ADSENSE

Ahad, 28 Disember 2014

Sesekali Menyedut Siput : Sluuuuurrrrrppppp!

Assalamualaikum teman-teman...
Mudah-mudahan banjir yang melanda sebahagian negeri di pantai timur di negara kita akan segera surut. Dan mudah-mudahan juga usaha mencari dan menyelamat pesawat AirAsia Indonesia yang hilang dari radar akan segera menemukan hasilnya... kita hanya mampu harapkan yang baik-baik saja..... amin ya Allah.

Hari minggu nan suram ini, Amie kongsikan resepi siput sedut... yang belum sempat dijadikan entri semasa Amie bercuti tempohari. Amie masak siput ini di rumah Bonda.

Masakan saya di hujung minggu,
Rebus asam batang keladi,

Nasi panas sedang menunggu,
Bersama siput lemak cili padi.

Resepinya biasa-biasa saja. Yang ingin Amie rasai ialah menyedut siput itu.... Kalau dulu, leka menyedut siput bermangkuk-mangkuk, sekarang agak jarang ada siput dijual di pasar. Di Sungai Buluh, Jeram harga sekilogram RM10.00. Kalau rajin ke Pantai Remis harganya RM8.00 per/kg.

Masaklah berapa banyak pun akan habis juga! Cucu ciict Bonda rajin datang bertandang, terutamanya bila cuti sekolah menjelang tiba. Dah tu pulak pandai layan diri bila masuk dapur. Tak banyak songelnya... makan saja apa yang Amie masak. Bonda selalu pesan, kalau masak tu buatlah lebih. Katanya, nanti cucu cicitnya datang. Betul kata Bonda, setiap hari baik tengahari, petang atau malam ada saja anak menantu, cucu cicitnya berkunjung!
Bonda... kalau cucu cicit datang ke rumah, barulah terdengar riuh suaranya menegur itu dan ini. Rajinnya melayan budak-budak kecik!

Jom tengok resepi Siput Masak Lemak Cili Padi. Amie tambahkan sepokok keladi, ada 6 batang bersama isinya sekali. 

Bahan-bahan:
2 kg siput sedut - potong ekor siput dan cuci bersih
1 pokok keladi - siat kulit pada batang keladi dan potong serong sepanjang 4 cm - isi keladinya pula buangkan kulitnya dan potong dadu
3 keping asam gelugur
1 liter santan dari sebiji kelapa
2 batang serai - ketuk
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
25 biji cili padi kampung
3 cm kunyit hidup

Cara:
1. Celur batang keladi bersama isinya dengan asam gelugur hingga lembut.
2. Dalam sebuah periuk, masukkan santan, bahan tumbuk, batang keladi, serai, siput sedut, garam / perasa pilihan.
3. Kacau sekali sekala sehingga kuah mendidih.
4. Padamkan api dapur.

Semangkuk siput sedut masak lemak cili padi ini Amie makan sendiri.... sluuurrpppp... sluuurrrpp! Jumpa lagi.

Sedih... Sayu ... Pilu Melihat Wajah Anak-Anak Pasangan Suami Isteri Mangsa Banjir Bot Terbalik.

http://m.utusan.com.my/galeri-foto/wajah-anak-anak-pasangan-suami-isteri-mangsa-banjir-bot-terbalik-1.41606

Ya Allah....
Bersama kesusahan itu... Kau limpahkanlah jalan untuk memudahkan urusan kehidupan anak-anak yatim piatu ini....

Pesawat AirAsia Hilang Dari Radar

Betulkah? 
Benarkah?
Ya... Allah!!!!!





Sabtu, 27 Disember 2014

Udang Balut Kulit Wantan

Assalamualaikum & salam sayang buat pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Terima kasih buat followers baru yang sudi menambah bilangan sebagaim pengikut dapur maya yang seadanya ini. Sokongan anda amat dihargai, dan sekali lagi terima kasih daun keladi.
Jom tengok resepi Amie di bawah ini.

Beri penyapu lidi diraut,
Buahnya kelapa dibuat santan,
Mari nikmati hidangan laut,
Udang berbalut si kulit wantan.

Ada beberapa kali terserempak dengan udang berbalut kulit wantan. Teruja nak cuba, tapi bila bahan sudah ada, internet pula buat hal... talian tersangatlah perlahan, dan terputus-putus... Nak cari resepinya, berhari-harilah pulak hingga timbul rasa malas. Akhirnya buat sajalah ikut kepala sendiri... yang makan pun kami jugak.... ahaks!

Kalau tak cuba, macamana nak tahu jadi tidaknya kaaannn.... Walaupun tak berapa kemas, tapi ia adalah usaha, dan merupakan permulaan yang baik untuk terus mencuba. Terima kasih buat rakan Encik Suami, Encik Laeda yang sudi beri kami udang harimau segar.

Bahan-bahan:
15 ekor udang harimau saiz sederhana besar
15 helai kulit wantan
1 sudu teh serbuk pati ayam
sedikit air untuk melekatkan kulit wantan
minyak

Bahan tumbuk halus:
1 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
1 cm halia muda

Cara:
1. Bersihkan udang harimau. Buang kulit dan kepala, tinggalkan ekornya. Buang urat di belakangnya, dan kelar-kelar kecil bahagian bawah perut udang supaya udang tidak bengkok ketika digoreng.
2. Gaul udang bersama bahan tumbuk dan perap selama 5 minit.
3. Ambil sehelai kulit wantan dan letakkan seekor udang di atasnya. Balut dengan cara menggulung udang, dan lekatkan kulit wantan dengan sedikit air.
4. Goreng menggunakan api sederhana panas sehingga kuning keemasan.
5. Angkat dan toskan.
6. Enak dimakan begitu sahaja, atau jika suka boleh cicah dengan sos pilihan.

Terima kasih daun keladi,
Udang harimau pemberian Laeda,
Dibawa dari seberang sana,
Kalau ada hantarlah lagi,
Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi sama-sama merasa.

Sedapnya Apam Pisang Tanpa Telur!

Selamat berhujung minggu buat semua.

Apam pisang kukus di loyang,
Buat sarapan seisi keluarga,
Hingga kini masih terkenang,
Resepi Bonda tak ternilai harga!


Seingat Amie masa kecil dulu Bonda kalau buat apam pisang memang tak pernah bubuh telur dan minyak! Selepas mengaji al-Quran dan solat Isya', kami adik-beradik akan duduk mengelilingi Bonda mengadun tepung dan pisang yang  ditambah ibu roti untuk menghasilkan apam pisang yang gebu, di bawah sinaran lampu gasolin. Kemudian Bonda kukus dalam loyang menggunakan dapur kayu sehingga apam masak sebelum tidur. Apam pisang ini Bonda akan jadikan hidangan sarapan kami sekeluarga pada sebelah pagi. Biasanya sebelum kami bangun pagi, Bonda sudah siap potong apam pisang dan letakkan di bawah tudung saji.


Hari ini Amie berkesempatan buat apam pisang, walaupun di pertengahan jalan Firdaus sibuk buat 'kerja' di dapur. Akhirnya jadilah juga apam pisang lemak manis buat sarapan pagi kami anak-beranak. Amie tak gunakan telur, tapi Amie tambah minyak jagung dalam adunan. Ingatkan nak gunakan gula perang, tapi rupanya dah habis. Jadi Amie gunakan gula kastor saja, untuk rasa yang tidak begitu manis sebab pisang yang digunakan pun dah ada rasa manis.

Bahan-bahan:
1 cawan pisang lemak manis lecek halus
2 cawan tepung gandum
3/4 cawan minyak jagung
3/4 cawan gula kastor
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bikarbonat
secubit garam
2 biji pisang lemak manis - hiris nipis untuk hiasan

Cara:
1. Ayak tepung bersama baking powder dan soda bikarbonat.
2. Adun bahan tadi bersama pisang lecek, gula kastor dan secubit garam.
3. Masukkan minyak jagung dan gaul rata.
4. Tuang adunan ke dalam bekas atau acuan pilihan. Amie gunakan acuan lompang, dan bubuh setengah acuan.
5. Jika suka bubuh hirisan pisang di atasnya sebagai hiasan.
6. Kukus selama 15 minit. Jika anda gunakan loyang kenalah kukus lebih lama sedikit iaitu lebih kurang 1/2 jam atau 30 minit.

Entah kenapa... adakah disebabkan rupa apam pisang ini comel, Firdaus dan Fairuz suka makan pulak! Selalunya, hanya Amie dan Encik Suami saja yang makan! Kali ini bersih.... licin... alhamdulillah!


Sama dirasa jiran dihulur,
Pilihan betul menu yang sihat,
Berminyak jagung, adunan tak bertelur,
Kurang kolesterol enak berkhasiat.

Khamis, 25 Disember 2014

Resepi Tradisi Pulau Pinang : Gulai Ikan

Assalamualaikum, dan salam sejahtera.

Masakan tradisi resepi warisan,
Sangat terkenal di Pulau Pinang,
Kongsi resepi kugulai ikan,
Di atas meja sedia terhidang.

Kali pertama Amie cuba resepi ini DI SINI. Sebab apa Amie masak lagi? Sebab sedaplaaa...... Kalau nak cuba, dipersilakan, tapi jangan ubah bahan, ikut sukatan yang diberi... memang menjadi!

Resepi : Gulai Ikan (Gulai Kepala Ikan)
Sumber : Hidangan Tradisi Pulau Pinang oleh Puan Hasma Basir

Bahan-bahan:
600 gram kepala ikan kegemaran - Amie gunakan isi ikan
50 gram serbuk kari
1 sudu teh serbuk cili
50 gram asam jawa - perahan pertama dengan 1 cawan air & perahan kali kedua dengan 2 cawan air
1 biji tomato - belah 4
300 gram bendi - goreng separuh masak
2 pokok daun bawang - potong 3cm panjang
2 tangkai cabai hijau - belah 2 jangan putus
garam secukup rasa
1 cawan kelapa parut - perahan pertama dengan 1/2 cawan air (pati) & perahan kali kedua dengan 2 cawan air (kemencar)

Bahan tumbuk:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

Bahan penumis:
4 biji bawang besar - mayang
2 ulas bawang putih - mayang
1 sudu teh halba campur
2 tangkai daun kari
5 sudu besar minyak

Cara:
1. Bersihkan ikan. Potong ikut kegemaran anda.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan penumis hingga kekuningan. Masukkan bawang tumbuk, sedikit pati santan dan serbuk kari. Gunakan api perlahan. Kacau hingga wangi.
3. Masukkan baki pati santan dan 1 cawan santan kemencar. Masak dengan api perlahan sehingga naik minyak.
4. Masukkan 1 cawan santan kemencar dan perahan asam jawa kedua. Kacau dan biarkan mendidih.
5. Masukkan tomato dan ikan. Kuatkan api.Selepas 5 minit masukkan bendi, cabai dan daun bawang serta garam, secukup rasa. Hidangkan panas bersama nasi atau roti.


Bersantap kami selepas Zuhur,
Habis licin tak tinggal lagi,
Semerbak aroma dek halba campur,
Ditambah rempah dan daun kari.

Ribuan terima kasih buat  Ayahanda Temuk.
Cadangan Ayahanda agar sesekali Amie paparkan pantun dalam entri sangat Amie hargai, dan in shaa Allah akan Amie usahakan.... walaupun agar sukar juga untuk menciptanya, yaaa... memulakan sesuatu memang agak menyukarkan, tapi alah bisa tegal biasa, betul tak Ayahanda?

Lada.... Ya Cerita Lada di Negeri Sabah!

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama doakan semoga banjir yang sedang menimpa negeri-negeri di pantai timur akan segera surut. Hendaknya mangsa banjir akan sentiasa tanah dengan musibah ini, dan in shaa Allah banyak hikmah ketabahan di sebalik ujian getir ini.

Cuaca di Sabah pun tidak menentu. Adakalanya mendung sepanjang waktu, dan hanya sesekali saja matahari bersinar. Sejuk dan nyaman sepanjang hari, tapi pakaian yang dijemur memanglah tak kering sepenuhnya.

Cerita tentang cuaca dingin, kita akan tercari-cari sesuatu yang boleh memanaskan.... apa kata kita cerita tentang yang panas tapi sebenarnya pedas! Biasanya kita sebut sambal. Tapi di sini  disebut lada! Apa bezanya sebutan antara sambal dan lada? Diperbuat daripada apa? 

Ada ketikanya rasanya terlalu pedas, dan terasa banyak pula cukanya. Ada ketikanya terasa sangat sedap! Pedas juga tapi nak menambah! Sebab lengkap sempurna... semua rasa ada. Masin, masam, manis, pedas. Ngam... kata orang Sabah.

Jom kita cerita tentang 'lada' di Negeri Bawah Bayu ini. 
Dulu Amie selalu beli. Sebotol (biasanya dalam botol sos), harganya RM3.00. Belajar makan dengan kawan-kawan, begini caranya:
Tuangkan sedikit atau sebanyak mana 'lada' yang kita kehendaki ke dalam sebuah bekas (mangkuk atau piring kecil). Tambahkan garam atau gula atau jika suka tambahkan ajinomoto, kemudian perahkan jus limau kasturi atau limau nipis. Gaul sebati. 
Biasanya 'lada' begini dimakan bersama mee goreng, atau bihun goreng. Kalau anda pernah datang ke negeri ini, 'lada' begini memang sentiasa di sediakan di meja makan.

Suatu ketika dahulu, Amie pernah makan soto @ coto makasar dan Amie tambahkan 'lada' begini. Kebetulan pulak 'lada'nya sangat sedap! Walaupun pedas tapi Amie gasak 'lada' tu habis-habisan! Walaaa.... lepas tu selalulah Amie berkunjung ke gerai coto ini untuk menikmati coto makasar bersama 'lada'nya. Sayangnya, tak lama kemudian gerai ini terbakar! Sampai sekarang Amie tak pernah lagi terjumpa 'lada' yang sesedap di situ!
'Lada' bukan saja boleh dimakan bersma coto @ soto, boleh juga tambahkan ke dalam sup tulang dan apa-apa sajalah makanan yang sewaktu dengannya. Pendek kata, kira macam sambal kicaplah juga tu kalau di tempat kita!
Satu lagi... kadang-kadang Amie tuangkan sikit 'lada' kemudian tambahkan cili sos dan juga kicap! Cicahlah dengan ikan goreng. Memang menjadik!

