ADSENSE

Selasa, 30 Jun 2015

Resepi Amie's Little Kitchen Di Majalah SAJI Edisi Julai 2015

Terima kasih daun keladi gajah.... buat pengarang Majalah SAJI, Encik Noor Joha Ahmad kerana telah memberi peluang sekali lagi dengan menampilkan 15 resepi Amie's Little Kitchen untuk turut memeriahkan ruangan masakan Istimewa Santapan Berbuka & Sahur. Kepada yang belum memiliki majalah kesayangan ramai ini, cepat-cepatlah dapatkan Edisi Julai 2015 ini di kedai-kedai berhampiran.
Sekali lagi Amie ucapkan terima kasih kepada Encik Joha Ahmad di atas jemputan sempena 20 tahun ulang tahun SAJI yang diadakan pada 14 Jun 2015 lepas di Saloma Bistro, Jalan Ampang. Sayangnya pada 10 Jun, Amie sudah terbang balik ke LD, jadi terlepaslah peluang untuk berkenal-kenalan dengan 'orang-orang SAJI'. In shaa Allah... ada rezeki yang lain, pasti akan bertemu jua.

 Antara resepi yang dipaparkan termasuklah....

 Asam Pedas Udang Harimau & Daging Rusa Masak Lengkuas

 Ayam Percik Jawa, Genjer Dengan Terung Pipit Tumis Ikan Masin, Nasi Lemak Seri Malaysia & Keluban Pucuk Labu.

 Telur Pindang & Soto Perut

 Daging Rusa Pekasam Lemak Cili Padi, Sup Tulang Rusa dengan Akar Teratai, Rendang Pedas Lokan & Brengkes Ikan Patin.

  Puding Markisa, Sagu Mangga Aroma Pandan & Pic Casablanca.

Sayur Kai Lan


Dulu, pulang dari sekolah, kami anak-anak tidak pernah bertanya kepada Bonda:
Mak sudah masak?
Mak masak apa hari ini?
Apa yang Amie ingat, Bonda sudah sediakan hidangan tengahari di bawah tudung saji. Kami yang keletihan mengayuh basikal dari sekolah hanya perlu membasuh tangan dan terus duduk bersila untuk menikmati hidangan.
Kami tidak pernah bertanya sebab kami tahu Bonda tidak pernah mengabaikan tugasnya memasak untuk keluarga. Lauk-pauk? Sekurang-kurangnya Bonda akan menyediakan dua menu termasuk ikan dan sayur-sayuran kampung.
Setelah Amie menjadi ibu, Amie akui tugas dan tanggungjawab seorang ibu sebenarnya bukan mudah. Apalagi jika ibu yang berkerjaya. Sudah tentulah perlu bijak mengatur masa antara tugas dan urusan rumahtangga.
Mommy sudah masak?
Mommy masak apa hari ini?
Pertanyaan sebeginilah yang Amie dengar setiap kali Fuad dan Fairuz pulang dari sekolah. Sebab apa? Sebab hidangan belum tersedia di atas meja. Biasanya pada masa itu  Amie sedang kelam-kabut di dapur menyediakan bahan untuk dimasak.
Sesibuk mana pun, Amie sentiasa memastikan hidangan untuk keluarga  akan tersaji untuk dinikmati bersama. Proses memasak sudah semestinya mudah, ringkas tetapi menghasilkan rasa lazat yang tidak terhingga! Bagaimana caranya? Sudah tentulah kita perlu ada pembantu!
Pembantu?
Pembantu rumah?
Oh! Tidak!
Kita hanya perlukan Maggi® CukupRasa™ ....


Inilah rahsia penyelesaian masalah Amie ketika di dapur, terutama di saat kesibukan sedang melanda.  Masaklah apa bahan makanan yang menjadi kegemaran anak-anak, dan olah mengikut cara masakan yang disukai,  kita hanya perlu tambahkan Maggi® CukupRasa yang membuatkan lauk biasa menjadi luar biasa enaknya.   Fuad dan Fairuz tidak perlu menunggu lama di meja makan, kerana hidangan segar dengan aroma yang menggoda selera siap dalam tempoh beberapa minit sahaja!
Amie memang sentiasa mempunyai simpanan   Maggi® CukupRasadalam kabinet dapur.  Maggi® CukupRasa yang diperbuat dengan bawang-bawang segar, garam, ikan bilis dan rempah mampu melazatkan pelbagai sajian untuk keluarga kecil Amie!
Di sini Amie ingin kongsikan resepi berasaskan sayur-sayuran yang mudah untuk disediakan tetapi dengan sentuhan akhir daripada taburan perencah Maggi® CukupRasa, menu ini menjadi begitu istimewa.


