ADSENSE

Rabu, 31 Ogos 2016

Sedapnya Ikan Sebelah Panggang Cicah Sambal Tomato

Selamat menyambut hari ulang tahun kemerdekaan tanahair kita yang ke 59. Moga negara kita bertambah makmur, aman dan damai. Mudah-mudahan kita dapat terus menikmati keharmonian hidup di bumi kita nan tercinta. Aamiin.
Jom makan tengahari, makan nasi dengan ikan sebelah panggang cicah sambal tomato. Alhamdulillah, walaupun cuti sehari dapatlah juga turun ke dapur masak tengahari untuk keluarga. Kali ini Amie kongsikan hidangan ikan sebelah panggang dengan sambal kesukaan kami, tak lain tak bukan sambal tomato.


Saiz ikan sebelah ni besar juga, 1.2 kg. Mulanya nak kukus ikut cadangan Encik Suami, tapi tak muatlah pulak periuk pengukusnya.


Akhirnya, panggang sajalah. Bukan panggang atas bara... panggang dalam oven jew....ahaks!


Amie sediakan dua bahan pencicah. Mula-mula masak sambal tomato.


Lepas tu buat pencicah kedua, potong cili padi dengan bawang, tambahkan budu dan jus limau.


Jom tengok resepinya yang sangat mudah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan sebelah - bersihkan - cuci  - kelar-kelar sedikit dan toskan
1 sudu kecil serbuk kunyit
secubit garam 
minyak sambal tomato
daun pisang / aluminium foil

Cara:
1. Lumur ikan dengan garam dan serbuk kunyit.
2. Panaskan oven / sediakan bara api.
3. Gunakan daun pisang /aluminium foil untuk lapik (jika perlu).
4. Panggang ikan sebelah hingga masak sambil sesekali renjis dengan minyak sambal tomato.

Resepi sambal tomato pun mudah sangat. Walaupun dah selalu masak sambal ini tapi ada kalanya Amie main campak-camak saja ikut senang sendiri! Kali ini cara Amie masak sambal tomato, dengan menggoreng bawang besar terlebih dahulu dan kemudian Amie masukkan tomato cincang. Lepas tu baru masukkan bahan kisar. Proses memasaknya pula, tak mahu tunggu sampai semua hancur. Agak-agak dah sebati dan pecah minyak, Amie padamkan api dapur. Amie tak bubuh asam keping atau asam jawa sebab buah tomato dah beri cukup rasa masam dan manis.

Bahan-bahan:
3 biji tomato  masak merah & 1 biji tomato hijau - cincang
1 labu bawang besar - cincang
4 sudu minyak
garam  / gula / perasa pilihan

Bahan kisar kasar:
15 biji cili padi
3 biji cili merah
3 ulas bawang putih
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar hingga kekuningan. 
2. Kemudian masukkan tomato cincang. Gaul sebati.
3. Masukkan bahan kisar, garam / gula / perasa pilihan.
4. Masak dengan api sederhana hingga pecah minyak.


Sambil menyiapkan sambal dan ikan panggang, Amie sempat renih sup campur. Sup yang Amie masak ini Amie tak bubuh sebarang rempah termasuk lada putih atau lada hitam. Sup campak-campak jew...

Bahan-bahan:
400 gram dada ayam - potong ikut suka
5 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga kembang / lembut
1 batang lobak merah - potong ikut suka
2 biji kentang - kupas kulit dan belah 2
1 labu bawang besar - belah 4
5 ulas bawang putih - buang kulit - biarkan seulas-seulas
3 cam halia muda - kupas kulit dan hiris nipis
2 liter air
perencah MAGGI Cukup Rasa secukupnya
hirisan daun sup
bawang goreng

Cara:
1. Masukkan air ke dalam periuk.
2. Jerang di atas api dan masukkan semua bahan kecuali perencah MAGGI Cukup Rasa, daun sup dan bawang goreng.
3. Setelah masakan mendidih, perlahankan api dapur.
4. Biarkan merenih sehingga daging ayam dan bahan-bahan lain empuk / masak.
5. Perasakan dengan perencah MAGGI Cukup Rasa.
6. Padamkan api dapur.
7. Hidangkan panas bersama taburan hirisan daun sup dan bawang goreng.


 Jom... jemput makan.

 Salam Merdeka!

Khamis, 25 Ogos 2016

Resepi Sup Tulang Yang Ringkas Tapi Sedap!

Sesekali lari dari kebiasaan, ada kalanya berhasil dengan kepuasan. Namun sesekali itu juga sudah tentulah ada sebabnya.... Terus kepada isi cerita, cerita masak-masak tentang sup tulang!
Seorang rakan sekerja ajak Amie makan sup tulang pada hari Sabtu...dua hari lagi nak jumpa hari itu! Katanya selepas aktiviti kokurikulum, mereka pakat ramai-ramai makan sup tulang di sebuah gerai berhampiran jalan ke pejabat imigresen. Arrgghhh! Rasanya nak tunggu hari Sabtu...betapalah lamanya!
Dipendekkan cerita, balik dari tempat kerja Amie singgah beli tulang! Balik ke rumah, terus olah dengan cara yang seringkas mungkin! Begitu begini, akhirnya seperiuk sup tulang sedang direnih dengan api perlahan tetapi aromanya boleh dihidu sampai ke tingkat atas!
Jadi, sementara daging yang melekat di celah-celah tulang menjadi lembut, sempat jugalah Amie lelapkan mata. Macam biasalah... siaran televisyen menonton kita ngorok! Lewat petang, Encik Suami pulang dari kerja dan terus tegur : Bau apa ni? Sedapnya!
Amie pun bingkas bangun dan lari ke dapur! 
Cantik!
Sup tulang masak sempurna.
Amie tambahkan kentang, lobak merah dan beberapa ketul bebola daging.

Amie lebih gemar memasak sup dengan cara semula jadi, merenih menggunakan api perlahan atau kalau hari cuti Amie suka memasak di dalam slow cooker. Keenakan sup yang dimasak cara begini lebih terserlah. Apa pun masing-masing mempunyai cara masakan yang digemari, dan tak kisahl;ah nak masak cara apa pun. Yang penting siap dan boleh dimakan...ahaks!
Jom tengok resepi sup tulang yang sangat ringkas di bawah ini:

1 kg tulang - bahagian tengkuk
2 labu bawang besar - kupas kulit - belah 4
10 ulas bawang putih - kupas kulit - biarkan seulas-seulas tanpa dihiris
3 cm halia - hiris nipis atau ketuk hingga pecah
4 biji ubi kentang - kupas kulit dan belah 2
1 batang lobak merah - potong bulat setebal 1 cm
16 biji bebola daging
3 biji bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
1 sudu besar lada hitam - tumbuk
garam / perasa pilihan
3 liter air
3 helai daun pandan - siat dan simpul

Cara:
1. Masukkan air dan tulang ke dalam periuk.
2. Masukkan sekali bawang besar, bawang putih, halia, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis dan daun pandan.
3. Masak hingga kuah mendidih. Kemudian perlahankan api dapur. 
4. Renih sehingga daging menjadi lembut.
5. Kemudian masukkan kentang, lobak merah dan juga bebola daging.
6. Setelah kentang menjadi empuk, masukkan lada hitam, garam / perasa pilihan.
7. Padamkan api dapur.
8. Hidangkan panas bersama taburan daun sup dan bawang goreng.

Kalau rajin, buatlah sambal kicap...hiks!

Isnin, 22 Ogos 2016

Allah Maha Besar! Allah Maha Agung!

Tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara dengan Bonda. 
Bonda kelihatan sangat tenang.
Di hati ini....
Barangkali bukan rezeki untuk bawa Bonda pergi umrah. Selama ini, sering berangan untuk membawa Bonda menjadi tetamu-Nya di tanah suci. Sejak adik Amin disahkan mempunyai masalah mental, Bonda amat sukar sekali untuk berenggang dengannya. Sejak 1994.... Bonda harungi hidup penuh airmata! Adik Amin satu-satunya anak lelaki Bonda, selain kami 7 beradik perempuan ( sebenarnya 8, tapi salah seorang kakak kami telah pergi menemui-Nya). Beberapa tahun kemudian, setelah puas berubat  di sana sini, demi keselamatan dan keadaan Bonda yang semakin uzur, kami sepakat menghantar adik Amin ke pusat penjagaan di Jalan Kebun. Untuk mengurangkan beban kos rawatan, penjagaan dan ubat-ubatannya, kami adik-beradik berkongsi semampunya.
Sedih pulak nak cerita.... tapi iktibar yang kami peroleh dari pengalaman ini ialah, hidup kita tidak semestinya indah sepanjang waktu. Ada kalanya, dalam tempoh sesaat... segalanya boleh berubah! Masih teringat betapa gembiranya Ayahanda dan Bonda menerima kehadiran adik Amin! Kami terlebih lagi sebab adik Amin satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami. Allah Yang Maha Agung, menitipkan kebahagiaan itu dengan dugaan! Dari seorang anak lelaki yang cergas, bijak dan berkarisma, akhirnya segalanya Dia ambil kembali pada usianya baru mencecah 17 tahun!
Terkenang kembali segala urusan umrah yang begitu dipermudahkan tanpa sebarang kesulitan! Untuk menceritakan satu persatu secara kronologi, agak mustahil sebab Amie pun lupa-lupa ingat. Apa yang terpahat dalam ingatan Amie ialah rasa sangat berpuas hati dengan khidmat ANDALUSIA TRAVEL & TOURS.
"Mak dah siapkan semua pakaian dalam beg," lebih kurang begitulah Bonda bersuara sambil menunjukkan beg besar berwarna biru, yang tertulis "PENYUCIAN JIWA DI TANAH SUCI".
Jadi... mak ikut umrah? Pertanyaan itu tersekat di celah kerongkong Amie. Tak mampu keluar.
"Ini semua ujian Allah," sambung Bonda.
"Sudah berpuluh tahun adik begitu.... tapi mengapa Allah pilih hari ini untuk semua itu?"
Ya... hati ini menyahut. Kenapa malam tadi tiba-tiba adik Amin koma. Tiba-tiba masuk ICU dan tiba-tiba dikatakan nazak.
"Sebab Allah nak uji hati kita. Nak uji iman hamba-Nya," ujar Bonda lagi.
Terasa ingin menangis kuat-kuat! Tapi air mata kutahan... tahan air mata agar jangan sampai keluar!
Di situ, jawapan sebenar sudah Bonda berikan.
"Mak dah bincang dengan semua. Dengan anak-anak mak, dengan cucu dan menantu."
"Apa yang dibincang mak?" Tak sabar rasanya tunggu Bonda habiskan cerita.
"Semua sepakat minta mak teruskan ke sana.... ke kiblat. Urusan di sini urusan mereka. Urusan mak dengan Allah, didahulukan."
Ingin rasanya menyahut begini : Tak apa mak. Tak ada rezeki kali ini, mungkin waktu lain masih ada kesempatan. Adik kritikal. Tapi tak juga terkeluar. Peti suara seakan terkunci!
Bukankah Bonda terlalu sayangkan adik Amin! Di saat begini, mengapa Bonda begitu tenang  dan yakin sekali dengan keputusan yang disuarakan sebentar tadi.
Ya Allah. 

Pagi, sebelum berangkat ke KLIA pada 31 Mei 2014 bersamaan pada hari Sabtu.

Pagi itu rasa syahdu sangat. Rasa lemah longlai menuruni anak tangga. Terlihat airmata Bonda menitik satu-satu menuruni telekungnya. Tidak putus-putus sanak saudara dan jiran tetangga berpesan pada Bonda, agar kuat semangat dan bersabar di atas musibah yang menimpa.

Kami dijadualkan terbang ke Makkah (Jeddah Airport)  pada pukul 3 petang. Alhamdulillah, di KLIA tidaklah sukar untuk menemui ahli rombongan yang lain. Sekali lagi Amie sangat berterima kasih kepada petugas  Andalusia Travel dan Tours kerana sentiasa menghubungi / menelefon Amie dari semasa ke semasa. 
Ketika kaki melangkah ke dewan pelepasan antarabangsa, kerana sebentar lagi akan menaiki pesawat Saudi Airlines,  tiba-tiba Kak Ros mengejar kami dari belakang dan berteriak memanggil Bonda! Panggilan telefon dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah diterima!
Kak Ju telefon. (Kak Ju sekeluarga berkampung di HTAR selama adik Amin dirawat di ICU).
Kami berdebar-debar menunggu apakah berita yang disampaikan oleh Kak Ju. Kami semua menumpukan seluruh perhatian ketika Bonda sedang berbicara dengan Kak Ju menerusi telefon.
Adik Amin dah sedar!
Adik Amin dah bangun!
Adik Amin dah bangun dari koma!
Adik Amin tanya : Mak dah pergi umrah ke?

