ADSENSE

Jumaat, 8 April 2016

Sambal Tomato Ulam Raja

Kita sempat buatkan Bonda sambal tomato semasa pulang bercuti bulan Mac tempohari. Bonda memang suka sangat makan sambal tomato. Kebetulannya, kita tengok banyak ulam raja tumbuh subur di tepi dapur Bonda, dan ada pula pucuk daun soh di dapur! Sedap tu.... makan cicah-cicah! 
Selalunya kita gunakan dua hingga tiga kilogram buah tomato, sebab Bonda berpesan supaya buat lebih. Nanti anak cucu datang, licinlah sambal tomato tinggal kuali atau periuk saja! 
Bagi yang belum pernah mencuba resepi ini, sesekali cubalah masak. Sedap tau!

Sebelum ini, kita memang kisar cili padi bersama cili merah, belacan, bawang serta udang kering sebelum dimasak. Tapi, entah di mana pula kakak letakkan pengisar... tak jumpa! Akhirnya kita potong-potong saja cili padi dengan cili besar. Kita tak tambah udang kering, sebaliknya kita hanya gunakan belacan. Itu pun.... dan cukup menyelerakan! Sebaiknya kalau masak sambal tomato, cincang saja buah tomato, tak perlu kisar seperti bahan yang lain. Itu yang jadikan sambal tomato mabeles sangat-sangat! Cuma... kenalah sabar sikit semasa memasaknya, sebab terpaksa ambil masa  sehingga sambal benar-benar masak, cili, tomato dan bawang menjadi separuh hancur dan sebati.

Bahan:
600 gram buah tomato - cincang kasar
25 biji cili padi minyak - hiris nipis
5 biji cili merah - hiris nipis
3 ulas bawang putih - cincang
5 biji bawang besar - cincang kasar
50 gram belacan - hancurkan
3/4 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta bawang merah hingga terbit bau.
2. Masukkan hirisan cili padi, cili merah dan belacan. Gaul sebati.
3. Seterusnya masukkan buah tomato cincang. Masak dengan api sederhana dan kacau sekali-sekala sehingga semua bahan mulai hancur.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Kacau sekali dua.
5. Padamkan api dapur.
6. Enak dinikmati dengan ulam-ulaman, ikan bakar, ayam panggang dan sebagainya.


Kita suka sambal tomato yang tak berapa hancur... sedap!
Tapi tak ada salahnya kalau anda sukakan yang hancur lunyai! Sama juga sedapnya...cuma kena tunggu lama sedikitlah semasa memasaknya.

Tiada ulasan: