ADSENSE

Selasa, 30 September 2014

Resepi Sihat dan Berkhasiat : Ikan Jelawat Masak Singgang dengan Air Kelapa!

Bukan selalu kami dapat bekalan ikan jelawat. Nak kata setahun sekalipun susah. Dua atau tiga tahun sekali, itu pun kira nasib! Ikan jelawat di tempat kami datangnya dari Sarawak! Jadi, untuk mengekalkan khasiat ikan air tawar ini Amie seboleh-bolehnya ingin mengolah menggunakan resepi yang mudah dan ringkas supaya dapat menikmati isi ikan ini sepuas-puasnya! Pada fikiran Amie, masakan singgang atau pindang mampu mengekalkan keaslian rasa ikan ini.

Kadang-kadang Amie agak keliru antara 'singgang' dengan 'pindang'. Masa kecil-kecil dulu kalau Ayahanda bawa pulang ikan dari pasar, Bonda selalu masak pindang! Seingat Amie Bonda akan bubuh sedikit saja air bersama garam dan kunyit serta asam! Kemudian Bonda tutup periuk dan masak dengan api perlahan. Kata Bonda, biar ikan jadi 'gempi'. Amie pun tak tahu nak terjemahkan apa maksud gempi... cuma yang Amie boleh katakan di sini, segala bahan akan meresap dalam ikan, dan ia juga bermaksud 'tidak berair atau kurang berair'.

Akhirnya Amie dapat juga maksud istilah pindang dari Kamus Dewan Edisi Empat: Pindang (bahasa Melayu) bermaksud sejenis masakan berkuah daripada ikan dan lain-lain yang dimasak dengan asam (kunyit dan lain-lain). Selain di negara kita, istilah pindang juga digunakan di Indonesia dan juga Brunei. Dalam istilah yang lebih umum (Bahasa Malaysia) masakan pindang membawa maksud ikan yang dimasak dengan asam, kunyit dan lain-lain, berkuah dan tanpa santan. Manakala dalam bahasa sukuan pula (Melanau, Mukah) pindang ialah masakan ikan atau daging dengan sedikit air atau tanpa air, dijerang atas api yang perlahan.

Jadinya, apa pula makna 'singgang'? Rupanya maksud singgang begitu mudah... semudah mengolah masakannya! Singgang membawa maksud : Masakan (ikan dan lain-lain) yang direbus dan digarami!

Tanpa bimbang dan ragu @ sangsi, Amie pun namakan resepi kali ini sebagai Ikan Jelawat Masak Singgang..... dengan Air Kelapa! Bukankah maksud 'singgang' ialah .... yang direbus dan digarami? Cuma, bezanya singgang Amie dengan singgang yang lain ialah penggunaan air kelapa. Amie teringat lebih 10 tahun yang lalu, ketika terlantar sakit (cacar). Banyak pantang dari segi makan minum yang perlu dipatuhi supaya segera sembuh. Encik Suami sediakan beberapa tanda kelapa muda. Hari-hari Amie kena minum air kelapa. Hari-hari juga kena makan ikan air tawar masak rebus! Maklumlah, ikan air tawar terutamanya ikan haruan dipercayai mempunyai khasiat untuk menyembuhkan luka. Suatu hari, dek kerana dah bosan minum air kelapa dan makan ikan air tawar rebus, Amie masak sendiri ikan lampam jawa dengan air kelapa dan masukkan sekali sayur baby kailan di dalamnya. Eh... macam terasa lebih sedap pulak! Terasa manis-manis air kelapa sebagai kuah ikan tadi. 