Ehsan : Google

Apa yang mampu kami ucapkan selain menyebut nama-Mu ya Allah! Engkau Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih! Engkau Maha Pengampun!
Engkau Maha Besar ya Allah!
Engkau Maha Agung ya Allah!
Ya Allah!
Ya Allah! Ya Rahman!
Ya Allah! Ya Rahim!

Ahad, 21 Ogos 2016

Mengimbas Kenangan Umrah 2014

Entri berkaitan:



Catatan ini catatan tertunggak selama lebih dua tahun. Pada mulanya, memang nak jadikan entri tetapi Amie kehilangan gambar. Selepas itu, Amie pun terlupa.... walaupun sebenarnya masih teringat-ingat perjalanan yang dilalui itu. Entah bagaimana, ketika melihat-lihat semula folder lama, tiba-tiba terjumpa beberapa keping gambar yang  masih 'terselamat', walaupun sebahagian besar gambar telah hilang... maklumlah gambar-gambar itu Amie ambil gunakan telefon.
Alhamdulillah, akhirnya Allah memberi kesempatan untuk Amie, Bonda dan Farid menjadi tetamunya pada 31 Mei 2014. Segala urusan Allah permudahkan, walaupun daftar di Kuala Selangor, dan Amie berada di Lahad Datu, Bonda di kampung dan Farid di Labuan. Pertamanya, Amie ingin mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana memilih ANDALUSIA TRAVEL & TOURS untuk berurusan pakej umrah kami.

Petang itu.... sebelum meninggalkan Lahad Datu, sempat menjenguk Firdaus di kampung. Si kecil ini tak tahu apa-apa... dua minggu kena tinggal ye sayang!

 Ya Allah.... kuatkanlah semangatku. Kuatkanlah imanku...


Jom cerita lain pulak....
Namun begitu, adakalanya apa yang dirancang tidaklah terus lancar hingga ke akhirnya. Pada minggu pertama kami akan mengerjakan umrah, Farid dikehendaki menghadiri temuduga biasiswa yang telah ditetapkan untuk calon dari negeri Sabah.  Pada ketika ini kami perlu membuat keputusan bijak. Amie cadangkan supaya Farid membuat rayuan agar diberikan tarikh sebelum atau selepas kami mengerjakan umrah. Alhamdulillah, tarikh diubah lebih awal kepada 29 Mei 2014, Farid dikehendaki hadir untuk sesi temuduga di Universiti Malaysia Sabah pada pukul 8 pagi.
Dugaan sekali lagi.
Pada tarikh tersebut, tiket kapal terbang dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu telah penuh! Bayangkan waktu itu cuti penggal persekolahan telah bermula! Tiada pilihan lain selain menaiki bas selama 7 jam dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu. Terima kasih anak buah, Rini kerana sanggup ambil kami pepagi buta di stesen bas dan bawa kami menginap di Hotel Tabung Haji. Dan terima kasih yang tidak terhingga buat kakak ipar Amie, ibu Rini kerana sanggup sponser hotel untuk kami tumpang lelapkan mata dan bersihkan diri

Pagi 29 Mei 1014 itu, Amie hantar Farid sampai ke pintu masuk dewan untuk temuduga. Dan kemudian Amie duduk bawah pokok...


 ... menghadap laut. Untuk mengisi masa terluang, kita baca Quran dan  berdoa agar sesi temuduga berjalan lancar. Moga dipermudahkan Farid menjawab setiap soalan yang dikemukakan. Agak lama juga menunggu Farid. Dan akhirnya  setelah 3 jam menunggu, Farid pun keluar dari dewan ke tempat kita sedang menunggu...

Ini wajahnya selepas turun dari tingkat (tak ingat), nampak gembira jew...  kita pula yang berdebar-debar. Alhamdulillah, Farid akhirnya berjaya mendapat biasiswa My Brain Science, penaja sepanjang pengajiannya di UKM. 

