ADSENSE

Sabtu, 26 September 2015

Puding Markisa

Nostalgia masa lalu tentang buah markisa.
Kami, orang kampung panggil buah susu. Rasanya masam manis kalau dah masak. Zaman kanak-kanak dulu, kami selalu meredah kebun! Biasanya buah susu ini kami jumpa ketika memungut buah timun tikus! Cerita pasal timun tikus, tak tahu nak tunjuk macamana sebab dah tak pernah jumpa buah itu lagi! Berbalik kisah buah susu ini, tak sangka pula, dah naik saham buah susu, denga nama buah markisa! 

Biasanya kita akan menikmati markisa dalam bentuk jus, tapi kalau ingin rasanya yang asli, yang masam manis itu, bolehlah makan begitu saja. Mari kita pelbagaikan markisa ini dalam bentuk yang lain pula untuk dinikmati bersama keluarga. Kita buat Puding Markisa, nak tak?

Bahan-bahan:
20 gram agar-agar tali
7 biji markisa - ambil isinya
1 cawan buah pic dalam tin - dikisar
1/2 cawan air buah pic
3/4 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat
 cawan air
setitik pewarna kuning oren
setitik pewarna hijau epal
acuan pilihan

Cara:
1. Masak agar-agar bersama 5 cawan air dan gula hingga larut.
2. Ambil 1/2 cawan agar-agar yang telah dimasak tadi dan campurkan dengan isi buah markisa. Tuangkan dalam acuan pilihan. Sejukkan.
3. Masukkan buah pic kisar bersama air buah pic serta susu pekat ke dalam periuk berisi lebihan agar-agar tadi.
4. Bahagikan agar-agar kepada dua bahagian. Satu bahagian warnakan dengan warna kuning oren dan satu lagi dengan pewarna hijau epal.
5. Tuangkan perlahan-lahan bahagian yang berwarna kuning oren di atas bahagian yang berisi buah markisa. Sejukkan.
6. Setelah bahagian kuning oren tadi sejuk, dan mula membeku, tuangkan pula bahagian yang berwarna hijau epal. Sejukkan.
 Mari kita menikmatinya!

Khamis, 24 September 2015

Salam Aidil Adha

 Moga kita lebih memahami erti pengorbanan yang sebenar!

Rabu, 23 September 2015

Sambal Hati

Jom kita kenal-kenal dengan resepi dari negara jiran, terutamanya hidangan untuk sajian hari raya, tidak kiralah samada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidil Adha.
Salah satu hidangan istimewa di negara jiran kita ialah Sambal Hati. Hati yang dimaksudkan ialah hati lembu, atau jika tidak mahu gunakan hati lembu, boleh gunakan hati ayam dan juga mempedal ayam. Sudah tentunya hidangan ini mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri sehingga dijadikan sebagai salah satu menu di hari raya. 
Alhamdulillah, hasilnya tidak mengecewakan. Sesuai dijamah dengan nasi himpit, ketupat ataupun nasi biasa.
 




Berdasarkan beberapa resepi yang Amie perolehi, di sini Amie ketengahkan dengan penggunaan bahan yang Amie rasa sesuai dengan selera kita. Barangkali ada sedikit kesukaran untuk mendapatkan daun salam, jadi rasanya boleh abaikan sahaja. Bagi sesiapa yang belum pernah melihat daun salam, ada gambarnya di bawah ini.

Daun salam ini boleh juga dikeringkan dan disimpan untuk kegunaan masak-memasak.
Wokeh... Amie terus kepada resepi Sambal Hati seperti di bawah ini:

Bahan-bahan:
400 gram hati lembu - potong dadu
400 gram kentang - kupas kulit dan potong dadu
4 papan petai - belah 2
300 ml santan pekat
1 batang serai - dititik 
3 cm lengkuas - diketuk
1 sudu kecil pati asam jawa
2 biji cili merah - buang biji dan hiris nipis
4 sudu besar minyak
garam dan gula secukup rasa 

Bahan kisar:
7 biji cili merah
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Rebus hati hingga masak.Toskan airnya dan ketepikan.
2. Goreng kentang setengah masak. Angkat dan toskan. Ketepikan.
3. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi.
4. Masukkan daun salam, lengkuas, serai dan pati asam jawa. Gaul sebati.
5. Kemudian masukkan hati lembu serta kentang goreng.
6. Tuangkan santan dan biarkan mendidih sehingga kentang empuk.
7. Akhir sekali masukkan petai dan hirisan cili merah.
8. Perasakan dengan garam dan gula. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
9. Hidangkan bersama ketupat atau nasi himpit.




