ADSENSE

Jumaat, 30 Januari 2015

Sedapnya Kek Lumut!

Terima kasih buat empunya resepi Kek Lumut yang sangat sedap ini : DAYANG JACK, dari Dapurku Sayang. Ini merupakan kali pertama Amie cuba resepi Kek Lumut dari dapur beliau, dan entah kali keberapa Amie cuba pelbagai resepi  kek yang lain dari dapurnya. Terima kasih banyak-banyak DJ! Moga DJ kembali aktif berkongsi resepi dengan kami ye....

Mmmmm.... rasa tak sabar nak makan Kek Lumut ini tau!

Gambar pun simple dimple saja ni, kek posing atas redai aje, tanpa sebarang aksesori. .... sebab dah ada yang sedang menunggu, tak sanggup nak tunggu lama-lama nak makan Kek Lumut yang orang kata sangat sedap! Jadi, jamu mata sajalah dengan gambar yang sempat Amie ambil ini yea....
Berbaloi-baloi sangat rasanya walaupun dah lama tak mengukus kek. Amie gunakan separuh adunan dari resepi asal, dan dapat jimatkan masa yang sepatutnya kukus selama 4 jam untuk satu adunan. Jadinya, Amie hanya perlu tunggu 2 jam 1/2 sahaja sehingga kek ini masak sempurna. Biar pun hanya 1/2 adunan tapi banyak pulak hasilnya... dapat pula hantar ke kampung, dan bawa ke tempat kerja!

Semua memuji keenakan Kek Lumut ini... tak seorang pun yang kata tak sedap! Baik di kampung... ipar duai dan anak buah, mahu pun rakan-rakan di tempat kerja! Istimewanya Kek Lumut ini tidak menggunakan sebarang agen penaik! Tapi.... teksturnya lembut, gebu.... lembap! Rugi rasanya tak cuba dari dulu-dulu.... ini kes ketinggalan keretapilah nih!
Kata Dayang Jack, Kek Lumut ini ada banyak versi mengikut citarasa masing-masing. Apa pun resepi asalnya sudah tentunya menggunakan bahan-bahan seperti serbuk horlicks, seri kaya dan nestum. Katanya lagi, sesetengah resepi Kek Lumut menggunakan tepung Samolia atau tepung Almond, tapi penggunaan tepung gandum pun masih dapat mengekalkan kelazatannya! Untuk resepinya, Amie panjangkan dari dapur Dayang Jack di bawah ini:

Bahan-bahan untuk 1/2 adunan : loyang 7 " x 7 "
  • 1 cawan tepung gandum (diayak)
  • 1 cawan horlicks - Amie tambah 1/2 cawan nestum
  • 3/4 cawan gula halus
  • 250 g mentega
  • 4 biji telur A
  • pewarna hijau secukupnya (dyg guna 1 sb pandan paste Cap Kopoe-Kopoe)
  • 4 sudu besar seri kaya
  • 1/4 cawan susu pekat manis
  • 1 sk esen vanilla
Cara-cara :
  1. Sediakan pengukus. Didihkan air. Griskan Loyang dgn mentega dan taburkan dengan sedikit tepung.
  2. Pukul mentega bersama gula halus hingga kembang dan berkrim. Gunakan kelajuan maksima.
  3. Masukkan telur sebiji dan pukul hingga sebati (guna speed sederhana). Kemudian, masukkan lagi sebiji telur dan pukul lagi. Ulangi proses ini sehingga habis.
  4. Masukkan susu dan serikaya. Ratakan.
  5. Masukkan tepung sedikit demi sedikit diselangselikan dengan horlicks dan gaulkan sebati.
  6. Masukkan pewarna hijau dan esen vanilla. Sebatikan.
  7. Tuangkan adunan ke dalam Loyang dan tutupkan dgn kertas foil.
  8. Kukuskan selama 2 1/2jam. (tambah air panas jika hampir kering)


Masih terasa-rasa betapa sedapnya Kek Lumut ini.... tapi dah habis! In shaa Allah akan buat lagi....

Mengukus kek sampai ke pagi,
Lupakan bantal, lupakan selimut,
Tak cukup sepotong nak makan lagi,
Itulah bahayanya resepi Kek Lumut!

Resepi Mudah : Ayam Goreng Berlada

Anak puyuh terlari-lari,
Sampai ke kolam mendabik dada,
Apa menu hidangan tengahari,
Masak Ayam Goreng Berlada.

Jemput makan... 
Sepinggan nasi putih panas dengan lauk Ayam Goreng Berlada... sampai terlupa nak masak sayur sebab tak sabar nak rasa masakan ayam tu! Bukan apa... dah lama sangat tak masak begini. Mudah, cepat tapi sodaaappp!

