ADSENSE

Khamis, 24 November 2016

Cekur Manis Masak Lemak Dengan Ubi Keledek

Assalamualaikum kawan-kawan....
Terima kasih kerana masih sudi bertandang ke dapur Amie yang tak seberapa ini. Petang ini mendung. Sunyi sepi. Fuad keluar main futsal. Encik Suami ambil Firdaus di kampung. Fairuz khabarnya baru sampai di Kuala Lumpur, ikut perkhemahan pengakap selama 9 hari di sana. Nak makan pun rasa kurang berselera, tapi dah siap masak. Petang ni nak kongsi resepi tapi bukan masakan hari ini. Ini masakan kelmarin. Teruja nak masak lemak sayur cekur manis. Teringat masa kecik-kecik dulu, kalau nak masak sayur cekur manis petik jew di tepi rumah. Tapi sekarang, nak makan kenalah beli. Dulu tak ada harga, tapi kini secekak cekur manis tak sampai secekak pun mencecah RM3. Nak buat macamana. Dunia sekarang semuanya kena pakai duit! Kalau nak cekur manis percuma, tanam sendirilah Amie oiii! Amie masak lemak cekur manis tu, tambah dengan ubi keledek kuning. Selera kampung lagi.... ahaks! Dah memang asal dari kampung! Orang kampung...ngeeee!

Bahan-bahan:
15 batang sayur cekur manis - lurutkan helaian daunnya dan ambil batang serta pucuknya yang lembut
1 biji ubi keledek - kupas kulit dan potong dadu
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
1 batang serai - diketuk
1 biji cili merah - hiris
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu besar udang kering- rendam hingga lembut dan toskan airnya

Cara memasak:
1, Masukkan santan cair, bahan tumbuk, serai, cili merah dan ubi keledek ke dalam periuk.
2. Masak sehingga ubi keledek empuk.
3. Kemudian masukkan santan pekat.
4. Apabila kuah mula mendidih, masukkan sayur cekur manis. Kacau selalu supaya tidak pecah santan.
5. Tambahkan garam / perasa pilihan dan setelah kuah mulai mendidih sekali lagi, segera padamkan api dapur.
6. Hidangkan panas.

Tak tunggu orang lain dah.... nikmati sayur cekur manis dengan nasi panas, telur masin, ikan goreng dan sambal mangga! Masakan kampung memang simple dimple, tapi membahayakan sebab asyik nak tambah nasik!

Usah ditanya mengapa masak lemak ini tak berwarna kuning sebab tak bubuh kunyit. Inilah masakan kegemaran Amie dari dulu sampai sekarang! Bila masak lemak putih, terasa lemak manisnya santan, dan harumnya aroma masakan ini! Terima kasih mak sebab dulu mak suka masak begini untuk kami!

Rabu, 23 November 2016

Buku Resepi

Nak kata sibuk, ada juga masa untukk berehat. Nak kata terlupa... selalu juga teringat! Sewaktu pergi Labuan tempohari, sempat shopping di beberapa buah kedai buku. Terjumpa beberapa buah buku resepi kawan-kawan blogger masakan. Seronok tak terkira! Terus rembat mana yang ada dan belum kita miliki! Entah berapa buah kedai buku kita masuk. Sempat belek-belek dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang ke LD. Sempat kira juga, ada dalam 34 buah buku resepi kesemuanya! Oh... salah! 33 buah, tolak sebuah buku motivasi.
Balik dari tengok Fuad di Labuan tu sebenarnya sudah tiga minggu berlalu! Sampai LD pada 1 November 2016. Fuad pun dah menyusul balik LD untuk bercuti.
Barulah perasan, buku-buku resepi yang dibeli tu, belum lagi disusun dalam rak bersama kawan-kawan seangkatannya yang lain.
Jom tengok buku-buku resepi yang baru Amie beli tu, yang sebenarnya dah lama di pasaran tapi Amie baru terjumpa! Maklumlah ke Kota Kinabalu bukannya selalu... jauh tau, 7 jam perjalanan darat!