Sebaik sahaja selesai temuduga, Amie meminta Rini hantar kami ke sebuah hotel.... adeeehhh! Tak ingat nama hotel nih...(memory dah tua!). Menjelang tengahmalam, ketika Amie hendak lelapkan mata, tiba-tiba telefon berdering.
Oh!
Ada khabar duka dari kampung rupanya.
Adik lelaki kami, Amin Fauzi tiba-tiba dimasukkan ke ICU. 
Sepanjang malam hingga ke pagi, adik-adik dan kakak silih berganti menelefon untuk memberitahu perkembangan terkini.
Setiap kali menelefon, esak tangis turut mengiringi.
Bacakan Yaasin.
Doakan adik.
Adik koma!
Doktor kata 50/50!
Amie telefon Bonda....
Suara Bonda sangat tenang.... sedangkan kita sedaya upaya menahan tangis!

Malam itu, hingga ke Subuh.... hanya kepada Allah kupanjatkan doa. Hanya pada-Mu ya Allah! Tiba-tba telefon berdering lagi, entah untuk kali yang ke berapa...
Mie...
(Suara kakak).
Pergi umrah dengan Farid sajalah ye. 
(Amie tak menyahut.)
Dalam keadaan adik begini, takkan emak nak tinggalkan adik?
(Sambung kakak lagi).
Dan kemudian, sebaik sahaja Amie selesai tunaikan solat Subuh, adik pula telefon:
Adik nazak!
Ya Allah!

30 Mei 2019.
Terlalu lambat rasanya masa berlalu!
Terlalu lambat jam bergerak untuk menunjukkan waktu petang, waktu kami dijadualkan terbang menaiki pesawat Air Asia dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur!
Seingat Amie, 2 minit sebelum pukul 12 tengahmalam, kami tiba di perkarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Kelang.
Hampir satu jam kami menunggu di pintu masuk ICU untuk mendapatkan kebenaran melihat adik Amin. Kemudian, kami dibenarkan masuk.... hanya 2 minit sahaja! Dua minit sahaja kesempatan untuk melihat adik Amin yang terlantar biru kaku.... dengan puluhan wayar berselirat di badan!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!

Nasi Lemak Kukus

Salam ceria dan selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen. Terima kasih kerana masih terus setia bersama walaupun akhir-akhir ini hidangan dari dapur sekejap timbul sekejap tenggelam ditutup tudung saji...... ahaks! Terima kasih juga buat pengikut yang baru, yang sudi menjadi ahli sembang-sembang di dapur yang tak sepertinya ini.
Tidak ada resepi istimewa yang dapat Amie kongsikan kali ini. Hanya menu biasa, yang tersangat biasa dilihat di mana-mana. Ya...sekadar nasi lemak biasa, untuk hidangan keluarga. Cuma yang membezakannya sedikit, mungkin cara masakannya, iaitu dengan cara mengukus. Dan sambalnya pula, Amie campurkan udang kering dengan ikan bilis.


Bahan-bahan:
6 pot rice cooker beras - bersihkan dan toskan
500ml pati santan kelapa
3 biji bawang putih - hiris halus
3 cm halia - hiris halus
2 helai daun pandan - siat-siat
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1/2 sudu kecil garam

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Letakkan kuali di atas dapur, dan masukkan santan kelapa bersama bawang putih, halia, daun pandan, kulit kayu manis dan bunga lawang serta garam. Biarkan mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan mengering.
4. Pindahkan beras di dalam kuali tadi ke dalam periuk pengukus. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.

Seperti biasa, gandingan mantap nasi lemak tentulah olahan sambalnya. Memandangkan bujang kenit kita suka sangat makan sambal, jadi memang Amie sengaja sediakan sambal yang tak berapa pedas. Lagipun memang nasi lemak sesuai dipadankan dengan sambal yang sedemikian. 

