ADSENSE

Isnin, 16 November 2015

Sedapnya Ayam Ungkep!

Hari ini masak satu lauk saja... Ayam Ungkep! Makan dengan nasi panas. Kuah Ayam Ungkep yang berminyak sudah cukup memberi rasa yang lengkap tanpa lauk lain!
Ketika ayam masih dalam kuali, Fuad yang kebetulan baru pulang dari sekolah terus berpesan: Bubuh banyak kuah!
Haiyyoooo.... bubuh banyak kuah kuranglah menjadinya ayam ungkep! Tapi, dengan maksud tersiratnya sebenarnya Fuad ingin mengungkapkan perkataan bahawa kuah masakan ayam ungkep memang sedap!

Banyak kali jugalah Amie paparkan resepi wong Jowo: Ayam Ungkep di dapur maya ini. Kadang-kadang Amie tak bubuh air asam jawa, kadang-kadang bubuh pula, dan ada kalanya Amie bubuh daun salam. Apa pun terpulanglah ikut selera masing-masing. Amie hanya kongsikan apa yang pernah Amie lihat, Amie makan hasil air tangan orang kampung kami. Kali ini Amie masak ayam bahagian peha saja. Maklumlah setiap kali masak ayam, Fuad & Fairuz asyik mencari peha. Amie masak sekali harung untuk malam. Ada 10 ketul peha ayam dengan berat 1.4 kg.

Bahan-bahan:
1.4 daging ayam - 10 ketul bahagian peha - bersihkan dan lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - perap seketika antara 25-30 minit
3 batang serai - dititik
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
3 cawan air
garam dan gula / perasa pilihan secukupnya
1/2 minyak

Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
3 sudu besar ketumbar biji
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
20 biji cili padi kampung

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air pati asam jawa dan biarkan hingga mendidih. Kemudian masukkan  serai dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula atau perasa pilihan.                                           
4. Tutup kuali rapat-rapat. Gunakan api sederhana panas.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan atau hancur.
6. Apabila kuah hampir kering (jika suka kuahnya, tak perlu masak sampai kering) dan ayam empuk, matikan api.
 
 
Adusssss.... terliur tak?

Tiada ulasan: