ADSENSE

Isnin, 24 November 2014

Sambal Ikan Siakap

Hari ini...
Rumah sunyi dan sepi...

Fuad & Fairuz sejak Jumaat lepas ikut serta Jambori Pengakap Antarabangsa di Lumut, Perak.
Farid.... setiap kali telefon kami asyik tanya, bila kami akan sampai ke kampung nenek, bila akan melawatnya di Bangi.
Encik Suami kerja... awal pagi tadi keluar bawa Firdaus sekali untuk di hantar ke kampung.
Kita pun meneruskan kerja di rumah..... yang perlu disiapkan sebelum pukul 2 petang ini, kelmarin baru habis mesyuarat di Tawau selama 4 hari,
mata pun tak berapa nak boleh celik.... penat!

Rindu pulak nak makan nasi masakan dapur sendiri. Sejak hari Rabu sampailah kelmarin, Ahad asyik makan di kedai, makan di restoran dan sarapan pagi di hotel saja. Jadi, tadi merajinkan dirilah masak ikan siakap nan seekor yang beratnya tepat 1 kg. Masak apa? Masak sambal aje. Kita masak bubuh udang kering dan kita juga campurkan cili kering sama cili tator... cili kecik-kecik bulat macam kat gambar atas tu, dekat dengan hirisan limau nipis tu... pedas ko rasanya!

Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap seberat 1 kg - bersihkan dan potong 2 - lumur dengan sedikit garam dan kunyit
3 sudu makan jus limau nipis 
2 sudu makan kicap manis
1 sudu makan sos tomato
1 sudu makan sos tiram
minyak

Bahan kisar:
10 biji cili kering - buang biji dan rendam dengan air panas hingga lembut
10 biji cili tator (boleh gantikan dengan cili padi kalau tak ada cili jenis tu)
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 sudu makan udang kering - rendam hingga kembang

Cara:
1. Goreng ikan siakap hingga masak. Angkat dan ketepikan.
2. Tinggalkan minyak gorengan tadi sebanyak 5 sudu makan, dan tumis semua bahan kisar dengan api sederhana panas sehingga pecah minyak.
3. Masukkan kicap manis, sos tomatoo dan sos tiram.
4. Gaul sebati dan kemudian masukkan ikan goreng tadi dan tuangkan jus limau nipis.
5. Balik-balikkan ikan sehingga sambal melumuri keseluruhan ikan.

Makanlah kami berdua laki bini.... terkulat-kulat je rupa kami di meja makan!
Agaknya disebabkan kesunyian tanpa anak-anak di sini.... hu huuuuu... tak boleh jadi kalo begini! Malam ni kami berkemas.... esok nak terbang balik kampung.... nak tengok Farid di Bangi. Nak jejak Fuad & Fairuz di Lumut! Oh! Mak.... orang dah nak balik ni! Tunggu yeaaa.....
Tinggallah dulu dapurku  yaaa...

Khamis, 20 November 2014

Jom ke Tawau Kita....

Ke Tawau lagi.... memang sudah menjadi takwim tahunan, tiap kali cuti sekolah pasti Amie ke sini. Selain menghadiri mesyuarat selama 4 hari mulai hari ini hingga selesai pada hari Ahad nanti, sempat jugalah bawa Fuad & Fairuz shopping serba sedikit barang keperluan mereka. Esok pagi, mereka akan berangkat ke Kota Kinabalu, dan seterusnya akan terbang ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu. Bujang kami ini ikut Jambori Pengakap Antarabangsa di Lumut Perak sehingga 30 November 2014.
Kelmarin kedua-duanya sempat ikut Encik Suami hantar Amie ke Tawau. Pagi tadi tiga beranak ini balik ke Lahad Datu. Tinggallah Amie ....

Kali ini Amie menginap di MB Hotel. Hotel ini terletak berhampiran dengan hotel-hotel lain seperti King Park Hotel, Prince Hotel, Haritage Hotel, Shervinton Hotel dan banyak lagi. Dekat juga dengan Hotel Marco Polo yang berhadapan dengan pasar gantung. Nak cari teksi pun senang, sebab kena ulang alik ke tempat mesyuarat setiap hari dari pagi hingga petang. Nak cari makanan pun senang. Banyak restoran di sekitar. Nak shopping pun senang juga.... pergi ke Parkwell jalan kaki saja.

Berbeza sedikit dengan Hotel Shervinton yang selalu kami 'hinggap' MB Hotel kelihatannya agak 'lama' sedikit usinya. Bagaimana pun kami tetap selesa di sini.

Baru je letak beg dalam bilik, Fairuz & Fuad kata perut dah lapar. Kami pun keluar dari bilik dan terus menuju ke Sri Titingan Steamboat.

Kalau ke Tawau, jangan lupa datang ke sini tau....  Dibuka pada pukul 5 petang, dan kami merupakan pelanggan yang paling awal berada di situ.

Seronoklah ... sebab orang belum ramai! 
Sebenarnya baru minggu lepas kami bersteamboat di Lahad Datu! Adeeehhh...... muat ke lagi perut nak menampung macam-macam benda? Ye laaaa.... kita ni pantang nampak seafood, semuanya nak dibedal!

Makan sajalah mana yang mampu ditelan.... udang, sotong, sup ketam, dan entah apa lagi berpuluh-puluh jenis makanan lain yang terhidang. Larat tak larat sajalah mulut nak kunyah, dan tekak nak telan.

Fuad tak berapa suka nak makan seafood... katanya arlegik! He hehhe.... terpaksalah dia makan ayam & daging saja ye.... dan juga makanan lain yang bukan dari laut... tapi ikan dia tetap makan!


Makanlah sebanyak manapun yang anda larat nak makan! Tak mahal pun... hanya RM20 untuk dewasa. Kalau di Lahad Datu RM26 per orang dan kena caj RM5 untuk lebihan makanan seberat 100gram. Di sini kena caj RM3 saja kalau tak habiskan makanan anda.

Rabu, 19 November 2014

Wordless Wednesday : Teman 'Kemas Dapur' Kena Tinggal lagi......





Selasa, 18 November 2014

Rahsia Resepi Kuah Rojak Buah Yang Paling Sedap!

Nampaknya esok lusa sepilah dapur mayaku ini.... maklumlah tuan tanah kena bertugas luar kawasan, menjunjung titah perintah tuanku yang dipertuan agung. Tapi sebelum itu, tuan tanah nak tinggalkan satu resepi yang pastinya sukar untuk dilupakan... sebab kalau dah merasa sekali pasti akan menjilat jari.
Tuan tanah perasan resepi kuah rojak buahnya paling sedap di dunia.... ha hahhaha....  ! Sebenarnya paling mudah dibuat!

Tangan di atas yang tengah mencolek mangga dengan kuah rojak buah tu tangan Fuad.... tak sabar-sabar nak makan!

Nampaknya buah mangga udang  di belakang dapur kami jadi mangsa untuk dicolek dengan kuah rojak! Amie suka sangat makan buah mangga udang yang tua.... tapi tak masak, sebab rasanya tak masam. Ayuk... petik sebijik.


Petik juga epal bidara di depan rumah yang banyak berjuntai di luar pagar.... sayangnya kali ini epal bidara tak berapa menjadi. Mungkin disebabkan cuaca yang tidak menentu, 8/10 epal bidara buruk jadinya.
Ayuk... yuk bikin kuah rojaknya..... resepi yang paling mudah di dunia, dan menghasilkan rasa yang setanding dengan kuah rojak yang anda beli di pasaran. Tak caya? Boleh cuba sendiri! Kita lihat bahan-bahan yang digunakan.