Kalau nak cuba, dipersilakan dengan segala senang hati. Jangan risau, tak banyak bahan yang digunakan. Cuba tengok resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong 8 bahagian - perap seketika dengan 1 sudu teh garam dan 1 sudu teh serbuk kunyit
5 helai daun limau purut
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 batang serai - dititik
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar (jangan terlalu halus):
10 biji cili merah
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm halia

Cara:
1. Goreng daging ayam hingga separuh masak.
2. Gunakan 4 sudu makan minyak bekas gorengan ayam tadi, dan tumis bahan kisar.
3. Masukkan serai dan terus tumis hingga pecah minyak.
4. Masukkan ayam goreng dan bancuhan air asam jawa.
5. Masak dengan api sederhana panas sehingga kuah lada menjadi pekat dan daging ayam masak sempurna.
6. Masukkan bawang besar daun limau purut, garam / gula / perasa pilihan.
7. Gaul seketika sehingga daun limau purut mengeluarkan aroma dan berubah warna.
8. Padamkan api dapur.


Terima kasih anak-anakku kerana mengatakan masakan Ayam Goreng Berlada ini sedap! Alhamdulillah....

Khamis, 29 Januari 2015

Kek Lapis Kukus Cream Cheese Sudah Semestinya Sedap!!!!!

Sebenarnya ... entah berapa lama nak buat kek ini, tapi asyik tertunda-tunda.
Sehinggalah berlaku peristiwa peti sejuk tak berfungsi dua hari lepas.... menyebabkan Encik Suami terpaksa pindahkan bahan makanan sejukbeku ke tempat kakaknya. Takkanlah nak bawa semua isi perut peti sejuk dan menumpang... penuh sesaklah peti sejuk orang!
Sementara menunggu peti sejuk baru tiba (Encik Suami yang rajin membandingkan harga, kualiti dan entah apa-apa lagi menghabiskan masa sepetang kelmarin keluar masuk kedai ), eloklah periksa dahulu bahan-bahan yang memerlukan hawa dingin, dan boleh diselamatkan.... termasuklah sekotak cream cheese yang Amie memang cadang nak gunakan untuk buat Kek Lapis Kukus Cream Cheese ini.

Kelmarin, sambil masak nasi.... Amie kelam kabut sediakan bahan untuk kek ini. Bukan apa... kelam kabutnya itu sebab takut cream cheesenya menjadi buruk kalau terlalu lama disimpan pada suhu bilik. Jadi, sambil menikmati makan tengahari yang terlewat (merangkap makan malam... sebab hampir pukul 3 petang baru dapat makan), sambil-sambillah pulak kita mengukus!

Dah siap kukus kek, kenalah sejukkan dulu baru boleh potong. Belum pun kek sejuk, jam sudah menunjukkan pukul 4.30 petang.... kita ni konon-kononnya kalau menjelang petang pergi jogging ha hahahaa... caranya: Encik Suami bawa kereta perlahan-lahan, Amie berjalan laju ala-ala jogging dari simpang jalan besar menuju ke kampung! Adalah 3 kali naik bukit... tertonggek-tonggek bawa diri yang sememangnya montel & comel tu. Dapatlah melangkah lebih kurang 3 kilometer setiap petang. Sampai kampung, kami ambil Firdaus bawa pulang. 
Ada pun ceritanya.... sedang kita jogging, telefon berdering. Farid telefon dari rumah ... tanya: Boleh tak makan kek lapis tu?
Adeeehhh... Farid tu raja kek coklat! Apalagi bercream cheese yang lemak berkrim.

Ada lebih rupanya kek yang Farid makan. Dapatlah Amie ambil gambar. 
Resepinya?
Ini resepi dari dapur ratu talam kesayanganku, si manis YATIE MEMORIES. Sebelum ini Amie pernah buat kek ini DI SINI.
Di bawah ini Amie panjangkan lagi resepinya. Buat Yatie yang manis... terima kasih darling kerana banyak resepimu yang sedap, cantik menawan amat menggodaku.

BAHAN A

  • 250 gm cream cheese
  • 60 gm gula halus
  • 1 biji telur
  • 1 sudu besar air
  • 1 sudu besar tepung gandum
Cara-cara
  1. Pukul cream cheese bersama dengan gula hingga sebati.
  2. Masukkan telur diikuti dengan air dan tepung gandum. Pukul lagi dan gaul sebati.
  3. Biarkan sebentar.

BAHAN B (KEK)