Yang di atas tu Buku Resipi Blogger Kak Nooriah Abdullah. Jom selalu-selalulah terjah dapurnya sebab banyak sangat hidangan sedap-sedap dan menggoda mata memandangnya! Klik sini ye BICARA KAK NOOR.

Yang ini pulak, hasil air tangan blogger masakan yang tak kurang hebatnya! Suka jengok dapurnya sebab dia rajin sertakan gambar langkah demi langkah dalam masakannya. Ini sajalah sebuah buku resepi beliau yang Amie dapat : MENU HARI-HARI. Jom intai dapur Hafizah Yahaya di sini : FIZA'S COOKING

Yang ini pun sebenarnya dah lama di pasaran, tapi rezeki Amie yang lambat sikit dapat. Bukan tak mahu beli online, tapi saja ngada-ngada nak beli di kedai ha ha haaa.... tunggu sekian lama tapi tak pernah jumpa di Lahad Datu. Akhirnya bertemu juga jodoh kita di Kota Kinabalu. Kalau nak tengok gambar-gambar masakan yang cantik dan penuh kreativiti, jangan segan masuk jew ke dapur dia di sini : QASEY HONEY

Dan yang terakhir Amie beli dua buah buku hasil air tangan blogger masakan yang sedang menyiapkan Ph-Dnya di Australia.  Sebenarnya ada tiga buah, tapi hanya ada dua buah sahaja buku masakannya yang Amie temui. Apa khabarnya agaknya Mamadee sekarang. Masih sibukkah dengan pengajiannya? Jangan lupa, kunjungi dapurnya di sini : MAMADEE'S KITCHEN.

Kambing Masak Ungkep

Assalamualaikum...
Apa khabar semua?
Dah makan ke belum? Kalau belum marilah datang ke dapur kita. Hari ini kita kongsi resepi Kambing Masak Ungkep. Yang biasa makan kambing tu bolehlah cuba resepi ini. Yang tak makan kambing tu diam-diam saja ye.... jangan banyak songel sebab kita kena ikut akhlak mulia Nabi Muhammad S.A.W, diam-diam saja kalau tak gemar nak makan satu-satu hidangan yang disajikan seperti organ dalaman. Cantikkan akhlak baginda. Secara tak langsung baginda menunjukkan rasa hormat kepada orang lain yang makan hidangan tersebut. Tak susah kan... ahaks! Jangan mareee...

 Bahan-bahan:
800 gram daging kambing biri-biri bahagian peha - potong 10 - lumur dengan 1 sudu  kecil  garam dan 1 sudu kecil serbuk kunyit - perap seketika
2 batang serai - dititik
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
1 cawan air
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
2 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
4 cm kunyit hidup
3 cm halia
30 biji cili padi - kita gunakan cili padi kampung merah campur hijau 

Cara:
1. Panaskan  minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan mendidih seketika. 
3. Kemudian masukkan serai dan daging kambing. Gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
4. Tambahkan air, garam, gula dan perasa pilihan.
5. Tutup kuali rapat-rapat. Perlahankan api dapur.
6. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging kambing tidak hangus kekeringan atau hancur.
7. Apabila kuah mula memekat dan daging kambing empuk, matikan api dapur.

Selain aromanya yang enak menggoda selera, daging kambing biri-biri ini juga sangat lembut!

Selasa, 22 November 2016

Ikan Masak Cuka

Masak ikan lagi...hiks!
Hari ini olah ikan masak cuka. Masakan ini cukup digemari Fuad. Dia pun pandai masak resepi ini kalau dah terpaksa! Maknanya kalau di nak makan, kita malas masak...  dia pun berusaha sendiri untuk masak di dapur!
Amie terlupa nama ikan yang Amie masak ni! Ada rupa ikan tenggiri tapi bukan ikan tenggiri. Saiznya kecil sedikit tetapi isinya penuh, dan warna kulitnya lebih hijau dan bersinar berbanding ikan tenggiri. Mungkin berkelluarga dengan tenggiri juga tu.


Bahan-bahan:
8 kepingan ikan  - gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - goreng hingga masak dan ketepikan
1 sudu kecil biji sawi
3 sudu besar cuka
1 sudu besar gula
300 ml air
1/2 cawan minyak
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan hiris:
1 biji timun - buang isinya - potong 3 cm memanjang
1 batang lobak merah - buang kulit - potong 3 cm memanjang
2 biji cili merah - belah 2
2 biji cili hijau - belah 2
10 ulas bawang putih - belah 2
10 biji bawang merah - belah 2
3 cm halia - hiris memanjang

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng biji sawi seketika.
2. Masukkan bawang putih, bawang merah, halia dan cili merah serta cili hijau. Gaul rata.
3. Tambahkan cuka, lobak merah dan timun. Masak seketika sehingga timun kulit timun bertukar warna.
4. Kemudian masukkan air dan biarkan mendidih.
5. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi, dan masak selama 4 minit.
6. Perasakan dengan garam, gula dan perasa pilihan lain jika suka.
7. Padamkan api dapur.

Isnin, 21 November 2016

Ikan Lampam Jawa Masak Lemak Tempoyak Cili Padi

Alhamdulillah...
Fuad sudah mula bercuti untuk selama tiga minggu. Pukul 2.30 pagi Ahad sampai di rumah, dengan menaiki bas dari Kota Kinabalu setelah menyeberang laut dengan menaiki feri dari Labuan. Nampak agak kurus, dan tinggi. Kalau bercakap sambil berdiri, memang kita terpaksa mendongak nak tengok mukanya!
Kami sangka kegemarannya masih seperti dulu, makan nasi lauk ayam. Kelmarin Amie masak kari ayam kegemarannya, tapi yang dijamahnya iakan panggang! Aiikk? Dah pandai makan ikan pulak? Katanya, bosan hari-hari asyik makan nasi lauk ayam di Labuan. Baguslah kalau begitu. Makanlah ikan banyak-banyak berbanding ayam!
Balik dari sekolah,  Amie dengan Encik Suami singgah gerai tepi jalan, tempat orang jual ikan. Memandangkan sudah agak lewat untuk makan tengahari, eloklah beli ikan segar saja, tak payahlah nak menunggu lebih lama untuk ikan nyahbeku. Lepas beli ikan, singgah gerai seberang jalan, konon nak beli sayur. Ada pula orang jual ikan lampan jawa segar dari sungai! Kami beli dua ekor. Encik Suami kata, sedap ikan lampam jawa kalau goreng garing-garing. Jadi, dalam kepala Amie, seekor kena goreng, seekor lagi masak berkuahlah. 
Yang ikan lampam jawa goreng tu tak payahlah kongsi resepinya kan....ahaks! Amie pun goreng juga 4 ekor ikan laut... tak tahu apa nama ikan tu! Amie kongsikan Ikan Lampam Jawa Masak Lemak Tempoyak Cili Pagi.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan lampam jawa seberat 500 gram - bersihkan dan potong 2
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
2 sudu besar tempoyak
7 biji belimbing buluh- belah jangan sampai putus
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
25 biji cili padi kampung
3 cm kunyit hidup
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Masukkan santan cair bersama bahan tumbuk  dan tempoyak ke dalam periuk.
2. Setelah kuah mula mendidih, masukkan ikan lampam jawa dan belimbing buluh. Biarkan seketika.
3. Kemudian tambahkan santan pekat.
4. Setelah kuah mula mendidih lagi, tambahkan garam / perasa pilihan.
5. Kacau selalu supaya ikan masak  merata. (Tidak perlu masak terlalu lama sebab isi ikan lampam jawa sangat lembut).

 Masakan berkuah begini memang anak-anak suka! Bukan ikannya, tapi kuahnya!

Merambat ikan  di tengah rawa,
Dapat seekor jala terkoyak,
Masak lemak si lampam jawa,

Bertambah enak tambah tempoyak!


