ADSENSE

Sabtu, 27 Februari 2016

Makan Coto Makassar di Warung Coto Makassar, Jalan Dam, Lahad Datu.

Sesekali singgah di warung bersama teman-teman menikmati coto makasar tentu seronok! Selesai menghadiri kursus, kami sepakat menuju ke Jalan Dam, parking di depan Warung Coto Makassar. Sebelum ini pernah beberapa kali datang bersama teman-teman, juga sekali-sekala dating dengan Encik Suami tapi tak pernah didokumentasikan..... ha ha haaa ...formalnya perkataan!

Memang rindu sangat nak makan coto @soto makassar. Sasaran kami nak makan soto yang isinya perut, tapi sayangnya perut sudah habis. Yang tinggal hanya daging dan ayam sahaja. Okey laaa... bolehlah juga tu. Coto Makassar atau Coto Mangkasara ini sebenarnya menu tradisi yang berasal dari Makassar, Sulawesi Selatan. Bahan utama Coto Makasar biasanya terdiri daripada perut dan daging sapi yang direbus hingga empuk dan kemudian dihiris-hiris. Ada yang sukan dengan buras, dan ada juga yang makan coto ini dengan mee hoon.

 Tak ada perut (dan organ dalaman lembu), hentam sajalah untuk isi perut yang lapar...

Bila mangkuk coto kami sampai memang tak nampak isinya sebab dipenuhi dengan kuahnya yang pekat berkacang, tapi kalau nak tengok isinya bolehlah selak sedikit dengan sudu macam di atas tu...  Semangkuk coto berharga RM5.00.

Jom kita nikmati dengan buras. Nampak tak bungkusan daun pisang yang berdakap di atas tu? Itulah buras. Isinya seperti di bawah ini. 

 Sebiji buras seperti di atas tu harganya 50 sen. Biasanya kita makan dua biji @ dua keping!

 Potong-potong dengan sudu dan masukkan dalam mangkuk coto.

 Nak lebih sedap, tambahkan perahan jus limau kasturi dan lada@cili@sambal.

Ini antara gang jalan-jalan cari makan yang terlewat sampai.... He he hee... Za Fauzan tu baru pertama kali makan coto makasar! Okey tak Fauzan?  Dah selalu makan laksam, sesekali menyoto pulak di sini ye.

 Cukuplah sekadar alas perut untuk tengahari. 

Tak banyak gerai Coto Makassar di Lahad Datu berbanding dahulu. Kalau nak makan memang kami akan datang ke sini. Di tempat lain memang ada, kalau rajin cari tapi setakat ini kami suka hidangan coto di sini.

Jumaat, 26 Februari 2016

Nasi Briyani Kambing & Lamb Chop : Makan-Makan di Bismi Bistro & Catering, Darvel Bay, Lahad Datu.

Dulu... Lahad Datu pernah mendapat jolokan pekan koboi! Tapi itu semua tinggal kenangan. Merasa juga suasana pekan koboi sekitar penghujung abad yang lalu. Sekarang pembangunan semakin pesat. Tapi... biasalah, lalu linta pun semakin sesak! Lupakan itu... jom kita jalan-jalan cari makan. Walaupun tidak banyak pilihan restoran mewah yang menawarkan pelbagai hidangan, tapi bolehlah untuk singgah makan-makan... isi perut! 

Jom singgah di Bismi Bistro & Catering, yang terletak di Darvel Bay Mall. Boleh nampak dari jalan besar, bersebelahan dengan Hotel Executive. Banyak kali juga kami singgah makan di sini. Kadang-kadang berdua saja dengan Encik Suami. Pernah sekali ditegur oleh seseorang, rupanya isteri tuan punya restoran.. Rahmatunisa. He hee... bekas anak murid Amie! Sempat juga dia perkenalkan dengan suaminya. 

Kalau makan di sini Amie suka pesan nasi briyani. Tak kiralah briyani kambing atau ayam. Begitu juga dengan Encik Suami. Kali ini kami bawa Fuad & Fairuz. Ada dua tempat makan di sini. Satu bahagian di luar hingga kawasan kaki lima, dan satu bahagian lagi di dalam, berhawa dingin. Kami makan di bahagian dalam. Jom makan....

