ADSENSE

Jumaat, 13 Oktober 2017

Jalan-Jalan Cari Makan di Rasa Real Cafe Lahad Datu

Tiga hari lepas, Encik Suami ajak makan berdua di Rasa Real Cafe. Kita ni, dah biasa makan dengan anak-anak, rasa tak lengkap pula bila tidak bawa mereka. Jadi, petang tadi kita pula ajak Encik Suami makan-makan di tempat yang sama. 
Kebetulan pula Amie selalu terbaca dalam blog, pengunjung yang datang ke Lahad Datu rata-rata mengatakan kesukaran untuk mencari makanan yang dapat memenuhi selera mereka memandangkan jumlah tempat makan yang agak terhad. Lahad Datu, bandar kecil ye sayang! Tak semua jenis makanan ikut selera kita dapat disediakan. Dan satu lagi, walaupun dikatakan negeri Sabah syurga seafood, janganlah begitu mengharap hidangan seafood anda setanding dengan rasa di Malaya, terutama tom yam! Nak makan tom yam carilah tempat makan yang 'sebenar' di tempatnya!
Eh! Apasal cerita tom yam pulak ni....ahaks!
Kalau nak hidangan segera ada di depan mata, bolehlah datang ke Rasa Real Cafe di sini :
Wisma Ramai-ramai, Jalan Bunga Raya, Bandar Wilayah, 91100 Lahad Datu, Sabah, Malaysia.

Rasanya bolehlah diterima tekak, dan harganya pun harga mampu bayar untuk golongan seperti kita. Taklah murah sangat dan taklah mahal sangat. Harga hidangan di atas tu, kalau tak silap Amie dalam RM12 (mungkin ada 90 sen di hujungnya), he he heee.... tak simpan resit pembayarannya pulak.

 Ini nasi ayam Rasa Real Cafe.

 Amie pesan ABC biasa-biasa saja.
Harga, RM5.

Bila Firdaus datang, dia nak makan ayam goreng dengan kentang goreng. Kami pesan Buddy Combo, 4 ketul ayam termasuk minuman, coleslow dan kentang dengan harga RM27.90 sen.


 Chicken Chop : RM9.50 sen.

 Colden Chicken : RM11.90 sen.

 Hot Touch Burger : RM7.50 sen.

 Wokey! Dah kenyang makan, Firdaus pun terus dalam kolam bola-bola!

Cendawan Shimeji Tumis Pedas dengan Bebola Ikan

Huurrrmmmm.... nampaknya awal Oktober ini, semua masakan lauk-pauk Amie pedas-pedas belaka. Jangan risau, esok tak akan ada paparan resipi pedas punya! Tuan tanah nak jalan-jalan, ronda-ronda cari makan di luar kawasan pulak....hiks!

Bahan-bahan:
1 bungkus cendawan shimeji - potong bahagian akarnya
15 biji bebola ikan
2 pokok sawi manis  - pisahkan batang dan daun - potong ikut suka
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar minyak

Bahan hiris:
15 biji petai
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
3 biji cili hijau
10 biji cili padi

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga layu.
2. Masukkan bebola ikan bersama batang sawi manis. Gaul rata, dan biarkan sehingga bebola ikan masak.
3. Kemudian masukkan cendawan shimeji bersama daun sawi manis dan tutup kuali selama 2 minit.
4. Buka kuali, dan kacau bahan tumisan.
5. Akhir sekali perasakan dengan sos tiram. Jika terlalu kering, boleh tambahkan sedikit air bancuhan tepung jagung.


 Seperti biasa, lauk begini memang sedap untuk ratah-ratah sahaja!

Khamis, 12 Oktober 2017

Kangkung Tumis dengan Udang Pedas Berapi!

Walaupun pedas berapi, sampai nak keluar asap dari telinga tapi licin pinggan! Itulah penangan Kangkung Tumis dengan Udang Pedas Berapi!

Bahan-bahan:
15 batang kangkung - potong ikut citarasa - pisahkan bahagian daun dan batang
15 ekor udang kertas - bersihkan - buang kepala dan kulit
1 labu bawang besar - hiris kasar
3 sudu besar minyak
1 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa

Bahan kisar:
20 biji cili padi
2 biji cili merah
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah 

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan hirisan bawang besar, goreng hingga layu.
2. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga pecah minyak.
3. Masukkan udang serta batang kangkung. Kacau rata dan masak sehingga udang berubah warna. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
4. Kemudian masukkan daun kangkung, dan tutup kuali selama 1 minit.
5. Buka penutup kuali, dan tambahkan perencah Maggi Cukup Rasa.
6. Gaul rata dan padamkan api dapur.

