ADSENSE

Sabtu, 30 Mei 2015

Ikan Salmon Panggang & Air Asam

Selamat berhujung minggu dan selamat bercuti....cuti sekolah.
Di tempat Amie orang kampung sibuk buat kenduri arwah. Biasanya yang dipanggil orang lelaki saja, yang perempuan pula hanya saudara mara terdekat sahaja datang membantu atau rewang. Encik Suami bersama anak-anak hadir ke majlis kenduri selepas Zohor. Nampaknya belum nampak kelibat kepulangan mereka...
Mari kita cerita tentang resepi hari ini. Resepi 'orang bujang'.....
Biasanya ikan salmon panggang orang akan makan dengan pelbagai jenis sos ala barat seperti sos putih, sos hijau, sos lemon, sos kiwi, dan macam-macam lagilah jenisnya. Amie teringin pula merasa salmon panggang cicah air asam! Tak salah kalau kita mencuba bukan?

Amie perap gunakan sos lada hitam. Amie tak tambah garam, cuma renjiskan dengan sedikit minyak zaitun. Ringkas sangat cara Amie perap! Orang kata kalau perap lebih lama rasanya lebih sedap sebab bahan perapan akan meresap ke dalam. Sayangnya Amie tak berapa minat perap ikan ini lama-lama sebab Amie nak rasa kesegaran isinya! Terpulanglah ikut selera, cara dan citarasa masing-masing.

Mmmm.... lupakan dulu segala sos yang biasa dihidangkan bersama salmon panggang, lupakan juga brokoli dan sayur-sayur ala-ala barat itu he he hee.... Kita hidangkan salmon panggang dengan air asam, dan juga sayur-sayuran yang biasa kita jumpa.

Wokeeeyyyy.... resepinya di bawah ini. Jangan panggang lama-lama, nanti hilang kesegaran dan kelembutan isi ikan salmon.

Bahan-bahan:
2 keping ikan salmon
2 sudu makan sos lada hitam
1 sudu makan minyak zaitun
2 sudu makan mentega
grill pan

Cara:
1. Bersihkan ikan salmon dan toskan.
2. Sapukan sos lada hitam secara merata ke seluruh permukaan ikan salmon.
3. Renjiskan minyak zaitun di kedua-dua belah kepingan ikan.
4. Perap seketika.
5. Panaskan grill pan, dan letakkan mentega.
6. Letakkan kepingan ikan salmon dan panggang lebih kurang 2- 3 minit dan kemudian balikkan ikan supaya masak kedua-dua belahnya.

Dah keluar dari grill pan, sebaiknya boleh terus makan. Tak perlu tunggu lama, atau sehingga ikan sejuk, nanti rasanya tak berapa ummpphhh! Amie makan dengan nasi.... he he heee sebenarnya dah ratah sekeping sewaktu memanggang!
Air asam? Buat macam biasa.... macam kita sediakan air asam untuk cicah dengan ikan kembung, ikan cencaru, ikan terubuk dan ikan-ikan yang kita selalu makan tu.

Jumaat, 29 Mei 2015

Udang Goreng Bersarang

Jom buat sarang.... sarang apa ya? Kita buat sarang untuk isi udang. Bukan isi telur walaupun sebenarnya sarang ini bahannya telur! Alhamdulillah... lama sungguh, dan berkali-kali mencuba akhirnya setelah bertutorial dengan penuh tekun dengan Encik Google, inilah hasilnya sarang telur yang Amie hasilkan buat pertama kalinya! Itu pun ... sebelum ini rasa macam malas nak buat sebab beberapa kali cuba tapi asyik tak menjadi!

Okeylah kaaann... percubaan yang agak menjadi juga walaupun sarangnya tak 'selebat' mana. Lain kali boleh buat lebih, bagi nampak timbunan sarangnya tu. Ada yang goreng udang dulu, dan kemudian baru sediakan sarangnya. Tapi Amie buat sarang dulu sebab nak pastikan sarangnya menjadi....hiks!

Bahan untuk sarang:
2 biji kuning telur gred AA
1 cawan minyak
2 sudu makan mentega

Cara:
1. Pukul ringan kuning telur.
2. Panaskan minyak bersama mentega di dalam kuali.
3. Gunakan senduk bulat untuk membuat pusingan sehala di dalam kuali.
4. Setelah minyak benar-benar panas, teruskan memusing minyak menggunakan tangan kanan, tangan kiri pula angkat kuning telur agak tinggi dan tuangkan ke dalam minyak gorengan. Teruskan memusing sehala dengan laju sehinggalah habis kuning telur yang dituang tadi.
5. Bila sarang telur kelihatan kuning keemasan, bolehlah angkat dan toskan minyaknya.

Wokey.... selesai satu kerja!

Kita sediakan pula udang goreng dan bahan untuk udang bersarang.

