ADSENSE

Sabtu, 5 September 2015

Dia Terbang Lagi....

Saya rasa macam baru seminggu duduk di rumah.....
Masih terngiang-ngiang di telinga ini akan suara itu.
Aduhai anak... sudah 2 bulan lamanya kau melalui cuti semester! 
Dan rasanya baru semalam Mommy memangkumu.... masih terasa bagaikan pertama kali menyambutmu lahir ke dunia, tanpa rasa jemu membelai, merenung dan mencium harum wangimu!

Kau terbang jua anak....
Tinggalkan Mommy, Baba, Fuad, Fairuz & Firdaus. Tinggalkan rumah tempatmu berkelahi, bergurau senda, makan bersama, tidur bergelimpangan depan televisyen, serta bilikmu yang selepas ini sepi tanpa penghuni!
Entahlah! Hari ini .... segalanya hilang dari perancangan. Firdaus terpaksa dihantar ke kampung sebab Encik Suami terpaksa ke tempat kerja. Fuad menghadiri kelas tambahan. Fairuz menghadiri aktiviti kokurikulum, begitu juga Amie! Dari pukul 7 pagi hingga 12 tengahari perlu berada di sekolah kerana aktiviti kokurikulum! Dua orang guru penasihat persatuan yang sepatutnya bersama Amie terpaksa menghadiri kursus. Tinggallah Amie yang mengurus ahli persatuan. Macamana nak lari keluar untuk hantar Farid ke airport? Kebetulannya pula waktu rehat ditetapkan selama 1/2 jam, bermula pukul 10.00-10.30 pagi. Tepat pukul 10.03 minit pagi Amie melompat keluar pagar, Encik Suami sedang menunggu. Farid sudah berada di airport. Sudah check-in bagasi. 
Hanya beberapa minit sahaja sempat bersamanya.
Dia memeluk ayahnya begitu lama, sambil menangis,  seolah-olah tak mahu melepaskan ayahnya dari pelukan. 
Kupeluk, sambil memujuk: Dah, jangan menangis bang. Belajar rajin-rajin ye. Jaga makan minum abang.
Sedangkan diri ini sebenarnya menelan air mata! 
Kucium pipinya kiri dan kanan. Dia mencium tanganku dan seperti biasa merenung sekilas ke mataku.
Kami tak sempat menunggu, melambainya dari pagar airport seperti biasa sebelum dia terbang. Amie terpaksa lari balik masuk ke sekolah sebelum 10.30 pagi, dan Encik Suami pula terpaksa kembali ke tempat kerjanya.
Mengenang itu... alangkahnya kejamnya keadaan!  Rasanya tak mahu pulang ke rumah! Terbayang-bayang setiap kali pulang kerja, Abang Farid yang akan membukakan pintu pagar.


Setahun telah berlalu...
2014 beralih tahun 2015. Abang Farid berjaya melepasi rintangan tahun pertama. Alhamdulillah Abang Farid dapat sambung ke tahun dua pengajiannya.
 
Tak disedari..... tahun telah berganti tahun.

Rupanya Abang Farid sudah dewasa.

Dan semakin berdikari bila berjauhan dari keluarga.


In shaa Allah.... walau di mana abang berada, Allah tetap bersamamu.
Cuma... hati ibu... ibu mana yang tak pernah risaukan anaknya!

Mudah-mudahan tercapai segala cita-cita abang. Semoga Allah sentiasa permudahkan semua urusan pembelajaran abang. Tabahkan hati dalam menghadapi segala cubaan dan ujian-Nya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Tamat aktiviti kokurikulum, bawa Fairuz makan tengahari di Rumpun Selera. Sempat belikan  Fuad nasi bungkus. Keluar dari restoran, telefon berbunyi. Abang Farid telefon.
Abang di mana?
Airport KK.
Dah solat Zohor?
Sudah. Kejap lagi terbang ke KL.
Jangan lupa kirim salam sama nenek dan keluarga di kampung.
Assalamualaikum.
Mudah-mudahan selamat sampai ke KLIA. Anak buah tunggu Abang Farid, bawa balik kampung. Tidur satu malam di rumah Nendanya. Esok pagi Abang Farid akan berangkat ke UKM.
Kami pun pulang. Sampai di rumah, masuk ke bilik untuk solat Zohor. Terpandang pintu bilik Abang Farid yang terbuka bertentangan dengan bilik kami. Sehelai sejadah masih terbentang bersebelahan almari pakaian, sebuah kopiah terletak di hujung katil. Sebuah radio kaku di sudut bilik.... tentunya hanya akan berbunyi bila Abang Farid pulang pada cuti semester akan datang. Langsir menutup keseluruhan tingkap, dan dua biji bantal tersusun di kepala katil. Bilik Abang Farid kelihatan lengang... kosong. 
Tak mahu pandang lama-lama.... sebak rasanya dada ini!


Semoga Abang Farid selamat mendarat di KLIA yang dijadualkan pada pukul 4.00 petang ini. In shaa Allah.... amin ya Allah.

1 ulasan:

Yeni Bubu berkata...

Jangan sedih Kak Amie , walaupun saya juga sedih membaca postingan kakak ini .. Insya Allah dipermudah segala urusan abang Farid . Amiiin YRA . Salam sayang dari Bandung .