ADSENSE

Ahad, 31 Ogos 2014

Ikan Belanak Panggang

Amie jarang jumpa ikan belanak saiz kecil di Lahad Datu. Kalau ada pun, saiz besar seberat 300-500 gram seekor. Pernah beberapa kali Amie makan ikan belanak saiz besar, tapi rasanya agak tawar berbanding ikan belanak saiz lebih kecil. Rindu rasanya nak makan ikan belanak kecil yang Bonda selalu goreng masa kami kecil dulu. Selalunya Ayahanda akan beli berkati-kati (sukatan dulu) banyaknya, dan Amie selalu 'temankan' bonda siang ikan bawah pokok rambutan mandul dekat dengan tepi kolam. Amie jadi penghalau kucing sebab sewaktu Bonda siang ikan, kucing-kucing yang entah berapa ekor banyaknya datang berkerumun dan dengan pantas mencakar ikan yang sedang Bonda siang! Tak sabar nak tunggu kepala dan isi perut ikan yang Bonda buanglah tu... ho hooo beza betul kucing zaman dulu dengan kucing zaman sekarang. Dulu siap bercakar berebut makanan, tapi sekarang nampak kucing gemuk-gemuk kekenyangan. Pandai pilih makanan pulak tu!


Keluarga sebelah Encik Suami memang jarang sangat masak atau makan ikan belanak. Pernah sekali dua Ayahanda mentua beli ikan belanak tapi disuruhnya Amie buat 'kilau' atau 'umai' kata orang Sarawak. Isi ikan belanak mentah dihiris nipis bubuh bawang hiris, lada dan jus limau nipis serta garam dan perasa pilihan. Kemudian dimakan bersama nasi. Amie pun lama-lama suka hidangan sebegini dan kalau rajin Amie buat menggunakan ikan bilis segar pula. Suatu hari, Bonda mentua jatuh sakit dan tidak ada selera makan. Kebetulan pula, Ayahanda mentua beli beberapa jenis ikan termasuk ikan belanak saiz besar. Ayahanda mentua minta Amie panggang ikan belanak tadi dengan meninggalkan pesan : Jangan panggang terlampau masak..... aduhai Ayahanda! Anakanda menantu pun berfikir sampai habis akal macamana nak panggang tapi tak terlampau masak! Memang selalu Ayahanda mentua pesan, kalau goreng ikan jangan terlalu lama, kalau panggang daging, jangan terlalu masak! Seingat Amie.... Amie tak pernah memenuhi selera Ayahanda mentua! Haisssyyyy.... beliau bekas tukang masak orang putih! Aku mana tahu ikan terlebih masak, ikan berjus, daging terlebih masak bla bla blaaa...
Akhirnya, setiap kali panggang ikan di rumah mentua, Amie bungkus ikan dengan daun pisang! Hasilnya, tak garing ikan tu. Ikan masak... basah lagi, tapi terlebih masak! Oh!



Kami terjumpa ikan belanak saiz kecil di pasaraya, jadi rebatlah dalam 9 ekor! Memang niat di hati nak panggang ikan belanak ni. Mulanya nak bungkus, tapi disebabkan malas yang melampau-lampau, Amie panggang saja dalam oven. 

Bahan-bahan:
9 ekor ikan belanak - bersihkan - kelar dan toskan
daun pisang untuk alas memanggang
1 sudu teh garam
2 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu makan minyak
  
Bahan tumbuk halus: 
2 ulas bawang putih
2cm halia

Cara:
1. Lumurkan ikan belanak dengan bahan tumbuk, garam dan serbuk kunyit.
2. Gaulkan dengan minyak.
3. Letakkan daun pisang di atas dulang pembakar.
4. Susun ikan di atasnya.
5. Panggang ikan sehingga masak. 