 Walaupun pedas berapi tapi tetap mengancam selera!

Rabu, 11 Oktober 2017

Ikan Masin Duri Masak Lemak Cili Api dengan Nanas

Ya Allah.... panjangnya nama resipi! Ikan Masin Duri Masak Lemak Cili Api dengan Nanas....9 patah perkataan! Berbaloilah, dengan namanya yang panjang, sebab terasa keenakannya ketika disantap dengan nasi putih! Sudah tentunya masakan yang sekali-sekala sahaja ada di dapur ini akan terus menjadi ingatan kalau ada bekalan ikan masin lagi!

 Bahan-bahan:
4 ekor ikan masin duri saiz sederhana kecil - bersihkan - potong dua dan rendam 20 minit - toskan 
1/2 biji nanas (500 gram) potong ikut citarasa
2 batang serai - dititik
600 ml air
250 ml santan pekat 
garam / gula / perasa pilihan
(Nanas yang Amie gunakan agak masam, jadi Amie tak perlu bubuh asam keping untuk menambahkan rasa masam).

Bahan tumbuk:
20 biji cili padi hijau
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Masukkan air ke dalam periuk bersama bahan tumbuk dan serai serta nanas. Jerang di atas api sederhana.
2. Setelah bahan mendidih, masukkan ikan masin duri dan masak hingga nenas lembut dan ikan masin masak.
3. Tambahkan santan pekat, garam / gula / perasa pilihan.
4. Kacau sekali-sekala dan apabila kuah mula mendidih, terus padamkan api dapur.

Kuahnya pun dah cukup sodap!

Selasa, 10 Oktober 2017

Ayam Goreng Pedas dengan Kentang

Hari ini masak ringkas-ringkas saja tapi habis licin sekali hadap! Maknanya sedaplah tu ikut citarasa keluarga kecil Amie. Amie goreng ayam, dan pada masa yang sama rebus kentang separuh masak (ala-ala rebus sebelum dipanggang bersama ayam rosemary tu...). Kemudian goreng kentang, dan tumis bahan-bahan untuk temukan ayam goreng dengan kentang goreng tadi. Siap!

Bahan-bahan:
2 keping bahagian peha ayam (700 gram) -  potong ikut citarasa - gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
5 biji kentang - cuci bersih dan belah 4
1 sudu besar sos tiram
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan hiris:
5 biji cili hijau
15 biji cili padi hijau
1 cawan isi petai
3 ulas bawang putih
2 labu bawang besar
2 cm halia
daun bawang - untuk hiasan

Cara memasak:
1.  Goreng ayam hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Rebus kentang separuh empuk. Angkat dan toskan. Kemudian goreng hingga masak.
3. Ambil 1/2 cawan minyak gorengan ayam tadi, dan tumis kesmeua bahan hiris hingga layu.
4. Masukkan ayam goreng, kentang goreng dan sos tiram. Gaul rata.
5. Jika perlu tambahkan perasa seperti garam / gula / perasa pilihan. Kacau dua tiga kali, dan padamkan api dapur.
6. Angkat masakan menggunakan sudip berlubang, supaya minyak tidak ikut serta semasa menghidang.
7. Taburkan hirisan daun bawang di atasnya.

 Enak diratah begitu saja!

Ahad, 8 Oktober 2017

Nasi Himpit dengan Sayur Lodeh Sedap!

Sebelum terlupa, dan terlepas pandang resipi-resipi yang lalu, mie kongsikan Nasi Himpit dengan Sayur Lodeh pula. Bukan senang nak jumpa menu begini di LD! Kalau nak makan puas-puas memang kena tunggu balik kampunglah jawabnya!
Apa pun, teringin makan punya pasal, Amie tetap usahakan untuk memenuhi selera dan kerinduan pada kampung laman!



Bahan-bahan:
3 bungkus nasi himpit segera  - rebus hingga masak – sejukkan dan potong dadu
1.2 liter santan cair
400 gram udang basah – bersihkan
10 urat kacang panjang  - potong 3 cm
2 biji terung panjang – potong kecil
60 gram suhun – rendam dalam air – setelah kembang, toskan
3 keping tempe – potong kecil*
3 keping  tauhu basah – potong kecil*
2 biji ubi kentang – kupas kulit dan potong nipis *                               
½ batang lobak merah – kupas kulit – potong 3 cm*                         
2 batang serai – dititk
2 cm lengkuas – dititik
4 sudu besar minyak
Garam dan gula secukup rasa
Bahan bertanda * hendaklah digoreng terlebih dahulu
 
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
50 gram udang kering – rendam hingga lembut dan toskan airnya
7 biji buah keras
3 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1.         Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, serai dan lengkuas  hingga wangi.
2.         Masukkan  santan cair dan kacau sekali-sekala sehingga santan mula mendidih.
3.         Masukkan udang  basah dan kacang panjang, disertai dengan  semua bahan yang sudah  digoreng serta suhun.
4.         Apabila kuah mula mendidih sekali lagi, tambahkan garam dan gula.
5.         Padamkan api dapur.