Kita order Nasi Briyani Kambing. Pada mulanya, pelayan restoran kata dah habis...maklumlah kami sampi pun hampir pukul 2 petang. Ingat nak order lain, tapi hati nak makan itu juga... Nasi ayam pun habis, katanya. Yang ada nasi campur. Tapi bila Amie terdiam dan berpandangan dengan Encik Suami, pelayan tadi berkata... nanti saya pergi tengok kalau ada lagi. Dan bila datang kembali, katanya nasi briyani masih ada untuk dua orang.

Alhamdulillah... nasi briyani kedua akhir untuk kita! Ada telur goreng yang comel. Selalunya telur rebus! Acarnya pun cantik... warna-warni dan dipotong dadu kecil-kecil. Sepinggan : RM13.50.

Fuad memang tak boleh nampak lamb chop! Bukan main suka hati bujang satu ini. Bila hidangan lamb chop sampai, tak sabar-sabar dia nak makan.

 Fuad kata lamb chop tu lembut! Okeylah kalau begitu... berbaloi juga makan di sini. Sepinggan : RM19.50

 Encik Suami pesan Nasi Goreng Lemon Chicken.
Sepinggan : RM9.20.

Bagi yang suka rasa lemon dan masam-masamnya, barangkali menu ini sesuailah untuk penggemarnya. Tengok tu... ayam goreng berenang dalam kuah sos lemon!

Fairuz pula pesan Nasi Goreng Paprik Ayam.
Sepinggan RM8.00.

Minuman :
Juice Tembikai Laici : RM5.90
Coca Cola : RM2.30
Lemon Tea Ping RM3.80
Tea C Special : RM5.20
GST : RM3.80
Total : RM67.40

Pelayannya berbudi bahasa. Manis dengan senyuman dan sabar menanti  pelanggan membuat pesanan. Tak tahulah...mungkin hari ini hari Jumaat, pelayan wanita berpakaian sopan, pelayan lelaki kelihatan segak dengan pakaian kurung Melayu siap bersongkok.
Tahniah Rahmatunisa dan suami.
Moga Bismi Bistro tambah maju.

Makan-Makan di Hotplate Cafe & Catering Ayam Penyet Esteler, Bandar Sri Perdana, Lahad Datu.

Bila dah seringkali buat entri tempat makan yang kami kunjungi, sesekali nak buat juga paparan tempat makan-makan di kawasan kediaman kami. Kali ini Amie berkesempatan mengunjungi Hotplate Cafe & Catering Ayam Penyet Esteler. Dekat saja tempatnya. Kalau jalan kaki dari rumah kami pun boleh, hanya perlu lintas jalan dan kemudian menapak lagi dalam 200 atau 300 meter. Tempat ini Fuad dan Encik Suami yang pilih sebab katanya di situ ada dua pilihan tempat makan. Boleh pilih nak makan duduk di kerusi menghadap meja dan satu lagi duduk bersila. 

Fuad order Nasi Ayam Penyet. Biasalah bujang satu tu... suka cari tempe! adalah sekeping kecil tempe dan tauhu goreng dalam hidangannya tu.

Selalunya sambal nasi ayam penyet pedas menyengat. Tapi tak pula terdengar rungutan tentang itu... sesuailah barangkali dengan seleranya.

Ada sekeping keropok papadom dalam hidangan Nasi Ayam Penyetnya tu...

Ini pesanan Fairuz... Nasi Goreng Lalap. Nampaknya Fairuz seoranglah  di antara anak-anak kami yang boleh makan sayur. Memang selalu sangatlah Fairuz suka 'mencari" nasi lalap kalau dibawa ke tempat makan!

Biasanya kalau di tempat lain ada dua ketul ayam goreng dalam hidangan nasi lalap, tapi kali ini diletak seketul besar, sama saiz macam ayam penyet juga! Dah dapay ayam goreng saiz besar, duduk dendiamlah dua bujang kami tu makan!

 Encik Suami pula berminta pesan Nasi Goreng USA. 
Mana-manalah asalkan menepati selera.
Kita pun tak dengar sebarang komen daripada Encik Suami. Lapar sangat kot masa makan tu sampai tak boleh bersuara...ahaks!