Ketika sedang menikmati ikan belanak panggang bersama Encik Suami, Amie bersuara:
Beginikah ikan panggang yang  arwah bapa suka makan? 
Iyalah....
Oh! Setelah Ayahanda mentua tiada, barulah Amie dapat memahami apa yang dimaksudkannya. Ikan panggang tidak terlebih masak, dan isinya berjus!
Dan hari ini Amie berjaya menghasilkannya!


Jumaat, 29 Ogos 2014

Ikan Tenggiri Goreng Salut Tepung buat si Manja!

Firdaus dah pandai memilih makanan yang disukai. Kakak ipar yang merangkap menjadi pengasuhnya kata Firdaus dah tak suka makan ikan masak sup, ataupun ayam masak sup atau pun mee hoon goreng. Makan nasi pun dah tak mau! Setiap pagi Encik Suami bekalkan kuih ketayap yang dibeli ketika dalam perjalanan dari rumah menuju ke kampung, rumah kakak ipar. Kuih ketayap berharga RM1 untuk 3 ketul. Sepanjang jalan ke kampung, Firdaus makan kuih ketayap... badan kecik, mulut kecik tapi ketika sampai kampung habis 2 ketul ketayap! Wah! Banyak handsome anak bongsu ini....  Inilah yang buat kita garu-garu kepala memikir nak masak apa untuknya!
Tengahari tadi, selepas balik dari memberi ceramah di SMK Terusan, Amie singgah di pasaraya dan bila terpandang ikan tenggiri segar, terus je Amie rembat! Alamak... macam banyak pulak isi ikan tenggiri...1.7kg! Wokeeeeyyy.... boleh buat sesuatu dengan isi ikan tengiri sebenarnya. 
Sampai rumah rasa malas pulak nak masak. Bukan apa.... tak ada orang pun! Farid sudah 2 hari terbang ke Selangor, sekarang di rumah Bonda (Nendanya), menunggu hari pendaftaran masuk ke UKM pada 1 September. Rasa sangat sepi, sebab sebelum ini ketika sampai rumah Farid akan buka pintu pagar. Masuk ruang rumah, Farid sudah siap sapu dan bersihkan ruang tamu. Masuk dapur, Farid tolong kemas meja dan sapu sampah serta basuh pinggan. Fuad pula, katanya hari ini balik lewat sebab mengikuti program di masjid. Fairuz.... balik sekolah pada lewat petang nanti. Firdaus? Kena tunggu Encik Suami ambil selepas balik kerja. Sambil berangan-angan lepas goreng ikan dan masak nasi serta sayur bolehlah lepak depan tv kejap lagi....

Akhirnya siap juga Ikan Tenggiri Goreng Salut Tepung. Amie gunakan bahan yang ringan untuk hasilkan gorengan yang sesuai untuk Firdaus. Amie hanya tambahkan bawang putih, tepung gandum, tepung jagung dan putih telur untuk celup hirisan ikan. Kalau ikutkan selera sendiri memang nak bubuh halia dan juga lada putih, tapi takut pula terasa pedas kalau Firdaus makan nanti.


Amie gunakan separuh dari isi ikan tenggiri. Bukan Firdaus saja yang akan makan, Fuad dan Fairuz pun mesti berebut kalau nampak ikan goreng begini! Sedangkan Amie sendiri sambil menggoreng sambil ngaapppp berketul-ketul ha hahahaha..... Jom tengok resepinya di bawah ini:

Bahan-bahan:
800 isi ikan tenggiri - hiris ikut ketebalan yang diingini
3 ulas bawang putih - tumbuk lumat
1 biji putih telur - pukul ringan
1 cawan tepung gandum
2 sudu makan tepung jagung
1/2 sudu teh serbuk kunyit
garam / perasa pilihan
minyak
~ campurkan serbuk kunyit, tepung gandum dengan tepung jagung dan gaul sebati~

Cara:
1. Gaul isi ikan dengan bawang putih dan garam / perasa pilihan.
2. Celupkan isi ikan ke dalam putih telur dan kemudian lumurkan dengan campuran tepung gandum & tepung jagung.
3. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam.
4. Goreng hingga kuning keemasan.
5. Angkat dan toskan.
6. Boleh dimakan begitu saja atau cicah dengan sos pilihan.