Sekarang Amie tak pernah beli 'lada' lagi. Amie buat sendiri. Lebih terjamin rasa dan kebersihannya kalau kita hasilkan di dapur sendiri. Kalau suka buatlah lebih, tapi kalau nak rasa yang sentiasa segar, buatlah sikit-sikit saja. Gunakan cili padi kampung yang masak dan segar. Tambahkan bawang putih. Gunakan juga halia tapi sikit saja. Tak bubuh pun tak apa, tapi kalau kita bubuh aromanya lagilah mengancam... tambahkan dengan perahan limau kasturi atau limau nipis! Wadeeehhhh....
Nak cuba buat 'lada' tak? Jom tengok resepinya.

Bahan-bahan:
100 gram cili padi masak - buang tangkai
20 gram bawang putih - buang kulit
1 hirisan nipis halia muda
1 cawan cuka (ikut paras cili padi dalam pengisar)
1 sudu teh garam
3 sudu makan gula  (jika suka tambahkan 1 sudu teh ajinomoto)

Cara:
1. Masukkan kesemua bahan ke dalam pengisar.
2. Kisar hingga halus.
3. Masukkan ke dalam botol dan tutup rapat. Boleh simpan di dalam peti sejuk dan boleh juga disimpan di luar (suhu bilik).
4. Ketika ingin menikmatinya bersama makanan pilihan, tuangkan sedikit ke dalam mangkuk dan tambahkan jus limau kasturi atau jus limau nipis. Boleh tambah bahan perasa seperti garam atau gula jika ingin memenuhi deria rasa anda. Bubuh kicap pun boleh.... terutama Kicap Cap Kipas Udang atau Habhals!

 Amacam? Ada selera nak makan?

Terima kasih buat kakak ipar sebab bagi Amie cili padi segar. Bila Encik Suami nampak Amie buat 'lada' ini petang kelmarin, bukan main suka lagi dia....

Pedas memang pedas tapi sedapnya tak dapat dinafikan!

Rabu, 24 Disember 2014

Ikan Goreng Sama Sambal Ijo Kjee

Asyik terbayang-bayang keenakan Sambal Ijo yang Kjee tayangkan di FB tempohari, Amie pun beberapa kali buka tudung saji di dapur Kjee DI SINI dan DI SINI. Kalau dah Kjee kata buat Sambal Ijo sebanyak 1 kilogram cili hijau dengan 1 kilogram bawang besar, tentulah ada sesuatu yang istimewa dalam resepi tu. Dah tu pulak, kebetulannya ada minyak bekas goreng ayam, jadi kenalah cepat-cepat buat Sambal Ijo sebab Kjee kata Sambal Ijo tu ditumis gunakan minyak bekas goreng ayam! Petang kelmarin, selepas hantar kakak ipar balik ke kampung, Encik Suami singgah di kedai runcit. Amie pesan belilah cili hijau kalau ada. Habislah cili hijau di kedai tu Encik Suami beli, bukan berkilo pun.... cuma dapat 18 biji aje!
Wokehlaaa... 18 biji pun boleh buat Sambal Ijo kan Kjee. Amie timbang, beratnya 300 gram. Maknanya, kenalah gunakan bawang besar 300 gram juga. 

Sambal Ijo dah siap. Senang kerja masak-memasak Amie hari ini. Sambil renihkan sup sayur, Amie goreng ikan jenahak dan di sebelahnya lagi Amie masak Sambal Ijo.
Minta izin ye Kjee, Amie paparkan resepinya di sini. Di kesempatan ini Amie ingin ucapkan ribuan terima kasih buat Kjee dan juga kepada Ann, adik angkat Kjee yang katanya berniaga di kedai Minang di Paya Jaras. Kata Kjee, daripada Annlah Kjee belajar resepi Sambal Ijo ini. Alhamdulillah, moga tambah majulah perniagaan Ann ye.

Bahan-bahan:
300 gram cili hijau - patah-patahkan dan tumbuk kasar (tumbuk dalam lesung, bukan gunakan pengisar)
300 gram bawang besar - potong kasar dan tumbuk kasar
1/2 cawan minyak bekas gorengan ayam
1 sudu makan pati asam jawa  (Kjee gunakan asam keping)
1 sudu teh garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar hingga layu.
2. Masukkan cili hijau dan masak selama 10-15 minit.
3. Tambahkan pati asam jawa (asam keping), garam / gula / perasa pilihan.
4. Padamkan api dapur.
 
Bila kita goreng bawang besar dalam minyak bekas gorengan ayam... aromanya memang sungguh menyelerakan! Rasanya pun tak pedas mana... sesuailah dengan selera kami anak beranak, tak payah bubuh cili padi lagi dah. Memang betul kata Kjee, Sambal Ijo ini sangat sedap! Boleh bubuh atas apa-apa lauk pun, termasuk ikan, ayam, telur dan apa-apalah yang teringin kita nak makan. Boleh buat banyak, dan simpan. Oh yaaa! Sambal Ijo yang Amie buat ni sekali makan dah habis! Jadi... dapatlah jawapannya mengapa Kjee buat Sambal Ijo sampai 1 kilogram!
Sekali lagi : Terima kasih daun keladi ye Kjee & Ann!