Amie sayangkan khasiat yang terdapat pada ikan air tawar yang dikatakan kaya dengan protein, vitamin, lemak dan mineral. Untuk mengekalkan khasiatnya, Amie olah ikan jelawat ini dengan cara mudah, dan tidak dimasak terlalu lama. Amie gunakan air kelapa daripada dua biji buah kelapa (lebih kurang 1 liter), dan Amie tambahkan sayur-sayuran di dalam masakan ini.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan jelawat seberat 1 kg - bersihkan dan potong ikut suka
1 liter air kelapa muda
1 batang lobak merah - potong ikut suka
10 kuntum baby kailan - potong tengah menjadi dua
1 biji tomato - belah 4
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 ulas bawang putih - diketuk
1 batang serai - diketuk
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 keping asam gelugur
7 biji cili padi
garam / perasa pilihan

Cara:
1. Masukkan air kelapa ke dalam periuk dan masak / didihkan di atas api dapur.
2. Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, asam keping, lobak merah dan cili padi.
3. Setelah air rebusan mendidih, masukkan ikan jelawat. Masak di antara 5-7 minit.
4. Masukkan sayur baby kailan dan tomato dan lada putih. 
5. Setelah sayur baby kailan layu, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.

Nampak tak isi ikan jelawat yang cantik mulus tu? Kuahnya kelihatan berminyak... dan lemak ikan air tawar ini katanya elok untuk kecantikan kulit kita!
Wokeeeyyy... hari ini Amie dapat belajar sesuatu.... masakan singgang ialah masakan yang direbus dan digarami, manakala masakan pindang pula asasnya ialah masakan yang menggunakan asam dan kunyit! Jadi... kalau kuahnya yang putih aje tu masakan singganglah ye hehehe

Perut @ Babat Goreng... sedapnya ya AMPUUUNNNN!

Asyik terliur-liur je bila teringat perut @ babat @ berubut goreng di dapur Kak Nooriah kat Brunei nuuuunnnnn! Macam sedap... ya nampak macam sedap! Meh kita jenguk jap ke dapurnya DI SINI. Lawa sangat babat goreng Kak Nooriah! Memandangkan masa Amie sangat terhad di dapur, jadi Amie terpaksa cari fikiran untuk memudahkan kerja menggoreng babat ini. Kalau Kak Nooriah celup babat dalam telur dan golek-golekkan atas serbuk roti, Amie pula buat sekali harung memandangkan babat yang Amie gunakan sebanyak 1 kg. Macam banyak je bunyinya kaaannn... Amie tidak perap babat dengan jus lemon seperti Kak Nooriah, sebab babat yang Amie beli babat siap direbus, hanya tinggal hiris dan goreng saja. Terima kasih banyak ye Kak Nooriah kerana sudi kongsi resepi yang sangat sedap ni. Amie ambil idea menggoreng babat daripada Kak Nooriah, tapi bahan gorengan Amie  sedikit berbeza dengan bahan yang Kak Nooriah gunakan.


Bahan-bahan:
1 kg babat @ perut yang siap direbus - hiris nipis
1 cawan tepung goreng rangup jenama Bestari
3 sudu makan tepung jagung
1/2 cawan air 
garam / perasa pilihan jika perlu (tepung goreng rangup sudah ada perasa)
minyak

Bahan tumbuk:
1 sudu makan jintan manis
1 sudu teh lada putih
2 ulas bawang putih
2 cm halia

Cara:
1. Masukkan tepung goreng rangup serta tepung jagung ke dalam sebuah bekas.
2. Kemudian masukkan bahan tumbuk dan air. Adun sehingga sebati. Jika terlalu pekat, tambahkan sedikit air.
3. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali.
4. Celupkan perut ke dalam adunan tepung dan goreng hingga kuning keemasan.
5. Angkat dan toskan.



Mula-mula sekali Fairuz masuk dapur dan bertanya apa yang sedang Amie goreng. Amie tak jawab sebaliknya Amie suruh Fairuz makan. Mmmmm... sedapnya! Amie tanya, apa yang Fairuz makan tu? Fairuz kata... sotong goreng! Ha hahah.... Amie ketawa sendiri bila melihat Fairuz mencari cili sos untuk cicah Perut Goreng! Bila Encik Suami datang, Amie suruh makan sekeping, dan bila Amie tanya, kata Encik Suami.... isi ikankah? Nampaknya tak seorang pun tahu apa yang Amie goreng. Terakhir, Fuad pula yang masuk dapur. Mula-mula katanya... sedaplah! Lepas tu dia tanya Amie, apa benda yang Amie masak? Amie tak jawab, dan dia terus meneka-neka. Pertama, Fuad teka sotong goreng sebab rasanya ada macam getah katanya, kemudian dia kata kalau bukan sotong tentu cendawan! Walllaaa.... semuanya salah. Bila Amie kata perut lembu, Fuad kata, tak kisahlah... yang penting rasanya sangat sedap! Dan... Fuad habiskan lebih 1/3 daripada gorengan Perut @ Babat Goreng kami!

Isnin, 29 September 2014

Popia Inti Sedap : Popia Burger Berkeju

Jom cuba resepi Popia Burger Berkeju. Mmmmm... gulung kulit popia belum selesai, inti sudah separuh masuk mulut! Amie jangkakan akan gunakan 40 keping, tapi cuma dapat bungkus lebih kurang 35 keping sahaja!


Sesekali cuba menu ala-ala fusion tak ada salahnya kan. Bukan bertukar pun biji mata hitam kita ke warna hijau biru huhuhuuuuu....  Amie gunakan burger daging jenama bang Ramly, sebanyak 360 gram atau pun 6 keping. Amie tambahkan 3 sudu makan keju parmesan dan 200 gram parutan keju cheddar. Seperti biasa, anak-anak suka lobak merah dan jagung, Amie pun bubuh 1 cawan setiap jenis. 


Bahan-bahan:
kulit popia secukupnya
1 biji putih telur
minyak
secubit garam / perasa pilihan - jika perlu

Bahan inti:
6 keping burger daging - hancurkan
1 cawan hirisan lobak merah
1 cawan jagung tin
1 labu bawang besar - cincang
3 ulas bawang putih - cincang
3 sudu makan keju parmesan
200 gram keju cheddar - diparut

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang besar hingga wangi.
2. Masukkan burger daging, lobak merah dan jagung. Gaul sebati.
3. Tambahkan keju parmesan dan keju cheddar. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
4. Jika suka masin boleh tambahkan garam, tapi Amie tak bubuh sebab burger dan keju sudah cukup rasa.
5.Letakkan inti secukupnya di atas kulit popia, lipat kiri dan kanan dan seterusnya gulung serta lekatkan dihujungnya dengan sedikit telur putih.
6. Goreng popia di dalam api sederhana panas. Bila warnanya kuning keemasan, angkat dan toskan.
7. Hidangkan bersama sos pilihan, atau makan begitu saja.

Mmmm... jom makan! Popia Burger Berkeju memang sedap, kulitnya rangup di luar, intinya berkeju di dalam!

Ahad, 28 September 2014

Ikan Bakar Sedap!

Hari ini redup sejak pagi, sebelah tengahari pula mendung dan gelap menjelang petang. Tanda-tanda hujan turun memang nampak ketara tapi titisan gerimis belum kelihatan. Tengah bermalas-malasan ni di depan televisyen, sambil temankan Firdaus tidur. Apa kata kita tengok resepi Ikan Bakar, hidangan kami tengahari tadi. Resepi ini Amie ambil dari blog AZIE  yang katanya dapat dari Restoran Kak Chaq yang terletak berhadapan dengan Mahkamah Kangar. Sebenarnya, Amie panggang ikan dalam oven, bukannya bakar atas arang. Memang niat di hati nak panggang guna arang, tapi rupanya arang pulak dah habis anak-anak gunakan untuk panggang sate minggu lepas. Kalau bakar pakai arang tentu lebih sedap lagi rasa dan aroma Ikan Bakar ni!