Bila dah siap kerja-kerja dapur... ingatkan nak lepak depan tv , tiba-tiba muncul Encik Suami depan pintu dapur dan beralih arah pulak ke bilik air! Eh! Bila pula sampainya ni.... dan terdengar pula merungut-rungut  sambil menutup pintu bilik air.... bulan ni bil letrik RM380... katanya (suaranya agak bergema dalam bilik air). Alamak... sampai begitu sekali ye... selalunya tiap petang Amielah yang paling banyak membuat pembaziran tenaga letrik.... buka televisyen, lepas tu terbongkang sampai petang... he hehehe tv yang tonton kita!


Tengoklah gaya Firdaus bila dapat Ikan Tenggiri Goreng Salut Tepung tu.



Macam sedap aje kaaannn...




Rabu, 27 Ogos 2014

Ikan Patin Masak Lemak Cili Padi Dengan Cekur

Ada 1.5kg ikan patin tersimpn beberpa hari dalam peti sejuk. Kami beli siap buang isi perut dan di potong-potong. Diringkaskan cerita kalau ambil bahagian isinya dan pisahkan kepala-kepalanya, agak-agak semuanya seberat 1 kg kot.... Pada mulanya Amie nak panggang ikan patin, dan kemudian tuangkan santan siap berperecah cili padi dan daun cekur, atau dalam bahasa kami di sbeut 'pecel'. Selalaunya orang buat 'pecel lele' tapi Amie tak ada lele (ikan keli), dan yang ada cuma ikan patin. Fikir dua tiga kali macam malas pulak nak panggang ikan. Jadi Amie pun goreng sajalah ikan patin, dan kemudian masak ala-ala pecel gitu... Amie buat ni pun sebab pernah sekali balik kampung, dan kakak hantar semangkuk ikan keli goreng masak santan campur cekur!


Fuad memang suka sangat ikan patin. Ini kali pertama Fuad makan masakan begini. Bila Amie tanya, okey tak? Okey... katanya! Dia tak kisah pun kita bubuh apa... sebab sesetengah orang yang tak biasa dengan bau cekur memang susah sikit nak makan! Alhamdulillah... mudah-mudahan anak-anakku boleh dibawa ke tengah dan ke tepi majlis makan di tempat orang he hehehhe...


Bahan-bahan:
1 kg ikan patin - bersihkan dan potong ikut suka - gaulkan dengan sedikit garam dan kunyit
500 ml santan dari sebiji kelapa
1 keping asam gelugur  (jika asam gelugur terlalu masam, gantikan dengan sedikit pati asam jawa atau sedikit perahan jus limau nipis atau kasturi sahaja)
garam 
gula - pilihan (Amie tak bubuh gula sebab pati santan yang pekat sudah memiliki rasa manis)

Bahan tumbuk:
1 genggam cili padi hijau
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
4 biji ubi cekur

Cara:
1. Goreng ikan patin hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Masukkan santan, asam gelugur, garam dan bahan tumbukke dalam periuk.
3. Didihkan dengan api kecil sehingga semua bahan menjadi sebati.
4. Masukkan ikan pation goreng, dan masak lagi sehingga kuah menjadi pekat.
 


Silalah cuba resepi ini.... ada berani?

Isnin, 25 Ogos 2014

Pajeri Nanas

Minggu lepas Amie buat Pajeri Nanas tapi tak sempat nak makan. Bukan apa, waktu itu Amie masak untuk majlis makan keluarga sebelah Encik Suami, jadi bila dah masak macam-macam menu, tak berseleralah pula nak menjamahnya sebab penat. Lagi pun bila tengok para tetamu nampak macam sedap je makan, berbaloi pulak rasanya penat lelah, dah terasa pula kita yang kenyang! Apa pun, sempat juga Amie mencicipi sedikit walaupun hanya kuahnya saja! Nak tahu apa rasanya? Mestilah sedap.....! Sedap bagi Amie laaa....


