ADSENSE

Sabtu, 5 November 2016

Lamb Masak Sos Lada Hitam

Ada lebihan daging biri-biri bahagian peha sebanyak 600gram dalam freezer. Eloklah Amie masak sebelum 'usianya' bertambah. Masakan paling mudah dan sedap sudah tentulah masak dengan lada hitam atau black pepper. Daging biri-biri yang Amie gunakan ini agak lembut, jadi tak perlu masak lama-lama.

Bahan-bahan:
600 gram daging biri-biri bahagian peha - potong dadu 3cmx3cm
3 biji kentang - kupas kulit dan potong wedges
1 biji cili capsicum merah - potong dadu
200 gram brokoli - potong ikut saiz yang disukai
3 sudu besar sos lada hitam
2 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos tiram
1 cawan air
3 sudu besar minyak
garam / gula - jika perlu

Bahan tumbuk:
1 sudu teh lada hitam
2 cm halia
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan daging biri-biri dan goreng kacau selama 5 minit.
3. Tambahkan air dan biarkan mendidih, kemudian masukkan kentang, sos lada hitam, kicap dan sos tiram.
4. Setelah kuah menjadi agak pekat dan daging serta kentang empuk, masukkan brokoli dan juga cili capsicum merah.
5. Kacau beberapa kali, dan jika perlu tambah garam atau perasa pilihan anda.
6. Sedia untuk dihidangkan.


Fairuz sibuk dengan aktiviti BBQ di rumah gurunya. Firdaus pulak dah kenyang menyusu. Makanlah kami berdua laki bini, meratah Lamb Masak Sos Lada Hitam! Daging biri-biri yang lembut tu membuatkan kami tak sedar makan habis licin!

Tiada ulasan: