ADSENSE

Jumaat, 31 Oktober 2014

Resepi Ikan Talapia Goreng Berlada Yang Mudah Tapi Sedap!

Amie masih ingat, permulaan menyukai ikan talapia sebenarnya semasa belajar di UM. Setelah keluar dari Kolej Tunku Kursiah, Amie tinggal di luar kampus. Jadi, waktu makan kami bebas memilih kafeteria yang disukai. Dah puas makan di belakang Dataran Sastera, makan pula di Plazasiwa berhampiran Siswarama. Kadang-kadang merayap sampai ke Fakulti Ekonomi dan kalau ada urusan di Pekan Buku atau di Bangunan Pentadbiran, kami makan saja di situ. Di mana-mana sahaja kafetaria, pasti ada ikan talapia goreng berlada! Ikan talapia hitam! Ladanya pula, lada merah atau lada hijau hidup, dikisar kasar dan dituang atas ikan goreng. Jelas ternampak biji ladanya bulat-bulat dan ikan talapia yang digoreng garing. Simple bukan? Harganya.... seekor talapia goreng berlada hanya RM1.00 sahaja.
Hari ini Talapia Goreng Berlada ada di dapur Amie. Bezanya lada yang digunakan Amie kisar terlebih halus dan ikan talapia pula tidak begitu garing. Amie suka ikan goreng talapia lembap, dan berlemak!

Bahan-bahan:
10 ekor ikan talapia saiz sederhana - bersihkan dan lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
3 helai daun limau purut
1/2 sudu teh pati asam jawa
1 batang serai - dititik
garam / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
10 biji cili merah hidup
3 ulas bawang putih
 biji bawang merah
sedikit halia
sedikit belacan

Cara:
1. Goreng ikan talapia hingga masak.
2. Keluarkan minyak gorengan tadi dan tinggalkan secukupnya untuk menumis bahan kisar.
3. Tumis semua bahan kisar bersama daun limau purut, serai dan pati asam jawa.
4. Setelah pecah minyak, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Tuangkan bahan tumis ke atas ikan talapia goreng.

 Lepas solat Jumaat tengahari tadi, habis 10 ekor ikan talapia kami ratah anak-beranak bersama nasi panas!

Berseleranya Makan Sayur Labu Manis Masak Lemak Sama Daging!

Entri tertunggak....
Sedapnya sesekali dapat makan sayur labu manis!  Memasaknya pula dengan daging, cili padi dan santan. Aromanya tambah wangi dengan tambahan serai nan sebatang! Jom kita tengok resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
400 gram labu manis - kupas kulit dan potong dadu
1 cawan hirisan daging lembu yang telah direbus empuk
5 batang kacang panjang - patah-patahkan / potong ikut saiz panjang yang diingini
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 batang serai - diketuk
1 sudu serbuk kunyit
garam / perasa pilihan
minyak

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
10 biji cili padi
1 sudu makan ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi. 
2. Masukkan hirisan daging, serbuk kunyit dan serai. Gaul rata.
3. Tambahkan 2 cawan santan cair, dan masukkan labu manis.
4. Masak labu manis hingga hampir empuk, dan masukkan pula santan cair.
5. Bila kuah mula mendidih, masukkan kacang panjang dan kacau supaya tidak pecah santan.
6. Setelah kacang panjang berubah warna, perasakan masakan dengan garam / perasa pilihan.
7. Padamkan api dapur.

Suka tengok warna labu manis.... cantik!

Selasa, 28 Oktober 2014

Sambal Ikan Yang Simple Dimple!

Kejap lagi dah nak pergi kampung. Esok ada kenduri arwah di rumah adik ipar, jadi malam ini kenalah tolong sikit-sikit mana yang patut. Sebelum tu, sempat masak sambal ikan dan letak bawah tudung saji. Ikan yang Amie masak hari ini iakan layar. Nak cerita pasal ikan layar, nanti lambat pulak nak bertolak ke kampung. Sesiapa yang rajin selongkar dapur Amie, tentu pernah terjumpa ikan layar bawah tudung saji. Ikan ini besar dan panjang... mencapai 3 meter! Ikan laut dalam dan sekarang ini hanya sekali-sekala saja boleh jumpa ikan ini di pasar. MIL & FIL suka sangat makan ikan layar. Tiap kali ke kampung, memang selalu ada stok ikan ini dalam peti sejuk! Kalau Amie masak di kampung, memang habislah bahagian perutnya yang berlemak tu Amie ratah!

Sambal ikan yang Amie olah ini ikut resepi MIL. Bubuh perahan limau nipis. Petang tadi Encik Suami beli banyak ikan layar, dan akan Amie olah kesemuanya untuk dijadikan lauk nasi kuning. Esok pagi akan dihantar ke kampung, dijadikan salah satu hidangan sarapan untuk ibu-ibu yang datang menolong untuk kenduri arwah. Maklumlah, esok kita kerja, jadi tak dapatlah datang ke kampung waktu pagi. Sebagai ganti, hantar sarapan sajalah.... minta maaf banyak-banyak  buat keluarga di kampung.
Jadi, sebelum masak semuanya, eloklah masak sedikit dulu sebagai percubaan.... he hehehe sebab nak rasa sedap atau tidak, sesuai atau tidak dengan selera orang kampung Encik Suami. Jadinya, Encik Suamilah yang jadi mangsa untuk merasa dan komen sambal ikan layar itu nanti! Kalau ikut tradisinya, sambal ikan ini kena ada rasa masam... masam dari perahan jus limau nipis.
 

Bahan-bahan:
1 kg ikan layar - potong ikut citarasa - lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - goreng setengah masak - ketepikan
2 biji limau nipis - perah jusnya
garam /perasa pilihan
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
20 biji lada kering
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan  minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak
2. Masukkan ikan.
3. Masukkan garam / perasa pilihan.
4. Akhir sekali masukkan perahan air limau nipis.
5. Angkat dan hidangkan dengan nasi panas.
 
Hari ini hujan sepanjang hari... petang tadi sebaik saja buka pintu pagar nak masuk rumah terus terpandang buah mata kucing Brazil basah kena air hujan....

Buah epal bidara di atas tu yang terbantut sekian lama nampak macam happy je kena siram air hujan ha hahahaha.... cuma bila ke belakang nak ambil gambar mangga udang, ingatkan basah juga.... tak basah pun buah pauh dilayang tu! Jadi... tak ambillah gambarnya....

Isnin, 27 Oktober 2014

Jom Makan Malam Dengan Kentang Panggang Rosemary & Sayur Campur Cendawan

Ketika anak-anak masuk dapur Amie beritahu, malam ini kita makan kentang panggang saja. Anak-anak memang faham, kalau Amie masak sesuatu pada petang hari, bermakna itulah hidangan malam kami. Amie tahu anak-anak suka makan kentang, dan rasanya jarang orang tolak kentang! Apalagi kalau kentang goreng. Amie selalu perhatikan kalau masak kari ayam bercampur kentang, memang tak tinggal sisalah kentangnya.
Bila anak-anak tanya kenapa tak makan nasi, Amie kata kentang pun makanan yang mengenyangkan. Tak semestinya makan nasi saja boleh membuat perut kita kenyang. Satu lagi, Amie kata kentang merupakan salah satu daripada makanan ruji atau makanan utama dunia selain beras, jagung dan juga gandum. Ha haaa... tak cukup mengajar di sekolah, di dapur dan meja makan pun jadi kelas pulak!

Bahan-bahan:
4 biji kentang Holland - kupas dan potong dadu
1 batang lobak merah - potong dadu
1 sudu teh rempah all spice
3 sudu makan minyak zaitun
1 sudu teh serbuk pati ayam
daun ketumbar


Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh herba rosemary kering

Cara:
1. Rebus kentang  dan lobak merah hingga 3/4 masak.
2. Gaulkan kentang dengan bahan tumbuk, rempah all spice dan serbuk pati ayam.
3. Masukkan kentang dalam bekas tahan panas dan renjiskan minyak zaitun di atasnya.
4. Bakar /panggang dalam oven selama 30 minit atau sehingga kentang masak dan berwarna kuning keemasan.
5. Taburkan dengan hirisan daun ketumbar ketika menghidang.
 
Untuk melengkapkan hidangan kentang panggang, Amie masak cendawan shiitake campur dengan kacang manis dan juga jagung. Rangup aje bunyi kunyahan kacang manis tu... krup kraaappp krupa krap!

Bahan-bahan:
15 kuntum cendawan shiitake segar - buang batang dan belah 4
12 biji kacang manis - potong 2
1 cawan jagung biji (tin)
1 sudu makan keju parmesan
serbuk pati ayam secukup rasa
3 sudu makan mentega
2 ulas bawang putih - cincang
1/2  labu bawang besar - cincang

Cara:
1. Panaskan mentega hingga cair dan tumis bawang putih serta bawang besar cincang hingga wangi.
2. Masukkan cendawan shiitake dan tumis hingga layu.
3. Masukkan kacang manis serta jagung.
4. Gaul sebati dan biarkan seketika sehingga kacang manis berubah warna.
5. Perasakan dengan taburan keju parmesan dan serbuk pati ayam.
6. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.


 Jom meratah sama.... ayam goreng tu tak payah bagi resepilah yea... goreng celup tepung macam biasa je!

Kecuuuurrrnya.... Jeruk Mangga & Jeruk Mangga Asam Boi!

Selalunya kalau ada mangga muda, cuma Fairuz saja yang suka makan... itu pun mangga yang jenis tak berapa masam macam mangga manila atau mangga udang. Selebihnya Amie suka buat kerabu, kadang-kadang campur dengan peria, dan kalau rajin campur dengan rumpai laut.

Bila tengok kawan-kawan buat jeruk mangga, tiba-tiba rasa terpanggil pula untuk mengupas buah mangga dalam bakul di sudut dapur. Ada 10 biji kesemuanya. Tidaklah begitu muda dan tidaklah begitu tua. Dah siap kupas, potong-potonglah ikut saiz yang diingini.

Kalau ikut cara Amie, selepas mangga dipotong, Amie akan perap selama 45 minit - 1 jam dengan garam. Ikut gambar di atas tu, sebenarnya separuh saja sukatan garam yang Amie gunakan.

Buah mangga akan mengecut, dan getahnya turut hilang. Lepas tu kita buangkan air mangga yang diperap tadi. Cuci atau bilas beberapa kali dan kemudian toskan.

Sementara menunggu mangga diperap bersama garam tadi, kita masaklah air gula dulu. Jadi bila mangga sudah dibilas dan ditoskan airnya, air gula pun sudah sejuk dan sesuai untuk dituangkan ke atas buah mangga. Oh ya!Amie gunakan 3/4 cawan gula pasir dan 1 1/2 cawan air. Masak air bersama gula hingga mendidih dan gula menjadi larut.

Jika suka pedas, tambahkan cili padi.... adeeehhhh.... patah-patahkanlah kalau sampai hati! Hihiii.....

Lepas tu masukkanlah dalam balang dan simpanlah di tempat yang sesuai.... biasanya dalam peti sejuklah. Biasanya sewaktu hari raya, memanglah jeruk-jeruk buah menjadi salah satu hidangan wajib di rumah kami di kampung. Jeruk-jeruk buah inilah yang menjadi pilihan utama para tetamu yang datang. Macam-macamlah jeruk buah terhidang... ada jeruk betik, cermai, kedondong, nenas, dan entah apa lagi! Dulu, mana ada peti sejuk.... disebabkan jumlah jeruk yang banyak dan takut basi, Bonda akan tapis buah jeruk, dan panaskan airnya... dan masukkan semula air tadi setelah sejuk.

Mmmm.... itu cerita jeruk zaman dulu. Dah melihat fenomena jeruk mangga asam boi, kita pun minta Encik Suami belikan asam boi. Bersoal jawab pulak dia.... yang mana satu? Yang asam boi itulah...  kita jawab tapi pelik-pelik juga dengan pertanyaannya. Ada asam boi dan serbuk asam boi yang orang makan dengan buah... Mummy nak yang mana satu? Tanya lagi Encik Suami. Ohhhh... nak yang asam boi biji tu....
Amboii.... Encik Suami tunjuk perasaan ke... dibelikannya satu bungkus besar asam boi! Kita pun ucapkan terima kasih padanya dan tak sabar-sabar campurkan asam boi tadi bersama buah mangga yang sudah kecut diperap dengan garam. Kita tambahkan sedikit gula pasir dan potongkan cili padi bagi dia rasa pedas.

Kita makan sepotong dua je... yang dalam balang yang campur air gula dan yang campur dengan asam boi tu Fuad & Farid yang makan... heiii... anak jantan pun pandai makan masam-masam yea..... dan tak sangka pula, Encik Suami pun makan sama!

Ahad, 26 Oktober 2014

Resepi Opor Ayam Yang Mudah & Sangat Sedap!