Ingatkan hanya hidangan ayam penyet sahaja yang ada, tapi western food pun ada juga! Bila teringat hasrat hati nak buat lamb chop asyik tak kesampaian, kita pun order sajalah di sini. Bolehlaaa... kalau nak special kenalah buat sendiri...

Minuman yang dipesan.  Coconut shake pun ada. Yang kita nak rasa sudah tentulah cendol. Kita order cendol tapai pulut. Harganya RM5.00.

Oh! Tiba-tiba kita rindu sangat nak makan cendol di kampung kita! Kita rindu nak menyendol dan nikmati coconut shake di Teluk Kemang!

Inilah tempatnya. Bukan ayam penyet saja yang ada, ikan penyet, udang penyet, sotong penyet pun ada! Harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan adalah harga mampu bayar untuk orang kebanyakan.... RM61.50 sen. Kalau sesat di Lahad Datu, bolehlah singgah sini.

Sabtu, 20 Februari 2016

Ayam Panggang ala Kenny Rogers Untuk Abang Farid

Untuk Abang Farid,
Esok abang akan kembali ke kampus.
Sepanjang cuti 5 minggu Mommy tak dapat penuhi tanggungjawab sediakan makan minum abang merangkap sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.
Alasannya.... alasan lapuk itu... sibuk (yang sebenarnya tak berapa nak bijak urus masa).
Masalahnya... kalau Mommy masak lauk ikan atau daging, Abang tak mahu makan! Abang nak makan ayam saja. Kalau makan pun sekadar untuk tampung perut abang yang kosong atau sebab lapar.
Abang,
Duduk jauh dari Mommy dan Baba kenalah jaga pemakanan abang. Mommy selalu pesan pelbagaikan pengambilan makanan. Jangan hanya makan nasi dengan ayam saja. Abang juga tak suka makan sayur. Apalagi kalau terjumpa hirisan bawang dalam masakan... memang abang benci betul! Hmmm... barangkali tersindir kot... masa Mommy mengandungkan abang, Mommy langsung tak boleh lihat bawang apalagi terhidu bau bawang... terus muntah!
Pagi tadi, sebaik sahaja tamat kursus di sekolah, Mommy terus pecut ke pasar Sri Perdana cari ayam segar. Mommy tahu abang suka sangat makan ayam panggang. Biarlah blog Mommy kali ini hanya paparkan menu ayam panggang... sebab itu sahajalah menu yang abang suka. 

Khas untuk abang Farid, Mommy buat Ayam Panggang ala Kenny Rogers. Petang tadi kita nikmati bersama-sama dengan Baba, adik Fuad, adik Fairuz dan adik Firdaus. Ini sahajalah yang mampu Mommy buat untuk abang sebelum abang terbang esok.


Abang, Ayam Panggang ala Kenny Rogers ini Mommy pinjam resepi ciptaan penyanyi dan penulis lagu country iaitu Kenny Rogers bersama Jerry Seinfeld. Kita pernah mencuba resepi ini bersama-sama sempena hari ibu hampir tiga tahun yang lalu DI SINI dan DI SINI.

Abang Farid,
Abang tak suka makan sayur dan memang tidak menyentuh sayur untuk seimbangkan diet abang! Tapi abang makan coleslow! Abang makan bawang mentah!Padahal ketika makan jemput-jemput jagung, kalau terjumpa cebisan bawang, abang akan buang! Dalam coleslow itu Mommy bubuh bawang tau. Abang makan sayur kobis dan lobak merah! Pelik bukan? Coleslow kobis abang makan tapi masakan sayur abang tak pernah sentuh! 
Petang tadi Abang Farid berselera sangat makan ayam panggang tu.... bila Mommy tanya nak bahagian mana... Abang cepat-cepat minta bahagian dada! Mommy rasa sangat gembira... lihat abang makan sayur kobis tu! Tapi... esok petang pada masa yang sama seperti petang tadi, abang sedang menyeberangi Laut China Selatan menuju ke Kuala Lumpur!