  • 2 biji telur
  • 1 cwn gula halus
  • 1 sudu kecil vanilla
  • sedikit garam
  • 1/2 cawan air panas didih
  • 1/2 cawan cwn susu segar/cair
  • 1/2 cawan minyak jagung/masak
  • 1 cawan tpng gandum*
  • 3 sudu besar serbuk koko*
  • 1 sudu kecil baking soda*
  • 1/2 sudu kecil baking powder*(* bahan-bahan perlu diayak dulu)
Cara-cara
  1. Pukul telur di dalam bekas lain bersama gula sehingga kembang.
  2. Setelah kembang masukkan vanilla dan garam.
  3. Masukkan air panas,susu dan minyak.
  4. Setelah itu masukkan tepung gandum, baking soda, baking powder dan serbuk koko yg telah diayak dan gaul sebati.
  5. Biarkan sebentar dan bahagi kepada 2 bahagian. 
CARA MEMASAK.
  1. Panaskan kukusan dan balut dengan kain penutupnya. Guna api sederhana.
  2. Sapukan sedikit minyak/mentega di sekeliling loyang dan alas dengan kertas minyak.
  3. Tuang adunan coklat, tutup loyang dngn aluminium foil dan kukus selama 15-20 minit. Amie gunakan loyang 4 segi ukuran 8 X 8 inci.
  4. Buka aluminium foil dan tuang adunan cream cheese diatasnya, tutup semula guna aluminium foil dan kukus selama 15 minit.
  5. Setelah itu tuang lagi adunan coklat selebihnya, tutup lagi guna aluminium foil dan kukus lagi selama 20 minit.
  6. Setelah benar-benar sejuk, boleh potong dan hidangkan.
Tadi... sewaktu Fuad pulang dari sekolah, terus saja meluru ke dapur.
Ada lagi tak kek kukus yang Mummy buat malam tadi tu?
Ada. Kenapa?
Esok saya nak bawa ke sekolah, nak bagi Izzat. Tadi saya cerita di sekolah, Mummy buat kek ada cream cheese. Izzat minta.... katanya kalau saya tak bawakan, nanti dia telefon Mummy minta sendiri kek tu.
Fuad...Oh Fuad!

Selasa, 27 Januari 2015

Sedapnya Udang Goreng Tom Yam!

Harumnya!
Tak tahan saya hidu baunya!
Bolehkah saya minta seekor, Mummy?
Itulah Fuad! Balik sekolah dengan perut lapar. Mummy pun lapar juga tapi sempat terlelap depan televisyen. Bila Fuad sampai rumah, terus bergegas ke dapur. Masaklah apa yang ada, dan yang penting cepat siap!


Inilah hasilnya Udang Goreng Tom Yam yang menggoda selera Fuad. Peti sejuk rupa-rupanya meragam dari malam tadi! Bahagian sejukbeku sudah tidak berfungsi. Sayanglah semua bahan makanan yang tersimpan di situ... habis mencair! Ada pula sekilogram udang kertas belum terusik. Kalau dibandingkan dengan ikan dan daging, udang cepatlah buruknya. Jadi Amie ambil keputusan masak semua satu kilogram udang kertas tadi. 
Amie perap udang kertas dengan pes tom yam, dan kemudian bubuh tepung jagung dengan tepung gandum sedikit dan juga hirisan daun ketumbar. Lepas tu Amie goreng... goreng sajalah ye...


Bahan-bahan:
1 kg udang kertas saiz besar - bersihkan dan belah belakang - buang uratnya
200 gram pes tom yam (sebungkus) - jenama MasFood
4 sudu makan tepung jagung
4 sudu makan tepung gandum
1 pokok ketumbar - hiris halus
minyak

Cara:
1. Gaul udang kertas bersama pes tom yam, tepung jagung, tepung gandum dan daun ketumbar.
2. Perap seketika antara 10-15 mint.
3. Goreng hingga masak.
4. Angkat dan toskan.

Petang tadi Encik Suami terpaksa tumpang peti sejuk kakak dia. Terpaksalah angkut segala bahan sejukbeku ke kampung! Kata Encik Suami peti sejuk dah kehabisan gas, sebab dah lebih 10 tahun kami gunakan. Sebenarnya lebih 10 tahun... mungkin 12 tahun!

Isnin, 26 Januari 2015

Cerita Di Balik Tabir Lauk Pauk : Tentang SUP!

Di sebalik hidangan lauk pauk untuk santapan keluarga, Amie pastikan dalam seminggu sekurang-kurang 3 kali sediakan sup. Bagaimana pun lebih kerap, adalah lebih baik.... kalau rajin selang dua hari sekali, dan bila terlebih rajin memang tiap-tiap hari! Bukannya setiap kali waktu makan nasi, tapi memadailah kalau sekali dalam sehari... yang dikira sudah terlebih bagus!
Sup yang Amie sediakan tidaklah sama setiap kali Amie masak. Amie pelbagaikan bahan supaya anak-anak tidak jemu. Dan cara masakannya pula tidaklah pula dicampur dengan rempah. Apa pun kebiasaannya Amie campurkan bahan seperti batang saleri, lobak merah, cendawan shiitake dan juga sedikit daging ayam.

Sebelum Amie masak nasi, membersihkan ikan atau bahan-bahan lain untuk dijadikan lauk pauk, terlebih dahulu Amie akan jerang air dalam periuk. Amie masukkan belahan bawang besar, hirisan halia jika perlu, dan juga bahan-bahan pilihan termasuk sedikit daging ayam yang bertulang atau kaki ayam. Setelah mendidih, Amie perlahankan api dan renih sup sehinggalah semua bahan masak sebati. Amie perlu merenih di antara 45 minit sehingga satu jam sekiranya Amie campurkan kurma merah, atau cendawan shiitake. Kemudian barulah Amie bubuh perasa seperti garam atau stok ayam.
Jadi, sebaik sahaja nasi sedang elok tanaknya dan lauk pauk lain siap disediakan, sup yang direnih pun sudah masak sempurna. Bolehlah terus dihidangkan.

Amie kongsikan  hidangan sup yang Amie masak hari ini.

Bahan-bahan:
1 cawan cincangan daging ayam yang bertulang
5 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga lembut - toskan dan belah 2
7 biji kurma merah saiz besar
2 batang saleri - hiris serong
1 kuntum white fungus - rendam hingga kembang dan kemudian carik-carik
1 labu bawang besar
1.5 liter air
garam / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Jerang air di dalam periuk.
2. Masukkan bawang besar, cincangan daging ayam, batang saleri, cendawan shiitake dan kurma merah.
3. Masak sehingga mendidih.
4. Perlahankan api dapur dan tutup periuk. Renih selama 1/2 jam.
5. Buka penutup periuk dan masukkan white fungus. Renih lagi selama 20 minit.
6. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.

Dalam entri-entri yang lepas kalau masakan sup, Amie banyak kongsikan tentang pelbagai khasiat yang terdapat dalam white fungus, cendawan shiitake, kurma cina dan sebagainya. Jadi, kali ini tak payah cerita lagilah ye... kang korang bosan pulak.... hiks!

Ahad, 25 Januari 2015

Sotong Masak Kicap Manis Pedas

Mummy masak sotong bubuh kicap maniskah?
Ya.
Oh! Patutlah sedap!
Itulah Fuad.... kalau masakan bersos memang itulah yang digemarinya. Dan jujur... kalau sedap dia akan akan sedap, tapi kalau kurang menepati seleranya walaupun dia makan banyak, dia akan kata.... lapar! Sebab kalau lapar, sedap tak sedap, menepati selera atu sebaliknya, yang penting perutnya terisi!

Bahan-bahan:
500 gram sotong - bersihkan dan potong ikut suka
4 sudu makan kicap manis ABC
1 sudu makan sos tiram
1/2 sudu teh lada hitam - tumbuk
1 labu bawang besar - hiris kasar 
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dengan 60 ml air
4 sudu minyak

Bahan kisar:
5 biji cili merah
7 biji cili padi -(pilihan)
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 biji tomato masak / merah - belah 2
2 sudu makan udang kering

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan bawang besar bersama sotong. Masak seketika antara 3-4 minit.
3. Tambahkan sos tiram, kicap manis ABC dan lada hitam.
4. Gaul sebati dan pekatkan kuah dengan bancuhan air tepung jagung.
5. Gaul sekali lagi dan padamkan api dapur.

Jemput makan.... sotong pelbagai rasa!

Sabtu, 24 Januari 2015

Masak Nasi Ayam Hainan Cara Mudah Menggunakan Hainanese Chicken Rice Mix

Setengah hari berada di sekolah kerana terlibat dengan aktiviti kokurikulum....
Keluar dari perkarangan sekolah, perut rasa sangat lapar! Nak singgah makan di kedai, malaslah pulak bila fikirkan tempat parking kereta yang selalu sesak. Akhirnya singgah pasar beli ayam segar seekor. Terbayang di ruang mata... anak-anak sedang menunggu d rumah dengan perut lapar.... sama macam kita juga! Dalam perjalanan pulang, terfikir nak buat nasi ayam saja. Mudah. Cepat. Sedap! Kebetulannya kelmarin beli sepaket Hainanese Chicken Rice Mix. Elok sangatlah tu... sampai rumah nanti sementara menunggu nasi tanak, boleh rebus ayam dan sambil-sambil kisar cili merah dengan buat sambal!
Wokeeeyyyy.....

 Nasi Ayam Hainan dah siap!

Hari ini dapatlah kami berkumpul anak-beranak makan tengahari bersama walaupun agak terlewat ke petang.... ahaks! Seronok tengok anak-anak berebut nak makan ayam rebus @ konon-kononnya rebus stim! Habis satu ekor ko....!
Jom tengok resepi Nasi Ayam Hainan di bawah ini.

Bahan-bahan:
4 cawan beras 
3 helai daun pandan - siat
2 paket kecil Perencah Nasi Ayam Hainan Delichef
air secukupnya.

Cara:
1. Masak nasi seperti biasa bersama daun pandan.
2. Setelah nasi masak dan mula mengering, tambahkan 2 paket kecil Perencah Nasi Ayam Hainan Delichef - dalam satu bungkusan tu ada 3 paket kecil perencah
3. Gaul perencah tadi dengan nasi hingga sebati.
4. Tutup periuk dan biarkan masak selama 5 - 10 minit lagi.

