ADSENSE

Ahad, 21 Jun 2015

Juadah Berbuka Puasa : Soto Ayam, Kerang Masak Sate @ Kuah Kacang dengan Nasi Himpit & Sirap Buah-Buahan

Ramadhan sudah masuk hari keempat.
Semoga kita terus meraih segala keberkatan sepanjang tempoh kita berpuasa... in shaa Allah.


Hari ini Amie sempat sediakan soto ayam sebagai menu utama berbuka puasa untuk keluarga kecil kami. Pada masa yang sama, terpandang isi kerang yang sudah sekian lama tidak berusik... eloklah masak saja, boleh makan dengan nasi himpit yang memang sudah tersedia sebagai bahan pelengkap soto ayam. Jadi, isi kerang itu Amie olah menjadi Kerang Masak Sate @ Kuah Kacang.
He he heee... makin lama gambar makin tak betul pulak, sebab ambil dekat-dekat nak buka puasa. Apa tidaknya, semua masakan siap menjelang waktu berbuka. Suasana pun sudah gelap. Tangkap sajalah mana yang dapat.

Sambil sediakan soto dan rakan-rakan yang akan bergaul semangkuk dengannya, Amie renih biji barli dan rendam biji selasih. Kemudian Amie tambahkan sirap pisang dan susu cair serta buah-buahan dalam tin. Itulah pembasah tekak kami anak-beranak.

Cerita tentang soto memang panjang dan lebar! Kepada yang berminat bolehlah selongkar dapur Amie di sini : Soto Ayam. Kepada yang nak tutorial tu, dipersilakan dengan segala senang hati. Pasti hasilnya menjadi! Tapi bersyarat... mesti sabar.... Kena siapkan banyak benda termasuk pegedil, bawang goreng, kacang tanah goreng, suhun goreng, nasi himpit dan macam-macam lagi. Apa pun lain orang lain citarasanya, lain olahan sotonya. Bagi Amie, semua jenis soto Amie suka, tak kiralah soto banjar, soto perut dan sebagainya.

Mmmmm... Soto Ayam kami, mesti ada kacang tanah gorengnya.... jangan lupa masukkan taugeh dan kemudian tuangkan kuahnya yang panas dari periuk! Kalau pandai buat taugeh berekor pendek, itu lebih baik sebab rasanya tentulah lebih lemak dan rangup berbanding taugeh ekor panjang yang kita beli. Sebaiknya gorenglah bawang sendiri supaya rasanya lebih harum dan enak!

Di sini Amie kongsikan resepi Kerang Masak Sate @ Kuah Kacang. Biasanya kalau kami buat masakan begini, Bonda siap pesan awal-awal lagi, jangan tumbuk kacang tu sampai lumat! He he hee....

Bahan-bahan:
1 kg isi kerang
2 cawan kacang tanah goreng yang telah ditumbuk kasar
200 ml santan pekat
4 cawan air
1 sudu makan pati asam jawa
2 batang serai - dititik
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
garam & gula secukupnya
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
20 biji cili kering
5 ulas bawang putih
10 biji  bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm halia
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Masukkan kesemua bahan kisar bersama serai, kulit kayu manis dan bunga lawang. Tumis sehingga terbit minyak.
2. Masukkan asam jawa, gula serta kerang dan gaul rata.
4. Tambahkan air dan biarkan hingga mendidih.
5. Masukkan kacang tanah diikuti dengan santan pekat dan perlahankan api. Biarkan sehingga naik minyak, dan kacau sekali-sekala sehingga kuah menjadi pekat.
6. Perasakan dengan garam. 
7. Padamkan api dan sedia untuk dihidangkan.

Bolehlah makan kerang masak sate dengan nasi himpit... minta  nasi himpit sikit daripada soto ayam! Cerita tentang kerang masak sate ni, memang rindu sangat nak makan dengan keluarga di Selangor... sebab kalau hari raya kami memang tak tinggalkan menu kerang... kerang masak sate, kerang rendang dan macam-macam resepi lain! Maklumlah... senang nak dapat bekalan kerang, jadi hari raya pun dihidang dengan kerang juga... hihihiii...!

 Jemput semua....


3 ulasan:

Lea Ismail berkata...

akak, saya penggemar soto.tapi tak boleh buat hari kerja ni. nak buat tunggu hujung minggu ni.memang nak kena buat juga ni.

Shamsiah Abdul Rahman berkata...

Assalamualaikum Amie,
Semangkuk penuh macam tu.. kenyang sampai ke sahur tu.

kasihilmar.com berkata...

Soto Ayam always my favourite!