Kebetulan pagi tadi sebelum Encik Suami ke tempat kerjanya (haiiyyoooo....hari minggu pun kena siapkan kerja!), sempat pula belikan kami sarapan pagi. Dan katanya, ada ikan kembung dan sayur di dapur. Maklumlah, kita sibuk dengan Firdaus, tak sempat nak tengok apa yang dibelinya. Bila Amie tengok ikan kembung... wah! Masih segar dan cantik! Ada 11 ekor semuanya. Nanti, kalau Firdaus tidur bolehlah Amie buat Ikan Bakar!

Alhamdulillah, ketika Firdaus sedang lena, Amie terus menyelinap ke dapur. Dapat masak nasi, masak sayur dan siapkan Ikan Bakar pun sudah memadai. Bukan apa, Firdaus suka masuk dapur, jadi risau juga Amie kalau tengah buat kerja dapur, tak nampak pula apa yang Firdaus buat di sudut-sudut dapur!

Syukurlah, masa yang diambil untuk memanggang @ membakar ikan tidaklah lama. Bila mata ikan jadi putih dan timbul (macam gambar di atas tu) bermakna sudah masaklah isinya. Tak perlu panggang lama-lama, nanti isi ikan menjadi kering tanpa jus. Fuad makan 3 daripada 11 ekor ikan, dan Amie pun sama juga! Terima kasih buat Azie dan juga Kak Chaq. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberi rezeki buat anda berdua.


Azie tidak memberikan sukatan dalam resepi ini, jadi Amie ubahsuai sendiri.

Bahan-bahan:
1 kg ikan kembung - bersihkan - lumur dengan sedikit garam dan kunyit - ketepikan

Bahan perencah:
1/2 cawan pati santan
2 sudu makan cili kisar
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam / perasa pilihan
2 sudu makan minyak masak
1 sudu teh susu pekat

Cara:
1. Satukan kesemua bahan perencah.
2. Panggang atau bakar ikan. Setelah ikan masak, lumurkan dengan bahan perencah.
3. Baik-balikkan ikan
4. Bila mata ikan menjadi putih atau tersembul ke atas, angkat.
5. Hidangkan bersama sambal belacan, air asam atau ratah begitu saja.

Sabtu, 27 September 2014

Ayam Masak Lemak Kencur

Tiba-tiba teringat ayam panggang disiram dengan kuah santan cili padi bubuh kencur! Aduhai... alangkah bertuahnya kalau dapat menikmatinya, dan tiba-tiba ada di depan mata! Mana mungkin! Pucuk dicita, ulam pun tak mahu datang ha ha haha... ayam panggang siram kuah santan bubuh kencur itu merupakan salah satu masakan istimewa di kampung kami, terutamanya jika ada kenduri. Jadi, kalau nak makan kenalah usaha sendiri. Malas nak panggang ayam, masak sajalah gunakan bahan yang sama tapi berbeza cara olahannya. Dan satu lagi, malas nak masak sayur, Amie tambahkan labu manis dalam masakan ini.

Alhamdulillah.... Fairuz kata sedap! Sangat sedap! Mungkin sebab dah kelaparan kot.... he heheh tapi ikut selera Amie memanglah sedap. Maklumlah dah biasa dengan aroma dan rasa kencur, jadi tak ada masalah. Kombinasi santan dengan cili padi serta isi kencur memang mampu mengundang selera untuk menambah dalam hidangan! Dan, dengan kehadiran labu manis turut menjadikan rasa masakan ini begitu unik, sebab timbul kemanisan yang asli pula!
Jom tengok resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
800 gram daging ayam - potong ikut suka
1 cawan labu manis yang dipotong dadu
200ml santan pekat
400ml santan cair
minyak
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
1 genggam cili padi hijau
kunyit hidup sebesar ibu jari
5 ketul isi kencur 
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga terbit bau.
2. Masukkan daging ayam dan gaul seketika dengan bahan tumis sehingga berubah warna atau daging ayam layu.
3. Tambahkan santan cair dan biarkan sehingga daging ayam masak atau empuk.
4. Masukkan labu manis dan masak sehingga empuk.
5. Kemudian masukkan santan pekat, diikuti garam / perasa pilihan.
6. Kacau sekali sekala supaya santan tidak pecah, dan padamkan api dapur setelah kuah mulai pekat.