Teringat dulu zaman muda remaja semasa tinggal di kampung, Amie ingat bukan zaman remaja saja tapi sejak zaman kanak-kanak Amie selalu nampak hidangan pajeri nanas bersama pelbagai menu lain semasa kenduri kahwin atau kenduri-kendara yang lain. Sampai sekarang Amie sangat mengkagumi semangat kerjasama dan gotong royong orang kampung semasa rewang menyediakan pelbagai masakan.Kalau nak dibandingkan rupa Pajeri Nanas yang Amie hasilkan dengan Pajeri Nanas yang dimasak oleh orang kampung, memanglah hasil Amie agak hodoh sikit he hehehe... sebab Amie gunakan kerisik beli! Sedangkan orang kampung buat sendiri kerisik dan sudah tentulah hasilnya cantik, taklah ada bintik-bintik hitam kerisik hangus macam dalam gambar Pajeri Nanas yang Amie paparkan di atas dan di bawah ni!


Apa pun .... hodoh ka, cantik kaaaa... rasa Pajeri Nanas yang Amie nasak ni memang sedap! Encik Suami kata sedap! Amie pun tahu, memang sedap ha hahaaa... iyolah, kalau dah sedap tu, kongsi sajalah resepinya kan.

Bahan-bahan:
1 biji nanas masak seberat 1 kg - kupas kulit dan potong bulat kemudian dibelah 4 - buang empulur nanas
4 sudu makan rempah kari daging
4 sudu makan kerisik
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang
gula melaka secukupnya
garam secukupnya
1/2 cawan air
1/2 cawan minyak
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan kisar:
7 tangkai cili kering - kalau tak mahu pedas boleh kurangkan - tak bubuh cili pun tak apa
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Rebus nanas dengan sedikit garam. Setelah nanas layu, toskan airnya.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak dan kemudian masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.
3. Masukkan udang kering dan serbuk rempah kari, dan jika terlalu kering tambahkan air. 
4. Masukkan kerisik dan gaul rata diikuti dengan nanas.
5. Perasakan dengan garam dan gula melaka.
6. Masak seketika sehingga kuah pekat.

Ahad, 24 Ogos 2014

Kacang Tanah Rebus

Pernah makan kacang tanah rebus? Makan kacang goreng tentu pernah kaaannn.... tapi sebenarnya kacang goreng tu dipanggang! Entah kenapa disebut kacang goreng. Orang sekarang jarang jumpa kacang tanah rebus! Sekali-sekala tu tentu ada juga terserempak di pasar malam atau di tepi jalan. Anak-anak (merujuk anak sendiri) tak berminat dengan kacang tanah rebus, padahal inilah benda yang paling Amie suka masa kanak-kanak dulu. Kalau mak tanam kacang tanah, tak sabar tunggu arahan untuk cabut pokoknya sebab teruja nak tengok kacang tanah yang berjurai-jurai tu! Dah berpuluh tahun rasanya tak merasai lagi suasana mencabut pokok kacang tanah, meleraikan dari akarnya, dan merebusnya! Kalau sesekali terjumpa orang jual kacang tanah di pasar, memang Amie tak lepaskan peluang membelinya. Sepanjang bulan Syawal ini, rasanya sudah tiga kali Amie beli kacang tanah. Berkilo-kilo banyaknya. Amie rebus dan makan ramai-ramai bila keluarga sebelah suami datang.


Untuk mendapatkan hasil kacang tanah rebus yang enak tentulah ada cara tertentu untuk digunakan. Misalnya kacang tanah hendaklah direbus lama, dengan api perlahan selain mencampurkan garam dan gula sebagai perasa yang enak dan berlemak! Jom kita tengok resepinya, walaupun ringkas tapi kalau diikut dengan betul, pasti anda akan tercari-cari lagi!