Untuk ayamnya pula, Amie rebus bersama bawang besar,  bawang putih, saderi dan hirisan halia. Amie tambahkan satu paket kecil Perencah Nasi Ayam Hainan ke dalam periuk rebusan, dan kemudian Amie tambahkan lagi 3 sudu teh serbuk pati ayam sebagai perasa. Apabila daging ayam telah masak atau empuk, keluarkan dan potong atau cincang sebelum dihidangkan. Renjiskan dengan minyak bijan.... semerbak!

Jangan lupa sambal nasi ayam! Biasanya halia dikisar dan dihidangkan secara berasingan dengan sambal cili, tapi Amie gabungkan semua. Walau bagaimanapun Amie lebihkan halia. Jadi, hasilnya masih seperti resepi Sambal Nasi Ayam Hainan. Amie gunakan 5 biji cili merah, 5 cm hali, bawang merah dan bawang putih, garam, gula dan cuka.

 Ini bahagian yang Amie suka!. Ratah-ratah saja... sambil hirup sup!

 Tak tahan godaan dengan sambalnya tau.... sedap!


Alhamdulillah.... ahli kelurga kami lengkap semeja.... ada 6 kerusi penuh 6 orang yang duduk mengelilingi meja: Farid yang menghabiskan hari-hari cutinya dengan membaca novel, Fuad yang baru balik dari sekolah kerana membersihkan kelasnya, Fairuz yang keletihan dari mengikuti aktiviti kokurikulum dan si kecil Firdaus yang semakin petah berkata-kata... termasuk Encik Suami dan Amie sendiri. Syukurlah... anak-anak tak cerewet..., tak bising pun kita hidang ayam rebus ....! Taklah jual mahal asyik nak makan ayam goreng saja!

Rabbana hablana min azwajina wazurriyatina qurrata a'aiyun waja'alna lilmuttaqina imama.... amin!

Khamis, 22 Januari 2015

Ikan Selar Sumbat Sambal Kelapa

Teringin nak makan ikan sumbat sambal kelapa! Biasanya kita gunakan ikan cencaru, tapi sayangnya semasa ke pasar bila Encik Suami tunjuk ikan cencaru, Amie geleng kepala. Nampak ikan selar besar-besar, baiklah beli ikan selar. Dah sampai rumah tiba-tiba teringin pulak nak buat ikan sumbat sambal kelapa! Jadinya, gunakan sajalah ikan selar.... asalkan ada ruang perut ikan untuk dimuatkan dengan sambal kelapa! Selalunya kalau ikan sumbat begini Amie panggang, tapi kali ini goreng sajalah. Goreng pun sodap!
 
Bahan-bahan:
2 ekor ikan selar saiz - bersihkan dan belah belakang
1 cawan kelapa parut
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 biji cili merah
1/2 sudu teh lada putih
2 cm  inci kunyit hidup
2 cm halia
2 sudu makan udang kering - rendam hingga kembang dan toskan
1 helai daun kunyit - hiris halus
1/2 sudu teh pati asam jawa
garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Tumbuk bawang putih, bawang merah, cili merah, lada putih, halia dan kunyit hidup serta udang kering sehingga lumat.
2. Masukkan kelapa parut dan tumbuk separuh lumat.
3. Gaul bahan 1 dan 2 dengan hirisan daun kunyit, pati asam jawa , garam, gula dan perasa pilihan hingga sebati.
4. Isikan ke dalam belakang ikan selar.
5. Goreng hingga masak.
Alhamdulillah... akhirnya tertunailah hasrat nak makan ikan sumbat sambal kelapa.... yang sebenarnya nak makan sambal kelapanya tu.... hiks!

Rabu, 21 Januari 2015

Jom Makan Nasi Tomato Sama Opor Ayam!

Rakan-rakan pengunjung dapur Amie yang disayangi,
Jemput makan Nasi Tomato berlauk Opor Ayam sama acar timun.....


Selalunya Amie tambahkan sos tomato untuk warna yang lebih menyerlah, dan juga yogurt asli tapi kali ini Amie tidak gunakan. Amie masak ringkas-ringkas saja.

Bahan A:
3 cawan beras basmathi - cuci dan rendam selama 10 minit
3 sudu makan minyak sapi
200 gram puri tomato
200ml  susu cair

Bahan B:
2 ulas bawang putih - hiris halus
1 labu bawang besar -hiris halus
4cm halia - hiris halus
rempah penumis - 2 kuntum bunga lawang, 1 batang kulit kayu manis, 3 biji buah pelaga & 3 kuntum bunga cengkih

Bahan C:
3 cawan air - ikut sukatan beras
3 sudu makan Stok Ayam Pekat Maggi

Bahan hiasan:
1/2 cawan kismis
1 cawan campuran kacang badam dan kacang gajus goreng
bawang goreng dan hirisan daun sup

Cara:
1. Panaskan minyak sapi. Tumis semua bahan B hingga harum dan layu.
2. Masukkan puri tomato dan susu cair. 
3. Tambahkan Bahan C dan biarkan mendidih..
4. Masukkan beras. Kacau rata dan tutup periuk.
6. Apabila air sudah kering, taburkan kismis di atasnya, kemudian tutup periuk rapat-rapat.
7. Setelah nasi masak, angkat dan taburkan campuran kacang gajus dan kacang badam, bawang goreng serta hirisan daun sup sebelum dihidangkan.
 
Opor Ayam ini pula sangat mudah. Terima kasih buat Makcik Zanariah (kalau tak silap namanya.... ketika itu Amie bekerja di Kampung Melayu Ampang). Makcik Zanariah masak opor ayam untuk dicicah dengan lemang pada hari raya. Oleh sebab suka sangat masakannya, Amie minta resepinya, dan inilah hasilnya.... Resepi ini tidak gunakan bawang merah atau bawang besar, hanya bawang putih sahaja, dan jintannya pula jintan putih, bukannya jintan manis.

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong ikut suka
1 biji kelapa - kisar bersama 700 ml air
15 biji lada merah- kisar
7 biji bawang putih- kisar
1 sudu makan serbuk jintan putih
1 sudu makan cuka makan
garam / kiub ayam secukupnya
 
Cara:
1. Masukkan santan ke dalam periuk atau kuali.
2. Campurkan lada merah dan bawang putih kisar serta serbuk jintan putih.
3. Masak di atas api dan tunggu mendidih barulah masukkan ayam.
4. Masak dengan api perlahan sehingga daging ayam empuk dan kuah menjadi pekat.
5. Perasakan dengan garam / kiub ayam.
6. Masukkan cuka makan.
7. Siap dan angkat.
 
Walaupun hanya acar timun sahaja, tapi kombinasi Nasi Tomato dengan Opor Ayam sudah cukup membuka selera! Farid yang sedang membaca novel di biliknya di tingkat atas terus bergegas turun menuju dapur bila terbau aroma masakan ini.

Datang ke dapur untuk makan malam,
Baca Bismillah dan cuci tangan,
Nasi Tomato berlauk Opor Ayam,
Acar mentimun pelengkap hidangan.

Selasa, 20 Januari 2015

Sup Kambing Oh Sup Kambing!

Hari ini Amie masak Sup Kambing.
Masak cara yang sangat ringkas, tapi tetap sedap. Kalau bubuh bawang goreng lagi sedap, tapi entah ke mana perginya tupperware berisi bawang goreng!
Makan sajalah mana yang ada. Perut pun dah lapar!
Kalau nak masakan sihat, biasanya orang akan rebus dulu daging kambing, lepas tu sejukkan dulu atau masukkan peti sejuk dan kemudian buang bahagian lemaknya yang mengambang di permukaan kuah. Amie pulak... besarkan malasnya, dan sebenarnya tak sabar nak cepat-cepat siap masak.... he hehehheee...

Sup Kambing ini pun Amie masak gaya kampung, tapi taklah bubuh banyak bahan. Cuma gunakan bahan asas saja termasuk rempah-rempahan. Jadi tak adalah bau aroma serai atau lengkuas. Yang ada hanya gabungan aroma halia ditumis bersama bawang besar dan rempah-rempahan seperti kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih. Itu pun dah cukup menggoda selera!

Bahan-bahan:
1 kg daging kambing (biri-biri) dengan tulang
2 biji kentang - kupas dan belah 4
2 biji tomato - belah 4
3 batang daun saderi - hiris 5 cm panjang
1 labu bawang besar - mayang
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
4 sudu makan minyak
1 sudu makan lada putih - tumbuk
1 liter air
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang hingga wangi.
2. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga sebati.
3. Masukkan daging kambing. Balik-balikkan sehingga daging kambing kelihatan layu dan berubah warna.
4. Tambahkan air. Biarkan sehingga mendidih.
5. Masukkan kentang dan batang saderi. Perlahankan api dapur ke tahap sederhana.
6. Tutup periuk dan renihkan sup kambing hingga daging dan kentang empuk.
7. Masukkan tomato, dan perasakan lada putih serta garam / perasa pilihan.
8. Hidangkan panas.

 Bismillah....

Ole-Ole Abang Farid Untuk Kami Sekeluarga

Farid bercuti selama 5 minggu. Sepanjang perjalanan dari airport ke rumah, tak habis-habis dia menyatakan rasa rindunya..... lamanya saya tinggalkan LD katanya. Saya nak duduk selama-lamanya di LD dan macam-macam lagi. Sepanjang cuti ini katanya akan dihabiskan dengan membaca, sebab selama empat bulan lebih di kampus, dia tidak berkesempatan membaca. Membaca apa tu sampai tak ada kesempatan? Oh! Rupa-rupanya membaca novel!

Untuk kami sekeluarga, Farid belikan ole-ole pilihannya....

 Buku untuk Firdaus. 
Bukan main suka lagi Firdaus dapat buku pemberian Abang Faridnya.

 Serius benar nampaknya Firdaus membelek isi kandungannya ha hahahaa....