Hidangkan sayur lodeh bersama nasi himpit, dan juga sambal tumis. Sambal tumis yang Amie hidangkan ini sambal tumis udang kering. Kebiasaannya sambal tumis ikan bilis. Ada yang suka bubuh serunding kelapa juga.

 Macam hari rayalah pulak...hiks!

Nasi Kuning & The Gang Yang Sangat Sedap!

Ikan tuna yang kami beli di Pasar Ikan Tawau masih berbaki. Pada mulanya Amie tinggalkan sebahagian kecil daripada ikan seberat 4 kg itu untuk dijadikan lauk nasi kuning, sempena Fuad pulang bercuti seminggu dari Labuan. Dua hari lepas katanya, tak jadi balik pula. Dia akan bercuti di rumah kawannya di Sipitang. Dan beberapa hari kemudian kami akan bertemu di KLIA, sempena hari konvokesyen Abang Farid di UKM.
Anak-anak memang suka sangat makan nasi kuning. Itu sebabnya setiap kali masak nasi kuning dengan sambal ikan, teringat-ingat anak-anak ulang makan di dapur! Tak cukup makan sarapan pagi, tengahari pun makan nasi kuning lagi. Sudah menjadi kebiasaan, seperti juga nasi lemak, Amie akan lebihkan masak nasi kuning. Pendek kata, masak sebelah pagi sekali harung makan sampai ke petang.

Amie pun tak ingat entah berapa kali Amie kongsikan resepi Nasi Kuning & The Gang di dapur maya ini.  Kali ini Amie ingin kongsikan masakan sambal seperti yang pernah MIL masak. Encik Suami pernah beritahu, sewaktu zaman kanak-kanaknya, MIL memang pernah berniaga nasi kuning berlaukkan sambal ikan. Suatu hari, Amie terdengar arwah FIL bercerita tentang sambal ikan tuna dengan seseorang (tak ingat siapa lawan bicara FIL). Kata FIL, apabila ikan tuna digoreng terlebih dahulu dan kemudian  dimasak sambal, hilanglah rasa keaslian ikan itu. Ketika itu, Amie hanya dengar saja, dan tak pernah masak sambal ikan seperti yang diperkatakan oleh FIL. FIL pernah menjadi tukang masak pengurus ladang dari England, dan citarasa FIL juga agak berbeza. Misalnya, sewaktu Amie buat lamb chop, pesannya jangan masak lama-lama. Balik-balikkan saja, kemudian angkat! MIL pula, selalu pesan kalau Amie masak di dapur ( di rumah MIL), kalau goreng ikan, goreng lembik-lembik untuk FIL! Hurrrmmm... sampai sekarang Amie tak tahu apa maksud goreng ikan lembik-lembik!

Jom kita lihat resipi nasi kuning seperti di bawah ini.
Bahan-bahan:
5 cawan beras biasa + 1/2 cawan beras pulut - bersihkan dan toskan airnya
2 helai daun pandan -siat dan simpul
3 cm halia - hiris halus atau pecahkan
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil garam- nak rasa masin, lebihkan sikit
600 ml pati santan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama daun pandan, halia, serbuk kunyit dan garam ke dalam kuali.
3. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.

Boleh masak gunakan rice cooker saja. Cara memasak sama seperti masak nasi lemak. Cuma, pandai-pandailah sukat santannya sebab masak guna rice cooker pelukan  santan lebih berbanding masak cara kukus. Kalau tak mahu campurkan beras pulut pun tak jadi masalah.

Untuk sambal ikan tuna pula, kali ini Amie tidak goreng terlebih dahulu ikan tersebut sebagaimana kebiasaannya. Dan Amie juga tidak tambahkan asam jawa, sebaliknya di akhir waktu memasak, Amie bubuh jus limau nipis.  Walaupun MIL dan FIL sudah tidak ada, Amie cuba untuk kekalkan resipi mereka untuk anak cucu akan datang, walaupun ada pengubahsuaian misalnya MIL dan FIL tak suka tambah gula, tapi Amie masukkan juga. Al-fatihah untuk MIL dan FIL.