Jom kita lihat bagaimana  Maggi® CukupRasa mampu mengubah hidangan berasaskan sayur-sayuran ini menjadi  lebih lazat.

Resepi : Sayur Kai Lan
Bahan-bahan:
400 gram sayur kailan - potong sepanjang 3 cm - potong batang dan daun secara berasingan
5 batang putik jagung - potong serong
1/2 batang lobak merah - hiris bulat
200 gram udang - buang kepala dan kulit, tinggalkan ekor, belah bahagian belakang dan tarik keluar uratnya
1 labu bawang besar - potong dadu
2 ulas bawang putih - cincang
1/2 sudu besar Maggi® CukupRasa™
3 sudu makan minyak
Cara membuat:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar serta bawang putih hingga kekuningan.
2. Masukkan udang, lobak merah serta batang kailan. Gaul rata dan masak sehingga udang berubah warna.
3. Kemudian masukkan putik jagung serta daun kailan. Tutup kuali selama 2 minit.
4. Buka penutup kuali dan taburkan perencah Maggi® CukupRasa™

4. Buka penutup kuali dan taburkan perencah Maggi® CukupRasa™


5. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
6. Sedia untuk dihidangkan.

Sangat mudah bukan cara penyediaannya? Sudah tentulah anak-anak rasa tidak sabar untuk menjamahnya. Terhidu aroma bawang segar sahaja sudah cukup mengundang selera untuk menikmati hidangan yang baru diangkat dari dapur.

Mmmmm..... inilah hasil masakan yang tiada tandingan keenakannya! Biarpun menu ringkas namun mampu mengeratkan hubungan kasih sayang antara keluarga. Encik Suami nampak enak meratah sayur kai lan yang rangup, Fuad dan Fairuz sudah tentunya tidak akan meninggalkan sisa makanan di atas pinggan masing-masing.
Mungkinkah pertanyaan yang sering diulang-ulang itu:
Mommy sudah masak?
Mommy masak apa hari ini?
Sebenarnya membawa makna tersirat yang bermaksud anak-anak tidak sabar-sabar untuk menikmati hidangan yang lengkap enak  dengan  Maggi® CukupRasa seperti hidangan yang mereka nikmati sebelum ini?

Jangan lupa gunakan  Maggi® CukupRasa sebagai  perasa lengkap untuk anda sediakan apa juga jenis masakan! Selain menyebarkan aromanya yang tersendiri, ia mampu mengikat hubungan kekeluargaan anda kerana air tangan ibu tidak mungkin dapat dilupakan oleh anak-anak hingga akhir hayat mereka.

Khamis, 25 Jun 2015

Juadah Berbuka Puasa : Nasi Ayam, Kerabu Mangga & Jus Mangga

Ketika Amie duduk melepas lelah di bilik guru tengahari tadi, Fairuz (bersekolah sesi petang) tiba-tiba muncul menyerahkan kunci rumah.... hmmm... entah ke mana ghaibnya kunci rumah yang selalu Amie bawa! Terpaksalah berkongsi kunci pulak. Ketika Fairuz menghulurkan tangan untuk bersalam, Amie sempat pesan:
Adik belajar rajin-rajin ye.
Fairuz angguk.
Kerja rumah dah siap?
Tak ada kerja rumah, katanya.
Petang nanti Adik nak buka puasa apa?
Apa-apalah... yang penting ada ayam. Ada nasi.
Dan kemudian, sepantas kilat Fairuz mencium pipi Amie kiri dan kanan dan terus cepat-cepat berlalu pergi meninggalkan Amie.... hai! Agaknya malu kalau orang lain nampak perbuatannya tu kot....

Hmmmmm.... Kalau dah sebut ayam, sebut nasi pulak, maknanya nasi ayamlah tu!