Beberapa hari belakangan ini Amie dapat tempias angin rajin untuk menyelongkar asal usul resepi opor. Menurut Kamus Dewan Edisi 4, opor ialah sejenis masakan samada ayam atau itik panggang dengan rempah-rempah. Tak cukup puas hati dengan maklumat tersebut, Amie dapati dalam Ensiklopedia pula menyatakan bahawa opor ialah masakan berempah yang popular dalam kalangan masyarakat Jawa. Kalau di negara kita opor dikatakan amat terkenal di negeri Johor, dan terbahagi kepada tiga jenis iaitu opor yang berwarna kehitaman, kekuningan dan kemerahan.
Pernah beberapa kali sebelum ini Amie masak opor ayam dan kongsikan di dapur maya ini, dan kemudian Amie dapati banyak versi masakan opor yang Amie belum ketahui!

Sebelum ini Amie masak opor ayam berwarna merah, gunakan lada merah. Rupanya opor ayam bukan sahaja berwarna merah, tetapi juga kuning dan kehitaman! Selain itu, opor juga disediakan dengan cara panggang atau bakar! Itulah variasi masakan opor Nusantara menurut Wekipedia Indonesia. Ada juga Amie terjumpa resepi masakan opor dengan menumis terlebih dahulu bahan perencahnya. Ada pula yang terus rebus bersama-sama macam menjerang rendang!

Menurut Wekipedia Indonesia, asalnya masakan opor ini dari Pulau Jawa, khususnya Jawa Timur dan Jawa Tengah di sebelah barat. Opor ayam misalnya, pada asasnya dimasak bersama santan pekat dengan penambahan pelbagai jenis perencah atau rempah-rempahan. Penerangan inilah yang membuat Amie teruja untuk mencuba masakan opor yang asli. Terfikir juga apakah rasanya opor tanpa rasa pedas? Apa pun setelah bertutorial dengan Encik Google, akhirnya Amie cuba olah masakan opor yang mudah. Ini memandangkan antara bahan yang perlu dalam opor selain santan ialah serai, kencur dan sebagainya. Pening juga membuat pilihan setelah melihat pelbagai resepi opor dengan versi yang berbeza, misalnya ada yang gunakan daun salam kering, ada yang kisar halus lengkuas dan ada pula hanya ketuk sahaja lengkuas tersebut. 
Setelah siap memasak opor ayam dan melihat hasilnya, Amie rasa sangat seronok sebab selain rasanya yang memang enak, kuahnya juga pekat dan cantik hasil campuran buah keras! Sungguh! Opor Ayam ini sangat ringkas dan mudah disediakan, tapi sangat sedap! Barangkali itulah sebabnya mengapa masakan ini seolah-olahnya menjadi menu wajib di hari raya khususnya di negara jiran (Pulau Jawa) dan dihidangkan bersama ketupat!


Amie dapati ada masakan opor ayam yang menambah telur rebus di dalamnya. Amie sengaja masukkan telur rebus dan memang comel sekali!
Di bawah ini Amie paparkan resepi Opor Ayam yang Amie olah sendiri berdasarkan pemahaman tentang resepi ini dan pilihan bahan-bahan yang mudah di dapati di tempat Amie. In shaa Allah, di lain waktu Amie akan cuba versi opor yang lain pula.

Antara bahan yang digunakan selain daging ayam dan santan, serai, halia, lengkuas  serta ketumbar dan jintan, biasanya masakan opor ayam menjadikan gula merah sebagai salah satu bahan perasa. Mungkin ada yang tak biasa nampak gula merah seperti di atas, namun begitu tidak ada salahnya jika gunakan gula melaka.

Dan satu lagi ialah daun salam kering. Amie memang biasa gunakan daun salam kering sekiranya ingin mengolah resepi dari tanah seberang (yang menggunakan daun salam). Yang tak pernah melihat daun salam kering, bolehlah renung dan tenung gambar di atas. Bagaimana pun tidak semua resepi opor ayam menggunakan daun salam kering. Ada juga yang gunakan kencur, dan juga daun limau purut! Cantiknya.... pelbagai versi masakan yang menarik! Tapi... asasnya hanyalah sekadar daging ayam yang direbus dengan santan pekat, dibumbui dengan pelbagai rempah-rempahan dan herba pilihan. 


Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong ikut citarasa
300 ml santan cair
500ml santan pekat
2 helai daun salam kering
2 batang serai - diketuk
lengkuas muda sebesar ibu jari - diketuk
garam / gula merah / perasa pilihan
3 biji telur rebus dikupas (jika suka)

Bahan kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
5 biji buah keras
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh lada hitam

Cara:
1. Masukkan santan cair dalam periuk bersama semua bahan kisar, serai, daun salam dan lengkuas.
2. Masak sehingga mendidih.
3. Masukkan daging ayam dan gaul sebati. Kemudian masukkan santan pekat.
4. Biarkan masakan mendidih dengan api panas sederhana sehingga daging ayam empuk. Masukkan telur rebus.
5. Setelah kuah mula memekat masukkan garam, gula merah / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur dan hidangkan opor ayam.

Hidangkan bersama ketupat ya.... selamat hari raya!

Walaupun Opor Ayam versi begini Amie hidangkan buat pertama kali untuk keluarga kecil kami, tapi Alhamdulillah.... resepi ini diterima baik seisi keluarga! Firdaus pun ikut makan ketupat cicah kuah Opor Ayam!
Sekian... cerita hari ini Amie akhiri dengan kata-kata : Oh! Meriahnya dunia masakan!

Sarapan Pagi dengan Potato Fritters

Akhirnya sampai juga Potato Fritters di dapur Amie. Pada mulanya rasa hairan juga kenapa Potato Fritters tiba-tiba menjadi satu fenomena hangat dalam kalangan rakan-rakan FB sehingga ada yang menyarakan agar Amie mencubanya. Apa keistimewaan Potato Fritters ini? Rupanya.... resepi ini merupakan makanan ringan yang boleh dijadikan sarapan pagi atau minum petang, dicelup dalam adunan dan digoreng! Itu saja... ringkas dan kedengaran mudah bukan? Cuba bayangkan banana fritters.... pisang goreng, labu goreng, keladi goreng, terung goreng (tempura)... oh! Satu lagi untuk lebih jelas... ia lebih kepada cucur! Apa-apa cucur termasuk cucur bawang, cucur udang, cucur pisang! Asasnya ialah ada adunan (batter) dan ada bahan yang dicelup atau dicampur dalam adunan, dan kemudian digoreng.
Atas nama pelbagai versi, akhirnya macam-macamlah benda yang dicampur dalam adunan untuk menjadikan resepi lebih menarik, lebih sedap... dan samalah juga dengan Potato Fritters ini. Asalnya hanya kentang dengan adunan tepung jagung dan tepung gandum untuk 'mengikat' kentang tadi, kini sudah pelbagai campuran untuk menyedapkan lagi rasanya.

Amie pun rasa seronok nak mencuba resepi Potato Fritters yang sedang menular di dapur kawan-kawan blogger dan FB. Dah faham apa itu Potato Fritters, eloklah kembangkan kreativiti dan mulakan inovasi Potato Fritters di dapur sendiri. Bahan asanya, selain kentang sagat, Amie tambahkan lobak merah, bawang Holland, dan cendawan shiitake. Encik Suami dan anak-anak yang tak cerewet, makan hingga licin Potato Fritters yang Amie sediakan untuk sarapan pagi. Potato Fritters ini Amie buat pagi kelmarin.... hari ini tak buat sarapan sebab kami makan di luar.

Bahan-bahan:
4 biji kentang - kupas dan sagat
1 batang lobak merah - kupas dan sagat
5 kuntum cendawan shiitake segar - hiris nipis
1 labu bawang besar Holland - hiris halus
1/2 sudu teh lada hitam - tumbuk
1 sudu makan serbuk pati ayam
2 sudu makan tepung jagung
5 sudu makan tepung gandum
1 biji telur
1/2 cawan susu segar
minyak

Cara:
1. Campurkan tepung jagung, tepung gandum,  telur, susu segar dan jadikan satu adunan.
2. Masukkan kentang, lobak merah, cendawan shiitake, bawang hiris, lada hitam, dan serbuk pati ayam.
3. Panaskan minyak untuk menggoreng.
4. Ambil senduk besar dan leper, bubuh 2 sudu makan adunan kentang di atasnya dan leperkan.
5. Tangan kiri bawa senduk besar ke dalam kuali, dan tangan kanan pegang sudu makan untuk kuis / alihkan adunan kentang ke dalam minyak gorengan.
6. Goreng hingga kuning keemasan.

Sabtu, 25 Oktober 2014

Sedapnya Homemade Bebola Daging Inti Keju!

Entri sebelum tidur, dan sebelum Amie terlupa resepinya!

Bebola Daging Inti Keju ini Amie buat malam semalam. Encik Suami kata tak payahlah masak nasi sebab masing-masing dah kenyang makan pelbagai kuih yang dibeli pada sebelah petangnya. Yuhuuuu.... gantung periuk belangalah jawabnya! Tapi tangan gatai ni nak juga godek-godek sesuatu di dapur! Tengah sibuk gentel bebeola daging, Encik Suami masuk dapur dan tanya.... yang Amie gentel-gentel tu nak buat sarapan esok pagi ke? Iyolaaaa......

Iyolaaa.... iyolaaa tu! Nak buat sarapan pagi! Ha... gambar di atas tu Bebola Daging Inti Keju yang sudah dibedah siasat luar dan dalam. Nak tahu kisah dan resepi ini selanjutnya, kenalah ikut tutorial di bawah ini.

Idea asal Bebeola Daging Inti Keju ini sebenarnya Amie peroleh dari resepi bitterballen, snack dari Belanda yang katanya rasanya mirip kroket. Dah banyak kali tengok rancangan masakan, macam-macamlah cara dan bahan yang digunakan, jadi Amie pun tanpa segan silu cubalah bakat dan kembangkan potensi hihiiii....! Untuk menghasilkan bitterballen kita perlukan daging lembu, boleh juga udang dan sehinggalah ke daging kuda! Tapi Amie taklah nak buat bitterballen yang dimakan cicah mustard tu. Amie buat bebeola daging bubuh inti sikit, masukkan potongan keju cheddar.

Seperti biasa, kenalah sediakan bahan untuk bebola daging seperti di atas. Amie ikut kepala dan citarasa sendiri.... sebab suka cendawan dan daun ketumbar, Amie bubuhlah. Sediakan daging kisar, kita gunakan daging kisar bang Ramly. Keju cheddar yang dipotong dadu, serta serbuk roti. Suka hatilah nak guna serbuk roti warna apa. Amie suka warna oren, Amie pun gunalah serbuk roti tu..... sebab warnanya cantik! Jangan lupa sediakan telur.

Mari Amie terangkan bahan-bahan dan cara-cara untuk menyediakan bebola daging ini seperti di bawah.
Bahan-bahan:
400 gram daging kisar
1 cawan kentang lenyek - rebus hingga empuk dan lenyek halus
1 cawan cincangan cendawan shiitake segar
1/2 cawan parutan lobak merah
1/2 cawan hirisan daun ketumbar
1/2 cawan susu segar
2 sudu makan tepung gandum
1 sudu teh lada hitam tumbuk
garam / perasa pilihan
125 gram keju cheddar - potong dadu
putih telur secukupnya
serbuk roti secukupnya
minyak

Cara:
1. Campurkan daging kisar bersama kentang lenyek, cendawan shiitake, lobak merah, daun ketumbar, susu segar, tepung gandum, lada hitam dan garam / perasa pilihan.
2. Gaul sebati dan lihat hasilnya seperti gambar di atas.
 

3. Sekarang kita nak mula membuat bola-bola daging. Minta maaf Amie tak dapat ambil gambar semasa proses mengisi keju dalam bebola daging.... dua-dua belah tangan bertugas menggetel! Tak ada tangan lain yang sudi datang untuk menolong! Senang saja, buatlah macam gentel onde-onde atau buah melaka tu, masukkan saja seketul keju dalamnya dan sempurnakan gentelan supaya nampak rapi dan bulat.

4. Bebola daging sudah berinti keju. Untuk sukatan yang Amie gunakan, dapatlah 38 biji bola-bola daging yang comel. Tapi kerja kita belum habis di sini ya sayang....


 5. Salutkan bebola daging tadi dengan serbuk roti. Awas, salutan pertama ini tak perlu gunakan putih telur. Dah siap salut 38 ketul bebola daging tadi, barulah celup dalam putih telur dan salut sekali lagi dengan serbuk roti.


Maknanya kena 2 kali salutlah ye.... nampak tak bezanya salutan serbuk roti kali pertama dengan kali kedua seperti gambar di atas nu... Sekali lagi minta maaf tak dapat nak tunjuk cara menyalut dan mencelup dalam putih telur sebab dua-dua belah tangan berfungsi secara maksima untuk menyempurnakan bebeola daging ini ha hahahah.....



Wokey... dah siap!Nampak comel tak 38 ketul Bebola Daging Inti Keju di atas tu? Jadi... sekarang tibalah masa yang dinanti-nantikan.... apalagi, gorenglah!


Nah! Tu dia..... Bebola Daging Inti Keju gorengan pertama.... tapi Fairuz dapat copet sebijik! Berteriak aku dibuatnya.... bukan apa.... masih panas tu! Takut nanti melocot mulutnya terbakar oleh keju panas di dalamnya!

Gorengan demi gorengan.... habislah semua digoreng. Tak lama kemudian Encik Suami dan Fuad pun menjengok ke dapur. Apalagi.... semuanya pun tarik kerusi dan makan Bebola Daging Inti Keju.


Haiiiyyyoooo... bukankah di awal tadi kata nak jadikan sarapan pagi? Kenapa pulak dibuat kenduri sebelah malam? Sampailah lewat malam... Amie perasan Fuad beberapa kali ke dapur dan kembali ke ruang tamu sambil mulutnya mengunyah sesuatu. Encik Suami pula asyik berpesan, tinggalkan untuk Firdaus! Firdaus sudah lama lena.

Siapa sanggup melihat saja Bebola Daging Inti Keju tanpa ada perasaan ingin mencicipinya? He heheh... keesokan paginya, cuma tinggal 4 biji saja tersimpan dalam peti sejuk.... Firdaus punya tu!

Kerabu Kacang Botol Sama Isi Ketam Yang Sungguh Menyelerakan!

Salam Maal Hijrah buat semua. Terima kasih para pengunjung yang tak pernah jemu datang bertandang, dan juga selamat datang buat pengikut baru Amie's Little Kitchen. Moga yang datang ke sini akan pulang bersama apa yang dihajati.
Hari ini nak cerita tentang hidangan tengahari kami yang ringkas. Cuti hari Sabtu ini sekali lagi dimanfaatkan bersama keluarga, bukan untuk mengisi perut tetapi mengemas mana yang patut. Maklumlah.... hanya hari cuti begini sahajalah dapat membersih dan mengemas dengan lebih teliti berbanding hari-hari lain. Encik Suami pula ringan tulang mengemas dan menyelongkar dapur, membuang mana yang tak digunakan dan menyapu segala habuk dan sawang sambil sesekali membebel.... memanggil Fairuz dan Fuad sebab Firdaus asyik lolos ke dapur dan membantu mengemas pinggan mangkuk!
Amie pulak, berkira-kira untuk masak hidangan tengahari. Encik Suami ingatkan Amie tentang ikan talapia yang masih banyak dalam peti sejuk. Amie keluarkan, dan pisahkan saiz yang kecil, sederhana dan besar. Sambil menyiang ikan yang tak terkira jumlahnya itu, kami bercerita tentang zaman kanak-kanak kami. Mujurnya... kami sempat melalui fasa tahun 70-an & 80-an, sementara Encik Suami pula lebih awal sekitar tahun 60-an. 
Sebenarnya, cerita asal Amie nak kongsi tentang kacang botol. Terlanjur berceloteh, baiklah cerita kisah pagi ini, kisah tentang hidangan tengahari kami.

Sambil menyiang ikan, masak nasi dan menyediakan kerabu kacang botol kami sulami dengan pelbagai cerita. Amie kata, ikan talapia yang Amie siang terlalu kecil... nak buat macamana? Encik Suami kata, masaklah yang saiz besar. Yang kecil buang sajalah. Katanya lagi, zaman kanak-kanaknya dulu dia bersama abangnya selalu menjala ikan di sungai, dan bawa pulang pelbagai jenis ikan yang saiznya lebih kurang sama dengan saiz ikan talapia yang Amie siang. Bondanya akan goreng untuk lauk makan sekeluarga. Bila Encik Suami suruh buang, dan pada masa yang sama cerita pulak tentang masa kecilnya, rasa bersalah pulak merungut-rungut begitu! Dan sayangnya pula, dah berpuluh-puluh ekor Amie siang yang saiz kecil. Akhirnya Amie putuskan untuk goreng garing-garing... macam goreng ikan sepat ronggeng kering! Aduhai... ampunkan daku! Tiba-tiba rasa terliur nak makan kerabu pucuk paku dengan ikan sepat ronggeng kering yang rangup! Itulah antara hidangan tengahari tersedap pernah Amie makan sewaktu pulang dari sekolah entah berapa puluh tahun lalu!

Tak dapat menahan liur.... ha hahah jom cerita lain pulak selain kerabu pucuk paku dan ikan sepat ronggeng kering!

Kelmarin petang, sewaktu Amie ikut Encik Suami ambil Firdaus di kampung, Amie sempat tangkap gambar pokok cili padi kakak ipar (pengasuh Firdaus). Tiap kali Amie datang ke kampung, ada saja kakak ipar (Wak Pendek) tunjukkan tanam-tanamannya kepada Amie. Itulah Wak Pendek, selain menjaga Firdaus macam intan berlian, tugas sampingannya ialah menanam dan membelai tanam-tanamannya yang pelbagai.

Dulu, selama 40 hari Wak Pendek berulang alik dari kampung jaga Amie dan Firdaus ketika dalam pantang, memang rajinlah Wak Pendek menabur biji lada, biji betik dan entah apa-apa lagi di belakang dapur. Semuanya tumbuh, tapi tak terjaga setelah Wak Pendek tidak lagi datang ke rumah kami.

Sekarang, keliling rumah Wak Pendek pulak yang penuh dengan pokok sayur-sayuran, serai, labu dan entah apa lagi. Subur-subur pula tu.... Dengan tak malunya, Amie pun petiklah hasil tanaman Wak Pendek yang satu ini.... si kacang botol yang muda!

Amie teringat ada sedikit isi ketam, jadi kononnya nak buat Kerabu Kacang Botol Sama Isi Ketam... buat yang pedaaassss!!!! Okey tak...
Sementara itu, ikan talapia saiz kecil pun siap digoreng garing. 

Ikan talapia ini bercampur hitam dan merah. Bolehlah..... gantikan ikan sepat ronggeng kering yang macam kerepek tu! Dah siap goreng ikan talapia, kita tengok resepi Kerabu Kacang Botol Sama Isi Ketam di bawah ini. 
Amie tumbuk cili padi warna merah dengan bawang goreng dan sedikit belacan, dan kemudian masukkan secawan kelapa parut dan ditumbuk lagi tapi taklah sampai lumat. Kalau tengok gambar di bawah ini, yang putih di atas bawang besar tu isi ketam. Amie kukus isi ketam hingga masak, dan kemudian toskan airnya sebelum digaul dengan bahan kerabu yang lain.


Bahan-bahan:
10 batang kacang botol - hiris nipis
1 cawan isi ketam - kukus
1 cawan kelapa parut - tumbuk separuh hancur
5 helai daun cekur - hiris nipis
1 labu bawang besar - hiris nipis
3 sudu makan jus limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih - goreng
3 biji bawang merah - goreng
sedikit belacan - goreng
10 biji cili padi merah

Cara:
1. Gaulkan bahan tumbuk dengan kelapa parut yang ditumbuk separuh lumat.
2. Dalam sebuah mangkuk besar, campurkan kacang botol, daun cekur, bawang besar, bahan tumbuk yang digaul serta isi ketam.
3. Gaul sebati, dan perasakan dengan garam / gula serta perahan jus limau kasturi.
4. Hidangkan.


Jemput makan.... hidangan kampung!

Ketika di meja makan pun Encik Suami masih bercerita tentang pengalamannya menangkap ikan sewaktu kecil dulu.... kali ini diceritakannya pula kepada Fairuz dan Fuad. Fairiz & Fuad pula tidaklah pula cerewet melihat ikan talapia kecil-kecil ... Amie pun dah sediakan jawapan kalau tak makan, takut tercekik tulang, goreng telur sajalah!

Alhamdulillah.... Fairuz makan dengan penuh semangat termasuk kerabu kacang botol! Fuad pulak ... menambah nasi, dan meratah ikan talapia goreng cicah mayonis! Masha Allah! Amie ajar makan ikan talapia guna 2 tangan.... pegang ikan dengan tangan kiri, buang kepalanya dengan tangan kanan. Lepas tu pisahkan isi dengan tulang, dan masuk mulut! Kami pun makanlah dengan penuh selera, dan nampaknya kepala dan tulang ikan semakin menimbun!

Lihat perbandingan ikan yang belum dan sesudah dimakan... atas dan bawah ha aha hahahha...!

Sewaktu Amie tinggalkan meja makan, Fuad masih meratah ikan talapia. Ini baki ikan di hadapan Fuad... tak tahulah habis ke tidak kesemua ikan tu....!