Bahan-bahan:
1 kg ikan tuna - potong ikut saiz yang digemari
1/3 cawan parutan gula melaka
2 sudu besar jus limau nipis
garam / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
 
Bahan kisar:
30 biji cili kering Wonder Hot- buang biji dan rendam dengan air panas / sejuk hingga lembut
3 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm belacan
 
Cara:
1. Panaskan minyak.
2. Tumis semua bahan kisar menggunakan api sederhana sehingga pecah minyak.
3. Masukkan ikan tuna dan biarkan sehingga kuah sambal mendidih (jika terlalu kering, tambahkan sedikit air panas) dan ikan masak.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Tuangkan jus limau nipis. Kacau beberapa kali supaya kuah sambal sebati.
6. Padamkan api dapur.
7. Hidangkan bersama nasi kuning, hirisan timun dan telue rebus.

Sayur petola masak bening,
Disantap oleh bujang kelana,
Jemput makan nasi kuning,
Makan dengan sambal ikan tuna.
 

Sabtu, 7 Oktober 2017

Peria Tumis Pedas Dengan Udang

Hurrrmmm....
Ada kalanya dapur maya ini sepi, hanya sesekali  muncul membuka dan menutup tudung saji! Ada waktunya, tak henti-henti kemas kini dengan paparan resipi hari-hari. Kesibukan yang melanda, menyebabkan tuan dapur tidak sempat untuk berlama-lama di dapur, apalagi di dapur maya. Aktiviti memasak memang dilakukan setiap hari, tapi untuk merakam sebaik mungkin nampaknya jauh panggang dari api! Memikirkan keadaan begini akan berlarutan dan lama-kelamaan akan timbul angin malas, ambil jugalah beberapa keping gambar. Yang penting, asalkan ada rupa masakan....hiks! Namun begitu, tidak sempat pula untuk dipindahkan ke folder, dan seterusnya untuk proses edit. Akhirnya, banyaklah gambar masakan yang 'dilupakan ' begitu sahaja, sebab dah 'lupa' ceritanya!
Jadi, sementara belum lupa 'ceritanya' dan angin rajin sedang bertiup sepoi-sepoi bahasa, eloklah teruskan paparan resipi berikutnya iaitu Peria Tumis Pedas Dengan Udang.

Hidangan tengahari kami, Amie sempat sediakan Peria Tumis Pedas Dengan Udang. Amie tambahkan cili padi hijau dalam perencah. Bukan cili padi kampung, tapi cili padi minyak yang masih hijau. Walaupun tak seberapa pedas menyengat seperti cili padi kampung, pedasnya masih terasa juga! Perianya pula, Amie tidak ramas dengan garam, sebaliknya biarkan begitu saja, untuk kekalkan khasiat di sebalik rasa pahitnya. Tapi, tak pahit manapun! Fairuz pula yang suka makan! Orang kata dengan adanya telur, boleh kurangkan rasa pahit peria. Betul ke? Entahlah.

Bahan-bahan:
1 biji peria - 500 gram - belah dua - buang biji dan empulur - hiris nipis
15 ekor udang kertas - buang kepala dan kulit serta uratnya
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 biji telur
3 sudu besar minyak
1 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa

Bahan kisar:
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut - kalau tak mahu guna udang kering, boleh gantikan dengan belacan
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
30 biji cili padi minyak hijau

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar hingga layu dan kemudian masukkan bahan kisar. Tumis hingga pecah minyak.
2. Masukkan udang dan masak hingga udang berubah warna.
3. Kemudian masukkan peria. Gaul rata dan biarkan sehingga peria menjadi layu dan lembut.
4. Perasakan dengan perencah Maggi Cukup Rasa - jika tidak cukup boleh tambah. (Amie gunakan satu sudu kecil sebab sudah ada rasa masin udang kering).
5. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

Di mana sedapnya?
Entahlah...tapi memang sedap...hiks!

Bubur Barli Dengan Jagung

Tiba-tiba hujan turun di bumi LD!
Langit kelam, dan alam menjadi gelap suram.
Maka, dalam keadaan bersendirian di dapur, Amie pun buka tudung periuk berisi Bubur Barli Dengan Jagung yang masih panas!

