ADSENSE

Ahad, 29 November 2015

Soto Banjar

Dunia masakan memang sungguh meriah!
Luas tak bertepi, bak lautan tak bersempadan!

Kali ini Amie kongsi resepi Soto Banjar. Amie pernah beberapa kali menghidangkan Soto Banjar sempena rumah terbuka raya, tapi tak sempat nak tangkap gambar. Maklumlah kita sibuk melayan tetamu, sibuk lagi ulang-alik ke dapur! Yang tak dapat Amie lupakan, setiap kali menyediakan soto ini untuk tetamu, memang tak menang tangan menggentel berkilo-kilo kentang untuk dibuat pegedil!
Sebenarnya terdapat pelbagai jenis soto yang enak, yang mungkin belum pernah kita cicipi. Mungkin kita sudah biasa dengan soto ayam atau Soto Jawa, tapi kita belum biasa makan Soto Banjar. Begitu juga dengan Soto Medan dari kota Medan, Soto Padang dari Sumatera Barat, Soto Betawi, Soto Lamongan, Soto Kudus, Soto Madura, Soto Makasar dan macam-macam lagilah. Semuanya memiliki keunikan dan rasanya yang tersendiri. 
Untuk mendapatkan resepi Soto Banjar yang asli, bolehlah klik DI SINI. Memandangkan banyak pilihan resepinya, anda boleh pilih sendiri. Ada 7 jenis resepi Soto Banjar di situ. Terima kasih kepada semua penyumbang resepi kerana memberi idea untuk Amie menghasilkannya. Di bawah ini Amie kongsikan secara ringkas gambar bahan-bahan yang perlu menu Soto Banjar.

Umumnya, Soto Banjar berasal dari Kalimantan Barat dan terkenal dalam kalangan suku Banjar di situ. Pada asasnya Soto Banjar mengandungi daging ayam yang dicarik, dengan pegedil atau kentang rebus, telur rebus dan juga ketupat. Bagaimana pun kebanyakan resepi yang Amie temui, mengandungi suhun celur di dalamnya. Apa pun, yang penting bahan asasnya tetap ada.


Gambar di atas merupakan daging ayam yang dicarik. Daging ayam ini direbus bersama rempah-rempahan terlebih dahulu. Tidak perlu digoreng sebagaimana kebiasaan yang kita buat tu... biasanya kita rebus ayam dan kemudian digoreng (bagi sesetengah orang) ketika menghasilkan soto ayam atau soto Jawa. Di sebelah ayam carik itu ada telur rebus. Selain telur rebus, menurut rakan FB tambahkan hirisan telur dadar yang digoreng nipis!

Disebut juga 'ketupat' sebagai salah satu pelengkap bahan Soto Banjar. Kita gunakan nasi himpit saja. Nak buat ketupat memang boleh, tapi nak mencari daun kelapa tu... itu yang parahnya!

Satu lagi bahan yang tak boleh ditinggalkan sudah tentunya pegedil kentang. Selain pegedil kentang, boleh juga gunakan hirisan kentang rebus. Mmmmm... kami anak beranak tak boleh jumpa pegedil kentang! Tak cukup 5 biji! Untuk Soto Banjar ini, Amie gunakan 1 kg kentang untuk menghasilkan pegedil.

Jangan lupa sup atau kuah soto! Rebus dulu ayam dalam periuk. Segala rempah-rempahan termasuk bawang merah, bawang putih, lada putih, halia, buah pelaga, bunga cengkih  dan sebagainya ditumis terlebih dahulu. Boleh tumis gunakan minyak masak biasa atau minyak sapi sehingga terbit bau dan kemudian masukkan ke dalam periuk yang berisi ayam tadi. Sewaktu menghidangkan soto, sup ditapis terlebih dahulu untuk mengasingkan segala rempah-rempahannya. Oh! Ya.... resepi negara jiran kita biasanya menggunakan buah keras untuk memekatkan kuah sup! Jika suka, apa salahnya kita cuba....


Wah! Terpulanglah untuk menambah bahan yang mampu memenuhi citarasa anda! Sediakan bawang goreng, hirisan daun sup, limau kasturi atau limau nipis dan juga kicap lada! Waduuussss..... selamat menikmati Soto Banjar!

Untuk menambah kemeriahan, pastikan kehadiran sate di antara hidangan Soto Banjar anda!


Pucuk Labu Siam Tumis Belacan

Kakak ipar baru balik dari Kota Kinabalu. Biasanya bila melalui Kundasang, pasti banyak sayuran yang diborong, dibahagi-bahagikan untuk kaum kerabat. Kami pun dapat bahagiannya termasuklah lobak merah, sayur salad, kobis bunga, kubis panjang, timun jepun dan juga pucuk labu siam. 
Encik Suami minta kita masak pucuk labu siam untuk lauk tengahari tadi. Jadi kita pun masaklah... Pucuk Labu Siam Tumis Belacan! Mmmmm... bau tumisan belacan satu dapur!

Bahan-bahan:
15 tangkai pucuk labu siam - bersihkan - potong sepanjang 3 cm - pisahkan batang dan daun pucuk yang lembut
10 ekor udang kertas - bersihkan
1 labu bawang besar - mayang kasar 
1/3 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan 

Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
2 cm belacan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
2. Masukkan udang, bawang besar dan batang  labu siam. Kacau rata sehingga batang labu siam lembut.
3. Kemudian masukkan daun dan pucuk labu siam. Tutup kuali selama 3 minit.
4. Buka penutup dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Sabtu, 28 November 2015

Gulai Itik Hijau

Gulai Itik Hijau...
Untuk mendapatkan resepi yang asli, boleh rujuk RESEP GULAI ITIAK LADO MUDO KHAS MINANG, yang katanya berasal dari Agam, Bukit Tinggi, Sumatera Barat.

Bahan-bahan:
1 ekor itik - potong 10 bahagian
1/2 kg cili hijau - kisar kasar
800 ml air
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
2 keping asam gelugur
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
10 biji buah keras
2 cm kunyit hidup
2 cm lengkuas
1 sudu besar lada putih
garam secukup rasa

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, serai dan daun limau purut sehingga wangi.
2. Tambahkan cili hijau dan asam keping. Gaul rata.
3. Masukkan daging itik serta air. Masak sehingga daging itik empuk.


Gunakan 1/2 kg lado mudo yo!

Jumaat, 27 November 2015

Singgang Ayam & Resepi-Resepi Tertunggak!

Antara yang tertunggak, tersimpan lama dalam folder.... masakan Minang yang biasa dihidangkan di hari raya. Seronok sebenarnya menyelongkar khazanah resepi turun-temurun yang diwariskan oleh nenek moyang dulu-dulu. Masakan Minang bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Amie sendiri pernah serumah dengan rakan dari Negeri Sembilan ketika menuntut di universiti. Sempatlah merasa sambal daun, campuran tempoyak dengan cili padi, santan pekat serta pelbagai daun. Ditambah pula dengan udang! Waduh! Waktu itu memang terasa sangat kehadiran daun kunyit dalam masakan tersebut! Tapi... enak banget! Terima kasih Rasidah sebab bawakan kami satu bekas sambal daun! Di mana kini kau berada Rasidah?
Sewaktu Amie menjalani latihan mengajar, Amie ditempatkan di Chan Hwa High School, Seremban, Negeri Sembilan. Kami menyewa di Ampangan. Sekali lagi Amie terdedah dengan resepi 'cili padi' bila sempat beberapa kali berkunjung ke rumah kawan 'nogori' dan sama-sama masak lomak cili padi.... setiap kali masak, masuk cili padi segonggam! Segonggam ko! Terima kasih Mazni... juga aku tak tahu di mana kau berada kini.
Hmmm... sewaktu bertugas di SMKS, berkawan baik pula dengan isteri pengurus ladang, yang juga dari nogori! He he hee.... waktu inilah Amie sempat merasa daging rusa masak lemak cili api hasil air tangan kawan tadi... entah di mana sudah perginya Kak Safiah sejak berpindah awal 2000-an!
Adik ipar kita pun orang nogori jugak eehhh.....

Eh! Apasal pulak cerita cili padi ni? Padahal resepi Singgang Ayam yang nak dikongsi di bawah ini tak berkaitan pun dengan cili padi. He he hee.... itulah kaaannn... cili padi sinonim dengan masakan Negeri Sembilan, terus menjurus ke masakan Minangkabau pulak. Singgang Ayam ini merupakan salah satu resepi istimewa dari Sumatera Barat. Untuk lebih lanjut bolehlah tanya pada Tuan Google, sebab kita sendiri dah hilang rujukan! Apa pun jangan sampai tersalah tanggap! Singgang Ayam ini bukannya berkuah seperti masakan singgang kita, tapi ia seakan-akan masakan ayam percik di tempat kita.

Wokeh... Amie belanja satu resepi Minang. Disebabkan terlalu lama tersembunyi dalam folder, Amie pun dah lupa apa cerita tentang Singgang Ayam ini. Syukurlah... resepi tak hilang. Untuk lebih lanjut tentang resepi ini bolehlah cari resepi masakan Indonesia atau klik DI SINI.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - potong  4 bahagian
5 cawan santan dari 1 1/2 biji kelapa
3 helai daun limau purut
1 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
1 keping asam gelugur
1 helai daun kunyit - disiat-siat
garam dan gula secukup rasa  


Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu kecil ketumbar biji
2 cm halia 
2 cm kunyit hidup

Cara:
1. Masukkan santan di dalam periuk bersama bahan kisar, limau purut, serai, lengkuas, daun kunyit dan asam keping, garam dan gula secukup rasa.
2. Jerang di atas api sederhana sehingga santan mendidih dan berminyak.
3. Masukkan ayam dan masak hingga empuk. 
4. Angkat ayam dan kemudian bakar di atas bara api atau ketuhar yang ada gril di atasnya.
5. Semasa membakar percikkan lebihan kuah di atas ayam tadi sehingga ayam menjadi garing.
6. Hidangkan bersama lemang.  

In shaa Allah ada masa terluang Amie akan paparkan resepi-resepi Minang di bawah ini termasuklah:

 Gulai Itik Hijau

 Rendang Dendeng

 Rendang Udang

 Jadi, untuk kali ini Amie hanya kongsikan resepi Singgang Ayam dulu yo.....

Ikan Kayu Goreng : Daeng Landang-Landang Mangkuk-Mangkuk

Satu lagi nak kongsi resepi tertunggak....
Sekadar ikan goreng, tapi bukan goreng biasa. Ini ikan goreng gaya masakan suku kaum Bajau. Sekali lagi resepi dikongsi daripada Puan Hajjah Al Maidah Al Kanta.  Jom kita tengok....

Bila dah dihias-hias, macam di ataslah rupa Daeng Landang-Landang Mangkuk-Mangku. Di bawah ini, hasil gorengan yang baru keluar dari kuali.

Baik dihias atau pun tidak rasanya tetap sama. Ikut tradisinya hanya dua jenis ikan sahaja yang digunakan. Selain ikan kayu saiz besar, boleh gunakan ikan tenggiri. Tapi... lupalah pulak apa nama ikan tenggiri dalam bahasa Bajau.

Jom tengok resepinya yang sangat mudah ini.



Bahan-bahan:
1 ekor ikan kayu saiz besar – bersihkan dan potong 5 bahagian
minyak untuk menggoreng
1 sudu kecil pati asam jawa

Bahan tumbuk:
1 sudu kecil garam
3 cm kunyit hidup
15 biji cili padi

Cara:
1. Gaul ikan bersama semua bahan tumbuk dan perap 15 minit.
2. Goreng sehingga masak.
3. Angkat dan toskan.


Khamis, 26 November 2015

Jom Cuba Resepi Ayam Masak Kampung : Manuk Ballahan Lahad

Selamat tengahari semua.
Apa agaknya hidangan untuk keluarga pada hari ini. Amie belum masak lagi. Sedang rendam ikan... kih kihhhh. Sementara itu, Amie nak kongsikan satu resepi mudah yang sudah sekian lama tersimpan dalam folder tapi terlupa untuk dipaparkan. Resepi ini Amie dapat dari rakan sekerja, Puan Hajjah Al Maidah Al Kanta. Bila diterjemahkan dalam bahasa Melayu, resepi asal iaitu Manuk Ballahan Lahad dalam bahasa Bajau membawa maksud Ayam Masak Kampung.
Jom kita tengok rupa masakan Manuk Ballahan Lahad di bawah ini:

 Gunakan kunyit hidup untuk rasa dan hasil yang asli.

Di bawah ini Amie tuliskan resepi asal, manakala bahan lain atau bahan tambahan itu sebenarnya ikut citarasa sendiri.


Bahan-bahan:
1 kg daging ayam – potong 8 bahagian
500 gram labu kundur – kupas kulit dan potong dadu
1 batang serai – dititik
600 ml air
Garam dan gula secukup rasa
4 sudu makan minyak

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk serta serai hingga wangi.
2. Masukkan daging ayam dan kacau rata.
3. Setelah daging ayam berubah warna,tambahkan air. Biarkan sehingga kuah mendidih.
4. Masukkan labu kundur dan masak sehingga kuah mendidih dan ayam menjadi empuk.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.


Ketika Amie tumis bahan tumbuk, aroma yang enak mula terbit hasil gabungan kunyit hidup, halia dan serai. Dan sewaktu Amie tambahkan labu kundur, ketika kuah mendidih, rasa tak sabar untuk mencicipinya. 
Bagi Amie resepi ini memang sungguh enak, walaupun bahan dan cara olahannya sangat mudah! Cukuplah... lengkap dalam satu menu dihidangkan bersama nasi panas!
Terima kasih buat Puan Hajjah Al Maidah Al Kanta yang sekarang ini sedang bercuti bersama keluarganya di Perak.