Ketika pulang dari sekolah, Fairuz menjenguk ke dapur.... dan sudah tentulah hatinya gembira melihat kita sibuk menyiapkan juadah berbuka puasa seperti yang diingininya. Kemudian Fuad muncul, nampak sangat teruja wajahnya. Amie sangka Fuad akan komen masakan seperti selalunya, tapi lain pula tutur bicaranya...
Yuhuuuuu.... abang balik minggu depan! Teriaknya penuh gembira.
Oh! Abang Farid! Tak sangka masa berlalu begitu pantas. Esok 26 Jun, katanya habis peperiksaannya. Petang esok juga Abang Farid akan pulang ke kampung Nendanya di Bukit Hijau, Jeram. Nampaknya Abang Farid akan bersama keluarga di sana selama seminggu sebelum terbang balik ke LD!
Fuad & Fairuz nampak tak sabar-sabar menanti kepulangan Abang Farid. Walaupun selalu berkelahi tapi ikatan persaudaraan tak mungkin terlerai.... he he heee. Fuad mengharapkan Abang Farid dapat membimbingnya untuk lebih memahami mata pelajaran sains terutamanya Kimia dan Biologi. Fairuz pula banyak kali bertanya, boleh tak Abang Farid membantu meningkatkankan prestasi Matematiknya, sebab Fairuz sangat lemah dalam mata pelajaran ini.
Buat Abang Farid, inilah masanya untuk Abang Farid merapatkan hubungan bersama keluarga sebelah Mummy di Selangor. Pandai-pandailah menempatkan diri Abang Farid selama seminggu di sana yea.... 

Jom kita lihat resepi nasi ayam di bawah ini. Kali ini Amie gunakan beras basmathi sebab macam dah lama sangat beras itu tersimpan, takut bersarang kutu beras pula di dalamnya. Amie masak cara kukus, tapi kalau nak masak macam biasa dalam rice cooker pun boleh, cuma kena tambahkan sukatan airnya sahaja. Kalau nak tengok resepi nasi ayam Amie yang lepas, bolehlah klik DI SINI

Resepi Nasi Ayam
Bahan-bahan:
3 cawan beras basmathi - cuci dan rendam selama 20 minit - toskan
3 cawan air rebusan ayam (lihat resepi Sup Ayam di bawah)
1 sudu makan stok ayam pekat MAGGI
3 sudu makan marjerin
2 ulas bawang putih - hiris halus
2 cm halia - hiris halus
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1 helai daun pandan - siat-siat

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Sementara itu panaskan marjerin di dalam kuali hingga cair..
2. Masukkan bawang putih, halia, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan daun pandan. Tumis sehingga harum dan daun pandan layu.
3. Masukkan air rebusan ayam dan stok ayam pekat. 
4. Setelah air mendidih, masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan air mengering.
5. Pindahkan nasi ke dalam periuk pengukus.
6. Kukus selama 20 minit atau sehingga nasi masak.

Resepi Ayam Goreng
Bahan-bahan:
1 ekor ayam segar (seberat 1.5kg) - potong 4 bahagian - ketepikan sayap, kaki, leher dan tulang belakang bahagian dada ayam 
3 ulas bawang putih - tumbuk
2 cm halia - tumbuk
1 sudu teh lada putih - tumbuk
2 sudu makan stok ayam pekat MAGGI
2 sudu makan sos tiram
3 sudu makan Kicap Manis Cap Kipas Udang 
2 sudu makan minyak bijan - jika tidak suka, tak perlu bubuh
minyak untuk menggoreng
- kalau kurang masin atau suka masin tambahlah garam ikut citarasa

Cara:
1. Cuci dan toskan daging ayam sehingga kering.
2. Perap ayam bersama bawang putih, halia, lada putih, sos tiram, kicap manis, stok ayam pekat MAGGI  dan minyak bijan selama 1 jam.
3. Goreng tenggelam di dalam minyak yang banyak menggunakan api panas pada 5 minit pertama dan kemudian perlahankan api (sederhana panas) supaya isi ayam masak sekata.
4. Angkat setelah daging ayam masak atau berwarna emas keperangan.