Anda hanya perlu pergi ke kedai atau pasaraya dan dapatkan sebotol kicap manis cap kipas udang dengan kuantiti sebanyak 345ml, dan jangan lupa ambil sebotol sos tomato juga dari jenama yang sama seberat 340gram.... sos tomato ya, bukan sos cili! Lepas itu cari belacan. Ikut sukalah mana-mana belacan yang digemari, tapi Amie gunakan belacan yang di atas tu.... yang dalam kotak tu. Beratnya 10 gram, tapi Amie gunakan 5 gram saja.


Jangan lupa cili padi untuk rasa pedas. Cili padi di atas tu Amie petik dengan daun-daunnya sekali di rumah kakak ipar sewaktu ambil Firdaus petang tadi.
Wokeeeyyy... kita mulakan kerja sekarang naaa...
Masukkan kicap manis bersama sos tomato ke dalam periuk. Masukkan semua ya, jangan tinggal sikit pun dalam botol. Amie tumbukkan  5 gram belacan bersama 7 biji cili padi.
Sebab apa Amie hanya gunakan belacan 5 gram? Sebab kicap dan sos tadi dan cukup rasa, dan belacan tu pula masin. Cili tu ikut kepedasan masing-masing. Yang tak makan belacan, atau alahan belacan dan yang sewaktu dengannya tak payahlah bubuh belacan ya.... tapi lainlah pulak rasa kalau tak dak belacan!
Lepas tu, masak bahan tadi di atas api panas sederhana sehinggalah kuah sos menjadi pekat. Kacau selalu supaya kuah tidak hangus. Bila kuah dah pekat atau likat, padamkan api dapur dan sejukkan.

Inilah hasilnya.... kuah rojak buah yang sudah sejuk dan sedia untuk dicolek dengan apa-apa buah kegemaran.
Oh.... ya! Banyak kali Amie buat kuah rojak ni dan bawa ke tempat kerja. Kawan-kawan yang lain tukang bawa buah. Kami makan sama-sama. Bila mereka minta resepi Amie kongsikan. Sayangnya ada yang kata, hasilnya tidak sama dan tidak sesedap seperti yang Amie buat. Antara sebabnya:
1. Gunakan kicap jenama lain.
2. Gunakan sos cili.
3. Gunakan belacan berlebihan.
4. Campur sekali kuah rojak dengan buah-buahan dan biarkan dalam tempoh beberapa jam sebelum dimakan, akibatnya keluar air buah dan rojak jadi berkuah macam sup pulak!
5. Tambah gula.
6. Tambah air.

Kuah Rojak Buah sudah siap.... nak sedap, kenalah sediakan kacang tanah tumbuk. Bubuh bijan pun boleh, tapi kacang tanah terasa lebih ummmppphhhh! Kalau nak beraroma lagi, perahkanlah jus limau nipis sikit.

 Sesi colek-mencolek pun bermula.....

 Dah colek dalam kuah, pindah pulak ke kacang tanah tumbuk!

 Haiyyyooo.... aksi-aksi di atas menunjukkan ketidaksabaran untuk makan rojak buah!

 Patutnya buat beginilah kaaaann.... kalau tak pedas, tambahkan lagi cili padi.... aaahhh! Tak sabar nak makan... jom... jommmm!

Mencari Resepi Kuih Angin.... ada sesiapa tau?

Suka sangat makan kuih ni... di negeri bawah bayu nama dia kuih angin. Tak tahulah kalau di semenanjung apa namanya.
Pernah sekali cuba buat, kawan bagi resepi tapi tak jadi..... tapiiii rasanya sedap!


Taklah banyak sangat bahan yang digunakan, cuma tepung pulut dengan kelapa parut serta gula merah atau gula melaka saja. Kawan kata kuih angin ni kena kukus. Kita pun kukuslah... tapi tak sama hasilnya macam yang selalu kita beli.
Ada sesiapa yang tahu.... boleh kongsi dengan Amie tak?

