa pilihan.
7. Biarkan seketika dan padamkan api dapur.

 Ketika menumis bahan kisar gunakan api perlahan saja sehinggalah pecah minyak.

Kalau nak gunakan tempoyak lebih pun boleh. Nampaknya stok tempoyak Amie tinggal ini saja. Tempoyak ni Amie buat sendiri sewaktu musim durian tahun lalu. Masih elok!

Kalau rajin, tumbuk atau kisar dulu tempoyak tu bagi halus. Kalau tak berapa rajin macam Amie, bubuh sajalah macam dalam gambar di atas tu. Jangan lupa tambah air. 

Kakak sulung Amie pesan kalau nak masak asam pedas biar lama-lama didihkan kuahnya! Amie pun didihkan lama jugalah, tapi taklah sampai kuah jadi pekat sebab ada tempoyak di dalamnya tu. Agak-agak renih dalam 5 hingga 7 minit, Amie pun masukkan terung hijau. Amie bubuh terung hijau sebab nak habiskan stok. Bubuhlah sayur lain yang sesuai seperti kacang bendi dan yang sewaktu dengannya.

 Masukkan ikan Jepun dalam kuah yang sedang mendidih.

Untuk melengkapi masakan asam pedas tempoyak ini, bubuhlah daun kesum dan juga tomato.

Jangan lupa bahan perasa pilihan anda, garam dan gula atau bahan lain yang biasa anda gunakan. Bila dah cukup rasa, ikan pun dah masak, padamkan api dapur.

Hidangkan panas.
Bagi Amie cukuplah lauk begini makan dengan nasi panas. Dapat kuahnya pun dah cukup menyelerakan!

2 ulasan:

Omong Mak Long..... berkata...

Assalam Amie,

Wah berminyak bibir berlaukan asam pedas. Kegemaran Mak Long hehe.. hendak hendak sudah bermalam lagi sedap makan dengan nasi sejuk pepagi sebagai sarapan. Mak Long ni berasal dari Muar, Johor, memang inilah lauk harian kami tak pernah jemu.

Amie berkata...

Waalaikumussalam Mak Long,
asam pedas memang resepi evergreen... dulu, kini dan selamanya!