Selamat mencuba!

Selasa, 22 September 2015

Kek Hati Pari @ Parek Versi II

Hari ini....
Kita ketawa sorang-sorang di dapur! Kita tangkap gambar Kek Hati Pari Versi II ini sambil senyum tak sudah....
Alkisahnya begini:

Pada 16 September 2015 sempena cuti Hari Malaysia yang lalu, kita merajinkan diri buat adunan Kek Hati Pari @ Parek versi yang berbeza dengan yang sebelumnya DI SINI. Dah selesai mengukus, kita pun letaklah kek tadi dalam bekas tertutup dan ketepikannya di sudut dapur. Keesokan harinya Encik Suami tanya, dah potong kek ke? Kita jawab: belum lagi.
Lusa Encik Suami tanya lagi: Dah boleh makan ke kek tu? Kita jawab : Boleh. Nak makan ke? Tak pula dia jawab.
6 hari telah berlalu.
Malam tadi Amie pun buka bekas kek dengan harapn untuk melihat sendiri berapa lama kek ini boleh disimpan. Bila Amie buka bekasnya... yang tinggal hanya sepotong! Barangkali dalam 10 atau 12 cm panjangnya!
Amie tanya Encik Suami... dah makan kek ke?
Bawa pergi kampung sikit, bawa pergi sekolah sikit. Makan ramai-ramai. Itu jawabnya.
Tak perasan pulak bila Encik Suami potong dan bawa kek itu.
Sayanglah tengok kek tu terbiar tak dimakan, eloklah bagi kat orang.... katanya!
He he hee... tak apalah, Encik Suami dimaafkan kerana memanjangkan kek ini ke kampung dan ke tempat kerjanya.

Kita pun tak sampai hati nak bagitahu Encik Suami... sebenarnya kita nak tengok tempoh ketahanan kek ini jika disimpan dalam suhu bilik selain ingin melihat sendiri tahap kelembapannya. Dia pun sangka kita suka buat kek, tapi tak dimakan! He he hee... dengan tinggalan sepotong kek itu (nasib baik dia tinggalkan), dapatlah kita kongsikan di sini.


He he hee... apa tidaknya boleh buat ketawa sorang-sorang di dapur, sebab asyik tonggang-terbalikkan kepingan kek ni suruh dia posing elok-elok.... kih kihhhh!

Nampaknya Amie tak ada pilihan nak tunjukkan bahagian kek yang 'cantik' untuk paparan bersama. Ini sahajalah yang ada... tapi puas hati sebab setakat ini kek ini memang dalam keadaan elok sempurna.
Resepi Kek Hati Pari yang Amie kongsikan kali ini memang sedikit berbeza dengan kek yang pertama kali Amie hasilkan. Kalau dulu Amie hanya gunakan kismis sahaja, tetapi untuk kali ini Amie tambahkan serbuk horlicks, buah prune dan juga coffee emulco. Resepi asal gunakan coklat Cadbury tapi Amie tidak gunakannya, begitu juga dengan gula hitam. Amie hanya gunakan gula perang. Apa pun, hasil ubahsuai resepi ini tetap menghasilkan rasa yang cukup lazat! Terima kasih kepada penyumbang resepi, yang tiada namanya... semoga Allah membalas jasa baik anda berkongsi kek yang lazat ini. Bagaimanapun untuk mengekalkan keaslian kek ini, gunakanlah gula hitam jika ada.

Cuma, Amie tak berapa puas hati sebab kismis yang Amie tumbuk tak berapa halus.... adeeehhhh berpeluh-peluh menumbuk kismis! Kawan Amie kata dia rendam dulu kismis semalaman supaya lembut, senang nak tumbuk, tapi Amie belum cuba cari itu. Lain kali boleh cuba...
Di bawah ini Amie kongsikan resepi yang Amie telah buat. Amie buat 1/2 adunan dari resepi asal.

Bahan-bahan:
5 biji telur ayam gred A
1 cawan tepung gandum - ayak dengan soda bikarbonat
250 gram mentega tulen
2 gelas gula perang
200 gram kismis hitam - ditumbuk halus
100 gram prune - ditumbuk halus
1 sudu teh soda bikarbonat
1 cawan gula pasir yang dikisar halus - 1/2 cawan dibuat gula hangus
2 sudu besar coffee emulco
120 gram serbuk horlicks

Cara:
1. Campurkan kismis hitam dengan prune dan kemudian gaul dengan 2 sudu besar tepung gandum yang sudah diayak dengan soda bikarbonat. Ketepikan.
2. Pukul mentega bersama gula perang hingga sebati.
3. Masukkan telur satu persatu dan terus pukul hingga kembang.
4. Perlahankan kelajuan mixer dan masukan tepung, diikuti dengan kismis dan buah prune, coffee emulco dan 1/2 cawan gula pasir yang dikisar halus serta  gula hangus.
5. Akhir sekali masukkan serbuk horlicks dan terus adun hingga sebati.
6. Tuangkan adunan ke dalam acuan loyang empat segi 8" X 8" yang telah diglis dengan mentega.
7. Tutup acuan dengan aluminium foil.
8. Kukus selama 4 jam (sebab buat 1/2 adunan).... adunan asal memakan masa selama 8 jam untuk mengukus!

Yang di bawah ini versi pertama yang gunakan banyak tepung gandum tu. Ada beza tak dengan kek versi kedua?


Wokeh!
Jumpa lagi.

Juadah di Pagi Aidil Adha

Selamat pagi kawan-kawan.
Semoga hari ini dipenuhi dengan keceriaan.
Esok, lusa kita akan menyambut Aidil Adha. Selain mendoakan agar jemaah  dari negara kita mendapat haji yang mabrur di tanah suci, jangan lupa mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadat korban. In shaa Allah, setiap pengorbanan yang kita lakukan dengan niat ikhlas akan mendapat ganjaran berlipatganda dari-Nya. Amin.
Cerita tentang Aidil Adha, kita tidak dapat lari dari menyediakan juadah terutama sekali buat keluarga. Kadang-kadang kita teragak-agak nak masak apa, terutamanya masakan daging. Bagi yang suka mengekalkan hidangan tradisi warisan masing-masing, teruskanlah supaya resepi anda akan terus diingati dan dikenali oleh anak cucu dan generasi akan datang. Bagi yang mempunyai pasangan yang berlainan keturunan, tentu banyak kali berfikir untuk memasak hidangan samada masakan orang sebelah kita, atau masakan kita sendiri. Atau kedua-duanya sekali... ahaks!
Di kesempatan ini Amie ingin kongsikan beberapa jenis hidangan atau lauk-pauk yang biasa Amie sajikan untuk keluarga dan juga beberapa jenis lagi yang mungkin tidak biasa rakan-rakan pengunjung dengar. Apa salahnya kita mencuba... dari situ, kita dapat menambah ilmu masakan dan sudah tentunya dapat mengenali budaya sesuatu kaum atau keturunan di negara kita.

Jangan risau...
Amie hanya kongsikan resepi yang mudah dengan menggunakan bahan yang senang diperolehi. Hasilnya? Sudah pasti anda akan menjilat jari.... maafkan Amie kalau Amie salah telahan, atau hanya perasan @ syok sendiri.... hihihiiii.
Apa pun segala lauk pauk yang dipaparkan ini sesuai dimakan dengan ketupat, nasi himpit, lemang, lontong, buras, nasi dan sebagainya.

Amie ingin perkenalkan Gulai Daging @ Kuliah Ah Daging dari Negeri Sabah di Bawah Bayu. Resepinya klik di sini : GULAI DAGING @ KULIAH AH DAGING.

Seterusnya, resepi Ayam Masak Lengkuas atau Nasu Likku'. Jemput ke sini untuk selongkar resepinya: DI SINIdan  DI SINI.

Cubalah Rendang Ayam Sarawak!
Nak tahu apa rasanya? Resepinya ada DI SINI.