Bahan-bahan:
12 ekor udang kertas saiz sederhana besar - bersihkan - belah belakangnya dan tarik keluar urat urat - gaul udang tadi dengan secubit garam dan goreng hingga masak - angkat dan toskan
7 biji cili padi - hiris
1/2 sudu teh lada putih - tumbuk
1/2 sudu teh perencah MAGGI Cukup Rasa
3 ulas bawang putih - cincang
2 tangkai daun kari - lurutkan daunnya
2 sudu makan mentega
3 sudu makan susu cair

Cara:
1. Panaskan mentega dalam kuali dan tumis bawang putih hingga wangi.
2. Tambahkan hirisan cili padi dan daun kari. Gaul rata.
3. Masukkan susu cair, lada putih dan perencah Cukup Rasa.
4. Setelah bahan tumisan mulai memekat, masukkan udang dan kacau sekali dua. Padamkan api dapur.
5. Masukkan sarang telur tadi, dan gaul bersama udang.
6. Siap untuk dihidangkan.



Bila dah berjaya 'sedikit' buat sarang ini, barulah terasa rupanya tidaklah sesusah mana....! Lain kali kita cuba buat lagi ye...

Isnin, 25 Mei 2015

Daging Rusa Masak Sos Lada Hitam

Daging Rusa Masak Sos Lada Hitam.... masakan kegemaran anak-anak. Bukan apa, masakan bersos itulah yang selalu Fuad & Fairuz nanti-nantikan. Tak kisahlah masak ikan atau daging! 

Bahan-bahan:
700 gram daging rusa - hiris nipis
2 biji kentang - potong dadu
1/2 batang lobak merah - potong sepanjang 3 cm
4 batang putik jagung - potong serong
1 sudu teh lada hitam - tumbuk kasar
3 sudu makan sos lada hitam
2 sudu makan kicap manis
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh serbuk pati ayam
3 helai daun limau purut
2 cawan air
4 sudu makan minyak

Bahan hiris:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
3 cm halia

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga harum.
2. Masukkan daging rusa. Masak sehingga daging kelihatan layu - berubah warna.
3. Tambahkan air dan biarkan masak dengan api perlahan sehingga daging hampir empuk.
4. Masukkan sos tiram, kicap manis, sos lada hitam, lada hitam tumbuk, kentang dan lobak merah.
5. Masak sehingga kentang empuk dan kemudian masukkan putik jagung, daun limau purut serta serbuk pati ayam.
6. Kacau sebati.
7.Padamkan api dapur

Selamat menjamu selera!

Sepetang di Rumah Waritie....

Kelmarin hari Ahad.
Alhamdulillah... dapat jemputan makan-makan di rumah kawan.
Bila dengar ada hidangan soto.... terus sediakan perut kosong sebab nak makan soto puas-puas... he he heee!

Bukan selalu kami dapat merasa Soto Banjar hasil air air tangan rakan kami, Waritie. Amie menambah sekali lagi, apalagi bila Waritie kata banyak pegedil yang dibuat, kami pun terus makan sepuas-puasnya!
Sebelum itu Amie sempat tangkap gambar di sekitar rumah Waritie, yang terletak di Kampung Sapagaya, Lahad Datu. Bertahun juga lamanya Amie tak berkunjung ke rumahnya. Setiap kali menjelang hari raya memang Waritie akan menyediakan Soto Banjar untuk dihidangkan kepada tetamu.... kamilah di antara para tetamunya!
Barangkali rindu suasana kampung yang tenang dan damai, Amie tidak lepaskan peluang merakam persekitaran rumah Waritie untuk kenang-kenangan.

Berdiri di atas tangga rumahnya, mata terus terpandang pokok mangga dengan buah-buah mudanya yang bergayutan di seberang sana!

Hati rasa tenang melihat keindahan bunga kecil tumbuh rimbun di tepi tangga..... bunga melati ke?

Manalah kita tak asyik nak 'menembak' buah-buah mangga muda yang bergayutan di hujung julai!

Di bawah rumahnya pula, pelbagai jenis tanaman dalam pasu yang subur hijau merimbun. Waritie memang punya tangan sejuk! Amie pun tak tahu apa nama pokok yang ditanamnya itu. Ketika Amie tangkap gambar, Waritie sibuk di dapur menyiapkan hidangan untuk kami.

 Cuba lihat gambar di bawah ini. Dah lama Amie tak lihat....

Hmmm... bunga kenanga! Bunga klasik.... Teringat masa kecil dahulu, Bonda suka masukkan bunga kenanga dalam minyak rambut! Kata Bonda, biar minyak berbau harum!

 Cantik sungguh anggerik putih menyerikan laman!

Bila bergerak ke bahagian belakang rumahnya, ada pelbagai jenis tanaman herba dan sayur-sayuran. Ada pokok limau purut, limau kasturi, pokok cekur dan segala macam tumbuhan lain.

Lihatlah cili padinya yang subur. Sekarang ini.... nak beli cili padi pun berkira juga sebab harganya yang naik mendadak.... Kalau ada pokok cili di belakang rumah, senangkan bila nak masak terus petik seberapa banyak yang kita suka!