Bahan-bahan:
1 kg kacang tanah - rendam lebih kurang setengah jam untuk menghilangkan bekas tanah - kemudian toskan
air separas kacang dalam periuk
1 sudu makan garam
4 sudu makan gula

Cara:
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk.
2. Rebus kacang dengan api perlahan selama 3-4 jam. Jika air kering, boleh tambah.

Amie gunakan slow cooker  butang 'high' sebab tak perlu tambah air. Jika gunakan slow cooker terpaksalah tunggu selama 5 atau 6 jam untuk hasil yang memuaskan, lembut dan meresap perasanya.

 

Gerenti tak pandai berhenti mengupas dan mengunyah isi kacang tanah rebus ni, sebab isinya sangat lembut, lemak manis!

Mango Casablanca .... saiz paling besar pernah kuhasilkan!

Semasa majlis jamuan hari raya yang diadakan di sekolah tempohari, Amie bawa sedulang Mango Casablanca. Rasanya inilah saiz paling besar Amie pernah buat setakat ini dengan menggunakan 2kg isi mangga! Cream cheesenya pula seberat 1/2 kg. Amie kurangkan penggunaan cream dari 4 tin kepada 3 tin sahaja, manakala susu pekatnya pula sebanyak 1 tin. Biskut.... aaa biskut tak kira berapa keping, tapi hampir habis 1 paket!

Amie tutup bottom loose pan dengan aluminium foil... pelan-pelan bawa ke sekolah! Suruh Fuad pegang elok-elok semasa Amie pandu kereta.
 

Walaupun acara belum bermula tapi kawan-kawan tak sabar nak tengok rupa parasnya. Dah tengok rupa parasnya, dipotong-potong pula. Kononnya untuk persediaan awal sebelum majlis bermula.


Ketika sedang dipotong adalah beberapa tangan nakal mencopetnya.... Tak sabar nak tunggu manjlis bermula,  nak merasa dulu katanya sebab nampak macam sedap!


 Tidak dinafikan.... tiada siapa setakat ni yang kata tak sedap! Ha... tengok tu... boleh tak bayangkan keadaan Mango Casablanca yang sepatutnya dinikmati semasa jamuan hari raya tapi sudah di jamah awal! He he hehee.....
Apa pun....biar ada tangan nakal dan sebagainya, yang penting dessertku ini habis licin!

Sabtu, 16 Ogos 2014

Peria & Terung Goreng Tempura

Jom ratah sayur-sayuran goreng tempura! Amie tambahkan serbuk kari dengan jintan manis dalam adunan tepung tempura. Sedaplah pulak rasanya bila tergigit jintan manis yang melekat pada tepung yang rangup! Sesekali kita tambah bahan kegemaran apa salahnya kan. Tak rugi mencuba, sebab rasanya lebih sedap... he hehe ikut selera Amie laaa...

 
Kali ini Amie goreng peria dan terung. Selalunya Amie pelbagaikan sayur-sayuran termasuk kubis bunga, lobak merah dan juga kacang bendi. Kalau lobak merah memang Firdauslah yang paling banyak makan sebab memang si kecil tu peminat tegar lobak merah!


Bahan-bahan:
1 biji peria - Amie gunakan yang muda - tak ada biji - hiris bulat nipis
2 biji terung saiz kecil - hiris nipis menyerong
150 gram tepung tempura
180 ml air
1 sudu teh serbuk kari
1 sudu teh jintan manis
minyak

Cara:
1. Adun tepung tempura bersama air,  serbuk kari, dan jintan manis hingga sebati.
2. Panaskan minyak dalam kuali.
3. Celupkan peria atau terung ke dalam adunan dan goreng hingga kuning keemasan.
4. Angkat dan toskan.