Selasa, 23 Disember 2014

Popia Inti Udang ala-ala Secret Recipe!

Walaupun selalu buat popia tapi nak tepek jugak Popia Inti Udang ala-ala Secret Recipe supaya tak lupa resepinya kalau nak buat lagi. Ini gara-gara order popia di Secret Recipe Tawau tempohari. Terima kasih buat Cikgu Hanifah dan Cikgu Ismail, kawan karib dan bekas jiran semasa di LD penghujung tahun 90-an yang sudi belanja minum petang. Hanifah dan Mail order kek, tapi Amie pilih popia. Bila popia dah sampai ke meja, masing-masing tertawa melihat bentuk popia yang comel kecil...
Aku ingat apa benda spring roll yang ko order tu... katanya Mail.
Inilah dia popia... aku saja nak tahu apa benda dalamnya... jujur aje jawapan Amie kan... ha hahaha sambil menyelam tentulah nak minum air. Kalau tak, tak bertambahlah koleksi popia dalam dapur maya Amie kan.
Amie pun menikmatilah popia yang comel-comel, kalau tak silap ada 6 batang kesemuanya dengan segelas jus epal hijau.
Terima kasih Cikgu Hanifah dan Cikgu Ismail. Moga sihat selalu dan berbahagia bersama anak-anak remaja yang tampan dan manis, Uzair dan Asyraf dan juga Haziqah.

Saiz kulit popia yang digunakan saiz paling kecil, dan isinya udang saiz kecil juga... barangkali dalam 3 ekor dan hanya udang semata-mata. Jadi, bila kita makan terasalah isi udangnya! Amie tak tahulah cara masak udangnya macamana tapi memandangkan isi udang yang terasa masih segar, Amie ingat inti popia itu tidak dimasak terlebih dahulu! Amie rasalah ye.... tak tahulah apa yang orang lain rasa.
Dan sebenarnya popia di Secret Recipe tu comel tersusun, tak macam yang Amie buat ni. Ini gaya orang kelam kabut nak cepat cabut lari!

Pada mulanya Amie letakkan seekor udang saiz besar dan kemudian gulung kulit popia tapi nampak terlalu gemuklah pulak popia tadi. Akhirnya Amie belah isi udang dan potong setiap belahan menjadi dua. Hasilnya, seekor udang saiz besar boleh dijadikan inti untuk dua keping kulit popia. Amie gunakan udang harimau, jadi bila sudah digoreng, memanglah popia sangat sedap, cuma lain kali Amie nak gunakan isi udang kertaslah pulak, sebab isi udang harimau agak keras!
Wokey... walaupun inti popia hanyalah udang semata-mata, tanpa lobak merah atau sengkuang dan bahan lain yang selalu menemani inti popia, namun udang tu kenalah juga kita make-upkan dia sikit sebelum dibungkus he hehehhe....

Bahan-bahan:
50 keping kulit popia saiz kecil
1 biji telur - ambil putihnya
minyak

Bahan inti:
25 ekor isi udang harimau (saiz besar) - belah dua dan setiap belahan potong dua
2 ulas bawang putih - tumbuk halus
3 biji bawang merah - tumbuk halus
1/2 sudu makan lada putih - tumbuk
1 sudu makan serbuk pati ayam

Cara:
1. Gaul kesemua bahan inti dan perap 15 minit.
2. Letakkan dua belahan isi udang di atas kulit popia, lipat kiri dan kanan dan seterusnya gulung serta lekatkan dihujungnya dengan sedikit telur putih.
3. Goreng popia di dalam api sederhana panas. Bila warnanya kuning keemasan, angkat dan toskan.
4. Hidangkan bersama sos pilihan, atau makan begitu saja.

Wokeh... habislah cerita tentang Popia Inti Udang ala-ala Secret Recipe!

Isnin, 22 Disember 2014

Meriahnya Lauk Makan Tengahari: Ayam Goreng Gaya Kampung, Sup Campur, Sambal Mangga, Ikan Goreng & Telur Masin

Hari ini mendung dari pagi hingga ke petang. Sesekali sang mentari muncul memancarkan sinarnya yang terang dan cantik! Tapi hanya untuk seketika saja. Awan kelabu melindunginya....