Ahad, 21 September 2014

Sate : Aneka Jenis

Baru-baru ini kami adakan sambutan ulang tahun Fuad dan majlis tersebut diraikan bersama-sama rakannya pada 14 September lepas, sebelah malam. Nampak seronok benar Fuad malam itu. Maklumlah selama ini asyik ambil tarikh Farid saja untuk raikan bersama 3 beradik. Lagi pun... tarikh lahir Farid pada hujung bulan, poket masih tebal. Fuad lahir pada pertengahan bulan, poket sudah kempis. Apalagi bila sampai tarikh lahir Fairuz.... laaaagi kempis hihiiiii..... 
Atas permintaan Fuad, kami buat panggang-panggang sayap ayam sebagai hidangan utama. Rupanya, sibuk melayan rakan-rakan sampai tak puas nak menikmati sayap panggang! Jadi, sempena ulang tahun Fairuz yang ke-13, jatuh pada 19 September lepas, sekali lagi kami buat panggang-panggangan tapi hanya untuk keluarga kami saja.


Fairuz minta Amie buatkan sate ayam dan sosej panggang. Encik Suami pulak teringin nam makan mempedal ayam. Haiiiyyooo.... lagi satu, Fuad tak mahu ketinggalan dan sudah tentu pilihan hatinya tongkeng ayam! Hai.. dah nasib badan! Semua selera orang kita penuhi, kita sendiri tak tahu nak makan apa!

Nampak tak yang tersusun bersebelahan dengan sosej tu mempedal ayam? Itu Encik Suami punya. Ada 21 cucuk semuanya.

 Yang sosej cheese dengan sate ayam tu Fairuz punya. 10 cucuk sosej dengan 25 cucuk sate ayam.

Duduk berhadapan dengan sate ayam tu... yang nampak macam kulit tu... itu Fuad punya, tongkeng ayam! Suka hati koranglah anak-anak....  Yang penting Amie hanya sediakan bahan perapan serta kuah kacang, yang lain tu uruslah sendiri.

Sempat tangkap gambar dari pintu dapur. Fuad & Fairuz seronok sangat dapat hidupkan api pemanggang. Dua pemanggang digunakan. Fuad punya saiz sederhana, Fairuz punya pemanggang saiz kecik.

Dah hidup pun arang yang dibakar. Tunggu jadi bara kejap lagi.


Lupa nak cerita tentang kuah kacang. Amie gunakan resepi dari buku masakan Mrs Leong Yee Soo, The Best of Singaporean Cooking. Bukan apa, teruja nak cuba apa rasa kuah kacang ini sebab sebelum ditumis dengan perencahnya, kacang tanah tumbuk dimasak terlebih dahulu dengan air selama 1/2 jam sehingga pekat! Biasanya kita tumis dulu perencah, tak payah rebus kacang tanah tumbuk, kita masukkan sekali harung!

 Kalau ada lebihan minyak pada kuah kacang, eloklah dijadikan sapuan sate semasa dibakar.

Alhamdulillah... dua anak bujang kami memang hebat dalam hal panggang memanggang nih! Tengok tu... dah bersusun sate ayam dengan sosej!

 Jangan lupa... mempedal dengan tongkeng ayam tadi tu! Semuanya naik atas pemanggang!

 Adeehhh....  walaupun puas makan pada malam itu, tapi dek kesedapannya, macam nak buat lagi!


Puas hatikan kalau buat sate sendiri. Nak pakai ramuan apa, nak berapa banyak, nak gunakan bahan apa semuanya terpulang pada diri kita. Sebab yang nak makan kita. Sedap atau sebaliknya itu ikut selera kita he hehehehe.

Sabtu, 20 September 2014

Satay (Barbequed Beef / Chicken with Peanut Sauce) : Asian Food Fest (Singapore)

Jom kita cuba resepi sate gaya masakan Mrs Leong Yee Soo dalam bukunya The Best of Singapore Cooking. Mrs Leong Yee Soo gunakan daging, tapi Amie gunakan dada ayam. Apa pun resepi asal Amie tuliskan di bawah nanti. Amie teruja nak cuba cara sambal kacang dalam resepi ini, kerana kacang tanah yang telah ditumbuk, direbus terlebih dahulu dan kemudian barulah ditumis bersama perencahnya.

Mari kita lihat resepi dari Singapura ini.

Ingredients
Meat preparation:
1 kg beef ( or chicken) chilled and cut into thin pieces 

A
10 shallots
2 cloves garlic
1/2 thumb - size piece turmeric or 1/2 teaspoon turmeric powder
4 stalks lemon grass, slices
2 slices galangal

B
2 tablespoon coriander seeds
2 teaspoons cumin

C
1 teaspoon dark soya sauce
1 teaspoon salt
4-5 tablespoons sugar
4 tablespoons oil

Method:
1. Pound A to a smooth paste.
2. Fry B over low heat for 5 minutes, till fragrant. Pound to a finr powder while still hot.
3. Mix C in a bowl and add to pounded paste.
4. Rub paste mixture into the beef. Sprinkle the coriander and cumin powder over the beef and mix thoroughly. Marinate beef for 1 hour. Thread seasoned meat on to satay sticks or fine metal  skewers. Grill over charcoal fire or under hot grill. Baste with oil and water mixture to keep beef moist.


Peanut Sauce:
455gram freshly roasted ground peanuts
225ml oil

A
15 shallots
8 cloves garlic
2 stalks lemon  grass, thinly sliced
20-30 dried chillies, deseeded, or 4-5 tablespoons chilli paste
4 thin slices galangal

B
2 tablespoon salt
8-10 tablespoons sugar
4 tablespoons lime juice or 4 tablespoons thick tamarind water

Method:
1. Pound A to a fine paste.
2. Boil pounded peanuts with 900ml water over low heat till thick. Stir constantly for about 1/2 hour. Set aside.
2. Heat oil in wok and fry pounded paste till fragrant and oil seeps through the paste.
3. Add paste to peanuts mixture. Add B. Boil sauce over low heat for 5-7 minutes till sugar is dissolved, stirring constantly. Cool peanut sauce and serve separately with barbecued beef (chicken) and garnish

Inilah hasilnya! Nampak cantikkan sambal kacang tu..... Apalagi! Tak sabar-sabar nak makan dengan sate. Jom ambil sate dan kita celup!

Alahai... tak sabar nak makan!

Jemput semua.... Kalau nak rasa, kenalah buat sendiri. Resepi sudah dikongsi ... ahaks! Mmmm... serius sedap! Sate sedap... kuah pun sedap! Dua-dua sedap!


Meriahnya dunia masakan! Bila kita cuba pelbagai resepi walaupun bahan asasnya sama, tapi setiap masakan yang dihasilkan mempunyai rasa dan keunikannya yang tersendiri!


“I am submitting this post to Asian Food Fest #11 Sept 2014 : Singapore hosted by Life can be Simple”.


Khamis, 18 September 2014

Ayam Panggang Madu

Lama Amie tak kongsi menu ayam panggang. Jom layan Ayam Panggang Madu nan seksi di bawah ni. Ayam Panggang Madu di bawah ini lama tersimpan dalam folder, dan baru ada kesempatan untuk mengongsikan bersama.


Seperti biasa, Amie gunakan resepi di bawah ini. Kalau rajin, boleh klik DI SINI.