Jumaat, 15 Ogos 2014

Sambal Colek Warisan Bonda Mentua

Masih terbayang jelas di ruang mata bagaimana Allahyarhamah MIL sedang menyiapkan sambal colek (atau colet mengikut sebutan tradisinya) sebagai pelengkap hidangan terutama untuk santapan tengahari. Bukan main berselera sekali Amie tengok FIL colek sambal tadi dengan terung goreng!
Kesemua bahan yang digunakan akan digoreng termasuk belacan, bawang merah dan bawang putih serta cili padi. Dan kemudian ditumbuk lumat bersama sedikit garam dan perasa pilihan. Biasanya MIL akan perahkan jus limau nipis, dan jarang benar Amie lihat penggunaan kus limau kasturi. Mungkin disebabkan memang ada sepohon limau nipis yang berbuah lebat di belakang rumah MIL kot.... he he heheh... sebenarnya sekarang ni susah sangat nak dapat limau nipis, dan kalau ada pun harganya sudah tentulah mahal dan buahnya pun tidaklah sebesar mana sebagaimana  buah limau nipis MIL.


Bahan-bahan:
1 genggam cili padi - hiris kasar
5 ulas bawang putih - hiris kasar
10 biji bawang merah - hiris kasar
3 cm belacan
7 biji limau kasturi - perahkan jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukup rasa
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih serta bawang merah hingga layu.
2. Kemudian masukkan belacan dan cili padi.
3. Setelah belacan naik bau, angkat bahan gorengan tadi dan masukkan ke dalam lesung.
4. Tambahkan sedikit garam / gula / perasa pilihan.
5. Tumbuk hingga lumat.
6. Gaul bersama perahan jus limau kasturi.
7. Sedia untuk dihidangkan bersama ulam-ulaman pilihan.


Khamis, 14 Ogos 2014

Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol & Gulai Ayam

Assalamualaikum teman-teman pengunjung yang masih setia mengikuti perkembangan dapur maya Amie. Masih dalam mood raya nampak... ha hahaaha... Amie pun nak cerita juga tentang Aidilfitri yang masih belum berakhir ini. Dan kisahnya, masih juga berkisar tentang nasi dagang!

Sebenarnya inilah kali pertama Amie hidangkan menu nasi dagang sebagai salah satu juadah rumah terbuka kami. Alhamdulillah... menu ini dapat dinikmati oleh para tetamu dengan penuh selera. Rasanya, kami telah berjaya memilih menu yang tepat untuk hidangan pada hari raya keenam, memandangkan dalam tempoh beberapa hari para tetamu mungkin sudah puas menikmati ketupat, lemang, ayam dan daging!

Tetamu yang hadir pada hari tersebut merupakan rakan-rakan sekolah Fuad dan Farid, rakan-rakan pekerja di bawah seliaan Encik Suami, dan juga  ahli keluarga sebelah Encik Suami. Pada mulanya rasa risau juga, mana tahu mereka yang tak biasa makan nasi dagang tentu tak akan menjamah hidangan ini. Pada masa itu Amie teragak-agak untuk merancang berapa kilogram beras yang patut Amie sukat. Akhirnya Amie gunakan 6 kilogram beras wangi, 1 kilogram beras pulut dan sedikit beras perang. Kesemuanya Amie rendam semalaman atau lebih kurang 8 jam, dan keesokan paginya Amie kukus. Apa yang menariknya ketika proses penyediaan menu ini, Amie tidak perlu kelam kabut sebab ikan tongkol boleh disediakan pada sebelah malam, iaitu merebusnya terlebih dahulu hingga masak bersama gula melaka, asam keping dan sedikit garam. Pada sebelah paginya pula, sambil mengukus beras yang direndam semalaman itu, Amie boleh masak gulai dan juga memotong-motong bahan untuk dijadikan acar. Mudahkan?
Terima kasih banyak-banyak buat Nor Kamilah Khalil dan juga Fauziah Deraman yang telah mengajar Amie untuk menghasilkan nasi dagang yang enak dan lazat ini. Amie pernah memaparkan resepi tersebut DI SINI.
Rupanya, disebabkan sibuk melayan tetamu, Encik Suami tidak sempat menjamah nasi dagang. Keesokan harinya, Encik Suami meminta Amie masak sekali lagi untuk keluarga, sebab katanya kelmarin hanya baunya saja yang dapat dihidu. Sayangnya, kami kehabisan ikan tongkol, dan lebihan gulai yang tinggal hanya kepala ikan tongkol saja! Amie berikan cadangan kepada Encik Suami untuk memasak gulai ayam, dan Encik Suami yang tak banyak karenah terus menyetujuinya. Jadinya, Amie pun buat pertama kalinya juga menghidangkan Nasi Dagang dengan Gulai Ayam pula!