Sementara Firdaus tidur, dan kakak ipar yang mengasuhnya ada di sisinya Amie pun ambil kesempatan menyediakan hidangan untuk makan tengahari kami. Amie perap daging ayam cara kampung dengan ketumbar jintan, halia, serai dan kunyit serta bawang putih. Mmmm... bila digoreng harumnya semerbak satu dapur! Ditambah pula pada masa yang sama sup di periuk sedang mendidih! Fairuz beberapa kali masuk dapur bertanya apa benda yang Amie masak? 
Oleh kerana kakak ipar suka makan ikan, Amie gorengkan ikan belais. Untuk melengkapkan hidangan, Amie tambah sambal mangga. Dan satu lagi... dengan penuh rasa terujanya Amie pun rebus telur itik masin yang Amie buat sendiri!

Ini dia Ayam Goreng Gaya Kampung. Memang Amie selalu ingat pesan Bonda kalau nak  perap daging ayam ini. Ketumbar dan jintan tumbuk kasar, kata Bonda! Jadi bila kita goreng, nampaklah biji ketumbar dan jintan yang pecah-pecah. Semerbaknya ketika digoreng mengembalikan ingatan dan kenangan aroma yang sering dihidu di majlis kenduri kendara di kampung kami.Kalau nak cuba, silakan... dijamin sedap!

Bahan-bahan:
1 ekor ayam sederhana besar- potong 16 bahagian
1 sudu makan serbuk pati ayam
1/2 sudu teh garam
1 sudu makan serbuk kunyit
minyak

Bahan kisar halus:
3 ulas bawang putih
3 cm halia
1 batang serai - ambil isinya yang putih dan hiris kasar

Bahan tumbuk / kisar kasar:
2 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara:
1. Gaul daging ayam bersama semua bahan kisar halus dan kasar, garam, serbuk pati ayam, dan kunyit . Perap lebih kurang 30 minit.
2. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam.
3. Goreng hingga masak atau sehingga daging ayam berwarna keemasan.
4. Angkat dan toskan.



Ikan belais goreng ini pun Amie perap dengan bahan yang sama untuk memerap daging ayam! Sedap oooo....

Ini Sup Campur. Main rebus aje. Kiranya sup ini masuk kategori sup bujanglah! Suka sangat hirup kuahnya!

Bahan-bahan:
1 bahagian paha ayam - potong 10
3 biji kentang - buang kulit dan belah 2
1 batang lobak merah - buang kulit dan potong bulat
3 batang celery - potong serong sepanjang 3 cm
4 batang fucuk - rendam hingga lembut dan kemudian potong sepanjang 3 cm
1 cawan suhun - rendam hingga lembut
2 labu bawang besar - belah 4
5 ulas bawang putih - pecahkan
3 cm halia muda - hiris nipis
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
2 liter air
1 sudu makan lada putih - tumbuk
1.5 sudu makan serbuk pati ayam
bawang goreng
hirisan daun sup

Cara:
1. Tuang air ke dalam periuk dan letakkan di atas dapur.
2. Masukkan ayam, lobak merah, celery, kentang, bawang besar, bawang putih dan halia. Jangan lupa masukkan sekali kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang.
3. Biarkan sehingga kuah mendidih. Kemudian perlahankan api dapur.
4. Renih sup sehingga daging ayam, lobak merah dan kentang empuk.
5. Perasakan dengan lada putih dan serbuk pati ayam.
6. Padamkan api dapur.
7. Taburkan bawang goreng dan juga hirisan daun sup ketika menghidangkannya.

Haaa... dah ada kuah sup untuk dihirup, kenalah lengkapkan dengan yang pedas-pedas sikit. Ini Sambal Mangga.... mmmmm memang sedap walaupun mangga yang digunakan sudah masak. Untuk menambah kelazatannya, bubuhlah lebih sikit jus limau kasturi, taklah terasa manis sangat mangganya tu.

Bahan-bahan:
20 biji cili padi
1 biji mangga harum manis - cincang
5 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
15 gram belacan 
7 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Goreng bawang putih, bawang merah dan belacan bersama-sama. Angkat dan toskan.
2. Tumbuk cili padi bersama belacan, bawang putih dan bawang merah goreng tetapi jangan terlalu lumat.
3. Gaulkan bersama cincangan mangga.
4. Tambahkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Akhir sekali tuangkan jua limau kasturi.
6. Biarkan beberapa minit supaya semua bahan mesra sebelum dihidang.

Terakhir.... telur itik masin buatan sendiri! Walaupun rtupanya tak lawa... tapi rasanya menepati selera kami sekeluarga sebab tak masin sangat! Nak tahu cara buat telur itik masin boleh klik DI SINI.

Ahad, 21 Disember 2014

Resepi Paling Mudah : Kuih Cara Manis

Bila musim hujan tiba....
Pagi, tengahari hingga petang cuaca mendung.... dingin, kelam dan suram.
Tapi... perut pulak asyik terasa lapar!
Encik Suami pun selalu tegur: Firdaus tu suka makan kuih. Rajin-rajinlah buat kuih!
Jom nikmati Kuih Cara Manis yang sangat ringkas cara penyediaannya ini.