Isnin, 17 November 2014

Hari Ulang Tahunku & Wedding Anniversary

Sekadar untuk kenang-kenangan....
Sebenarnya tak merancang untuk menyambut ulang tahun.... tak berapa sihat 2-3 hari. Entah bagaimana, hasil 'cucukan' keluarga belah Encik Suami, maka jadilah sambutan yang seadanya di rumah kami.... tanpa persiapan yang sepatutnya.

 Gambar kenangan... Farid tiada bersama. Tak apalah, Fuad, Fairuz & Firdaus ada.....

Persiapan menjelang pukul 6.00 petang. Gagahkan juga turun ke dapur sediakan mana yang patut. Selepas Isya' siaplah serba sedikit.... mee goreng, kentang panggang, air buah, nasi putih..... dan menu utamanya sudah tentulah BBQ ayam, sosej dan seafood.... BBQ pilihan paling mudah, sebab hanya perlu sedia bahan, yang nak makan panggang sendiri... bukan orang lain pun.... sanak sedara sendiri he hehehe.... yang penting meriah & kenyang!
Yang bestnya... dapat kek coklat strawberry.... terima kasih daun keladi buat Lina, anak buah kami sebab sponsor kek ini! Tahun depan hantar lagi ye Lina... kih kihhhh.

Doa dibaca.... kata Encik Suami, sempena ulang tahun Amie pada 16 November dan ulang tahun perkahwinan kami yang ke-20 pada 18 November - esok - sambut sekali harung!

Pelan-pelan je kita buat kerja, ambik gambar pun sikit-sikit. Suka tengok gambar ni.... makan di ruang terbuka..... Kita sibuk di dapur sampai keluar peluh... alhamdulillah, nampaknya demam semakin pulih.

Ahad, 16 November 2014

Sarapan Pagi Yang Paling Popular di Sabah : Nasi Kuning & Sambal Ikan

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie' Little Kitchen, juga buat silent readers, buat follower baru dan buat sesiapa juga yang tersesat ke dapur maya ini.... kehadiran anda amat dialu-alukan dan terima kasih kerana sudi bertandang.
Jadi, yang jengok dapur Amie hari ini dapatlah menjamu mata dengan Nasi Kuning Sambal Ikan sepinggan sorang he hehehe.....

Seperti biasa, sebelum ini pun memang banyak entri Amie tentang Nasi Kuning Sambal Ikan, dan kalau rajin bolehlah selongkar sendiri ... ahaks! Nasi Kuning Sambal Ikan yang sememangnya sangat terkenal sebagai hidangan sarapan di negeri Sabah ini pernah Amie kongsikan bersama dalam MAJALAH AROMA Edisi Januari 2013. Kalau di semenanjung nasi lemak merupakan menu sarapan pagi yang terkenal, tapi di Negeri di Bawah Bayu ini, Nasi Kuning Sambal Ikan anda boleh temui di mana-mana termasuk gerai jualan peniaga kecil atau di restoran. Biasanya nasi kuning dibungkus dalam daun pisang, tetapi peniaga sekarang lebih senang menggunakan pembungkus plastik polisterine.
Dulu... harganya murah sangat! Hanya RM1.00 sebungkus! Kenyang perut kita.... dan boleh dijadikan makanan tengahari kalau nak berjimat. Maklumlah, nasinya banyak, dan lauknya pula ikan masak sambal. Sekarang harga nasi kuning dah melambung! Naik sahamnya tau... kalau nak makan kenyang, sebungkus mau mencecah RM3.50 - RM4.50 bergantung pada lauk pauknya! Kalau nak setakat alas perut bolehlah beli sebungkus RM1.50 - RM2.50 dengan sedikit nasi & lauk! Biasanya Amie temui pelbagai jenis ikan seperti ikan selayang (di sini dikenali sebagai ikan basung), ikan tongkol, ikan alu-alu, ikan tenggiri, ikan kembung dan sebagainya. 
Lama-kelamaan lauknya dipelbagaikan. Ada sambal sotong, sambal tempe, sambal ayam dan seumpamanya.
Nasi kuning yang pada asalnya hanyalah nasi kuning bersama sambal ikan, kini sudah ditokok tambah mengikut selera peminatnya!

Kalau Amie bermesyuarat di Tawau (minggu depan bermulalah mesyuarat kami), memang Amie tak terlepas dari menikmati nasi kuning berlauk sambal ikan, biasanya ikan kembung atau ikan tuna, telur rebus, hirisan timun, serunding kelapa dan keropok kentang pedas!

Awal pagi tadi, telefon berbunyi....oh! Farid rupanya....
Mummy belum bangun ye?
Selamat hari lahir Mummy!
Adeeeehhhhh......

Sampai di dapur, terus buka tingkap.... tiba-tiba Encik Suami jengukkan kepala dari luar tingkap... terkejut!
Selamat hari lahir sayaaaanggg....
Kelmarin ada Baba beli ikan tongkol kecik-kecik... ada dalam peti sejuk. Sedap tu kalau buat sambal makan dengan nasi kuning.
Adeeeeehhhhh.......

Apa ni.... pagi-pagi dah kena dera masak nasi kuning!
Dah nasib ko laaa labuuuu... hari jadi ke, hari ibu ke.... ko kena bersilat gak dengan periuk kuali huhuuuuuuu.......

Walaupun dah banyak kali buat nasi kuning dan kongsi resepinya, tapi setiap kali Amie paparkan mungkin ada beberapa perubahan resepi, maklumlah kita masak gunakan apa saja bahan yang ada. Apa pun, tak semestinya kalau tak cukup satu bahan terus tak jadi masak, atau pun masakan tak menjadi. Terpulanglah atas kebijaksanaan masing-masing untuk hidangkan hasil masakan buat keluarga.
Kali ini Amie masak nasi kuning dengan menggunakan beras biasa bersama setengah cawan beras pulut. Sebelum ini Amie gunakan beras wangi, atau beras basmathi, tapi sebenarnya kesemuanya sedap belaka.

Bahan-bahan:
 5 cawan beras biasa + 1/2 cawan beras pulut - bersihkan dan toskan airnya
2 helai daun pandan - disiat-siat
3 cm halia - hiris halus
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam
600 ml pati santan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama daun pandan, halia, serbuk kunyit dan garam ke dalam kuali.
3. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.

Kalau tak nak kukus, masaklah cara biasa dalam rice cooker.  

 
Untuk sambalnya pula, Amie gunakan 1 kg ikan tongkol saiz kecil. Ada 10 ekor semuanya. Amie lebihkan penggunaan belacan, dan kurangkan penggunaan garam.

Bahan-bahan:
1 kg ikan tongkol - 10 ekor saiz kecil - bersihkan - lumurkan dengan 1 sudu teh garam dan 1 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk pati ayam
1/2 cawan parutan gula melaka
1 sudu teh pati asam jawa
minyak
Bahan kisar:
30 biji cili kering - buang biji dan rendam dengan air panas hingga lembut
3 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1 labu bawang besar
4 x 4 cm belacan
1 batang serai - ambil isinya yang putih
Cara:
1. Goreng ikan tongkol hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan 3/4 cawan minyak dalam kuali. Tumis semua bahan kisar.
3. Masukkan pati asam jawa dan gula melaka. Tumis hingga terbit minyak
4. Masukkan ikan tongkol yang telah digoreng.
5. Masukkan garam dan serbuk pati ayam. Padamkan api dapur.
6. Hidangkan bersama nasi kuning.

Di kebanyakan tempat, hidangan nasi kuning bersama sambal ikan sudah dikira lengkap, tetapi kalau anda ke Tawau, di tempat-tempat tertentu anda akan dihidangkan bersama serunding kelapa dan juga keropok kentang pedas.

  
Untuk menyediakan Serunding Kelapa, tidaklah sesukar mana. Cuba lihat apa bahan yang Amie gunakan di bawah ini.

