ADSENSE

Sabtu, 31 Oktober 2015

Udang Goreng Jintan

Selamat berhujung minggu teman-teman.
Alhamdulillah, jerebu sudh berlalu pergi. Matahari kembali bersinar terang seperti hari-hari sebelumnya.
Jom main masak-masak lagi....

Hari ini Amie masak udang.... Udang Goreng Jintan. 
Amie goreng 1/2 kg udang kertas. Sedap pula rasanya bila tergigit jintan manis ketika menikmatinya! Maklum... jintan manis kasar, bukannya serbuk! Barulah ada 'rasa'! Nak lebih 'terasa' tambahkan hirisan daun ketumbar pula.

Bahan-bahan:
1/2 kh udang kertas - potong bahagian kepala - belah belakang dan tarik urat udang
1 sudu kecil jintan manis kasar
1 sudu kecil serbuk kari
1 sudu besar hirisan daun ketumbar
1 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu kecil garam 
1/2 sudu kecil gula
minyak
 
Bahan tumbuk:
2 cm halia
3 ulas bawang putih
1/2 sudu kecil lada putih 

Cara:
1. Buangkan air basuhan udang. Buangkan air dan biarkan udang kelihatan basah.
2. Gaul udang dengan bahan tumbuk, serbuk kari, jintan manis, hirisan daun ketumbar, garam dan gula.
3. Taburkan tepung gandum dan tepung jagung dan kemudian balik-balikkan udang supaya dilumuri bahan-bahan tadi.
4. Panaskan minyak dan goreng udang hingga masak.
5. Sedia untuk dihidangkan.
 
 Jom ratah....

Rabu, 28 Oktober 2015

Ayam Masak Lemak Cili Padi Dengan Labu Kundur

Banyak kali juga Amie olah ayam masak lemak cili padi, tapi hanya sekali rasanya Amie kongsikan di dapur maya ini. Boleh klik DI SINI untuk resepi yang lalu.
Kali ini Amie kongsikan lagi Ayam Masak Lemak Cili Padi, tapi Amie tambahkan labu kundur pula. Apa sebab Amie masukkan labu kundur? Sebab sebelum ini kalau Amie renih sup ayam dengan labu kundur, timbul aroma yang lembut dan enak dari masakan sup tadi. Begitu juga, ketika Amie masak Manuk Ballahan Lahad (Amie akan kongsikan resepi masyarakat Bajau ini kemudian), aroma masakannya pun cukup menyelerakan!

Resepi Ayam Masak Lemak Cili Padi sebelum ini Amie tak bubuh bawang putih atau bawang merah. Kali ini Amie masukkan....., saja nak ubah selera. Tapi tetap guna kunyit hidup. Kalau nak sedap, gunakanlah santan kelapa asli, bukannya santan kotak. Apa pun pilihan di tangan anda. Ikut selera dan senang masing-masing.
Bahan-bahan:
1 kg ayam - potong 10 bahagian
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 kg labu kundur - buang kulit dan potong dadu
3 batang serai - diketuk
2 keping asam gelugur
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk / kisar:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
25 biji cili padi hijau dan merah - boleh kurangkan jika tidak suka pedas
2 cm halia
3 cm kunyit hidup

Cara:
1. Jerang santan cair di dalam periuk bersama bahan tumbuk / kisar, serai. Biarkan mendidih.
2. Masukkan ayam, bersama labu kundur. Masak sehingga labu kundur menjadi lembut.
3. Tambahkan santan pekat, dan masukkan asam keping, garam / perasa pilihan.
4. Masak sehingga ayam empuk.


Nyum... nyummmm...

Selasa, 27 Oktober 2015

Tom Yam Daging & Ayam Yang Sangat Sedap!

Sesekali cuba kita sediakan tom yam menggunakan perencah asli buatan sendiri. Tentu ada kelainan dari segi rasaya. Kali ini Amie tidak gunakan sebarang bahan dari laut, sebaliknya Amie gunakan daging dan ayam. Apa yang penting di sini ialah tentang keenakan rasa kuahnya hasil perencah asli yang digunakan itu.
Cukup lengkap, cukup rasa!

Mula-mula kita sediakan dahulu bahan perencahnya.
Bahan-bahan pes tom yam:
7 biji bawang merah
3 biji cili merah
7 biji cili kering
2 batang serai
2 cm lengkuas
1 sudu besar udang kering
2 cm belacan bakar
3 helai daun purut - buang urat belakangnya
garam dan gula secukupnya
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 3/4 cawan air
 2 sudu besar minyak

Cara:
1.  Kisar kesemua bahan di atas kecuali garam, gula, pati asam jawa dan minyak.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Tambahkan air asam jawa, garam dan gula secukupnya.
4. Biarkan perencah masak sehingga menjadi pes.

Bahan untuk sup tom yam:
1/2 kg ayam - potong ikut citarasa
300 gram daging - hiris nipis
3 sudu besar pes tom yam
4 biji tomato masak ranum - dikisar
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 batang lobak merah - kupas kulit dan potong bulat
3 ulas bawang putih - diketuk
3 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
12 biji cili padi - diketuk
1 sudu besar sos ikan
5 helai daun limau purut
1 pokok ketumbar - hiris
3 biji limau nipis - ambil jusnya
1.5 liter air 
Tambahan: hirisan sayur kegemaran seperti brokoli, putik jagung, bunga kobis, tomato dan sebagainya.

Cara:
1. Jerang air di dalam periuk. 
2. Masukkan hirisan daging bersama ayam. Masak hingga mendidih.
3. Tambahkan pes tom yam, serai, lengkuas, cili padi, bawang besar dan lobak merah.
4. Setelah daging empuk, masukkan segala sayur pilihan, daun limau purut, sos ikan dan juga jus limau nipis.
5. Sekiranya suka pedas dan masam, tambahkan cili padi dan jus limau nipis lagi.
6. Padamkan api dapur.
7. Taburkan hirisan daun ketumbar ketika menghidang.
8. Enak dinikmati ketika masih panas!
 

Amie suka hirup tom yam waktu tengahari! Panas... pedas! Peluh pun mengalir .... sihat!

Isnin, 26 Oktober 2015

Ku Tanam Selasih...

Ku tanam selasih,
Ku tanamkan di bawah pokok epal bidara...
Mengenang herba lain, rosemary, thyme, pudina yang tak pernah hidup walau ditanam berkali-kali,
Akhirnya,
Ku siram selasih,
Kusiramkan dengan air basuhan ikan.
Akhirnya hidup juga setelah kematian pokok-pokok selasih yang sebelumnya!


Tapi,
entah selasih jenis apa.... 

Nak kongsi gambar dulu,
sebab teruja tengok dia hidup subur!

Benarkah ini pokok selasih? Harap-harap betul, dan bukannya spesies rumput yang beraroma!

Isnin, 19 Oktober 2015

Ikan Jenahak Kukus Pedas Berapi!

Samar.
Kelam.
Jerebu menunjukkan trend peningkatan pada bacaan IPU, tahap TIDAK SIHAT. KPM memaklumkan semua sekolah di negeri Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, daera Kuching dan Samarahan di negeri Sarawak, daerah Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak di negeri Sabah serta daerah Muar, Ledang dan Segamat di negeri Johor perlu ditutup pada 20 Oktober 2015 (Selasa).
Yeah... esok sekolah di daerah LD ditutup lagi! Anak-anak terkurung di rumah. Emak bapak kena keluar juga.... kena keluar bekerja untuk cari makanlah he he heee....
Jerebu atau tak jerebu, hidup perlu diteruskan. Jangan lupa pakai topeng, tutup mulut, tutup hidung!
Wokey.... tapi bila masuk dapur tak payahlah pakai topeng...ahaks!
Jom kita tengok resepi Ikan Jenahak Kukus Pedas Berapi di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan jenahak - anggaran 600 gram 
7 biji cili padi minyak - cincang (kalau nak lebih pedas gunakan cili padi kampung)
5 cm halia - hiris halus
1 sudu kecil sos ikan
1 sudu kecil perencah cukup rasa
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil gula perang
1 sudu kecil tepung jagung
1 biji limau nipis

Bahan kisar:
1 labu bawang besar
7 biji cili padi 

Cara:
1. Bersihkan ikan dan kelar-kelar sedikit. Toskan.
2. Letakkan ikan di atas dulang pengukus. Taburkan halia di atasnya
3. Campurkan bahan kisar bersama sos ikan, perencah cukup rasa, sos tiram, dan tepung jagung.
4. Tuangkan campuran tadi di atas ikan dan kukus selama 10 minit atau sehingga ikan masak.
5. Hidangkan ikan bersama taburan hirisan cili padi dan perahan jus limau nipis.

Musim jerebu begini....
Nelayan pun fikir banyak kali nak turun ke laut! 
Syukurlah.... barangkali ikan jenahak ini hasil tangkapan sebelum jerebu menebal di daerah LD.


Jerebu Oh! Jerebu.... Sambil Layan Smoothie Epal!

Dengan rasminya, daerah LD pun diistihar tutup sekolah akibat jerebu yang melanda!
Kita kena datang sekolah juga, dengan rasa sakit kepala yang berdenyut-denyut, sakit tekak dan rasa tidak selesa. Bau asap ada di mana-mana sampai dalam bilik mesyuarat pun boleh kami hidu!
Jerebu, jerebu juga, bila sampai rumah teringat kepingan epal hijau yang sedang disejukbekukan. Eloklah teruskan usaha mengisar untuk dijadikan smoothie.

Tak boleh ambil gambar di dapur. Manyak gulap oooo!
Bawa Smoothie Epal ke luar, kat bawah pokok epal bidara.

Lama sangat tak kongsi smoothie buah-buahan. Kali ini entah kenapa, rajin pula nak buat paparan. He he heee... sebenarnya sayang tengok yogurt yang hampir tarikh luput pada 23 Oktober, jadi eloklah buat smoothie sikit. Boleh cuci perut!

Bahan-bahan:
4 biji epal hijau Granny Smith - buang biji dan potong kecil-kecil
300 ml susu segar
250 ml yogurt asli
2 sudu besar gula pasir

Cara:
1. Sejukbekukan hirisan epal sekurang-kurangnya selama 2 jam.
2. Masukkan bahan sejukbeku ke dalam mesin kisar. Tambahkan susu segar, yogurt asli dan gula pasir.
3. Kisar hingga halus.
4. Tuang ke dalam gelas dan sedia untuk dinikmati.

Masihkah ada sinar mentari?
Ada, tapi terlindung oleh jerebu.
Esok.... tunggulah! Kita hirup smoothie epal dulu ... sluurrrppp!

Ahad, 18 Oktober 2015

Ikan Goreng @ Ikan Perap Goreng @ Marinated Fried Fish

Selamat petang kawan-kawan.
Hari ini, sepanjang hari LD pula dilanda jerebu yang paling teruk pernah kami alami. Sebelum ini keadaan okey saja, tapi selepas hujan sehari dua yang lalu, agaknya beralih ke tempat kami pulalah jerebunya!
Jadi, tak nampaklah sinaran matahari dari pagi sampai petang. Bekalan elektrik pula terputus dari tengahari sampailah ke pukul 4.30 petang. Terpaksalah masak nasi gunakan dapur gas. He heee... inilah untungnya hidup dalam dua abad. Merasa masak nasi guna dapur kayu, merasa juga masak nasi guna dapur minyak! 
Wokey.... dalam gelap-gelap di dapur, dapat jugalah masak untuk alas perut. Hasil 'tangkapan' resepi hari ini pun nampak gelaplah juga tanpa cahaya yang mencukupi yang biasanya menembus masuk ikut pintu jendela.



Amie nak kongsikan resepi Mridula Baljekar dalam bukunya The Worlds Greatest-Ever Curries. Buku resepi ini Farid belikan untuk kita, Mommynya yang suka cuba pelbagai resepi. Lama juga buku ini tersimpan dalam rak, akhirnya ada kesempatan juga nak belek-belek, sehingga terjumpalah resepi ikan goreng perap atau Marinated Fried Fish. Pada masa yang sama, kebetulannya kami beli ikan kerisi. 
Mmmm... cerita pasal ikan kerisi ini, teringat masa kecik-kecik dulu. Arwah Ayahanda biasanya bawa pulang ikan berkati-kati (timbangan dahulu sebelum ditukar kilogram), dari pasar Sungai Buluh. Inilah antara jenis ikan yang biasa kami makan. Bonda akan siang ikan ini, dan dibubuh garam.... dulu guna garam kasar, dan juga kunyit. Kunyit hidup yang ditumbuk. Lepas tu Bonda goreng sampai garing. Sebahagiannya di simpan untuk dijadikan lauk pada keesokan harinya. Maklumlah, mana ada peti sejuk nak simpan ikan basah? Jadi terpaksalah goreng kesemuanya! Apa yang menjadi kenangan hingga ke hari ini, sudah tentulah rasa ikan kerisi goreng yang sedap itu. Bila disimpan sehari atau dua hari, aroma ikan bertambah memikat selera selain rasanya yang bertambah enak!

Kadang-kadang bila Bonda rebus ubi, kami akan makan ubi rebus dengan ikan kerisi goreng! Tak mahu makan dengan sambal sebab pedas! Entahlah.... waktu itu nikmat keenakan makanan sebegini tidak terungkap oleh kata-kata! Ditambah pula kalau musim hujan, berganda-gandalah kelazatan rasa ikan kerisi goreng atau ikan gelama goreng yang diratah bersama ubi rebus, apalagi bila dihidangkan bersama kopi hitam panas!

Wokey, kita cerita tentang resepi Ikan Perap Goreng ini. Goreng guna minyak sikit saja, bukan goreng terendam atau goreng tenggelam. Resepi ini terkenal di bahagian India Selatan. 

Marinated Fried Fish
1 small onion, coarsely, chopped
4 garlic cloves, crushed
5 cm fresh root ginger, chopped
1 tsp ground turmeric
2 tsp chilli powder
4 red mullets or snappers
vegetable oil, for shallow frying
1 tsp cumin seeds
3 fresh green chillies, finely sliced
salt
lemon or lime wedges, to serves

Cook's Tip:
To enhance the flavour, add 1 tbsp chopped fresh coriander (cilantro) leaves to the spice paste in step 1.
1.In a food processor, grind the first five ingredients with salt to a smooth paste. Make severl slashes on both sides of the fish dan rub them with the paste. Leave to rest for 1 hour. Excess fluid will be released as the salt dissolves, so lightly pat the fish dry with kitchen paper without removing the paste.
2. Heat the oil and fry the cumin seeds and sliced chillies for 1 minute. Add the fish, in batches if necessary, and fry on one side. When the first side is sealed, turn them over very gently to ensure they do not break. Fry until golden brown on both sides, drain and serve hot, with lemon or lime wedges.

Kata ikan kerisi: Jangan pandang pada rupa parasku, tapi jamahlah aku untuk mengetahui keenakanku, maklumlah tuan aku masak aku dalam gelap jerebu...ahaks! 
Kata Encik Suami: Mommy bubuh rempah ke kat ikan goreng ni?
Jawab Amie : Iya. Bubuh jintan... kenapa? Sedap ke?
Memang sedap! Sahut Encik Suami, menambah seekor lagi ikan goreng ke dalam pinggan nasinya!
Alhamdulillah...  tak sia-sia mencuba resepi dari India Selatan!

Sabtu, 17 Oktober 2015

Tom Yam Sayur

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung.
Rumah agak sepi...
Hanya berdua dengan Firdaus.
Fuad ikut seminar teknik menjawab Matematik Tambahan di SMKA.
Fairuz pula ikur serta Jamboree on the Air (JOTA) & Jamboree on the Internet (JOTI) Antarabangsa di LD.
Encik Suami pula agak lewat balik ke rumah.
Hmmmmm......

Apa kata Amie belanja menu sihat... semangkuk Tom Yam Sayur! 
Nak tak?

Bila sebut tentang tom yam, sudah semestinya terbayang kuah yang pedas, panas, ada rasa masam serta aroma yang sungguh memikat! Yang pasti, hirup kuah sampai ke titisan akhir... slurrrrpppp!
Hari Sabtu, minggu lepas 10 Oktober Amie bawa sebelanga tom yam ke sekolah. Selepas selesai solat hajat bersama murid-murid PT3 dan calon SPM, kami menjamu selera bersama ibu bapa, dan murid-murid. Kami bawa makanan dari rumah. Macam-macam ada, dan sudah tentunya sebelanga tom yam tidak ketinggalan untuk dihidangkan. Memikirkan ada yang mungkin alahan makanan laut, Amie putuskan masak tom yam daging campur ayam. Sementara menunggu masa untuk makan-makan, Amie panaskan tom yam di dapur kantin, dan memasukkan sayur-sayuran seperti putik jagung, kobis bunga, tomato, daun limau purut dan menambah lagi cili padi serta jus limau nipis!
Alhamdulillah, tom yam habis kering dan hanya tinggal batang serai.
Terima kasih buat Ustazah Zarina. Pesan Ustazah Zarina, jangan lupa masukkan tomato kisar supaya kuah pekat, dan kalau nak kuah warna merah, kisarkan juga cili kering. Bagaimanapun, Amie tak buat pes tom yam sendiri, guna saja kiub tom yam dan campurkan dengan pes tom yam dalam botol. Sedap! Tak puas makan minggu lepas, hari ini Amie masak lagi tapi malas nak tunggu daging empuk. Jadi, masak sajalah yang mudah dan cepat.

Resepi Tom Yam Sayur ini Amie olah ikut citarasa sendiri. Bahan yang digunakan pun tak banyak, mana yang ada dalam simpanan saja. Memang rasanya pedas, terasa asam limaunya! Tapi itulah yang Amie suka!

Bahan-bahan:
1 liter air
2 kiub tom yam
1 sudu besar pes tom yam 
4 biji tomato - dikisar
1 labu bawang besar
3 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk 
15 biji cili padi - diketuk - kalau tak tahan pedas boleh kurangkan
5 helai daun limau purut
15 biji gegelung ikan - potong 2
100 gram brokoli - potong ikut suka
100 gram kubis bunga - potong ikut suka
1/2 batang lobak merah - kupas kulit dan potong bulat 
2 biji limau nipis - ambil jusnya 
daun ketumbar secukupnya

Cara:
1. Jerang air dalam periuk hingga mendidih.

2. Masukkan serai, cili padi, lengkuas, bawang besar, lobak merah, tomato kisar, kiub tom yam dan pes tom yam.
3. Setelah kuah tom yam mendidih sekali lagi, tambahkan gegelung ikan, brokoli, dan kubis bunga.
4. Biarkan mendidih di antara 3 hingga 4 minit.
5. Jika perlu, tambahkan bahan perasa yang disukai, misalnya sos ikan (tapi Amie tak bubuh sebab kiub tom yam sudah memberikan rasa yang sempurna.)
6. Masukkan daun limau purut dan kemudian tambahkan jus limau nipis.
7. Padamkan api dapur.
8. Hidangkan panas dan taburkan daun ketumbar.


Ringkas bukan?
Tapi sedap! 
Kita makan berdua dengan Encik Suami. Tak cukup seorang semangkuk, menambah lagi.... tambah kuahnya yang sangat sedap itu!

Rabu, 14 Oktober 2015

Siapa Yang Makan Cili, Dia Akan Terasa Pedasnya: Cili Oh! Cili Padi!

Buah berangan masaknya merah,
Lada cili dalam perahu,
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati sahabat tak tahu.

Pantun di atas Amie salin dari Pusat Rujukan Persuratan Melayu, ketika Amie meninjau-ninjau mencari dan menambah kosa kata cili, yang juga disebut lada, cabai dan juga lombok... lombok dalam bahasa ibunda yang kami dengar sejak dahulukala!

Maaf, sebelum membebel panjang, Amie ingin ucapkan Salam Maal Hijrah buat semua, moga 'hijrah' akan sentiasa ada dalam diri kita. Sentiasa berhijrah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik, in shaa Allah.

Kali ini Amie ingin kongsi tentang sejenis bahan masakan yang sentiasa ada di dapur, dan kalau tiada bahan ini akan terasa sedikit hambar dalam masakan kita. Maklum sahajalah, budaya turun temurun yang kita warisi, tanpa rasa pedas, tidak lengkaplah 'rasa' santapan walaupun sudah mengandungi rasa manis, masam, masin! Itulah uniknya budaya kita, kena cukup rasa untuk mengatakan sedap!

Jom kita tambah ilmu tentang manfaat cili, selain fungsinya sebagai penambah kelazatan dalam satu-satu masakan. Umumnya, cili kaya dengan pelbagai vitamin termasuk vitamin A, B, dan C kompleks, protein, karbohidrat dan juga karotin. Cili yang Amie ingin kongsikan di sini sudah tentunya cili padi, yang macam-macam jenisnya. Ada cili api, cili burung, cili  cabai rawit @ kerawit... alamak macam lain pulak dah bunyinya! Semua orang yang pernah makan cili tentu terasa kepedasan yang berbeza mengikut jenisnya. Cili padi kampung janganlah nak diceritakan tahap kepedasannya... ya ampun! Amie pun tak berani nak gunakan banyak-banyak! Amie lebih suka gunakan cili padi minyak yang tak berapa pedas.

Cili tergolong dalam keluarga solanaceae iaitu satu keluarga dengan sayur tomato dan kentang. Biasanya, cili yang bersaiz kecil lebih pedas rasanya. Kepedasan cili juga bergantung kepada kandungan capsaisin/capsaicivoids di dalamnya. Terdapat lima komponen capsaicin di dalam cili iaitu, nordihidro capsaicin, capsaicin, dihidro capsaicin, homo capsaicin dan homo dihidro capsaicin. Komponen inilah yang membantu melancarkan sisitem peredaran darah di bahagian tangan, kaki dan jantung manusia. Di samping itu, buah cili yang pedas juga meningkatkan suhu badan sehingga merangsang metabolisme untuk melancarkan peredaran darah.

Sumber:  http://www.khasiatherba.com/ubat/khasiat-cilicabai.html

Cili dikatakan mampu membantu menurunkan berat badan. Bagi yang ingin mengamalkan pemakanan sihat, selain mengurangkan lemak dan minyak dalam masakan, eloklah cuba resepi di bawah ini. He he hee... ikan rebus bukan sebarangan! Aroma serai dan bahan-bahan lain sudah pastinya menggamit selera anda. Jangan lupa bubuh beberapa biji cili padi dalam masakan ini. Untuk resepinya,  sila klik pada setiap gambar untuk pergi ke pautannya.  

Berdasarkan pembacaan Amie di blog Khasiat Herba Untuk Kesihatan cili mengandung capsaicin yang akan mempercepat metabolisme dan membantu tubuh membakar kalori lebih cepat. Hal ini terjadi kerana capsaicin meningkatkan suhu tubuh dan berperanan dalam meningkat degupan jantung. Lebih jauh, kajian menunjukkan orang yang hobi makan pedas biasanya makan dalam jumlah yang sedikit sehingga berat badan lebih terjaga.

Untuk lebih lanjut mengenai khasiat dan manfaat cili khususnya cili padi, sila klik pautan yang Amie kongsikan di bawah nanti. Di bawah ini Amie kongsikan penggunaan cili dalam beberapa jenis masakan. Yang dah biasa tu, tengok-tengok sajalah kalau sudi. Bagi adik-adik yang baru berjinak-jinak ke dapur bolehlah lihat contoh-contoh masakan yang menggunakan cili padi atau cili yang sewaktu dengannya.

Cili padi memang sesuai ditambahkan dalam resepi Udang Goreng Butter. Kadang-kadang Amie campurkan cili merah dengan cili padi.

Ini cili padi minyak. Kepedasannya tidaklah sampai menyengat seperti cili padi kampung atau cabai burung!

Amie biasa tambahkan cili padi minyak dalam masakan lemak. Gambar di atas : Masak Lemak Cili Padi Ikan Patin Sama Petai.
 
 Ini Asam Rebus Ikan Pari. Selain cili merah kisar buang biji, Amie tambahkan cili padi minyak. Sewaktu makan, picit-picit saja cili padi tu atas nasi!

 Begitu juga dalam masakan lemak sotong. Jangan lupa tambahkan cili padi dalam perencahnya!

Ini cili padi putih. Selalunya kami beli di Kundasang. Rasanya tidaklah sepedas mana, tapi cukup enak kalau dibuat masakan seperti di bawah ini!

Ikan bilis goreng, ditambah dengan bawang goreng serta bunga kantan! Tuangkan sedikit cuka dan kicap....mmmm sangat sesuai makan dengan nasi panas kala tengahari!

Geramkan tengok cili padi muda atas pokok! Nampak segar dan cantik. Jom kita petik, kita buat perencah rendang...


Rendang udang ini, Amie gunakan cili padi! Bila santan bertemu cili padi, taklah sepedas mana.... sedap!

 Ini cili padi ungu. Bonda banyak tanam di tepi rumah.

 Sempat rembat segenggam dua buat perencah rendang kerang!

Kata Encik Wikipedia, cili padi buahnya menegak. Jom kita tengok gambar-gambar di atas dan di bawah. Yang menegak itu cili padi, yang ke bawah itu... cili apa ya!


 Naa... tengak-tegak semuanya!

 Cili padilah namanya tu...

 Wokey... kita sambung tentang masakan yang menggunakan perencah cili padi.... 

 Tambahkan cili padi dalam masakan udang!


 Boleh juga campurkan cili padi bersama cili merah untuk perencah sotong!


 Ikut sukalah nak guna cili padi jenis apa.

Walaupun kita sudah tahu cili padi banyak khasiatnya, tapi berpada-padalah ketika memakannya. Maklumlah, tak semua perut mampu menerima tahap kepedasan yang melampau. Eloklah bersederhana dalam pengambilannya.

Amie biasa juga buat cili kisar sendiri untuk dinikmati bersama mee goreng atau mee hoon goreng. Dulu Amie suka beli, tapi rasanya eloklah buat sendiri. Kita boleh tentukan tahap kepedasan, kemasaman, masin manis mengikut citarasa.
Amie akan gunakan cili padi kampung, tapi taklah dalam jumlah yang banyak untuk membuat sambal belacan campur mangga seperti di bawah ini.

Atau, kadang-kadang hiiris cili padi tambah cili hijau dan merah untuk ditumis bersama ikan bilis dan juga jering.

Yang di bawah ini, sambal colek atau sambal belacan gaya MIL.

Yang di bawah ini pula, sambal bawang. Mmmm... kecur liur bila tengok sambal bawang ni. Rasa macam nak buat sekarang jugak!
Wokey... berhenti di sini dulu ye.


Sumber Rujukan:
Pusat Rujukan Persuratan Melayu
Wikipedia
Khasiat Herba Untuk Kesihatan
Ketahui Khasiat Makanan Anda