Bahan-bahan (untuk batter):
125 gram tepung gandum - diayak
 250 ml santan - boleh juga gunakan susu
1/2 sudu teh garam
1 biji telur gred B
2 sudu makan gula pasir
setitik emulco pandan
sedikit minyak dan simpulan daun pandan untuk mengglis acuan

Cara menyediakan batter:
1. Bancuh bahan batter dengan telur dan santan. Adun hingga rata dan kemudian masukkan baki santan.
2. Tuang batter ke dalam jug penyukat.


Cara memasak kuih cara:
1. Panaskan acuan kuih cara.
2. Sapukan sedikit minyak menggunakan daun pandan.
3. Tuangkan batter hingga setengah penuh.
4. Masukkan dengan cermat 1/4 sudu teh gula pasir.
5. Tuangkan lagi batter supaya tertutup intinya.
6. Tutup acuan dengan tudungnya (atau tudung periuk) dan biarkan kuih masak perlahan-lahan.
7. Cungkil tepi kuih dengan pencucuk dan angkat kuih yang masak dengan sudu.
8. Ulangi hingga batter habis. 
 

 
Senang sangat kalau nak buat kuih cara manis ini. Nak makan lagilah senang.... tak sempat buat minuman panas, sudah hampir habis.

Petang tadi Firdaus makan empat ketul kuih cara manis!

Sambal Jering

Dua hari lepas dah buat Sambal Jering yang ringkas, hiris-hiris cili je. Laku pulak! Anak-anak pun ikut makan sama. Baguslah begitu.... kecil-kecil lagi dah pandai makan jering. Jadi, Amie pun ambil kesempatan cerita kepada anak-anak tentang khasiat jering, antaranya membantu memudahkan proses membuang air kecil. Jering juga dikatakan boleh menjadi penawar penyakit kencing manis. Dan banyak lagi khasiatnya yang lain, cuma awas! Jangan makan terlalu banyak pada satu masa sebab dikhuatiri akan menyebabkan sembelit!

Amie rebus jering hingga empuk dan kemudian hiris setebal 1/2 cm. Bahan yang lain pun Amie hiris juga termasuk bawang putih, bawang merah, bawang besar, halia, cili padi dan cili hijau. Pilih halia muda yang tak berserat ya, hiris halus-halus. Tak sedar tu kita makan halia semasa kita kunyah bersama  bahan yang lain. Senangkan.... Ikan bilisnya pula, Amie suka yang rangup, jadi Amie goreng dulu sebelum dicampur bersama bahan-bahan lain. Bubuh perasa sikit je, sebab ikan bilis tu kan dah ada rasa masin.

Bahan-bahan:
20 biji jering tua - tanggalkan kulitnya dan rebus hingga empuk- hiris nipis1/2 cm
200 gram ikan bilis - goreng dan toskan
4 sudu makan minyak
1 sudu teh pati asam jawa
1 sudu teh serbuk pati ayam
1 sudu teh gula pasir

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
20 biji cili padi minyak
7 biji cili hijau
3 cm halia muda - hiris halus seperti batang mancis

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah, bawang besar serta halia hingga layu.
2. Masukkan cili padi dan cili hijau. Gaul rata.
3. Tambahkan pati asam jawa, gula pasir dan serbuk pati ayam. 
4. Masukkan hirisan jering dan gaul rata.
5. Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng dan padamkan api dapur.
6. Gaul bahan dalam kuali hingga sekata.


Sabtu, 20 Disember 2014

Sedapnya Ikan Jenahak Masak Sup!

Malam semalam Encik Suami suarakan keinginannya nak makan sup ikan jenahak hitam. Katanya tentu sedap kalau bubuh batang celery.  Petang tadi sempat menyelinap ke dapur ketika Firdaus sedang tidur. Ketika Encik Suami pulang dan terus masuk dapur, sup sedang mendidih di atas dapur. Haruuuummmm.... Pada masa yang sama Firdaus pun mengekori Encik Suami dari belakang... ha hahah memang cium bau betul Firdauskan! Dalam tidur pun dia boleh tahu ayahnya pulang!

Amie masak ringkas saja. Tapi bila dah siap masak, tak sabar nak hirup kuahnya!

Bahan-bahan:
3 keping ikan jenahak hitam
800 ml air
2 batang celery - potong serong sepanjang 3 cm
1/2 batang lobak merah - potong bulat
3 cm halia muda - hiris nipis
1 labu bawang besar - belah 4
2 ulas bawang putih - pecahkan
1 sudu lada putih - tumbuk
1 sudu makan serbuk pati ayam

Cara:
1. Masukkan air dalam periuk dan masak atas dapur.
2. Masukkan batang celery, lobak merah, bawang putih dan bawang merah.
3. Bila air telah mendidih, masukkan ikan jenahak hitam.
4. Masak di antara 5-6 minit.
5. Perasakan dengan serbuk pati ayam dan lada putih.