Bahan-bahan:
2 cawan kelapa parut muda dan dibuang kulit arinya
3 sudu makan udang kering - rendam dan toskan airnya kemudian ditumbuk halus
2 ulas bawang putih - tumbuk
3 biji bawang merah - tumbuk
1/2 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu makan cili kisar
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh gula
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, bawang merah, dan cili kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan udang kering dan tumis lagi hingga wangi.
3. Masukkan kelapa parut , serbuk kunyit, garam dan gula.
4. Gaul rata dan balik-balikkan sehingga serunding menjadi kering.

Senang bukan? Nah... sekarang semuanya sudah tersedia. Ayoh... kita nikmati bersama.

Nasi Kuning Sambal Ikan dengan secawan kopi panas!

Bagi penduduk negeri Sabah atau yang biasa makan nasi kuning di Sabah sudah tentu merasakan ada kekurangannya dalam hidangan ini! Ya..... betul tu kawan! Sepatutnya ada semangkuk kecil sup tersedia di samping sepinggan nasi kuning anda!

Khamis, 13 November 2014

Lupakan French Fries Dulu... Jom Makan Ubi Kayu Goreng Berempah!

Ini kali kedua Amie buat Ubi Kayu Goreng Berempah untuk 2 hari berturut-turut. Selalunya asal nama ubi, tak ada yang nak jamah tapi kali ini laris pulak, dah tu ada pulak permintaan nak makan lagi dari anak-anak dan Encik Suami. Haaa... sekarang anak-anak baru tahu ubi goreng pun boleh kalahkan french fries yang kamu suka sangat tu!

Resepi Ubi Kayu Goreng Berempah ni teramatlah simple wa dimplenya! Taklah macam KAK NOOR punya yang sangat komplit dan kreatif tu... he heheh ini gara-gara gereeeemmm tengok ubi kayu goreng Kak Noor jugaklah ni. Nak hangkut dari Brunei banyaklah masalahnya lagi nak melepasi imigresenlah pulak sebelum sampai ke Lahad Datu! 

Bahan-bahan:
600 gram ubi kayu  - kupas kulit dan potong kecil memanjang
1 sudu makan serbuk pati ayam
1 sudu teh serbuk kunyit
minyak

Bahan kisar:
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah

Cara:
1. Perap ubi kayu  selama 10 minit dengan semua bahan kecuali minyak.
2. Goreng hingga kuning keemasan.
3. Angkat dan toskan.
4. Hidangkan bersama minuman panas, dan nikmatilah tak kira waktu pagi, petang atau malam!

Rabu, 12 November 2014

Jeruk Betik & Timun

MIL and Encik Suami kata ini rojak! Banyak dijual di gerai dan biasanya diperbuat daripada campuran betik mengkal dengan timun yang dihiris nipis. Kemudian dijeruk bersama garam, gula dan cuka. Jika suka pedas memang penjual jeruk ini sudah sediakan sambal kicap!

Selalu juga Amie buat di rumah, tapi jangka hayatnya hanya seketika..... dan orang yang paling sukakannya sudah tentulah Encik Suami! Kadang-kadang dia buat sendiri tau.... tapi katanya kalau Amie yang buat lagi sedap! Ahaks!!!

Tak banyak songel kalau nak buat jeruk begini. Yang penting ada timun dan betik mengkal. Itu aje. Amie gunakan 7 biji timun kampung seberat 1.5kg dan 3/4 biji betik mengkal seberat 1kg. Amie tak gunakan cuka, sebaliknya gunakan jus limau kasturi, tambah sedikit garam dan gula. Nak pedas, tambahlah cili padi atau buat sambal kicap!

Bahan-bahan:
1.5 kg timun muda - hiris nipis panjang - gunakan pisau pemotong / sagat
1 kg betik mengkal - hiris nipis panjang
1 sudu makan garam
6 sudu makan gula
12 biji limau kasturi - ambil jusnya
hirisan cili padi atau sambal kicap (jika suka pedas)

Cara:
1. Gaulkan hirisan betik dan timun bersama garam, gula dan jus limau kasturi.
2. Biarkan seketika sehingga bahan menjadi layu dan mengeluarkan air.
3. Boleh dimakan bila-bila masa bersama sambal kicap atau tambahkan hirisan cili padi jika suka pedas.