Bahan-bahan:
1 ekor ayam segar seberat 1.5-- 1.7kg - bersihkan dan tos

Bahan A:
3cm halia - kisar
3 ulas bawang putih - kisar
1 sudu makan stok ayam pekat
3 sudu makan sos tiram
1 sudu makan lada putih - tumbuk
2 sudu makan minyak bijan

Bahan B:
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan stok ayam pekat
3 sudu makan madu 

Cara:
1. Lumurkan ayam dengan Bahan A dan perap selama 4 jam / sebaiknya perap semalaman di dalam peti sejuk.
2. Panggang di dalam oven dengan menggunakan api sederhana panas - Amie panggang selama 90 minit.
3. Keluarkan ayam panggang, dan sapu dengan Bahan B. 
4. Masukkan kembali ke dalam oven dan panggang dengan api kecil selama 15 minit.
5. Tutup api oven, dan keluarkan.
6. Sedia untuk dihidang.

Nak Cari Resepi Mudah dan Sedap? Jom Selongkar Resepi Dari Dapur Kak Yah!

Kak Yah.... panggilan mesra empunya diri, Puan Rogayah Ibrahim, kalau ada rezeki teringin nak jumpa orangnya! Mesti Kak Yah ini orangnya tenaaaangggg....! Dan sudah semestinya senyum selalu. Kak Yah merupakan salah seorang penyumbang resepi yang sangat konsisten dalam ruangan MERIAHNYA DUNIA MASAKAN. Dari awal Amie tubuhkan kumpulan masakan ini, sehinggalah ke hari ini Kak Yah tidak pernah jemu berkongsi apas sahaja resepi olahan dari dapurnya! Terima kasih banyak Kak Yah.... juta-juta lemon! Jom kita intai apa yang ada di dapur Kak Yah yang sentiasa tersusun kemas itu. Dapur Kak Yah DI SINI YA!




Terliur kita dibuatnya bila sampai ke dapur Kak Yah tau!



Cantik-cantik belaka hidangannya! Kemas!




Tosei pun ado!



Dan macam-macam lagi.




Meleleh-leleh dah liur kami ni haaa...






Paling tak tahan bila tengok puding di dapur Kak Yah!



Semuanya nampak sedap belaka! Sedaaappppp!



Terima kasih sekali lagi buat Kak Yah di atas kesudian berkongsi menu bersama kami. Moga Kak Yah terus rajin turun ke dapur. Salam sayang buat Kak Yah & seisi keluarga.

Rabu, 17 September 2014

Murtabak Goreng???

Minta maaf kalau ada yang salah faham tentang tajuk resepi Amie kali ini. Mungkin ada yang beranggapan gambar tidak menunjukkan tajuk sebenar! Apa pun, sabar-sabarlah dulu. Mari dengar cerita Amie.
Petang tadi rasa sunyi sangat. Fuad keluar main futsal. Fairuz menonton televisyen. Encik suami belum pulang, dan sudah tentunya pulang lewat pukul 5 petang bersama Firdaus yang diambilnya dari kampung. Malas pula nak fikir nak masak lauk apa untuk makan malam. Kalau boleh tak payahlah masak nasi. Bila buka tudung saji, ternampak lebihan sambal tumis ikan bilis yang Amie masak untuk lauk makan tengahari tadi. Alangkah enaknya kalau boleh dicecah sesuatu untuk dijadikan minuman petang. Apalagi kalau mengadap kopi panas!


Timbullah pula keinginan untuk buat "Murtabak Goreng" yang selalu Amie lihat MIL buat di kampung. Bila anak cucu bertandang ke kampung, MIL memang sibuk nak sediakan sesuatu untuk dimakan. Salah satunya sudah tentulah "Murtabak Goreng". Sewaktu MIL mengadun, menguli dan berlumuran dengan tepung, Amie hanya kerling saja dengan ekor mata. MIL buat besar-besar. Makan sekeping pun dah terasa kenyang! Sayangnya Amie tak sempat mempelajari sepenuhnya, apatah lagi MIL pun sudah lama meninggalkan kami. Antara ingat-ingat dan lupa, Amie pun mula menguli tepung, bersama sebiji telur, 1/2 sudu teh baking powder, secubit garam, sedikit marjerin dan .... terus membuat penderhakaan dengan memasukkan yogurt dalam adunan tadi! Seronoknya tidak terkira bila Amie berjaya menghasilkan adunan yang lembut, tak berlumuran dengan tepung dan bila digoreng terhasillah "Murtabak Goreng" yang cantik, sama seperti MIL buat. Tapi yang Amie buat ni comel sikit, sebab saiznya kecil-kecil.
 

Sambil menggoreng, Amie berangan-angan. Kejap lagi Encik Suami pulang dan Amie nak tanya betulkan resepi "Murtabak Goreng" ini? Seingat Amie Encik Suami pun suka makan "Murtabak Goreng" ini. Nanti Amie sediakan secawan kopi (air panas sudah disediakan) untuknya dan minum petang bersama sambil bercerita tentang "Murtabak Goreng" ini. 
Ketika Amie sedang sibuk menggoreng, Encik Suami sudah masuk dapur. Entah bila pulangnya, Amie pun tak perasan. Dia ambil sekeping, dan bancuh kopi sendiri. Amie kata, makanlah dengan sambal tumis ikan bilis. Katanya pula, sapu dengan marjerin pun sedap! Iyolaaa... kalau di kampung memang makan cicah susu atau mentega! Kebetulan di atas meja ada marjerin, dia capai sajalah marjerin tu. Kemudian terdengar dia bersuara.... alamak! Ada perlawanan bola sepaklah! Tergesa-gesa Encik Suami bergerak dari meja makan ke tempat Amie sedang menggoreng "Murtabak Goreng". Mintak sekeping.... katanya, tapi tangannya mencapai 2 keping! Makan sambil tengok tv laaa tu!


Wokeeeyyy.... sebenarnya, rupa "Murtabak Goreng" yang MIL hasilkan sama seperti gambar di atas ni. Gelembung-gelembungnya tak banyak macam dalam gambar yang sebelah atas lagi tu. Setelah selesai menggoreng Amie buat secawan kopi dan duduk sendiri di meja sambil menikmati "Murtabak Goreng" bersama sambal tumis ikan bilis. Encik Suami datang semula ke dapur dan makan lagi "Murtabak Goreng".
Amie : Sedap tak?
En. Suami : Sedap.
Amie : Mummy bubuh yogurt. Mana lebih sedap. Yang biasa makan di kampung atau yang ini.
En. Suami : Ini lebih sedap. Tapi orang kampung mana ada bubuh yogurt?


Barangkali Amie terpengaruh dengan siri Chopped Food Network 727. Dengan menggunakan bahan misteri, dengan rasa penuh yakin berusaha hasilkan hidangan mengikut kreativiti masing-masing. Apa pun Amie rasa seronok dapat menghasilkan hidangan petang kami sekeluarga. Dan terlebih seronok bila dapat 'memujuk' anak-anak supaya 'makan malam' dengan 20 keping "Murtabak Goreng" ini. Selamat... tak payah masak lagi.


Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1 biji telur
secubit garam
4 sudu makan marjerin
4 sudu makan yogurt - resepi asal tidak gunakan yogurt
minyak

Cara:
1. Gaul kesemua bahan di atas dan jadikan doh.
2. Bahagikan kepada 20 bahagian sebesar bola ping pong. Bulat-bulatkan dan rehatkan seketika.
3. Ambil kayu penggelek, dan mula mencanai bentuk bulat. Sekiranya takut melekat, taburkan sedikit tepung.
4. Panskan minyak dan goreng hingga kuning keemasan.
5. Toskan.


Inilah kisahnya tentang "Murtabak Goreng". Ia terkenal dalam kalangan orang Melayu Cocos di Batu 6, Lahad Datu. Kalau sudah namanya begitu, Amie perlu menghormati hak cipta terpelihara MIL. Cuma... yogurt itu... Amie tambah sendiri! Nampak tak rupa di dalamnya yang menggelembung tu... sama ada menggelembung gemuk atau gelembung sikit-sikit, rasanya tetap sama! Terima kasih MIL. Moga damai di sana.... Al-Fatihah.