Sambal Tumis Udang

Jumpa lagi.
Hari ini mendung. Langit dilitupi awan kelabu.
Nak masak pun macam tak ada masa. Firdaus asyik minta dukung. Sekejap pun tak mahu lepas! Kalau dia nak tidur, kita mesti ada di sebelahnya. Sejak balik hari Khamis lalu, baru hari ini berkesempatan buat entri masakan. Firdaus macam takut je kalau kena tinggal! Sekarang nak ke dapur pun susah. Comelkan gaya Firdaus nih.... hiks!

Hari ini Amie sempat masak Sambal Tumis Udang. Sebenarnya nak masak kelmarin, tapi disebabkan Firdaus asyik minta dukung, udang yang Amie siap buang kulit terpaksa Amie simpan dalam peti sejuk. Tunggu ada masa terluang. Ingatkan hari ini nak masak Sambal Tumis Udang buat lauk nasi lemak. Tapi nasi lemak pun tak jadi juga.... he he heheh tiap kali Amie ke dapur, Firdaus mesti mengekor di belakang! Minta dukung! Tak mahu pulak dia dengan abang-abangnya! Nampak gaya, kena tunggu Encik Suami pulang petang nanti, baru boleh masak dengan sempurna! 
Seronok melayan Firdaus.... manjanya buat hati jadi cair! Tapi kenalah tunggu dia tidur baru boleh lari ke dapur!
Kejap lagi kita pun nak tidur gak di sebelahnya... he hehhehe cuaca sejuk beb!

Amie masak Sambal Tumis Udang gunakan udang harimau. Kulit dan isi udang ini agak keras berbanding udang kertas. Jadi, Amie buang keseleluruhan kulit sampai ke ekornya, dan seterusnya belah bahagian belakang udang untuk tarik keluar usus udang yang mengandungi isinya yang berwarna hitam.

Seperti biasa, antara bahan yang Amie gunakan dalam resepi ini selain cili kering dan bawang, Amie tambahkan dua sudu makan udang kering. Sesetengah daripada kita akan tambahkan belacan sebagai penambah aroma dan rasa, tapi Amie gantikannya dengan udang kering. Untuk sambal begini, Amie tak mahu rasanya terjejas dengan penggunaan halia, tapi Amie nak gunakan juga. Jadi Amie bubuh sedikit saja halia... orang kata sebagai syarat saja! Amie hanya gunakan lebih kurang 1 cm halia saja, itu pun halia muda yang tak berserat. Untuk menambah kelazatannya, Amie tabahkan sebatang serai, ambil isinya yang putih dan kisar bersama cili kering serta bahan-bahan yang lain.
Oleh kerana sambal ini tidak 'berteman dengan nasi lemak', Amie kurangkan penggunaan gula, dan biarkan rasa pedasnya agar bersesuaian untuk dimakan bersama nasi putih, ikan goreng serta sayur. Memandangkan sudah ada perasa garam daripada udang kering, Amie bubuh satu sudu teh saja garam sebagai perasa dan tambahan sebanyak setengah sudu teh serbuk pati ayam.

Bahan-bahan:
1 kg udang harimau - buang kulit dan belah bahagian belakang- tarik keluar usunya
1/2 cawan minyak
1 sudu teh garam
1/2 sudu teh serbuk pati ayam
1 sudu teh pati asam jawa
2 sudu teh gula melaka parut
1 labu bawang besar - mayang kasar

Bahan kisar:
25 biji cili kering - buang biji
5 ulas bawang putih
15 biji bawang merah
1 cm halia muda
1 batang serai - ambil isinya yang putih dan hiris
2 sudu makan udang kering - rendam hingga lembut

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Gunakan api panas sederhana.
2. Masukkan pati asam jawa, gula melaka parut, garam dan serbuk pati ayam. Gaul hingga mesra.
3. Masukkan isi udang harimau bersama bawang besar.
4. Masak sehingga udang masak, dan bawang besar layu serta kuah menjadi pekat.
5. Padamkan api dapur.

Rabu, 17 Disember 2014

Bila Firdaus Turun Tanah.....

Tak sabar nak tunggu sampai petang esok....
Tak sabar nak jumpa Firdaus....
Layan dulu gambar-gambar Firdaus turun tanah buat pertama kalinya di kampung, pada hari kedua di halaman rumah Bonda dengan berkaki ayam.
Gambar-gambar ini Encik Suami yang ambil. Ketika itu Amie bersama Kak Rose dan Kak Is pergi ke Kuala Selangor, ke Mahkamah Majistret atas urusan harta pusaka.
Jom tengok Firdaus dengan kaki ayamnya....








 Walaupun kaki tak sampai nak kayuh basikal.....
tapi dapat juga naik basikal!

Bila dah besar nanti... Firdaus tentu tertanya-tanya, mana kasutnya? Kenapa tak dipakaikan kasut? Sebenarnya.... Firdaus tak mahu pakai kasut!