ADSENSE

Jumaat, 15 Mei 2015

Jom Makan Nasi Goreng.... Nasi Goreng Kampung & Mangga Lassi!

Apa cerita hari ini?
Baru saja buka tingkap di ruang tamu... nak buka tiga bulan sekali pun susah. Kononnya nanti masuk habuk... debu dari jalan besar di seberang sana. Agaknya nanti anak-anak pun tak tahu apa fungsi tingkap! Apa fungsi tingkap sebenarnya ye?
Amie buka sebab nak rasa tiupan semilir angin... sebab di dalam rumah rasa panas membahang. Kipas angin yang berpusing pun macam tak berfungsi. Baiklah cari angin semulajadi!
Cuaca tiba-tiba mendung.
Gelap. 
Bahang panas seakan beransur hilang.
Barangkali akan hujan  sebentar lagi.
Hmmm... kita cerita tentang dapur.... tadi masuk dapur sekejap saja. Amie balik rumah bawa nasi bungkus. Di sekolah, seorang rakan guru belanja kami satu bilik guru nasi kerabu. Memandangkan Amie baru saja makan mee hoon sup di kantin, Amie bawa pulang nasi kerabu tadi. Sampai rumah, terpandang Fuad... teringat pula tugas memasak! Amie suruh Fuad makan nasi kerabu bungkus. Nak masak mungkin tak sempat sebab Fuad akan ke kelas tuisyen.
Jadi... tak payah masaklah...
Tapi tangan gatal buka peti sejuk, entah apa yang nak dicari. Tiba-tiba mata terpandang beberapa biji mangga masak ranum. Siapa yang simpan mangga... dari mana? Encik Suami kot yang masukkan dalam peti sejuk. Terpandang pula semangkuk besar nasi ...hmmm baru teringat malam tadi dalam keadaan mengantuk dan separa sedar minta tolong Encik Suami masukkan lebihan nasi dalam peti sejuk. Amie kata, Amie nak masak nasi goreng untuk sarapan pagi.... kononnyalah!
Tiba-tiba... rasa macam lapar pulak!
Apa kata kita buat nasi goreng. Mangga tu pulak kita kisar jadikan mango lassi!

Nasi Goreng Kampung  & Mangga Lassi dah siap! Ada pun ceritanya, sebelum goreng nasi, Amie buat mango lassi dulu. Lepas tu cubalah sekali dua teguk... sampailah habis meneguk 2 gelas! Rasa kenyanglah pulak.... Tak apalah, teruskanlah niat nak buat nasi goreng. Nanti kejap lagi rasa lapar pulak! Oh! Bagi sesiapa yang nak buat mango lassi bolehlah tanya Encik Google... sebab mango lassi Amie ini buat ikut citarasa sendiri. Amie kisar isi mangga dengan sedikit yogurt asli dan ketulan ais. Amie tak bubuh gula atau susu sebab Amie nak rasa asli mangga yang memang sudah sedia manis. Kalau ikutkan keaslian resepi lassi seperti di India dan Pakistan, kenalah tambahkan serbuk rempahan seperti serbuk kayu manis, buah pala dan sebagainya. Lain kali kita buat... kita cuba yang bubuh rempah-rempah itu. Jom kita tengok Nasi Goreng Kampung di bawah ini:

Bahan-bahan:
3 cawan nasi putih
3/4 cawan ikan bilis goreng
2 sudu makan isi ikan kering yang ditumbuk halus
3 papan petai - ambil isinya
1 kuntum bunga kantan - hiris nipis
1 sudu teh perencah MAGGI Cukup Rasa
1 sudu makan kicap cair
3 sudu makan minyak

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1/2  sudu teh belacan
10 biji cili padi kampung

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga naik bau.
2. Masukkan petai dan nasi. Gaul rata.
3. Tambahkan isi ikan kering tumbuk, ikan bilis greng, bunga kantan, kicap cair dan perencah MAGGI Cukup Rasa.
4. Kacau hingga sebati.
5. Padamkan api dapur.
6. Hidangkan nasi goreng, dan tambahkan bahan hiasan lain mengikut kesukaan.

Ketika ini hujan sedang turun....
Perut pun mula rasa lapar... dan Nasi Goreng Kampung sedang menanti!
Eh! Tiba-tiba Encik Suami buka pintu! Cepat balik hari ini ... kita nak tanya begitu tapi tak sempat nak tanya sebab Encik Suami terus bertanya... Kenapa buka tingkap?
Kita jawab... tadi panas sangat!
Encik Suami pun terus tutup tingkap!
Kita pun tak sempat nak kata apa....
Encik Suami tanya.... masak apa hari ini?
Tak sempat kita sahut... dia sudah menghilangkan diri ke dapur! 
Wokey... kita noktahkan disini.
Kita nak makan Nasi Goreng Kampung dengan Encik Suami.... dan mango lassi juga!

4 ulasan:

adda syuhada berkata...

my fav menu... memang meletop !!

Faudziyah Haji Ariffin berkata...

Amie, saya nampak petai lah ! OK... nak sepinggan nasi.

Bearcat berkata...

Selamat Hari Guru Amie! Semoga terus cemerlang dalam mendidik anak bangsa :-)

Amie berkata...

Adda,
nasi goreng kampung memang sedapkan.

Faudziyah,
ho hooo... si mata hijau tu memang suka menggoda orang kan!

Bearcat,
terima kasih... in shaa Allah Taala.