Amie masukkan sekali kulit limau kasturi, sebab suka aromanya! Kalau tak habis makan, bolehlah simpan dalam peti sejuk.

Rangup je bunyinya... krup kraaaapppp!


Amie makan sikit je, & suka kuahnya tu yang masam manis.... tak risau dan bimbang jadi basi, sebab dah tahu Encik Suami yang akan habiskan, tak kiralah siang atau malam!

Selasa, 11 November 2014

Ayam Sambal

Resepi ini didedikasikan buat rakan sekerja Amie iaitu Jill yang bertanya tentang masakan Ayam Sambal di salah sebuah restoran di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu. Jill ingin tahu samada Amie pernah makan hidangan tersebut dan meminta kongsi resepi sekiranya Amie tahu cara olahannya. Kebetulannya pada sebelah malamnya itu kami sekeluarga ke Sabah Book Store di Bandar Sri Perdana, dan Amie ambil kesempatan singgah di restoran yang Jill maksudkan. Amie pesan set hidangan Nasi Putih Ayam Sambal seperti yang Jill maksudkan.

Setelah menikmati hidangan tersebut, Amie berbincang semula dengan Jill tentang rasanya, dan apa sebenarnya bahan yang digunakan dalam masakan tersebut. Akhirnya setelah yakin dengan bahan-bahan yang digunakan, Amie pun cuba masakan Ayam Sambal di dapur sendiri.

Amie potong kepingan isi ayam agak besar sedikit berbanding yang kami makan di restoran. Maklumlah, bila kita membeli kuantitinya pun mengikut harga dan keuntungan mengikut kehendak tuan kedai. Kalau buat sendiri, ikut suka kita nak potong besar mana. Dan satu lagi Amie kurangkan penggunaan minyak, memandangkan Ayam Sambal yang kami makan berminyak. Amie juga menggunakan bahan yang sama seperti lobak merah, tomato, cili merah, cili hijau dan bawang besar sebagai bahan pelengkap sambal. 
Cuma Amie baru dapat fikiran bahawa 'asam jawa' yang digunakan dalam masakan tersebut sebenarnya sos tomato!

Resepinya lebih kurang begini ye Jill (sebagaimana yang Kak Amie cuba). 

Bahan-bahan:
1 kg ayam - buang tulang - potong isi ayam lebih kurang 3cm X 2cm dengan ketebalan 1.5cm
2 sudu makan tepung jagung
1/2 batang lobak merah - buang kulit dan potong bulat nipis
3 biji tomato - potong dadu
1/2 labu bawang besar - potong dadu
3 biji cili hijau - hiris nipis
2 biji cili merah - hiris nipis
2 sudu makan sos tiram
2 sudu makan kicap manis
2 sudu makan sos tomato
minyak

Bahan kisar:
10 biji cili kering (jenis besar & tidak pedas) - buang biji dan rendam dengan air (panas / sejuk) hingga lembut
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu makan udang kering

Cara:
1. Gaulkan daging ayam dengan tepung jagung dan kemudian goreng hingga masak. Ketepikan.
2. Gunakan 4 sudu minyak untuk menumis bahan kisar.
3. Tumis bahan kisar hingga dengan api panas sederhana sehingga pecah atau terbit minyak.
4. Masukkan sos tiram, sos tomato dan kicap manis. Kacau beberapa kali hingga sebati.
5. Masukkan lobak merah, tomato, bawang besar, cili merah dan cili hijau. Biarkan seketika. Jika kuah terlalu kering tambahkan sedikit air.
6. Akhir sekali masukkan ayam yang digoreng tadi dan gaul sebati.
7. Padamkan api dapur.


Selamat mencuba Jill.