Wokey...
Layan perasaan sebentar. Kita tukar siaran pulak... kembali ke tajuk asal, resepi Ayam Panggang ala Kenny Rogers. Sebelum ini Amie gunakan resepi rakan-rakan blogger  DI SINI tapi kali ini Amie ambil dari SINI : Kenny Rogers Roasted Chicken. Resepinya sangat mudah. Tak banyak bahan yang digunakan untuk memerap. Cuma waktu perapan tu kenalah lama sikit...macam kita perap sate tu...ahaks!

  • 1 whole chicken
  • 1/2 cup rock salt
  • 2 tablespoons calamansi juice (Key Lime juice is a good substitute)
  • 1/4 cup soy sauce
  • 1/4 cup corn oil
  • 2 tablespoons chili ketchup
  • 2 teaspoons well-pounded garlic
  • 1/2 teaspoon pepper mill grind black pepper
  • 1/4 teaspoon mustard

Directions: Rub the chicken with rock salt. Rinse and pat dry. Place the chicken in a bowl.Add the rest of the ingredients and let stand in the refrigerator for at least 8 – 24 hours. Cook slowly, basting with the remaining marinade from time to time. If you don’t have a chicken rotisserie, it’s actually worth getting one. The electric ones don’t cost that much – and the result is healthy and downright delicious. However, you can certainly still cook ‘er up proud in the oven! Either way, you’re going to get the best old timey Country Cooking can provide.
Terjemahannya ikut pemahaman kita lebih kurang beginilah:
  • 1 ekor ayam - Amie gunakan ayam seberat 1.7kg - pilihlah ayam segar 
  • 1/2 cawan garam batu - Amie gunakan garam kasar
  • 2 sudu besar jus limau kasturi - kalau tidak ada gunakan limau nipis
  • 1/2 cawan kicap - Amie gunakan kicap lemak manis
  • 1/4 minyak jagung
  • 2 sudu besar sos cili
  • 2 sudu kecil bawang putih tumbuk
  • 1/4 sudu kecil mustard - Amie tak bubuh sebab tak ada
  • 1/2 sudu kecil lada hitam - tumbuk
Cara memasak:
  1. Gosok ayam dengan garam batu. Bilas dan lap sehingga kering. Letakkan ayam di dalam mangkuk.
  2. Tambah dengan bahan-bahan lain dan simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 8-24 jam - Amie perap 3 jam saja sebab nak cepat.
  3. Semasa memanggang, basting dengan baki bahan perapan dari semasa ke semasa.
Basting ialah proses menyiram bahan panggangan dengan cairan lemak yang dikeluarkan semasa proses memanggang. Oleh kerana tidak banyak lemak yang dikeluarkan  semasa memanggang, Amie tambahkan sos kicap, sos cili, minyak jagung dan lada hitam tumbuk dalam mangkuk kecil. Amie gunakan suhu tinggi iaitu 250'C pada 45 minit pertama dan kemudian 180'C pada 15 minit terakhir. Hasilnya walaupun ayam nampak garing di luar tetapi di dalamnya tetap lembab, lembut dan berjus!

Ayam Panggang ala Kenny Rogers ini Amie hidangkan dengan kentang goreng, coleslow dan sos lada hitam. Kentang goreng tu tak ada resepi... cuma goreng saja. Di pertengahan jalan semasa menggoreng, tambahkan satu sudu besar air yang telah dilarutkan dengan 1/2 sudu kecil serbuk pati ayam. Itu kerja Abang Farid.. dia tolong gorengkan.

Untuk resepi coleslow dan sos lada hitam tu bolehlah tengok DI SINI. Macam resepi yang terbaru, selepas bahan sos lada hitam mendidih dan memekat, Amie kisar supaya dapat tekstur yang cantik halus dan mulus! Tapi kali ini ada penambahan sikit.... Amie tambahkan perahan jus limau kasturi dalam sos lada hitam.... walllaaaa...enak banget kok! Kalau ada jus lemon atau limau nipis pun boleh digunakan.


Abang Farid,
Selamat belajar sayang.
Mommy minta maaf sekali lagi... sebab banyak permintaan Abang Farid nak makan itu dan ini tidak tertunai terutamanya Sherperd's Pie itu! Apa pun Mommy doakan Abang Farid terus sukses dalam pelajaran. Sayang Mommy... jangan lupa dapatkan tidur dan rehat yang cukup. Jaga pemakanan... tak mahu makan sayur, banyakkanlah makan buah-buahan. 

