ADSENSE

Khamis, 26 Januari 2017

Acar Rebung Madu Dengan Ikan Masin

Assalamualaikum.
Apa khabar semua? 
Terima kasih kerana masih sudi berkunjung ke dapur kecil Amie. Terima kasih juga buat follower baru, dan juga kepada silent readers. Tanpa anda siapalah kita...huk huks!
Wokey. 
Kali ini Amie kongsikan resepi Acar Rebung Madu Dengan Ikan Masin.
Resepi orang lain Amie tak pasti buat macamana, tapi yang pasti Amie paparkan hasil air tangan Amie mengikut kebiasaan. Kebiasaan di sini membawa maksud masakan yang biasa Amie lihat dan makan, terutama dari zaman kanak-kanak sehingga remaja suatu waktu dahulu! Dulu tak pernah jumpa acar rebung, tapi selalu melihat dan makan acar rampai yang dibuat secara gotong-royong semasa diadakan majlis atau keramaian di kampung.

Ini dia rupa Acar Rebung Madu Dengan Ikan Masin. Sebenarnya nak habiskan baki rebung madu yang hanya tinggal 350 gram dalam peti sejuk. Nampak masih elok rebung tu walaupun agak lama Amie simpan. Tidak ada sebarang bau. Amie temankan rebung madu dengan lebihan ikan masin yang dah lama tersimpan. Untuk lebih meriah, Amie tambahkan sebatang lobak merah. Jom lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
350 gram rebung madu jeruk - hiris ikut suka
300 gram isi ikan masin - potong dadu dan rendam selama 20 minit kemudian goreng seketika - toskan
1 batang lobak merah - potong seperti batang mancis
4 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar serbuk kari
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar biji sawi
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
20 biji bawang merah kecil - kupas kulit
20 ulas bawang putih saiz kecil - kupas kulit
15 biji cili padi hijau
15 biji cili padi merah
5 cm halia - hiris halus
1 cawan cuka
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
sedikit bijan - sangan

Bahan kisar:
3 labu bawang besar
3 ulas bawang putih

Ini dia baki rebung madu yang masih tersimpan dalam peti sejuk. Potonglah ikut suka, Amie potong agak nipis atau kecil sedikit.

Ini kepingan ikan masin. Amie tak pasti apa nama ikan masin ini. Amie suka sebab isinya banyak dan rasanya tidaklah masin sangat. Itu sebab Amie rendam selama 20 minit saja. Kalau gunakan ikan masin lain yang memang masin, kenalah rendam lama dan banyak kali tukar airnya supaya kurang rasa masin tersebut.

Sebatang lobak merah turut jadi mangsa untuk temankan rebung madu dan ikan kering! Fairuz suka sangat makan lobak merah. Jadi Amie pun bubuhkan dalam acar.

Bahan lain termasuklah hirisan halia. Bawang merah tu kalau boleh cari yang kecil sikit, kemudian belah empat jangan sampai putus. Begitu juga dengan bawang putih. Cari ulas saiz kecil. Bawang putih bawang merah Amie tu saiz tak berapa kecil...hiks! Tak mahu gunakan cili padi, gunakan cili merah atau hijau pun boleh. Nak bulat-bulat pun boleh. Nak potong-potong lagilah cantik. Ikut citarasalah mana yang digemari.

 Dah cukup semua bahan, mari kita masak Acar Rebung Madi Dengan Ikan Masin.

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan biji sawi. Goreng seketika.
2. Kemudian masukkan halia, diikuti dengan bahan kisar  dan tumis hingga wangi. 
3. Masukkan cili kisar dan teruskan menumis hingga pecah minyak.
4. Masukkan serbuk kari dan serbuk kunyit. Gaul sebati.

5. Tambahkan bancuhan air asam jawa dan biarkan seketika.
6. Setelah terbit minyak sekali lagi, masukkan bawang merah, bawang putih, cili padi merah dan cili padi hijau. Gaul rata.

 7. Kemudian masukkan ikan masin yang telah digoreng tadi.

 8. Masukkan rebung madu.


 9. Dan masukkan lobak merah.


10. Gaul rata.
11. Masukkan gula secukup rasa diikuti dengan cuka.


12. Biarkan masak dengan api panas sederhana.
13. Setelah kuah hampir kering, tambahkan garam jika perlu. Amie tambah garam sebab ikan masin sudah menjadi tawar!

Acar Rebung Madu Dengan Ikan Masin sudah terhidang! Syukurlah ada fikiran tambahkan ikan masin dengan lobak merah! Kalau hanya harapkan rebung madu, memang habis licinlah Amie ratah sorang-sorang! Sedap sangatlah tu! Sedap jew meratah rebung madu yang rangup tu!

1 ulasan:

Phong Hong berkata...

Wah, Amie! Nampak sedap betul acar rebung madu ni. Tapi kat sini susah nak cari rebung.