Dah sampai ke Sarawak, apa kata kita cuba Daging Masak Hitam pula! Istimewanya masakan ini selain kerisik, kismis dan buah prune juga digunakan. Amie gunakan gula apong untuk memerap daging, tapi kalau tidak ada gula apong boleh gunakan gula melaka! Resepi Daging Masak Hitam Sarawak ini Amie belum kongsikan di dapur maya. Terakhir kali Amie masak DI SINI tiga hari lepas, sempena ulang tahun Fairuz. Amie gandingkan lauk ini dengan Nasi Oren.... walaaaa.... licin! Amie kongsikan resepinya di bawah ini. Resepi ini Amie dapat dari buku resepi lama DI SINI (yang pernah Amie ceritakan tentang buku resepi Sarawak yang berusia lebih 25 tahun, masih tulisan tangan  milik kawan Amie)  dan juga terima kasih berjuta-juta kepada Anis kerana Amie juga merujuk Ani's Diary. 
Bahan-bahan:
1 kg daging - Amie gunakan daging blade - potong setebal 1/2 cm dan selebar 3 cm
4 sudu besar kicap manis ABC
4 sudu besar gula apong 
Kesemua bahan di atas diperap selama 2 jam.

Bahan kisar:
20 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
1 labu bawang besar
5 batang serai - hiris nipis
2 cm lengkuas 
2 cm halia
2 sudu besar kismis
5 biji buah prune

Bahan penumis:
7 biji bawang merah - hiris
1 labu bawang besar - hiris
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan lain:
4 sudu besar kerisik
2 sudu besar rempah kurma
1/2 cawan minyak
1 sudu kecil pati asam jawa
garam secukup rasa

Cara:
1. Panaskan dan goreng bawang merah serta bawang besar hingga wangi. Kemudian masukkan bahan rempah penumis yang lain. Tumis sehingga bawang kelihatan kekuningan.
2. Masukkan rempah kurma dan bahan kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
3. Masukkan asam jawa diikuti dengan daging.
4. Masak dengan api perlahan. Amie tidak tambahkan air dalam masakan ini sebab air daging dan air yang digunakan untuk bahan kisar sudah mencukupi. Sekiranya daging masih keras dan kuah mengering, bolehlah tambah air.
5. Kacau sekali-sekala supaya masakan tidak berkerak atau hangus.
6. Setelah daging empuk, masukkan kerisik dan perasakan dengan garam atau perasa pilihan anda.


Rendang Daging di atas nampak menyelerakan bukan? Mmmmm... cuba tengok di bawah ini... sedapnya bila ditemukan dengan ketupat palas!

Resepinya sangat mudah, jerang kesemua bahan hingga masak! Cuba klik di sini : RESEPI RENDANG YANG SEDAP DAN MUDAH 

Jangan lupa, bagi anda yang masih ingat resepi yang menggunakan sekilo bawang besar untuk masakan sekilo daging, masakan ini pasti menggamit selera keluarga anda dengan rasanya yang lazat dan tidak dapat dilupakan! Amie telah menghubungi rakan Amie, Imelda Shahriah Ishak, untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang resepi ini. Resepi istimewa ini asalnya ialah Sambal Goreng Daging! Resepi warisan dari sebelah nendanya di Melaka. Tak rugi mencubanya! Klik saja di sini:

Selamat mencuba!

Isnin, 21 September 2015

Sedapnya Udang Goreng Butter... setelah mencuba dan terus mencuba!

Suatu ketika dulu Amie pernah rasa kecewa sebab setiap kali mencuba resepi Udang Goreng Butter, asyik tak menjadi! Baca berulang kali resepi dalam majalah dan sebagainya, ada saja yang tak betulnya. Lepas tu... dengan rasa menyampah tak mahu lagi memikirkan Udang Goreng Butter dari dapur sendiri. Tapi, dengan rasa aneh terus selalu menikmatinya di hotel, di restoran atau pun di gerai makan. Rasa aneh itu tak lain tak bukan, kenapa orang lain boleh buat tapi kenapa aku buat asyik tak jadi? Bukan udang butter itu yang tak boleh dimasak, tapi sarang telur atau floss itu yang tak menjadi! Walaupun ada dua jenis masakan udang butter ini, udang butter jenis basah dan jenis kering, tapi kita nak yang kering, yang nampak cantik bersarang itu! 
Itulah... Amie bermasalah dengan sarang telur!


Beberapa tahu kemudian, setelah hati kembali sejuk (merajuk sendiri, siapa yang nak pujuk?... padan muka!) dan setelah berulang kali bersoal jawab dengan chef google, Amie pun bangkit kembali. Banyak kali masak tapi jarang kongsi di sini. 
Sekarang, Amie pula yang tertanya-tanya, apa sebenarnya Udang Goreng Butter itu? Melihat kepada bahan yang digunakan, sebenarnya sarang itu sekadar hiasan sahaja! Sekadar bahan sampingan! Tapi, biasalah kita sebagai manusia yang ada sepasang mata, yang melihat segalanya bermula dari mata. He he hee.... nampaknya mata kitalah yang membuat keputusan sedap atau sebaliknya sesuatu hidangan itu.
Wokeh... di sini Amie kongsikan beberapa hasil masakan Amie. Agak-agaknya, mana satu jenis sarang telur yang betul, yang dikatakan cantik dan menepati standard masakan Udang Goreng Butter?

Gambar di atas, hidangan tengahari tadi. Nasi putih dengan Udang Goreng Butter. Makan berdua dengan Fairuz. Fuad ke perpustakaan, Encik Suami kerja balik sebelah petang nanti. Kena simpankan bahagian Fuad dengan Encik Suami, sebab anak-anak pantang nampak Udang Goreng Butter... makan dah tak pandang belakang, kalau boleh ratah habis satu piring!
Yang di bawah ini.... pada suatu ketika, cuba buat sendiri setelah makan Udang Goreng Butter di Tawau.

 Nampak sarang telurnya warna kuning, berjurai-jurai panjang.
Yang di bawah ini pula, dapat inspirasi setelah makan di The Leon Hotel.

Udang-udangnya pun kita susun ikut kreativiti chef hotel... ha ha haaaa... Tapi, hidangan di hotel, udangnya boleh dibilang dengan jari, cuma sarang telurnya saja yang banyak! Ini sebab tak puas meratah udang, balik rumah buat sendiri.

Tak semestinya sarang telur yang Amie buat itu menjadi. Kadang-kadang bentuk kepingan besar, tak berapa nak halus seperti gambar di atas. Itu yang Amie persoalkan di awal entri tadi, sebenarnya Udang Goreng Butter ini apa yang nak dinikmati Sarang telurnya atau udangnya...hihihiiii!

Lepas tu, cuba pula yang lain seperti di bawah ini....
Sarang telurnya panjang berjurai tapi tak berapa keemasan, nampak kuning saja.

Farid komen...
Udang terlalu besar, kulit udang keras!
Farid buat perbandingan setelah Encik Suami belikannya Nasi Goreng dengan Udang Goreng Butter.

Wokeh! Noted!
Tak mahu guna udang saiz besar lagi, sebab memang betul!
Tak dapat nikmati rasa Udang Goreng Butter sebenar.
Komen Farid jujur, sebab dia makan dengan rasa dan bukannya makan dengan mata macam Mommynya ini.... he he heee....


Amie pun study sungguh-sungguh setiap kali Encik Suami belikan Udang Goreng Butter, atau pun setiap kali kami makan Udang Goreng Butter di luar.

Setelah makan lebih 5 kali Udang Goreng Butter yang Encik Suami selalu beli di sebuah gerai makanan, dan 2 kali makan di tempat tersebut, Amie dapati udang tersebut digoreng salut dengan tepung jagung! Ada rasa-rasa manis gula juga.
Amie pun cuba buat di dapur sendiri!
Akhirnya Amie yakin.... 

Dan, pada suatu malam... dua minggu yang lalu, Amie jadikan Udang Goreng Butter ini sebagai salah satu menu hidangan makan malam di samping meraikan tetamu dari jauh.

 
Tetamu kami pada malam itu, Ustaz Mohd. Noh... yang sedang menunjukkan sesuatu kepada Firdaus. Ustaz Mohd. Noh merupakan rakan sekerja kami, dan pada 2008 berpindah ke Putrajaya kerana menjawat jawatan sebagai Nazir.

Terima kasih Ustaz Mohd. Noh kerana sudi menjenguk kami di sini... terima kasih kerana sudi menjamah hidangan pada malam itu. Alhamdulillah, Ustaz kata Udang Goreng Butter tu sedap! Maknanya, selepas ini Amie dengan penuh yakin akan memilihnya sebagai salah satu menu untuk hidangan tetamu.

Di bawah ini, Amie kongsikan resepi Udang Goreng Butter yang Amie sudah yakini mampu memikat selera kami seisi keluarga. Amie tidak bubuh garam, sebab bagi Amie udang itu sendiri sudah ada rasanya yang istimewa, cuma Amie tambahkan 1/2 sudu kecil perencah cukup rasa.

Bahan untuk sarang:
4 biji kuning telur gred AA
1 cawan minyak
4 sudu besar mentega

Cara:
1. Pukul ringan kuning telur.
2. Panaskan minyak bersama mentega di dalam kuali.
3. Gunakan senduk bulat untuk membuat pusingan sehala di dalam kuali.
4. Setelah minyak benar-benar panas, teruskan memusing minyak menggunakan tangan kanan, tangan kiri pula angkat kuning telur agak tinggi dan tuangkan ke dalam minyak gorengan. Teruskan memusing sehala dengan laju sehinggalah habis kuning telur yang dituang tadi.
5. Bila sarang telur kelihatan kuning keemasan, bolehlah angkat dan toskan minyaknya.

Gambar di atas di ambil pada waktu malam(Curi-curi cepat-cepat ambil sebab dah terhidang atas meja makan). Dan gambar di bawah diambil pada waktu siang... mendung. Amie tak ada teknik tertentu semasa ambil gambar, apa pun rasa masakan ini sama!



Bahan-bahan:
500 gram udang kertas saiz sederhana kecil - bersihkan - belah belakangnya dan tarik keluar urat urat - gaul udang tadi dengan 2 sudu besar tepung jagung dan goreng hingga masak - ( sebaik-baiknya jangan goreng terlalu lama sehingga udang jadi kecut ) angkat dan toskan
12 biji cili padi - hiris
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
1/2 sudu kecil perencah MAGGI Cukup Rasa
1/2 sudu kecil gula pasir
5 ulas bawang putih - cincang
3 tangkai daun kari - lurutkan daunnya
3 sudu besar mentega
4 sudu besar susu cair

Cara:
1. Panaskan mentega dalam kuali dan tumis bawang putih hingga wangi.
2. Tambahkan hirisan cili padi dan daun kari. Gaul rata.
3. Masukkan susu cair, lada putih dan perencah Cukup Rasa.
4. Setelah bahan tumisan mulai memekat, masukkan udang.
5. Taburkan perencah MAGGI Cukup Rasa dan gula pasir. Gaul sekali dua. Padamkan api dapur.
6. Masukkan sarang telur tadi, dan gaul bersama udang.
7. Siap untuk dihidangkan.
 

Pengajaran:
1. Jangan mudah putus asa.
2. Resepi tak salah, yang salah diri sendiri sebab tak ada sifat sabar.
3. Sekali masakan tak menjadi, cuba lagi hingga berjaya... kita akan belajar dari pengalaman itu.


Ahad, 20 September 2015

Sedapnya Nasi Oren!

Selamat berhujung minggu kawan-kawan!
Hari ini memang banyak cerita tapi nak ringkaskan saja.
Pertama,
Kita masak Nasi Oren, resepi yang dah lama kita tak masak. Dulu pernah masak, ada DI SINI. Nasi Oren dengan Ayam Lemon Madu. Kali ini tak masak ayam, sebaliknya gantikan dengan daging. Mulanya nak gandingkan Nasi Oren dengan Udang Goreng Butter tapi semalam dah makan 'seafood' di luar sempena ulang tahun Fairuz, salah satunya menu Udang Goreng Butter, jadi lain kali boleh cuba Nasi Oren dengan Udang Goreng Butter pulak.

Seperi biasa.....
Kalau musim cuti sekolah, semua ada di rumah. Selesai saja masak, tak sempatlah nak ambil gambar banyak-banyak sebab semuanya dah duduk mengadap meja makan!

 Amie temankan Nasi Oren dengan Daging Masak Hitam, ala-ala masakan Sarawak. Ini kali kedua Amie masak daging cara begini, bubuh kismis dan buah prune dan juga kerisik. Sedapnya.... walaaaa! Nanti kalau Amie masak lagi, Amie cuba ambil gambar step by step. Jangan risau dan jangan pelik bila ada kismis dan buah prune dalam masakan ini. Cuba dulu, baru tahu! Tapi resepinya Amie kongsi lain kali ye... kali ini, sebab banyak sangat ceritanya, Amie kongsikan resepi Nasi Oren saja.

Ini rupa Nasi Oren yang sangat sedap tu. Resepinya di bawah ini. Dulu Amie ikut resepi Majalah RASA, tapi Amie dah ubah suai 80 % mengikut selera!  Ikut citarasa masing-masinglah kaan... ahaks! Apa pun terima kasih Majalah RASA kerana Amie ambil panduan asas dari situ, selebihnya ikut kreativiti sendiri.

