ADSENSE

Jumaat, 28 Ogos 2015

Kek Lapis Legit

Bila disebut 'Kek Lapis Legit' Amie terus terbayang salah satu bahan 'menakutkan' yang perlu digunakan untuk menghasilkan kek dari negara jiran kita ini. Bila meneliti resepi demi resepi dengan pelbagai versi, memang 'bahan' ini tetap begitu! Jumlahnya antara 20 hingga 25! Ya... telur yang digunakan antara 20 hingga 25 biji.... kuning telur dong! Tak pakai putih telurnya! Ayoyoooo... hanya untuk satu adunan sahaja.


Inilah hasilnya Kek Lapis Legit itu. Setelah merujuk ke Pusat Rujukan Persuratan Melayu,
 'legit' itu berasal dari bahasa Sunda yang bermaksud manis atau sedap. Kata bijak pandai di situ lagi, legit ini ialah sejenis kuih yang dibuat daripada tepung beras atau tepung gandum dan santan, dan dikukus lapis demi lapis. Mmmmm.... dengan bijak dan lebih pandai makan terjadilah pelbagai versi kek lapis legit atau manis dan sedap ini, selain dikukus, dibakarlah pula. Oh yaaa... Kek Lapis Legit ini juga sesetengahnya memanggilnya sebagai Kek Lapis Betawi. Berdasarkan Wikibuku bahasa Indonesia pula lapis legit adalah kue yang berlapis-lapis dengan bumbu aroma yang harum. Apa tidak harumnya, kalau bahan yang digunakan termasuk rempah-rempahan seperti bunga cengkih, kapulaga, kembang pala, kayu manis dan vanila. Kapulaga tu buah pelaga ye... yang itu kita tahu sebab Bonda kita selalu sebut. Kembang pala itu tak tahu pula... setahu kita kembang tu bunga, tapi adakah bunga pala? He he hee... apa pun kita permudahkan sahaja. Kalau ada rempah Spekkoek, itu lebih baik. Tapi kalau tak ada, memadailah dengan menggunakan rempah kuih. Kata Wikibuku lagi, kalau nak sedap tambahkan hirisan buah plum kering!
Kita buat yang simple dimple sajalah....


Bahan-bahan:
85 gram tepung Hong Kong - ayak bersama baking powder
20 biji kuning telur
300 gram mentega
150 gram gula halus
6 sudu besar susu pekat manis
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu kecil rempah kuih
1/2 sudu kecil baking powder
loyang ukuran 8x8 yang telah digris dengan mentega dan dialas dnegan kertas minyak


Cara: 
1. Pukul mentega bersama gula halus sehingga kembang.
2. Masukkan kuning telur dan pukul lagi sehingga naik dan pekat.
3. Tambahkan esen vanilla dan susu pekat manis.
4. Kemudian masukkan tepung bersama rempah kuih. Kacau hingga adunan sebati.
5. Tuangkan satu senduk adunan ke dalam loyang dan bakar dalam ketuhar selama 5 minit atau sehingga masak di bawah suhu 150'C atau mengikut kepanasan ketuhar masing-masing.
6. Keluarkan dari ketuhar dan tekan permukaan kek menggunakan sterika kek supaya rata.
7. Seterusnya tuangkan satu senduk lagi adunan ke atas kek dan bakar semula di dalam ketuhar.
8. Ulangi proses melapis sehingga selesai.



Sebenarnya lama benar Kek Lapis Legit ni tersimpan dalam folder. Baru ada kesempatan untuk dipaparkan di sini. Kalau berani, cubalah.... Amie berani cuba sebab nak tahu rasanya... yang katanya amat enak, dan kek ini memang terkenal di negara jiran dan dihidangkan semasa hari raya.


Kek Lapis Legit ini pernah tersiar dalam Majalah SAJI Edisi Ogos 2015 Raikan Syawal di SINI.

Bagi yang berminat, selamat mencuba tapi jangan banyak tanya pula kenapa sampai begitu banyak jumlah kuning telurnya... hihiiiii.... kejamnya! Apa pun, itulah keunikan satu-satu resepi!

Selasa, 25 Ogos 2015

Sedapnya Daging Rusa Pekasam Masak Lemak Cili Padi!

Assalamualaikum.....
Salam sehati sejiwa buat pengunjung dapur mayaku ini. Terima kasih kerana masih sudi terus bertandang, dan selamat datang buat follower baru yang menambah koleksi pengikut dapur kecil ini.
Hari ini Amie nak kongsi resepi daging rusa pekasam. He he heee.... ini pekasam buat sendiri tau. Walaupun ramai yang dah tahu cara-cara buat pekasam, tapi Amie kongsikan juga di sini buat rujukan pada masa akan datang. Sekarang ni kalau nak makan pekasam memang senang, sebab boleh beli tapi kalau daging rusa.... daging yang sekali-sekala ada di dapur, kalau teringin nak makan pekasamnya, kenalah usaha buat sendiri. Amie kongsikan cara Amie buat pekasam di bawah ini:
Bahannya hanyalah 700 gram daging rusa,15 keping asam gelugur dan 1 sudu besar garam. Hiris nipis daging rusa, dan kemudian susun berselang-seli dengan garam dan asam gelugur. Simpan dalam bekas kedap udara sekurang-kurangnya 3 hari sebelum dimasak... kalau simpan lebih lama lebih meresap mesralah garam dan asamnya. Tapi Amie ini tak berapa penyabar orangnya, jadi 3 hari menunggu hasil tu kira dah sampai tahap sehabis sabarlah...ha ha hahaha! Amie simpan dalam peti sejuk. Maaflah tak dapat kongsikan gambar proses membuat pekasam.... he he hee kang berbau pekasam pulak kameraku itu!