Bahan-bahan:
1 cawan ikan bilis - bilas dan toskan - ketepikan
20 biji cili kering wonder hot - buang biji - rebus hingga masak - toskan - kisar - ketepikan
1 labu bawang besar - mayang kasar
3/4 cawan minyak
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 3 sudu besar air
garam dan gula melaka secukup rasa

Bahan kisar:
7 ulas bawang putih
15 biji bawang merah
2 labu bawang besar
1 cm halia
100 gram udang kering - rendam hingga lembut - toskan

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan bancuhan air asam jawa, cili kering kisar. ikan bilis dan gula serta garam.
3. Biarkan masak sehingga pecah minyak sekali lagi. Kacau sekali- sekala. Gunakan api sederhana.
4. Masukkan hirisan bawang besar. 
5. Setelah bawang besar layu, padamkan api dapur.

Amie tambahkan lauk nasi lemak dengan ikan selayang goreng. Mmmmm.... sedapnya! Ikan selayang tu Amie tambahkan serbuk kunyit, garam, daun kari dan sedikit tepung jagung serta secubit jintan manis. 

Hidangan nasi lemak ini merangkap sarapan pagi hingga makan tengahari. Senangkan, Kerja masak--masak dibuat sekali harung jew....

Jangan lupa, hidangkan nasi lemak dengan kacang tanah goreng dan hirisan mentimun serta telur rebus. Ketika inilah segala bahan bersatu mencipta aroma tradisi yang sungguh memikat selera!

Dan yang paling penting, lebihkan sambal dalam hidangan!
Tanpa sambal apalah nasi lemak yea....he he heee...

Khamis, 18 Ogos 2016

Rendang Ikan Tongkol

Dah lama teringin nak masak rendang ikan tongkol bila pertama kali terpandang masakan itu di dapur ZULFAZA LOVES COOKING. Akhirnya dapatlah juga merasa masakan ini petang kelmarin. Memang sedaplah masakan ini, selain isi ikan tongkol yang kenyal dan tidak hancur, kuahnya pun memang cukup memikat selera!

Ada sedikit ubahsuai dalam resepi ini, misalnya Amie tidak gunakan cili kering, sebaliknya gunakan cili padi. Jintan manis dan ketumbar juga Amie tidak gunakan. Apa pun Amie tuliskan di sini resepi asal dari dapur Zulfa. Terima kasih Zulfa di atas perkongsian resepi yang enak ini.

Resepi : Rendang Ikan Tongkol
Sumber : ZULFA LOVES COOKING
Bahan A:
1 ekor ikan tongkol - Amie gunakan 2 ekor -1 kg - ketepikan bahagian kepala
3 cawan santan dari sebiji kelapa
2 sudu makan kerisik
3 keping asam gelugur
2 helai daun kunyit - dihiris halus
3 helai daun limau purut - dikoyak
1/2 cawan minyak masak
garam secukup rasa
sedikit gula

Bahan B : dikisar
15 tangkai cili kering - Amie gunakan 30 biji cili padi hijau

5 biji cili api
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
3 batang serai
Amie tambah 2 inci kunyit hidup
1 sudu teh serbuk ketumbar - Amie tidak gunakan
1 sudu teh serbuk jintan manis - Amie tidak gunakan

Cara:
1. Potong ikan dan bersihkan.
2. Panaskan minyak dan tumis Bahan B. Kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan ikan tongkol, santan, kerisik, daun limauy purut, garam dan asam gelugur.
4. Masak hingga pecah minyak dan pekat.
5. Masukkan daun kunyit. Kacau rata dan angkat.

Walaupun masak petang kelmarin, tapi ada sedikit lebihan. Balik dari kerja petang tadi, Amie panaskan semula dan makan dengan nasi. Waduh! Enak banget walaupun hanya kuahnya saja yang digaul dengan nasi panas!
Terima kasih daun keladi sekali lagi buat Zulfa.

Ahad, 14 Ogos 2016

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Kencur

Sedap sungguh kalau dapat makan ayam panggang tuang kuah santan pekat pedas cili padi aroma kencur! Tapi lama sangat menunggu sampai ngiler! Tak juga sampai menu itu! Hurrmmm... ini menu orang kampung kami. Biasanya dijadikan sebagai salah satu menu dalam nasi berkat semasa kenduri terutamanya sewaktu muputi atau mitoni.... (kalau nak tahu apa itu muputi atau mitoni, sila tanya pak google yeaa... ). Ada juga Amie terangkan dalam blog ni, tapi tak ingat mana satu entrinya.
Untuk tidak menghampakan selera sendiri, Amie masaklah juga ayam dengan kencur, tapi tak berapa rajin pulak nak panggang ayam. Jadi, masak sajalah dalam kuali sekali harung! Selain kentang, Amie masukkan sekali terung Taiwan nan tinggal sebatang tu. Kalau nak cantik, kuning kehijauan, gunalah cili padi hijau, tapi Amie ada cili padi merah jew... dah masak semuanya! Okeylah tu kan... ahaks!


Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong 8 keping
200 ml santan pekat - tambahkan 2 cawan air
1 labu bawang besar - mayang kasar
10 helai daun cekur - hiris halus
4 biji ubi kentang - kupas kulit dan belah 2
1 batang terung Taiwan - belah dua dan potong 4 - rendam dalam air
1 keping asam gelugur
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk /kisar:
20 biji cili padi - tambah / kurang - ikut selera / kepedasan yang diingini
5 ketul isi cekur
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup
2 cm halia

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar hingga wangi. Kemudian masukkan bahan kisar dan gaul sebati.
2. Masukkan asam keping, daging ayam dan kentang serta santan. Biarkan masak mendidih sehingga daging ayam dan ubi kentang empuk. Kemudian masukkan terung.
4. Setelah terung empuk, perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Taburkan hirisan daun kencur dan kacau sekali dua.
6. Padamkan api dapur.

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Kencur sudah siap!

Sabtu, 13 Ogos 2016

Acar Kepala Ikan Masin

Isi ikan masin kerapu dah habis. Tinggallah beberapa keping kepalanya yang terbiar. Daripada terbuang begitu saja, eloklah kita buat acar ikan.... macam sedap jew bunyinya!


Bahan-bahan:
400 gram kepala ikan kerapu masin - cuci bersih dan toskan
20 ulas bawang putih - kupas
20 biji bawang merah kecil - kupas
7 biji cili merah 
3 cm halia - hiris halus
2 sudu besar serbuk kari ikan
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 50ml air
4 sudu besar parutan gula melaka
1 cawan cuka
1/2 cawan minyak
sedikit garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
7 biji cili kering 
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

 Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis halia serta bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan serbuk kari, dan bancuhan air pati asam jawa.  Masak sehingga pecah minyak.
3. Masukkan bawang putih, bawang merah serta kepala ikan kerapu masin. Gaul sebati.
4. Setelah kesemua bahan tadi masak, tambahkan cuka, gula dan sedikit garam / perasa.
5. Perlahankan api dapur dapur dan biarkan masak sepenuhnya sehingga terbit minyak sekali lagi.
6. Padamkan api dapur.

Jumaat, 12 Ogos 2016

Terung Goreng Berlada dengan Udang

Selamat petang dan salam manis buat semua pengunjung yang masih setia bertandang ke dapur Amie yang seadanya ini. Hari ini Amie kongsikan resepi yang sangat mudah, tapi tersangatlah sedapnya hingga menjilat jari! Macamlah dah tak ada resepi lain yang lebih sedap dah.... hiks! Sekadar kongsi resepi terung masak goreng berlada dengan udang. Yang terujanya sebab terjumpa terung Taiwan yang segar bugar di pasar. 

Sebelum ini Amie pernah kongsikan resepinya di sini : TERUNG GORENG BERLADA YANG SIMPLE DIMPLE.  Biarpun simple dimple tapi tetap sodap! Penyebab utamanya sudah tentulah dengan adanya terung Taiwan yang segar dan manis isinya seperti di bawah ini.

Kalau disoreng saja cicah dengan sambal belacan pun sudah cukup sodap! Tak apalah, kita ringan-ringankan sikit tangan tu tumis sambal, lepas tu curah jew atas terung yang dah digoreng. Siap! Sediakan nasi panas jew sepinggan....


Bahan-bahan:
3 biji terung Taiwan - belah 2 dan potong 3 - rendam dalam air untuk elak lebam
400 gram udang kertas segar - bersihkan - buang kulit dan kepalanya
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
1 labu bawang besar - mayang kasar
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar kasar:
3 biji cili merah
3 biji cili hijau
5 biji cili padi
1 sudu besar udang kering - rendam hingga kembang dan toskan
3 ulas bawang putih
5 biji  bawang merah

Cara:
1. Goreng terung hingga masak dan ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis kesemua bahan tumbuk hingga pecah minyak.
3. Masukkan pati asam jawa, bawang besar dan udang kertas. Masak sehingga udang berubah warna. 
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Tuangkan bahan tadi di atas terung goreng.
6. Siap untuk dihidangkan.