Jumaat, 19 Februari 2016

Sedapnya Udang Goreng Rangup!

Jom...
Kita goreng udang.
Kita nak kongsi resepi Udang Goreng Rangup!


Kalau masak udang gaya begini, nampaknya tak sempat jadi lauk! Sedap diratah begitu saja! Tak sampai hati tengok anak-anak asyik mengerling udang setiap kali kita meletakkan udang yang siap digoreng di atas kertas tisu dapur!

Makanlah anak...
He he heee... makan bukan sebarang makan tau! Mommynya terpaksalah kira berapa ekor untuk setiap orang! Bukan apa... nanti terlajak makan, orang belakang tak dapat pulak! 


Seperti biasa...
Pinggan pun licin sekelip mata.
Hanya meninggalkan kesan minyak....

Yang tinggal hanyalah resepinya. Resepi biasa-biasa saja. Tak ada yang luar biasa. Wokeylah, Amie kongsikan di bawah ini.


Bahan-bahan:
700 gram udang kertas saiz sederhana - bersihkan udang - buang kepala, kulit dan tinggalkan ekor - tarik urat di belakangnya dan kemudian kelar-kelar sedikit di bahagian dada udang (supaya udang tidak bengkok apabila digoreng - selalu tak nampak bengkok tapi kali ini bengkok pulak.... tapi taklah buruk rupanya) - toskan
1 cawan serbuk roti
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1 biji telur ayam gred AA
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
minyak untuk menggoreng

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
1 cm halia
1/2 sudu kecil lada putih

Cara:
1. Letakkan udang dalam sebuah bekas. 
2. Masukkan bahan perasa (gula / garam / perasa pilihan) serta bahan tumbuk dan gaul rata.
3. Tambahkan tepung gandum dan tepung jagung.
4. Pukul ringan telur ayam dan tuangkan ke dalam mangkuk berisi udang tadi. Kacau rata sekali lagi.
5. Golek-golekkan seekor demi seekor udang di atas serbuk roti.
6. Goreng hingga masak.

Okey kan sesekali kita buat untuk kudapan petang....

Asam Pedas Lagi.... Asam Pedas Daging Rusa Pulak!

Minggu lepas Encik Suami bawa pulang dua kg daging rusa. Amie masak kurma... Alhamdulillah anak-anak pun ikut sama melicinkannya! Sorry aaahhh... tak sempat kongsi resepi di sini, maklumlah, bila dah menjelang senja susah sikit nak ambil gambar sebab kita buka photographer profesional...kita masih amatur, main tangkap-tangkap jew. Tak pandai nak main-main dengan segala butang kamera dan lampu-lampu...ahaks!
Sambung cerita tentang daging rusa tadi tu....
Kita taklah masak dua kg tu semua sebab kita bukan keturunan maging...ha ha hahhh! Kita maserba. Hari ini kita masak asam pedaslah pulak sebab ternampak ada urat-urat dan lemak terlekat pada daging rusa (sewaktu bersihkan daging rusa minggu lepas). Kira macam adalah daging tetel sikit.Sedap tu renih lama-lama dalam kuah asam pedas! Tapi kita tak bubuh daun kesum atau bunga kantan. Kalau nak tengok resepi asam pedas rusa bubuh daun kesum yang lepas bolehlah klik DI SINI. Dulu kita masak dengan umbut kelapa, tapi kali ini masak togel jew... bubuh serai dengan daun limau purut!

Bahan-bahan:
600 gram daging rusa - potong ikut citarasa
5 helai daun limau purut - buang uratnya
2 batang serai - dititik 
2 keping asam gelugur
4 cawan air 
4 sudu besar cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya 

Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia
2 cm kunyit
2 cm belacan 
1 sudu kecil lada putih

 Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama serai hingga terbit minyak.
2. Masukkan serai, dua helai daun limau purut serta  daging rusa dan gaul mesra dengan bahan tumisan sehingga daging berubah warna.
3. Tambahkan air dan masukkan asam gelugur. Biarkan mendidih.
4. Setelah kuah agak pekat, dan daging rusa telah empuk, perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Akhir sekali masukkan lebihan tiga helai daun limau purut. Kacau beberapa kali sehingga daun limau purut berubah warna.
6. Padamkan api dapur.

Selamat menjamu mata!

Khamis, 18 Februari 2016

Sedapnya Gulai Ikan Tongkol!

Petang tadi kita terlelap seketika...Tiba-tiba seakan terhidu aroma Gulai Ikan Tongkol peneman nasi dagang! Aduhai... bau rempah-rempahannya sunggu menggamit selera.... lantas kita bangkit dan memaksa kaki ini melangkah ke dapur untuk menggulai! 

Walaupun tanpa nasi dagang, Gulai Ikan Tongkol tetap terasa enaknya bila dimakan bersama nasi putih! Istimewanya ikan ini sebab salah satunya isinya yang pejal dan padat! Jom tengok resepinya DiI SINI dan DI SINI. Ini resepi bukan sebarang resepi tau... sebab kita tutorial dengan kawan dari Kelantan & Terenganu... ahaks!


Bahan A:
1 kg ikan tongkol - bersihkan dan potong ikut suka
3 keping asam gelugur
1 sudu besar gula melaka
sedikit garam

Bahan B:
1 liter santan
3 keping asam gelugur
7 biji cili padi - belah 2
3 biji lada hijau
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil besar ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
2 sudu  besar gula melaka
1 sudu makan garam
minyak

Bahan kisar:
15 biji lada kering 
7 biji bawang merah
3 biji bawang putih
5cm halia

Cara:
1. Rebus bahan A hingga masak dan toskan airnya.
2. Gunakan air rebusan ikan untuk memerah santan kelapa.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar termasuk jintan manis, jintan putih dan serbuk ketumbar hingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan kacau hingga pecah minyak.
5. Masukkan cili padi, cli hijau dan asam gelugur.
6. Masukkan ikan tongkol, garam dan gula melaka.
7. Biarkan seketika sehingga kuah menjadi sedikit pekat. Tutup api.

Sabtu, 13 Februari 2016

Spaghetti Ayam

Farid suka sangat makan spaghetti tapi Mommynya malas nak masak! Amie perhatikan, setiap kali kami mengunjungi Pizza Hut, memang itulah salah satu menu tambahan yang dipesannya. Amie pun makan juga spaghetti tapi ada syarat.... kuah mesti banyak! Lebih banyak dari sukatan spaghettinya... bagi pinggan banjir dengan kuahnya! Kalau makan di restoran tentulah kuahnya terhad. Eloklah sesekali buat sendiri...boleh makan puas-puas!

Untuk memudahkan penyediaan masakan, Amie gunakan 2 tin sos spaghetti tomato jenama Prego perasa tomato, selasih dan bawang putih. Tak payahlah nak renih lama-lama macam yang selalu kita masak tu. Amie tambahkan daging ayam cincang dan juga cendawan shiitake. Untuk rasa yang lebih enak, jangan lupa tambahkan air rebusan ayam kalau gunakan daging ayam. Kalau gunakan daging, gunalah air rebusan daging.
Satu lagi....
Amie buat kuah rasa pedas! Jadi Amie tambahkan cili kisar dalam masakan ini. Menu ala fusion laaa.... Memang dari dulu kalau Amie buah kuah spaghetti Amie buat yang ada rasa pedas!


Bahan-bahan:
400 gram spaghetti angel hair - rebus hingga masak dan toskan
2 tin sos spaghetti tomato
5 sudu besar cili kisar
1 cawan dada ayam cincang
1 cawan cendawan shiitake cincang
3 labu bawang besar cincang
3 ulas bawang putih cincang
1 cawan air rebusan ayam
4 sudu besar minyak zaitun
garam / gula  / perasa pilihan secukupnya
keju parmesan dan daun selasih untuk hiasan

Cara memasak:
1. Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih serta bawang besar hingga kekuningan.
2. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
3. Masukkan daging ayam cincang serta cendawan shiitake. Gaul sebati.
4. Tambahkan air rebusan ayam dan  sos spaghetti tomato.
5. Kacau hingga mendidih.
6. Jika perlu sesuaikan rasa dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Jangan lupa taburkan keju parmesan dan daun selasih semasa menghidang.

Saja -saja jew gatai nak tambah ayam goweng....
Jemputlah!