Inilah hasilnya Daging Rusa Pekasam Masak Lemak Cili Padi. Sedap betul makan dengan nasi panas... makan waktu tengahari tau! Barulah meleleh-leleh segala cucu cicit peluh!


Bahan-bahan:
700 gram daging rusa pekasam
500 ml santan 
1 batang serai - dititik
gula secukup rasa - tak payah bubuh garam sebab pekasam dah cukup masin dan masamnya

Bahan tumbuk:
20 tangkai cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm kunyit hidup

Cara:
1. Masukkan daging, santan, serai dan semua bahan tumbuk ke dalam periuk.
2. Masak dengan api perlahan dan kacau selalu sehingga kuah pekat.
3. Seimbangkan rasa masam masin dengan gula mengikut citarasa.
4. Padamkan api dapur.
5. Hidangkan dengan nasi panas.

Rabu, 19 Ogos 2015

Sedapnya Rendang Udang!

Orang kata kalau dah namanya udang, masak apa pun sodap!
Iyo laaaa tu!



Bahan-bahan:
1 kg udang saiz besar – bersihkan
500 ml santan pekat
3 sudu makan kerisek
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air
1 cawan hirisan daun kunyit
4 sudu makan minyak
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
15 biji cili padi
3 biji cili merah
3 cm halia
3 cm lengkuas
3 cm kunyit hidup
3 batang serai

Cara:
1     1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi.
2     2. Masukkan santan, dan bancuhan pati asam jawa. Masak di atas api sederhana sehingga mendidih.
3    3. Apabila kuah mulai pekat, masukkan udang bersama kerisek dan hirisan daun kunyit.
4    4. Kacau sekali-sekala sehingga terbit minyak.



Membebel: 
Lain kali kalau nak masak udang, buang siap-siap kulitnya tu... jadi ketika makan taklah buat dua kerja.... makan sambil kupas kulit udang.... hiks!

Ahad, 16 Ogos 2015

Laksa Penang .... Salam Rindu Yang Teramat Rindu!!!!

Salam rindu...
Rindu yang teramat rindu.... setelah memerap untuk tempoh yang agak lama selepas raya.... namun dapur kecilku tak mungkin daku lupakan! 
Selamat berhujung minggu buat semua. Puaslah sudah menjamu selera di sana dan di sini, mengunjungi rumah terbuka teman rakan, dan sahabat handai. Malam tadi Amie sekeluarga berkumpul sekali lagi di kampung, bersama ipar duai dan sanak saudara sambil menikmati juadah yang disediakan. He he heee.... sebenarnya Amie yang tolong kakak ipar sediakan juadah termasuk soto ayam, nasi minyak bersama lauk daging kurma, pajeri nanas dan beberapa jenis lagi. Harap semuanya berpuas hati... maklumlah, dalam kesibukan waktu diberi mandat pula untuk masak-masak. Letih memanglah tak boleh nak cakap! Ketika mereka sedang menikmati juadah sambil beraktiviti di beranda rumah, Amie terlelap di ruang tamu.... mmmm itu cerita semalam. Lupakan semua yang berlemak-lemak, tinggalkan segala kolesterol yang diternak, kita beralih kepada resepi hari ini... Laksa Penang!


Dulu... Amie pernah kongsikan resepi laksa DI SINI.Tapi itu Asam Laksa, bukannya Laksa Penang.


Makan sorang-sorang tak sedaplaaa.... 
Kena makan ramai-ramai baru ada ummppphhh!!!!.
Lagi pun kalau kita buat laksa, kita buat lebih. Makan sekali, nanti kejap lagi nak makan lagi dan lagi!

Jom kita intai resepinya... resepi yang memang sudah banyak orang tahu, tapi nak kongsikan juga di sini. Mana tahu ada pengunjung sesat atau adik-adik yang baru nak mula belajar buat laksa... bolehlah cuba.


Bahan-bahan: 
1 kg ikan kembung & 1/2 kg ikan selayang - rebus dan ambil isinya / kisar
2 bungkus laksa kering - rendam hingga lembut - celur
7 keping asam gelugur
10 tangkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan (belah 2)
1 sudu besar petis 
2 liter air
garam & perasa pilihan

Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
2 cm belacan
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih


Bahan pelengkap hidangan laksa:
1 biji timun - potong nipis
1 rumpun daun salad - hiris nipis
4 labu bawang besar - mayang
10 biji telur - rebus, kupas dan belah
1 biji nanas - buang kulit dan ricih-ricih
secekak daun pudina
5 biji lada merah - hiris nipis
limau kasturi - belah dua





Cara:
1. Satukan isi ikan dengan air rebusan, bahan kisar dan tambah air mengikut kepekatan yang diingini.
2. Masukkan daun kesum, asam gelugur, bunga kantan dan garam serta perasa pilihan.
3. Kuah hendaklah sentiasa dikacau agar isi ikan tidak berketul.
4. Masak sehingga asam gelugur kembang dan rasanya sebati.
5. Jangan biarkan kuah mendidih terlalu lama di atas api.
6. Hidangkan bersama laksa yang telah direbus dengan bahan pelengkap yang lain.

Jom makan sama.
Bismillah..... selamat tinggal Syawal.... in shaa Allah jumpa lagi!