Simple sangat kan?
Jom... jemput makan.

Khamis, 11 Ogos 2016

Nasi Himpit Kuah Kacang

Siapa suka makan nasi himpit dengan kuah kacang, sila angkat tangan!
He he heee.... tak cukup angkat tangan, sila angkat kaki lari ke dapur buka tudung saji! Nasi himpit  kuah kacang sedang menanti!
Walaupun Aidilfitri baru saja berlalu, namun rindu nak makan nasi himpit kuah kacang, kuusahakan juga menyiapkannya!

Sodap tau!


 Oh! Bukan setakat kuah kacang saja, tapi ada daging ayam juga!

Rasanya, di mana-mana pun ramai penggemar nasi himpit kuah kacang! Tak ,kisahlah kuah kacang begitu saja, atau kuah kacang bercampur daging atau ayam, atau juga kerang! Cerita pasal kerang.... adeeehh! Tiba-tiba rindu pulak nak balik kampung nak makan kuah kacang dengan kerang! Balik beraya hari tu, memang tak jumpa kuah kacang isi kerang! Bonda kata harga kerang sudah melambung naik! Kalah harga ayam! Nampaknya, senang-senang nanti bolehlah terjun Pantai Jeram cari kerang dalam lumpur...ho hohhoooo!

Marilah kita sama-sama kongsikan resepi kuah kacang warisan keluarga. Rasanya masing-masing keluarga kita mempunyai resepi kuah kacang yang tersendiri. Ada yang suka rasa sedikit manis, ada yang suka lebih manis, ada yang suka kacang tanah ditumbuk atau hisar gancur, ada yang suka separuh hancur! Pendek kata macam-macamlah cara dan citarasa ikut selera masing-masing! Amie jenis tak berapa rajin buat kerja.... jadi kacang tanah tu Amie kisar dengan kulitnya sekali. Kisar seoparuh hancur jew...sebab bila dah siap masak nanti, sedap jew makan sambil kunyah ketul-ketul kacang yang tak berapa hancur tu. Untuk rasa yang lebih menyerlah, selalunya Amie bubuh sedikit belacan, tapi kali ini Amie gantikan dengan udang kering. Dan, kali ini juga Amie tak bubuh kulit kayu manis serta bunga lawang dan buah pelaga seperti kebiasaannya. Memandangkan anak-anak suka sangat nak makan daging ayam, Amie pun masukkanlah beberapa ketul ayam.... ketul besar tu... bukannya ketulan kecil. Kalau nak cantik lawa, potong kecil-kecil sikit yea....

Bahan-bahan:
2 cawan kacang tanah - goreng terlebih dahulu dan kemudian kisar separuh hancur - ketepikan (kalau rajin goreng sangan (tanpa minyak) Amie goreng dengan minyak
800 gram daging ayam - potong ikut suka
1 sudu kecil pati asam jawa 
4 cawan air
2 batang serai - dititik
garam / gula secukup rasa - Amie gunakan 3 sudu besar parutan gula melaka
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
10 biji cili kering - kurangkan jumlah jika tak mahu rasa pedas
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 labu bawang besar
3 batang serai - hiris halus
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
1 sudu besar ketumbar
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil jintan manis

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan serai, kacang tanah, pati asam jawa dan air.
3. Masak sehingga kuah kacang mendidih.
4. Kemudian masukkan daging ayam. Masak lagi sehingga daging ayam lembut dan kuah kacang masak rata.
5. Perasakan dengan garam dan gula merah secukupnya.
6. Perlahankan api dapur dan biarkan seketika sehingga kuah pecah minyak.
7. Padamkan api dapur.

Kalau nak rasa lebih sedap, jangan terus makan kuah kacang ni, tunggu sebati dulu dalam satu atau dua jam! Lepas tu, makanlah kalau dah tak sabar....ahaka! Amie memang tak boleh tunggu lama-lama! 
Sesungguhnya makan nasi himpit dengan kuah kacang saja tanpa ayam pun dah cukup sodap!