Sabtu, 19 November 2016

Selera Kampung : Singgang Tempoyak Ikan Jenahak & Sambal Belacan Mangga

Berselera nak ke dapur...eh! Pulak  dah! Apasal pula berselera nak ke dapur?
Tiba-tiba teringin nak makan masakan kampung sebenarnya.
Jadi, hari ini merajinkan diri mengeledah peti sejuk. Jumpa seekor ikan jenahak. Terjumpa pula satu balang tempoyak yang belum terusik! Ada belimbing buluh. Ada lebihan buah mangga separuh masak. Yang terlebih suka, sebab terjumpa sepaket ikan gelama kering!
Mula-mula masak nasi. Nanti kalau nasi dah nak mula kering, masukkan saja dua tiga ekor ikan gelama kering di atasnya. Kononya masak kukuslah tu, dengan wap nasi! Ini style Bonda kita yang kita selalu lihat masa kecik-kecik dulu!
Lepas tu mulalah bersihkan ikan jenahak nan seekor tu. Jom lihat resepinya di bawah ini. Oh! Ya... disebabkan ada sambal belacan satu lesung, masakan singgang ini Amie tidak pedas, masak singgang kampung yang biasa-biasa saja.


Singgang Jenahak Ikan Tempoyak

Bahan-bahan:
1 ekor ikan jenahak  (500 gram) - bersihkan dan potong 2
2 sudu besar tempoyak
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 ulas bawang putih - pecahkan
1  batang serai - diketuk
1 biji cili merah - belah jangan sampai putus
1 biji cili hijau - belah jangan sampai putus
7 biji belimbing buluh - belah jangan sampai putus
1 helai daun kunyit - siat-siat
1 sudu kecil serbuk kunyit
800 ml air
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Jerang air dalam periuk.
2. Masukkan tempoyak, bawang besar, bawang putih, serai dan serbuk kunyit.
3. Setelah mendidih, masukkan ikan, belimbing buluh dan cili hijau serta cili merah.
4. Biarkan mendidih lagi sehingga ikan masak.
5. Masukkan daun kunyit dan perasakan dengan garam / perasa pilihan.

Ini Sambal  Belacan Mangga nan selesung!

Bahan-bahan:
20 biji cili padi kampung - campur merah dan hijau
1 keping belacan seberat 20 gram
1 cawan mangga cincang - mangga hampir masak
1 labu bawang besar - hiris nipis
2 sudu besar jus limau kasturi
garam / gula secukup rasa

Cara:
1. Tumbuk cili padi bersama belacan dan hirisan bawang besar. Jangan terlalu lumat / hancur.
2. Masukkan cincangan mangga dan lenyek sedikit menggunakan anak lesung.
3. Tambahkan garam dan gula serta jus limau kasturi.
4. Gaul rata.

Macam biasalah.....
Amie kalau buat sambal belacan walaupun bahan dah masam tapi tetap bubuh jus limau kasturi juga!

Lauk tengahari daj siap... kesian ikan gelama kering kukus di belakang tu! Lupa nak fokus masa ambil gambar tadi! Apa pun ikan kering itu jugalah yangbhabis seekor Amie makan!

Desa Diary Farm

Akhirnya dapat juga bawa Firdaus ke Desa Diary Farm setelah percubaan kali pertama dan kedua gagal pada Mei lepas sebab terlalu ramai pengunjung! Kali pertama tak dapat masuk sebab terlalu sesak, dan terpaksa patah balik ke pangkal jalan ha ha haa.... Kali kedua, dapat masuk tapi tidak dapat letak kereta dengan hujan lebat dan keadaan yang tidak selesa kerana kabus tebal, menutup semua pemandangan termasuk jalan!

 Kami antara pengunjung terawal... 

Gunung Kinabalu yang menjadi latar belakang ladang lembu ini sekejap kelihatan teguh berdiri di balik pohon rhu, sekejap hilang ditutup kabus tebal!

Susah betul nak ambil gambar Firdaus! Asyik lari ke sana ke mari macamlah ladang lembu ni padang bola milik mak bapak dia!

Jom kita kenal-kenal dengan lembu di ladang, meninjau kilang memproses susu segar yang terus dipasarkan ke seluruh negeri Sabah!

Walaupun berasa sebagai pengunjung terawal, tapi dalam masa yang singkat pengunjung lain mula memenuhi kawasan ini.

Tak sempat tulis nama, hanya sempat tangkap gambar saja sebab Firdaus dah lari ke belakang. Nak tinguk embu... nak tinguk embu... katanya!