Bahan-bahan:
4 cawan beras basmathi
4 sudu besar mentega
1 cawan jus limau sunkist
1 cawan susu cair
2 sudu besar bes minuman buah Sunquick Mandarin
3 sudu besar stok ayam pekat - bancuh dengan 2 1/2 cawan air

2 sudu besar kismis
1 helai daun pandan

1 batang kulit kayu manis
3 kuntum kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum buang lawang
Sedikit pewarna kuning


Bahan hiris:
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 cm halia

Cara memasak:
1. Rendam beras selama 20 minit - cuci dan toskan airnya.
2. Panaskan periuk dan masukkan mentega, kemudian tumiskan bawang merah dan putih, kulit kayu manis , bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih, kismis serta daun pandan sehingga naik bau.
3. Setelah itu, masukkan bancuhan stok ayam, susu cair, jus limau sunkist dan bes Sunquick Mandarin.
4. Setelah air mendidih, masukkan beras dan kacau sekali dua.
5. Tutup periuk dan tanak sehingga masak.
6. Setelah nasi siap masak, buat beberapa lubang di atas nasi dan titikkan pewarna kuning  untuk menambah warna pada nasi tadi.

7. Tutup periuk sehingga nasi benar-benar tanak.
8. Buka tudung periuk dan gemburkan nasi supaya warnanya sekata.
9.Sedia dihidangkan. 


Bila dah masukkan stok ayam pekat, tak payahlah tambah garam sebab dah cukup rasa. Kalau tak mahu gunakan stok ayam, bolehlah gunakan air rebusan ayam. Untuk memasak berasnya pula Amie gunakan sukatan air mengikut sukatan beras dan tambahkan 1/2 cawan lagi sebab nak bagi nasi tu lembut sikit.

Selamat mencuba, bagi yang nak mencuba. 
Apa pun Nasi Oren ini memang sedap!

Inilah teman Nasi Oren, Daging Masak Hitam yang bagaikan jodoh paling serasi untuk dinikmati! Lain kali Amie kongsi resepinya ye... ni kelam-kabut sebab kejap lagi nak ke kampung.

Cerita kedua,
Untuk kenang-kenangan anak-anak kami, Amie paparkan gambar sambutan ulang tahun bujang kami yang ketiga, Mohd. Fairuz Zamri. Minggu lepas ulang tahun Fuad yang ke 17, kelmarin ulang tahun Fairuz yang ke 14.

Kenapalah ternaik-naik bulu kening Fairuz ini... ada-ada sajalah kalau kita tangkap gambar abak-anak! Tengok tu... siapa punya ulang tahun, siapa punya kek? Firdaus juga yang tak mahu ketinggalan...

Selamat ulang tahun ke 14 Fairuz. Rajin-rajin belajar ye. Jangan malas solat. Sayangi adik Firdaus selalu...

Wokeh...
Sesiapa singgah sini, Amie belanja satu set Nasi Oren, dengan Daging Masak Hitam & Acar Mentah sertas segelas jus oren!

Sabtu, 19 September 2015

Nasi Lemak Seri Malaysia

Sebut tentang nasi lemak....siapa yang tak pernah dengar, siapa tak tak pernah lihat dan siapa yang tak pernah makan? Kalau ada yang tak pernah dengar.... sudah tentu ada sesuatu yang tak kena dengan individu itu .... ahaks! Kalau ke Singapura, ada nasi lemak Singapura, ke Indonesia pun ada nasi lemaknya, bahkan ke Brunei pun pasti akan ditemui menu warisan tradisional Melayu yang istimewa ini!

Inilah salah satu resepi warisan tradisi masyarakat kita. Sepatutnya kita kena ada rasa bangga sebab nasi lemak sudah terkenal seantero maya! Naik kapal terbang pun ada hidangan nasi lemak! Jangan asyik nak salahkan nasi lemak sebab masalah obesiti! Banyak makanan lain yang menyumbang ke arah itu! Nasi lemak memang sedap! Cuma ia berlemak disebabkan penggunaan santan dalam masakan.... dan itulah yang sering menjadi salah tanggap kerana dikatakan kita perlu 'korbankan' makanan yang enak ini untuk menjadi lebih sihat!
Dahulu nenek moyang kita jadikan nasi lemak sebagai bekalan sebelum bekerja, membanting tulang empat kerat. Habis terbakar segala lemak menjadi tenaga, menoreh getah, menyangkul, bercucuk tanam!
Dahulu, lauk-pauk untuk nasi lemak hanya sekadar sambal tumis. Itu pun sudah cukup menyelerakan! Jika ada tambahan, mereka letakkan hirisan timun, ikan bilis goreng dan kacang tanah! Hidangkan bersama kopi panas! Kopi buatan sendiri... serbuk kopi yang diproses dengan cara menyangai dan menumbuk dengan tenaga sendiri, bukannya dengan mesin!
Dahulu lain, sekarang lain!
Sekarang nasi lemak sudah dipelbagaikan. Lauk-pauknya sudah bervariasi! Resepi nasi lemak sudah merentas sempadan budaya. Bukan masyarakat Melayu sahaja yang menikmatinya, tapi India dan Cina pun tidak ketinggalan!