 Memang tak cukup mata rasanya bila melihat pokok itu da pokok ini....

 Entah pokok apa ini.... bersebelahan dengan pokok mangga. 
Tapi yang di bawah ini tentu semua orang kenal... pokok kari!

Rumah Waritie gaya rumah tradisional. Tiangnya tinggi, dan ada kolong di bawahnya (dah terikut cakap 'kolong'...eh... faham ke kawan-kawan apa itu kolong? Kolong tu... bahagian bawah rumah.

Susah nak lihat kawasan persekitaran rumahnya yang kosong. Semuanya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Dah puas ambil gambar, Amie pun naiklah ke rumah.....

 Amboooiii... Amie ini mengalahkan wartawan majalah pulak iyaaa.... 
Habis semua sudut rumah dibelek, tapi bila nak tulis tak tahu pulak apa yang nak diterangkan he he heee....

 Ini pemandangan di bahagian anjung, sebelum masuk ke dalam rumah.

 Tangkap sajalah mana-mana sudut yang Amie rasa menarik!

 Menjenguk saja ke bahagian dalam, mata terus terpandang ruangan ini.

He heheee... dah bagi tahu tadi, hanya mampu tangkap gambar tapi tak tahu nak bercerita!
 Rasa sangat santai berada di ruangan ini!

 Sentuhan tangan Waritie memang menjadi!

 Pelbagai barangan antik yang unik dan menarik tersimpan di sini.

 Seronoknya berada di ruangan yang bersih, kemas dan selesa!

Tetamu kedua yang tiba selepas Amie... Pyan... terpegun menyaksikan hiasan dalaman di sini! Kata Waritie, rumah ini berusia lebih 30 tahun, dan bahan binaannya daripada kayu serangan batu.

Waritie sediakan kami minuman buang panas. Rebusan barli, campur dengan biji selasih dan cincau serta laici. Ah! Nyamannya! Sambil tangkap gambar, berhenti seketika meneguk minuman yang enak ini. Entah berapa gelas masuk dalam perut!

 Menjenguk ke ruang dapur...

Wah! Memang kami tetamu istimewa yang diraikan Waritie... Tu! Siap dengan kek lapis sebagai salah satu hidangan untuk kami!

 Mengintai seketika di bahagian belakang dapur. Ada lagi anjung di situ...

 Senangnya nak petik mangga!

Waritie dah beberapa kali jemput kami minum, basahkan tekak tapi Amie masih tak puas-puas mengambil gambar.

 Tak tahu lagi nak terangkan...


 Menurut Waritie, pinggan ini pinggan zaman dulu, dilukis tangan.

 Ini kiriman dari sahabat luar negaranya, sahabat pen pals.... dari Korea.

 Congkak ini... diperbuat daripada kayu belian.



 Ini pula kata Waritie gelang pusaka keturunannya, Buton. Dipakai semasa menjadi raja sehari.

 Kitab lama merupakan salah satu koleksinya.


Waritie masih menyimpan sampul surat lama yang dialamatkan untuk ayahnya. Katanya... dia suka melihat tulisan di luar sampul surat itu!

 Ini buah labu. Labu yang betul...bukan labu ukiran. Labu sayongkah ini?

Ini pula sejenis kacang. Ada biji di dalamnya... Amie pun dah lupa apa Waritie bagitahu tentang kegunaan biji kacangnya tu!

Wokeeyy...okeeyyy...kokeeeeyyy... saya datang! Dah berapa kali dipanggil Waritie untuk makan soto! Harum bau kuah soto memang sangat menggoda! Selain soto, Waritie hidangkan kami ayam kuah kacang... woooo... rasa macam raya pulak!

Jemput... jemput!

 Silakan Pyan.... pelan-pelan!

Ini ayahanda Waritie. 
Jemput makan pisang. Katanya pisang itu dari kebunnya.
Katanya lagi, beliau rasa gembira bila kawan-kawan Waritie datang.
Waritie ikut jejak arwah ibunya, sambung beliau lagi.
Ibu Waritie suka masak, jadi sekarang Waritie yang menyambung bakat arwah ibunya.
Amie tambah.... Waritie suka masak, dan pandai masak!


Pada mulanya kami makan di ruang tamu, tapi akhirnya berpindah ke anjung bahagian dapur, sebab di situ terasa nyamannya dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa!

 Sebahagian daripada rakan-rakan yang datang.

 Sambil menghirup soto, sambil mendengar bunyi angklong ditiup angin.

 Lepas menjamu selera, kami turun ke bawah.

 Sempat lagi Victoria bawa pulang anak benih cili padi!

 Geram tengok pokok daun sup yang tumbuh subur berpasu-pasu!

 Sesi memetik buah mangga!

He he heee... dah turun ke bawah rumah, naik semula ke atas sebab ada sesi.... tapau-manapau seperti di bawah ini!

 Eh!
Tiba-tiba terasa macam jadi wartawan Anjung Serilah pulak!