 Suka benarlah dia dapat tengok anak lembu dan anak kambing!

 Dia nak duduk mengadap kambing dengan lembu saja... tak mahu bergerak dari situ!

  Matanya tu... asyik memandang ke arah kadang kambing lembu!

Jom kita tengok lembu besar pulak!
Kita pergi ke kandang lembu susu.

 Tak pasti pulak, pekerja sedang mandikan lembu atau nak perah susu lembu.

Pekerja-pekerja sedang membersihkan kawasan sekitar.

 Dah sampai kandang lembu besar pun, Firdaus buat hal lagi... tak mahu berganjak dari situ!
Asyik sebut : Nak tinguk embu! Nak tinguk embu!

 Ini lembu juga... tapi lembu batu...ahaks!

 Kononnya dia nak angkatlah tu!

 Jom patah balik masuk ke dalam, tadi tak sempat tengok di sini sebab asyik kejar Firdaus.



 Walaupun masih awal pagi tapi nak merasa juga asikrim segar di sini.


 Firdaus makan aiskrim dengan penuh perasaan!

Bila datang terlalu awal, terpaksalah tengok banyak ruang jual makanan kosong! Ketika itu hanya bahagian ini sahaja yang penuh. Dulu datang ke sini kenyang isi perut dengan wafel dan asikrim durian campur keladi! Kali ini belum ada sebarang bau makanan!

 Jom lihat hasil tenusu.

 Sempat rembat keju kozzarella satu bekas!

 Dan susu segar!

 Sempat mengintip kilang memproses susu.

 Susu segar dari ladang terus diproses dan dibawa terus ke dalam lori untuk diedarkan.




Bila melihat ke belakang, kabus tebal menutupi Gunung Kinabalu. Matahari pun nampak bersembunyi di balik awan. Redup. Mendung!

 Sekian!
Jumpa lagi.

Jumaat, 18 November 2016

Nabalu Kundasang

Sambung cerita yang hampir dilupakan...
Petang 30 Oktober 2016, perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kundasang lancar sahaja. Kali ini kami menginap di Nabalu Kundasang. Tempat penginapan ini tidak menawarkan banyak bilik. Letaknya di tepi jalan, senang nak keluar masuk kalau nak ke mana-mana terutama waktu nak cari makan. 

Ada balkoni untuk duduk santai-santai ambil angin petang. Tempat letak kereta di sebelah hadapannya. Tapi petang itu kami semua keletihan! Rasa nak tidur sahaja!

Bilik ini tidak ada penghawa dingin. Hanya ada sebuah kipas. Bagaimanapun suhu yang sangat sejuk tidak memerlukan putaran kipas atau aircond!


 Nak mandi pun agak liat!
Petang itu angin bertiup kencang! Terdengar deruannya yang agak mengecutkan perut!


 Mandi atau tidak?
Mandi tidak?
Mandi?
Tidak?
Kalau nak rasa lebih selesa, kenalah mandi. Tapi air agak sejuk, kena tunggu lama sedikit baru terasa kehangatannya!

 Malan itu semua tidur lena!
Segala cerita di siang hari kami kunci rapat dalam peti besi!

Senja mula menjelma. Bilik kami di hujung sekali ... tu naaa di depan sini. Bajet untuk satu malam di sini untuk bilik kami ialah RM250, dan kupon untuk sarapan pagi dua orang.

 Pemandangan di waktu malam, ini tempat penginapan bersebelahan.


Pemandangan di waktu pagi. Masih dingin. Angin pun masih kuat menderu. Namun Gunung Kinabalu nampak berdiri gagah di belakang sanun!

 Gunung Kinabalu dari tempat letak kereta ( di hadapan bilik kami).

 Selamat pagi!

 Jom turun, kita sarapan pagi di Restoran Nabalu Puteri.


Sementara menunggu pesanan tiba, jenguk-jenguk luar dulu...

 Gunung Kinabalu sekejap menampakkan dirinya, sebentar kemudian dilitupi kabus.

 Pemandangan dari Restoran Nabalu Puteri.

 Sarapan pun tiba.

Jom alas perut dahulu sebelum jalan-jalan cari penat!