Resepi Sup Ayam
Bahan-bahan:
2 kepak ayam, bahagian leher dan tulang belakang dada ayam serta kaki ayam - potong ikut suka
1.5 liter air (sebahagian air rebusan digunakan untuk memasak Nasi Ayam)
3 ulas bawang putih - pecahkan
1 labu bawang besar - belah 4
3 cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
3cm halia - diketuk
1 sudu teh lada putih - ditumbuk
garam / perasa pilihan
hirisan daun bawang / daun sup
bawang goreng
Cara:
1. Didihkan air di dalam periuk.
2. Masukkan semua bahan di atas kecuali lada putih, daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
3. Apabila kuah sup mula mendidih, perlahankan api dan tutup periuk.
4. Masak sehingga isi / ayam lembut.
5. Setelah sebahagian air rebusan / sup diambil untuk Nasi Ayam, barulah masukkan lada putih dan ketika menghidang jangan lupa taburkab hirisan daun sup / daun bawang serta bawang goreng untuk menambah kelazatannya!

 
Resepi Sos Sambal Nasi Ayam
Bahan-bahan:
2 biji cili merah - buang biji
9 biji cili padi minyak 
2 biji tomato merah
5 ulas bawang putih
3 cm halia
5 biji limau kasturi & 1 biji limau nipis - ambil jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas dan kisar halus.
Untuk mendapatkan rasa yang lebih mesra, sos sambal ini boleh disediakan lebih awal beberapa jam sebelum dihidangkan bersama Nasi Ayam.

Resepi Sos Kicap
Bahan-bahan:
2 biji bawang putih - tumbuk
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 cm halia - tumbuk
2 sudu makan sos tiram
5 sudu makan kicap manis Cap Kipas Udang
2 sudu makan minyak bijan
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dengan 1 cawan air

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas dan didihkan di atas api sederhana panas.
2. Masak sehingga kuah pekat.
3. Padamkan api dapur.




Oh! Amie terlupa fokus gambar Kerabu Mangga! Amie teringat beberapa tahun yang lalu makan nasi ayam di sebuah restoran di Bukit Bintang, kalau tak silap berhadapan dengan Hotel Federal, tempat penginapan kami semasa berkursus. Kami pesan Nasi Ayam Hainan, dan pilihan lauk lain ialah Kerabu Mangga.



 Mudah saja cara olahan kerabu tersebut. Amie cuba oleh sendiri dengan mencampurkan hirisan mangga (gunakan mangga yang tidak terlalu masam - Amie gunakan mangga madu, hirisan ciri padi, daun ketumbar, gorengan kacang tanah (Amie gantikan dengan kacang gajus) dan gorengan ikan bilis yang ditumbuk kasar. Taburkan secubit gula dan garam dan sejurus sebelum dihidangkan, perahkan sebiji jus limau kasturi di atasnya. Walaaaaa..... kita makan sampai tak nampak telinga!

Selasa, 23 Jun 2015

Juadah Berbuka Puasa : Sate Ayam & Daging, Sirap Buah Laici & Kuih-Muih

Assalamualaikum... entri berbuka puasa lewat dipaparkan ...
Hari ini tak sempat masak, mesyuarat hingga lewat petang. Setelah berbincang dengan kawan-kawan, kami ambil keputusan beli sajalah makanan di Bazar Ramadhan. Untuk pertama kalinya sepanjang berpuasa kali ini baru berkesempatan singgah di Bazar Ramadhan...

 Hidangan uatama, sate ayam & sate daging.

Amie pernah buat sate dan pernah kongsikan resepinya di dapur maya ini. Jika berminat bolehlah klik DI SINI. Boleh tengok sate ayam Amie yang gemuk-gemuk KING SIZE!  DI SINI, boleh pilih aneka jenis sate dan  boleh tengok resepi sate dari Singapura DI SINI.

Selain sate, Amie beli serba sedikit kuih muih seperti di bawah ini. Ada kuih berongko (dalam bungkusan daun pisang di belakang tu, Kuih gogos, dalam gulungan daun pisang di bahagian hadapan tu....





Dan satu lagi kuih tako... kuih ini khas untuk Firdaus. Hanya tinggal tiga saja, sebab tiga ketul lagi Firdaus dan buat 'buka puasa' dalam kereta semasa perjalanan mengambilnya dari kampung. Sukanya Firdaus makan kuih tako! Nampaknya Fuad, Fairuz dan Encik Suami tak berminat dengan kuih tako Firdaus tu... jadi simpan sajalah dalam peti sejuk, esok pagi boleh bawa buat bekal Firdaus.

Atas permintaan Fairuz, Amie buatkan Sirap Buah Laici. Nampaknya hanya minuman ini sajalah yang dapat Amie sediakan untuk juadah berbuka puasa kami pada hari ini.

Isnin, 22 Jun 2015

Juadah Berbuka Puasa : Mee Hoon Goreng Seafood, Sup Jagung Isi Ketam & Koktel Buah-Buahan

Tak terasa hari ini sudah masuk hari kelima umat Islam berpuasa. 
Alhamdulillah.... syukur kepada Allah di atas segala nikmat yang diberikan oleh-Nya.

Terima kasih buat anak-anak dan juga Encik Suami kerana tidak cerewet memilih hidangan berbuka puasa. Apa yang Amie hidangkan itulah yang mereka makan tanpa banyak soal. Hampir lewat petang, barulah sempat sediakan juadah berbuka puasa. Masak ringkas-ringkas saja. Sebelum menjelang waktu berbuka, semuanya sudah tersedia. Hidangan utama, Mee Hoon Goreng Seafood, dengan iringan Sup Jagung Isi Ketam dan Koktel Buah-Buahan.

Sup Jagung memang salah satu menu kegemaran anak-anak. Cuma kali ini Amie terlebih rajin, Amie bubuh isi ketam. Biasanya Amie beli isi ketam sebab malas nak korek isi ketam. Jadi, dalam masa yang singkat, mudah sangatlah kerja menyiapkan sup ini. Untuk lebih enak, Amie tambahkan setengah sudu makan stok ayam pekat. Cukuplah rasanya tu, sebab jagung krim pun sudah ada perasanya yang tersendiri. Kalau anda rajin, gunakanlah air rebusan ayam untuk rasa yang lebih segar dan lazat!

Amie kongsikan resepinya di bawah ini. Sebenarnya kalau kita ada simpanan jagung krim, dan sebiji telur, sudah mencukupi untuk membuat sup jagung yang ringkas. Fairuz dan Fuad pun pandai buat sup begini, sebab selalu tengok Amie buat kot he he hee....

Bahan-bahan:
1 tin jagung krim
1/2 cawan isi ketam
300 ml air
1 biji telur - pukul ringan 
1/2 sudu makan stok ayam pekat
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dengan 20ml air

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk.
2. Masukkan jagung krim bersama isi ketam.
3. Setelah mendidih sekali lagi, tambahkan stok ayam pekat. Kacau sebati.
4. Masukkan bancuhan tepung jagung dan terus kacau sehingga kuah hampir pekat.
5. Tuangkan sedikit demi sedikit telur, tangan kiri menuang telur, tangan kanan teruskan mengacau sup jagung sehingga habis telur yang dituang tadi.
6. Segera padamkan api dapur.
7. Sup Jagung Isi Ketam sedia untuk dihidangkan bersama bahan hiasan yang disukai.

Koktel Buah-Buahan ini juga mudah untuk disediakan kerana hanya tuangkan segala bahan dari dalam tin ke dalam mangkuk besar.Tak perlu tambahkan sebarang manisan lagi sebab air buah sudah cukup manis.

Amie gunakan dua tin buah laici, 1 tin buah pic,  serta dua tin susu cair. Kemudian Amie tambahkan ketulan ais batu untuk menjadikannya lebih sejuk, dan segar bila diminum. Senang saja kaaannn...... terasa harumnya buah laicinya tu apabila dinikmati!
Wokeyyy.... jumpa lagi.


Ahad, 21 Jun 2015

Juadah Berbuka Puasa : Soto Ayam, Kerang Masak Sate @ Kuah Kacang dengan Nasi Himpit & Sirap Buah-Buahan

Ramadhan sudah masuk hari keempat.
Semoga kita terus meraih segala keberkatan sepanjang tempoh kita berpuasa... in shaa Allah.


Hari ini Amie sempat sediakan soto ayam sebagai menu utama berbuka puasa untuk keluarga kecil kami. Pada masa yang sama, terpandang isi kerang yang sudah sekian lama tidak berusik... eloklah masak saja, boleh makan dengan nasi himpit yang memang sudah tersedia sebagai bahan pelengkap soto ayam. Jadi, isi kerang itu Amie olah menjadi Kerang Masak Sate @ Kuah Kacang.
He he heee... makin lama gambar makin tak betul pulak, sebab ambil dekat-dekat nak buka puasa. Apa tidaknya, semua masakan siap menjelang waktu berbuka. Suasana pun sudah gelap. Tangkap sajalah mana yang dapat.

Sambil sediakan soto dan rakan-rakan yang akan bergaul semangkuk dengannya, Amie renih biji barli dan rendam biji selasih. Kemudian Amie tambahkan sirap pisang dan susu cair serta buah-buahan dalam tin. Itulah pembasah tekak kami anak-beranak.

Cerita tentang soto memang panjang dan lebar! Kepada yang berminat bolehlah selongkar dapur Amie di sini : Soto Ayam. Kepada yang nak tutorial tu, dipersilakan dengan segala senang hati. Pasti hasilnya menjadi! Tapi bersyarat... mesti sabar.... Kena siapkan banyak benda termasuk pegedil, bawang goreng, kacang tanah goreng, suhun goreng, nasi himpit dan macam-macam lagi. Apa pun lain orang lain citarasanya, lain olahan sotonya. Bagi Amie, semua jenis soto Amie suka, tak kiralah soto banjar, soto perut dan sebagainya.

Mmmmm... Soto Ayam kami, mesti ada kacang tanah gorengnya.... jangan lupa masukkan taugeh dan kemudian tuangkan kuahnya yang panas dari periuk! Kalau pandai buat taugeh berekor pendek, itu lebih baik sebab rasanya tentulah lebih lemak dan rangup berbanding taugeh ekor panjang yang kita beli. Sebaiknya gorenglah bawang sendiri supaya rasanya lebih harum dan enak!

Di sini Amie kongsikan resepi Kerang Masak Sate @ Kuah Kacang. Biasanya kalau kami buat masakan begini, Bonda siap pesan awal-awal lagi, jangan tumbuk kacang tu sampai lumat! He he hee....

Bahan-bahan:
1 kg isi kerang
2 cawan kacang tanah goreng yang telah ditumbuk kasar
200 ml santan pekat
4 cawan air
1 sudu makan pati asam jawa
2 batang serai - dititik
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
garam & gula secukupnya
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
20 biji cili kering
5 ulas bawang putih
10 biji  bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm halia
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Masukkan kesemua bahan kisar bersama serai, kulit kayu manis dan bunga lawang. Tumis sehingga terbit minyak.
2. Masukkan asam jawa, gula serta kerang dan gaul rata.
4. Tambahkan air dan biarkan hingga mendidih.
5. Masukkan kacang tanah diikuti dengan santan pekat dan perlahankan api. Biarkan sehingga naik minyak, dan kacau sekali-sekala sehingga kuah menjadi pekat.
6. Perasakan dengan garam. 
7. Padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.

Bolehlah makan kerang masak sate dengan nasi himpit... minta  nasi himpit sikit daripada soto ayam! Cerita tentang kerang masak sate ni, memang rindu sangat nak makan dengan keluarga di Selangor... sebab kalau hari raya kami memang tak tinggalkan menu kerang... kerang masak sate, kerang rendang dan macam-macam resepi lain! Maklumlah... senang nak dapat bekalan kerang, jadi hari raya pun dihidang dengan kerang juga... hihihiii...!

 Jemput semua....


Sabtu, 20 Jun 2015

Juadah Berbuka Puasa : Nasi Lemak Sambal Udang, Agar-Agar Gula Apong & Sirap Pisang Biji Selasih

Semalam anak-anak jalan kaki ke masjid untuk berterawih. Eloklah tu... tak payah naik kereta, nak cari tempat letak kereta pun susah, halaman masjid penuh, kiri kanan jalan pun sama. He he hee... terbakar juga kilo-kilo kalori lepas berbuka puasa! Jadi, tak salah kan kalau kita hidangkan nasi lemak untuk berbuka puasa....