Bahan-bahan:
1 cawan barli - cuci dan buang airnya - tambahkan 2 cawan air dan rendam selama 1 jam
1/2 cawan sagu biji - basuh dan toskan
1 tin jagung manis
3/4 cawan gula pasir - jika suka manis boleh tambah
1500 ml air
250 ml santan pekat
1 helai daun pandan - siat dan simpul
secubit garam

Cara memasak:
1. Rebus barli bersama air rendaman dan tambahkan 1500 ml air. Biarkan barli masak / empuk dengan menggunakan api sederhana.
2. Masukkan jagung manis, gula dan sagu biji.
3. Setelah sagu biji kembang, tambahkan santan dan garam.
4. Apabila kuah mula mendidih, padamkan api dapur.

 Jemput!

Jalan-Jalan Cari Makan di Lahad Datu

Kadang-kadang kita terlupa di tempat tinggal kita ada perkara yang menarik dan unik untuk diketengahkan. Kita rasa macam tak ada apa-apa yang istimewa sebab setiap hari kita melaluinya bersama. Boleh dikatakan kami seringkali bersarapan nasi kuning di salah sebuah restoran berhampiran jalan besar, iaitu Jalan Segama. Kalau anda datang dari arah Jalan Sandakan ke Lahad Datu, memang akan terjumpa restoran ini,  iaitu Restora Dila @ Syahila. Sejak hayat FIL masih ada, memang di sinilah tempatnya menikmati hidangan terutama nasi kuning dan sup tulang!
Untuk menikmati nasi kuning, adakalanya kita tidak menemukan keenakannya, walaupun hidangan tersebut sudah ada di hadapan mata! Restoran Dila tidak akan mengecewakan selera kita! Nasi kuningnya sungguh lazat, dengan sambal ikan tuna (biasanya ikan tuna), telur rebus dan hirisan timun, ditambah dengan semangkuk kecil sup kosong (sup tulang)!


 Harganya hanya sekitar RM3.50 sen sahaja!

Kalau tidak ada aral, pada hujung minggu sebelum menjejak kaki ke pasar tani atau cuti-cuti tertentu, Encik Suami akan membawa kami bersarapan di sini. 
 
Sambal ikan yang dijadikan lauk utama nasi kuning memang sungguh enak! Tidak pedas, cukup rasa dan sudah tentunya turut digemari Firdaus!

Kadang-kadang, balik sekolah kami akan singgah di sini, tapi hidangan lainlah pula yang kami pesan seperti nasi campur yang tidak kurang juga enak-enak pilihan lauk-pauknya!

Ada ketikanya, sebelum ke sekolah, Firdaus merengek-rengek memaksa Encik Suami singgah untuk bersarapan di sini. Kata Encik Suami biasanya restoran ini buka lewat pukul 6.40 pagi.

Ada ketikanya kami terpaksa pulang dengan perut kosong, sebab sampai lewat ke restoran... sekitar pukul 9 pagi! Memang nasi kuning sudah habis! Bukan tidak ada makanan lain, tapi memang nasi kuning itu juga yang kami cari!

Sama juga seperti nasi lemak, ada kalanya terasa kurang lemaknya dan cacat lauk-pauknya, nasi kuning juga sedemikian! Memang rata-rata mengakui nasi kuning enak berlakukkan sambal ikan, sama ada ikan tuna, ikan tongkol dan sebagainya. Walaupun pernah makan nasi kuning dengan sambal ayam dan lauk-lauk lain, tapi kurang ummpphhnya! Mungkin lain orang lain seleranya, tapi bagi penggemar nasi kuning terutama di negeri Sabah,, memang begitulah...ahaks!

 Dan, kami tidak pernah tidak menghabiskan nasi kuning yang dihidangkan!

Satu lagi hidangan yang popular selain nasi kuning, restoran ini turut menyajikan sup tulang. Amie suka pesan mee hoon sup tulang, dan sudah tentunya akan bubuh cili kicap atau lada dalam botol banyak-banyak, sebab sangat sedap!

Tidak seperti nasi kuning yang hanya dihidangkan sebagai sarapan pagi, sup tulang ada disediakan sepanjang hari. Biasanya pengunjung restoran ini akan memesan semangkuk sup tulang bersama nasi putih.

 Seperti nasi kuning juga, memang tak pernah tak habis kalau menikmati sup tulang di sini!

Wokey, kalau dari Sandakan, restoran ini terletak di sebalah kanan, tapi kalau dari bandar Lahad Datu, ia terletak di sebelah kiri. Lokasinya di Batu 1, Jalan Segama. Kalau dari arah Tawau, sebelum sampai ke bandar Lahad Datu, bolehlah belok ikut Jalan Asam dari Jalan Silam atau Jalan SMC (Sekolah Menengah Cina).