ADSENSE

Jumaat, 9 Disember 2016

Ayam Masak Kari

Esok Fuad akan bertolak pulang ke Labuan. Nampaknya cuti selama tiga minggu hampir berakhir. Hari ini Amie masakkan lauk kegemarannya, Ayam Masak Kari. Walaupun katanya dah muak makan ayam hari-hari di Labuan, tapi rindu masakan kari Mommynya. Iyolah... dah katanya rindu nak makan ikan, memang hari-hari Amie masak ikan sekurang-kurangnya gorengkan ikan untuknya. Hari ini pun, Amie gorengkan ikan juga, mana tahu tiba-tiba ditanya pula ikan!

Bahan-bahan:
1 ekor ayam seberat 1.5 kg - potong ikut saiz yang disukai
5 biji kentang - kupas kulit dan belah 4
200 ml santan pekat
800 ml santan cair
2 sudu besar serbuk lada
4 sudu besar serbuk kari
3 pelepah daun kari - dilurut
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 sudu kecil jintan manis
1 biji limau nipis - ambil jusnya
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga layu.
2. Masukkan kulit kayu manis, jintan manis, bunga lawang dan buah pelaga. Tumis kacau hingga naik bau.
3. Tambahkan serbuk cili serta serbuk kari dan daun kari. Jika terlalu kering, masukkan sedikit santan cair.
4. Masak sehingga pecah minyak dan kemudian masukkan daging ayam. Gaul sebati dan biarkabn seketika sehingga keluar air dari daging ayam.
5. Masukkan santan cair dan masak hingga kuah mendidih.
6. Kemudian masukkan kentang. Setelah daging ayam dan kentang empuk, tambahkan pati santan.
7. Terus masak dengan api sederhana hingga pecah minyak sekali lagi.
8. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

Hari ini saja jew masak lebih. Petang nanti kalau rajin boleh buat lempeng atau apa-apa. Makan cicah kuah kari!
Oh! Ya... masakan kari ini Amie ikur cara MIL dan orang kampung belah Encik Suami. Bila masakan dah sempurna, tinggal nak tutup api, tuangkan jus limau nipis. Jadi tak perlu gunakan asam jawa atau asam keping.


Tiada ulasan: