ADSENSE

Sabtu, 21 Mei 2016

Rendang Daging

Biasanya sementara menunggu waktu nak terbang, kami makan-makan dulu di Food Garden (KLIA) untuk menghabiskan sisa waktu yang sengaja  kami peruntukan antara 1 hingga 2 jam. Dalam banyak-banyak pilihan hidangan di situ, kita memang tak lepas peluang makan rendang daging di gerai makan Padang. Dari dulu.... entah sejak bila, tapi sejak pertama kali makan rendang daging di situ. Cuma... tak bolehlah nak makan banyak, sebab rendang tu pedas! Terasa kepedasannya... tapi disebabkan sedap dan menepati selera kita, kita makanlah juga untuk tidak rasa 'teringat-ingat' bila sampai LD nanti. Lagi pun dalam penerbangan nanti dapat makanan juga. Dan satu lagi...bila pedas-pedas tu...kita pun kena ingat, kena jaga perut. Maklumlah dalam kapal terbang memanglah ada 'rumah kecik' tu tapi kita tak berapa selesa masuk ke dalamnya. 

Hari ini macam terlebih rajin pulak nak merendang. Apa tidaknya, semua bahan dah ada, cuma tunggu tuan dapur jew nak cemar duli.... maklumlah, asyik tangguh bertangguh jew kalau nak masak rendang ni. Bila teringat rendang daging yang pedas, kuahnya basah-basah, dagingnya yang lembut di Food Garden tu... terus melompat ke dapur buka peti sejuk cari daging lembu!


Kita ada daging lembu seberat 1200 gram, masaklah semua sekali! Daging lembu tu daging nombor 2, ada lemak-lemak sikit. Itu yang kita suka tu.... Lepas tu, rajin-rajinkanlah diri pergi ke belakang dapur cabut empat lima batang serai, cari isi halia, isi kunyit dan juga daun kunyit serta daun limau purut. Alhamdulillah.... berkat sabar dan rajin yang sedikit itu, menjadi juga tanam-tanaman herba di atas tanah sekangkang kera di belakang dapur kita tu! Jangan lupa lengkuas ye... Bila kita guna bahan-bahan segar dari ladang...mmmm pasti gabungan segala herba dan perencah yang lain akan memuatkan aroma semerbak satu dapur! Terasa macam nak sambut raya pun ada, macam masak-masak di tempat orang kenduri pun ada.
Oleh sebab kita nak buat rendang terlajak pedas, jadi tambahkanlah cili padi...selain cili kering. Santan pekat tu, kita kisar dua biji kelapa (beli kelapa parut, kisar di dapur sendiri).... dapatlah santannya yang memang pekat!

Bahan-bahan:
1.2 kg daging lembu - potong lebar setebal 1 cm
5 cawan santan pekat
1 cawan kelapa parut - sangan dan tumbuk jadikan kerisik
2 keping asam gelugur
2 helai daun kunyit - dihiris
5 helai daun limau purut
garam/ gula / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
25 biji cili kering
15 biji cili padi
3  cm kunyit hidup
2  cm halia
3  cm lengkuas
5 batang serai - hiris kasar
2 labu bawang besar

Bahan penumis:
5 ulas bawang putih - tumbuk kasar
5 biji bawang merah - tumbuk kasar
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya dan tumis semua bahan penumis sehingga naik bau.
2. Kemudian masukkan semua bahan kisar dan masak hingga pecah minyak.
3. Masukkan daging lembu, dan asam keping. Gaul sebati hingga daging layu.
4. Masukkan santan pekat dan masak dengan api perlahan hingga daging lembu empuk.
5. Masukkan kerisik, garam / gula / perasa secukupnya.
6. Biarkan seketika sehingga kuah pekat dan taburkan hirisan daun kunyit dan daun limau purut.
7. Angkat dan hidangkan.

Ada cerita sedih laaa...
Semasa menunggu rendang daging empuk, anak-anak & Encik Suami dah tanya... boleh makan ke?
Kesian punya pasal, kita kata...bolehlah makan walaupun kuah rendang belum memekat, tapi dah bubuh kerisik dengan hirisan daun kunyit. 
Inilah masalahnya kalau nak merendang.... kena tunggu lama sikit, sebab kita gunakan api sedang-sedang, tak kuat dan taklah terlalu kecil. Bukan salah rendang...salah kita sendiri, patutnya masaklah awal pagi sikit he he heee....
Apa pun cerita sedih bertukar jadi cerita gembira sebab rendang tu rasanya sangat sedap! Walaupun terasa pedas tapi.... memenuhi selera kita, selera Encik Suami dan selera anak-anak sampai Firdaus pun menambah-nambah kuahnya yang basah-basah tu!
Maknanya... dah bolehlah masak rendang yang sama di Food Garden tu. He he heee... apa pun, kalau berkesempatan makan di Food Garden KLIA lagi, kita nak makan lagi rendang tu... mana tahu, ada rasa atau bahan yang tertinggal ke.... boleh cuba masak sekali lagi!

1 ulasan:

Ayu berkata...

Assalam amie..
Nampak gaya..kalau dah hari2 melayan masak didapur..sekali2 makan diluar ..bila makan & rasa satu2 menu..kita dah dapat rasakan apa bahan2 yg digunakan..advantagenya..kita boleh masak & ikut apa yg kita rasa...itulah kebaikan blogger masakkan kan kan kan...