Kami tetap menikmati hidangan nasi lemak dengan penuh selera! Bagaimanapun, tidaklah kami menikmatinya setiap hari! Barangkali sebulan sekali, atau dua bulan sekali sebagai sarapan pagi. Biasanya Amie sediakan dalam bentuk yang istimewa, lengkap dengan pelbagai lauk pauk. Sudah tentunya dengan tujuan tertentu....
Ya.... biasanya pada hari cuti sekolah, seisi keluarga akan berkumpul di rumah. Pada ketika itulah Encik Suami akan mengatur pelbagai aktiviti gotong-royong membersihkan rumah!  Upahnya.... sudah tentulah nasi lemak yang masih panas berwap dengan lauk-pauk pilihan mereka!

 
Kali ini Amie sajikan Nasi Lemak Seri Malaysia. Masak nasi lemak seperti biasa, cuma hidangkan bersama lauk-pauk seperti sambal tumis udang, ayam goreng berempah, ikan bilis goreng, Kacang tanah goreng dan hirisan timun, telur puyuh rebus, tambahan kacang panjang celur mewakili nasi lemak nyonya, dan bubuhlah papadom!

Amie masak nasi lemak seperti biasa, dengan cara mengukus seperti di bawah ini. Lauk-pauknya buatlah sendiri yea.... he he hee dah banyak sangat entri nasi lemak dengan sambal itu dan sambal ini di dapur maya ini. Selongkar sajalah ye, untuk tutorial lengkap klik di sini....ENAKNYA RESEPI TRADISI : NASI LEMAK OH! NASI LEMAK!
 
Bahan-bahan:
6 pot rice cooker beras - bersihkan dan toskan
500ml pati santan kelapa
3 biji bawang putih - hiris halus
3cm halia - hiris halus
2 helai daun pandan - siat-siat
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1 sudu teh garam

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Letakkan kuali di atas dapur, dan masukkan santan kelapa bersama bawang putih, halia, daun pandan, kulit kayu manis dan bunga lawang serta garam. Biarkan mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan mengering.
4. Pindahkan beras di dalam kuali tadi ke dalam periuk pengukus. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.

Khamis, 17 September 2015

Sup Tulang Rusa Dengan Akar Teratai

Entri Amie kali ini.... Sup Tulang Rusa Dengan Akar Teratai. Tak bubuh akar teratai pun tak apa. Boleh bubuh benda lain, kentang ke, betik mengkal ke...labu kundur ke... apa-apalah yang sedap di mata dan sedap di tekak....ahaks!

Tergoda tak dengan sup tulang rusa kat atas tu? He he hee... gear box you! Tu yang rebut-rebut nak makan lelemaknya....mmmm ternak kolestrol lagi!
Jom tengok resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 kg tulang rusa
200 gram akar teratai - kupas kulit dan potong setebal 1/2 cm
1 batang lobak merah - kupas kulit dan potong bulat
3 kuntum bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
7 ulas bawang putih - pecahkan
1 labu bawang besar - belah 4
garam & perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Rebus tulang rusa bersama semua bahan lain kecuali lada putih, daun bawang, daun sup dan bawang goreng sehingga daging pada tulang menjadi empuk. 
2. Perasakan dengan garam dan perasa pilihan lain.
3. Padamkan api dapur.
4. Hidangkan panas dan taburkan bawang goreng, hirisan daun sup dan daun bawang ketika menghidang.

Tak susah mana pun nak menyiapkannya. Main rebus-rebus aje. Resepi ini pernah tersiar dalam Majalah SAJI Edisi Julai 2015.