Untuk Fairuz dan Firdaus, Abang Farid belikan jam tangan.
Untuk Encik Suami, Abang Farid belikan tali pinggang.... Encik Suami senyum-senyum saja. Amie kata... pandai abang Farid beli ole-ole untuk kita ye....

Untuk Amie....
Dia tahu apa kegemaran kita.... dia pun tahu kita suka cuba pelbagai resepi. Dan dia pun tahu kita suka kumpul buku resepi. Jadi... dibawanya pulang tiga buah buku masakan di atas tu.... Terima kasih abang Farid.

Dia tahu kita tak berapa cemerlang dalam bab deko mendeko, terutamanya cup cake yang comel-comel ni.... Dia pun belikan kita satu set buku resepi cupcakes, yang lengkap beserta acuan silikon di bawah ini.... ada nozzlenya sekali.

Biar apa pun..... 
Yang penting ingatan dan ikatan kekeluargaan itu bertambah erat!

Isnin, 19 Januari 2015

Acar Pucuk Paku

Bertemu kembali....
Kali ini Amie nak kongsikan resepi Acar Pucuk Paku. Ada sesiapa yang pernah makan Acar Pucuk Paku?
Idea resepi ini Amie perolehi dari kakak ipar, tapi Amie tak pernah lihat dan makan Acar Pucuk Paku sebelum ini. Amie hanya mampu berimaginasi bila kakak ipar bercerita tentang keenakannya. Katanya, gunakan pucuk paku yang masih melingkar. Buat macam kita buat acar timun, dan katanya lagi cuka atau jus limau kasturi yang kita gunakan itu akan 'memasakkan' pucuk paku tadi. Kebetulan pada hari Ahad lepas, Amie berdua-duaan bersama Encik Suami pergi ke pasar tani. Terjumpalah dua jenis paku pakis dari jenis yang sama tetapi bentuknya berbeza. Satu jenis yang sudah berdaun, dan satu lagi hanya kelihatan pucuknya yang masih melingkar... seperti yang selalu kakak ipar ceritakan itu! Dan elok benarlah kalau Amie cuba buat Acar Pucuk Paku!

 Acar Pucuk Paku sudah sedia terhidang! Ada sesiapa yang berani nak cuba makan?

Inilah rupa pucuk paku yang masih muda, dan daun-daunnya belum kembang. Ambil pucuknya yang melingkar, dan belah dua. Sebelum itu eloklah cuci atau bilas pucuk paku ini dan toskan, kemudian barulah potong.

Bahan-bahan:
25 batang paku pakis tanjung - bilas - toskan - potong pucuknya dan belah 2
1 labu bawang besar - hiris nipis
1 biji cili merah - hiris nipis
1 biji cili hijau - hiris nipis
2 sudu makan udang kering - rendam hingga lembut
7 biji limau kasturi - ambil jusnya (boleh gantikan dengan cuka)
1 sudu teh garam
3 sudu maka gula pasir

Cara:
1.  Gaulkan pucuk paku bersama semua bahan di atas.
2. Biarkan selama 20 minit sebelum dihidangkan.

Amie makan sikit.... terasa rangup pucuk paku tu, tapi Encik Suami yang ratah banyak!

Ahad, 18 Januari 2015

Kari Ayam : Masakan Kegemaran Farid!

Alhamdulillah. 
Farid selamat mendarat di airport LD tepat pukul 3.40 petang kelmarin setelah seharian letih dalam perjalanan dari KLIA-KK-LDU. Katanya seawal 6.30 seawal pagi bertolak dari Bangi. Iyolaaa.... dah naik kapal terbang pun pukul 9 pagi, takkan keluar asrama pukul 8 pagi kot he hehehee.... Kami menunggu di airport LD, tak jauh dari rumah, hanya sekitar 6 atau 7 km saja.

Hari ini barulah Amie sempat masak lauk kegemaran Farid, Kari Ayam. Beberapa hari lepas memang dah berkira-kira nak masak itu ini, apa-apa sahaja makanan kegemarannya, tapi bila tiba harinya rasa badan tersangatlah letihnya! Mungkin selama satu minggu termasuk hari Sabtu, Amie banyak menghabiskan masa di sekolah dari pagi hingga petang menyiapkan tugasan sekolah.

Masakan ini ringkas sahaja. Amie campurkan serbuk kari jenama ADABI dengan serbuk kari 888. Serbuk kari ADABI warnanya pucat sedikit, manakala serbuk kari 888 warnanya agak terang. Amie tak bubuh cili kisar. Itulah masakan kari ayam kegemaran anak-anak. Tidak pedas!

Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong menjadi 10 bahagian
60 gram serbuk kari (30 gram serbuk kari jenama ADABI dan 30 gram lagi 888)
1 liter santan (kisar 400 gram kelapa parut bersama 1 liter air)
2 biji kentang - kupas - potong 4
1 sudu teh pati asam jawa
5 sudu makan minyak 
garam / gula  / perasa pilihan
1 biji limau nipis - perah jusnya

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia

Bahan penumis:
1 labu bawang besar
2 pelepah daun kari - lurutkan
3 cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan penumis hingga wangi.
2. Masukkan bahan kisar dan gaul sebati bersama bahan penumis.
3. Kemudian masukkan rempah kari. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
4. Masukkan daging ayam, dan perlahankan api. Masak sehingga daging ayam menjadi layu dan mengeluarkan air.
5. Masukkan kentang dan seterusnya tambahkan santan.
6. Masak sehingga daging ayam dan kentang empuk dan kuah menjadi pekat.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Akhir sekali, tuangkan jus limau nipis dan kacau sekali dua.
9. Padamkan api dapur.

Ringkas bukan? Cuma diakhir proses memasak, tuangkan jus limau nipis... ikut cara MIL dan orang kampung Encik Suami masak. Tapi orang kampung Encik Suami masak kari tetap gunakan cili kering! Cuma Amie yang tak bubuh .... sebab memang anak-anak pun gemar masakan kari yang begini.

Rabu, 14 Januari 2015

Sedapnya Talam Ubi Kayu Gula Merah!

Seronok berguru dengan Puan Hasma Noor Basir! Satu demi satu resepinya Amie cuba, dan satu demi satu itu pulak hasilnya menjadi dan memuaskan hati. Tak rugi Amie bertekun membaca berulangkali panduan serta resepi yang Puan Noor Hasma turunkan. Mudah-mudahan Puan Hasma Noor Basir sentiasa sihat dan akan terus menyumbangkan pengalaman dan idea terutamanya resepi-resepi tradisional.
Walaupun Amie pernah membuat talam ubi kayu sebelum ini, tapi Amie teruja nak cuba resepi dan cara olahan yang diperturunkan oleh beliau.


Sayangnya, gula merah dalam simpanan Amie hanya ada 100 gram, sedangkan dalam resepi sebenar gula merah yang digunakan sebanyak 300 gram bersama 100 gram lagi gula pasir. Amie tambahkan 200 gram gula melaka dan 100 gram gula pasir. In shaa Allah kalau ada gula merah (susah nak dapat di sini) Amie akan cuba buat sepenuhnya, dan rasanya warnanya tentulah lebih terang berbanding warna campuran gula merah, gula melaka dan gula pasir yang Amie gunakan seperti di bawah.
Satu lagi yang ingin Amie kongsikan di sini ialah cara Puan Hasma menyediakan Lapisan Bawah kuih ini  ialah ubi kayu yang telah diperah ditambah dengan 300ml air dan dikisar. Kemudian disatukan dengan tepung jagung, gula merah serta gula pasir / putih dan dijerang di atas api sederhana sehingga hampir pekat. Selepas itu barulah dituang ke dalam loyang yang dialas  dengan daun pisang untuk dikukus.

Apa pun Amie berpuas hati dengan hasilnya sebab ada perbezaannya berbanding yang pernah Amie buat sebelum ini. Apa bezanya ya? He hehheee.... bahagian bawah talam ubi ini nampak lebih halus dan mulus... betul tak ? Atau Amie yang perasan.... tapi, memang benar... rasanya pun lebih lembut!
Kita lihat resepinya yang asal di bawah ini.

Lapisan Bawah:
1 kg ubi kayu - kupas - parut dan perah airnya dengan kain muslin menjadi lebih kurang 3 cawan
300 ml air
50 gram tepung jagung
300 gram gula merah
100 gram gul putih / pasir
400 ml air
3 helai daun pandan 
(Masak gula merah, gula putih / pasir bersama 400ml air dan daun pandan hingga gula larut, dan kemudian tapis)

Lapisan Kepala:
80 gram tepung beras
400 gram kelapa parut - tambah 5 cawan air - kisar halus - perah santannya
2 sudu makan tepung kacang hijau atau 3 sudu makan tepung jagung
1 1/2 sudu teh garam halus

Cara:
1. Sediakan loyang berukuran 14", dan alas dengan daun pisang, lengserkan sedikit minyak.
2. Sediakan adunan Lapisan Bawah dengan mengisar pasrutan ubi kayu dengan 300 ml air. Satukan degan air gula dan tepung jagung di dalam periuk tebal.
3. Jerang di atas api sederhana, kacau hingga hampir pekat.
4. Tuang ke dalam loyang, kukus selama 30 minit.
5. Apabila masak, gore permukaannya dengan garfu.
6. Sementara itu, sediakan adunan Lapisan Kepala dengan menyatukan tepung beras, santan, tepung kacang hijau (atau tepung jagung) dan garam halus.
7. Gaul sebati dan jerang di atas api sederhana panas hingga naik wap.
8. Tuang ke atas Lapisan Bawah, kukus di atas api kecil selama 40 minit.
9. Sejukkan sebelum dipotong.


Sambutlah salam berkenal-kenal,
Duduk di bangku berkias-kiasan,
Jamah sepotong kuih tradisional,
Talam ubi kayu resepi warisan.