Encik Suami nampak tak berapa sihat. Pulang dari tempat kerja tengahari tadi, sebaik sahaja solat Zohor terus tidur bersama Firdaus. Katanya kepalanya rasa sakit berdenyut-denyut sejak kelmarin. Nampaknya Encik Suami mengambil tempat Amie sebab hari sebelumnya Amie yang rasa nak demam. Al-maklum sajalah... kami berdua bersengkang mata menjaga putera bongsu kami, Firdaus yang terkena sakit cacar. Bila Firdaus sudah sihat, kami pula yang sakit. 
Biarlah dua beranak itu tidur....
Amie menyelinap ke dapur. Buat apa yang patut. Hmmmm... dapur pun rupa kapal karam! Hihihiii.... jom kemas mana yang patut sambil cari idea nak masak apa untuk juadah berbuka puasa.

Alhamdulillah... hidangan Nasi Lemak Sambal Udang siap juga akhirnya sebelum tiba waktu berbuka. Amie lengkapkan dengan Agar-Agar Gula Apong sebagai pencuci mulut, dan air Sirap Pisang Biji Selasih.

Ini Agar-Agar Gula Apong yang pertama kali Amie buat. Lain kali Amie buat cantik-cantik sikit dan kongsikan resepinya. Kali ini, minta maaf ye... kelam kabut nak buka puasa sampai tak sempat nak ambil gambar... ahaks!
Encik Suami siap berpesan, selepas solat terawih katanya nak sambung makan nasi lemak. Katanya, sambal udang yang Amie masak... sambal udang yang paling sedap pernah dia makan! He he hee... Amie ingat pada mulanya nak kongsi resepi Agar-Agar Gula Apong (Encik Suami kata sedap), tapi bila Encik Suami kata sambal udang tu paling sedap, Amie kongsikan sajalah resepinya di sini sebab takut terlupa bahan yang Amie gunakan. Nampaknya masak main campak-campak hasilnya lagi sedap yea... Bolehlah Amie gunakan resepi ini lain kali. Untuk resepi nasi lemak, bolehlah klik di sini:
Aneka Pilihan Resepi Nasi Lemak, ada macam-macam resepi nasi lemak dan lauk-pauk pilihan. Dan bagi adik-adik dan anak-anak dara yang nak tutorial masak nasi lemak bolehlah jenguk sini:  Enaknya Resepi Tradisi : nasi Lemak Oh Nasi Lemak! Kalau nak merasa hidangan nasi lemak dari negara jiran, jemputlah ke sini: Nasi Lemak : Asian Food Fest - Singapore.

Kepada yang ingin mencuba resepi Sambal Udang, bolehlah tengok bahannya di bawah ini. Amie tidak gunakan belacan seperti selalu sebab stok belacan sudah habis, jadi Amie gantikan dengan udang kering. Selain itu Amie tambahkan buah keras untuk memekatkan kuah sambal. Udangnya pula Amie goreng dulu supaya tak keluar air semasa ditumis bersama sambal. Nah! Gandingan mantap bukan... udang sudah digoreng, bahan kisar mengandungi buah keras yang akan memekatkan kuah dengan cepat, dan gula melaka yang turut membantu mencantikkan warna sambal... mmmmm... perasan sendiri nih!

Bahan-bahan:
500 gram udang kertas - bersihkan - belah belakang dan tarik uratnya - gaul dengan secubit garam - ketepikan
20 biji mata petai

1 sudu makan pati asam jawa
1/2 cawan gula melaka yang dihancurkan
1 batang serai - dititik
garam secukup rasa
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
5 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1 labu bawang besar
3 biji buah keras
3 sudu makan udang kering - rendam hingga lembut
1 cm halia

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng udang sehingga berubah warna. Angkat dan ketepikan.
2. Gunakan minyak gorengan udang tadi dan tumis semua bahan kisar dengan api sederhana panas hingga pecah minyak. 
3. Masukkan serai, asam jawa dan gula melaka. 
4. Setelah sambal berubah warna dan sebati, masukkan udang bersama petai.
5. Masukkan garam secukup rasa, dan gaul rata.
6. Setelah mata petai berubah warna, padamkan api dapur.