Rasa Gulai Ayam pula sangat sedap.....! Itu kata Encik Suami dan anak-anak. Bahan perencahnya Amie gunakan bahan yang sama untuk membuat gulai ikan tongkol, cuma Ame tak masak ayam terlebih dahulu seperti masak ikan, dan juga Amie kurangkan jumlah asam keping!

Sekali lagi Amie kongsikan resepi Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol dan Gulai Ayam seperti di bawah ini. Resepi ini merupakan resepi asal daripada Nor Kamilah Khalil dan Fauziah Deraman. Cuma Amie gandakan kuantiti bahan sebab Amie banyak banyak. Dan satu lagi, bezanya gambar nasi dagang Amie dengan resepi di sini ialah Amie gunakan beras pulut kerana kekurangan beras perang.

Bahan-bahan untuk nasi dagang:

800 gram beras wangi 
200 gram beras perang
500ml santan pekat
5 biji bawang merah - hiris nipis
5cm halia - hiris halus
1 sudu makan halba
1/2 sudu makan garam
1/2 sudu makan gula melaka

Cara:
1. Rendam beras wangi dan beras perang selama 8 jam.
2. Toskan kedua-dua beras dan campurkan.
3. Kukus selama 20 minit.
4. Masukkan halba, bawang merah dan halia. Gaul rata. Tutup kembali periuk pengukus.
5. Campurkan gula melaka dan garam ke dalam santan.
6. Buka kembali tutup pengukus dan renjiskan santan pekat ke atas nasi. Gaul hingga sebati.
7. Kukus semula selama 10 minit.
8. Sedia dihidangkan bersama gulai ikan tongkol dan acar mentah.


Bahan-bahan untuk Gulai Ikan Tongkol:

Bahan A:
1 kg ikan tongkol - bersihkan dan potong ikut suka
3 keping asam gelugur
1 sudu gula melaka
sedikit garam

Bahan B:
1 liter santan
3 keping asam gelugur
7 biji cili padi - belah 2
3 biji lada hijau
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
2 sudu  makan gula melaka
1 sudu makan garam
minyak

Bahan kisar:
20 biji lada kering 
7 biji bawang merah
7 biji bawang putih
5cm halia

Cara:
1. Rebus bahan A hingga masak dan toskan airnya.
2. Gunakan air rebusan ikan untuk memerah santan kelapa.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar termasuk jintan manis, jintan putih dan serbuk ketumbar hingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan kacau hingga pecah minyak.
5. Masukkan cili padi, cli hijau dan asam gelugur.
6. Masukkan ikan tongkol, garam dan gula melaka.
7. Biarkan seketika sehingga kuah menjadi sedikit pekat. Tutup api.



Ini hasil Gulai Ayam, Amie gunakan perencah yang sama dengan perencah Gulai Ikan Tongkol. Terima kasih untuk Nor Khamilah Khalil & Fauziah Deraman. Walaupun kalian berdua sudah bertahun-tahun meninggalkan Negeri di Bawah Bayu, tapi resepi yang ditinggalkan ini terus dapat dinikmati bersama.... alahai... rindu rasanya, lama tak dengar dengar berita daripada mereka! Selamat Hari Raya!

Rabu, 13 Ogos 2014

Ikan Pekasam Goreng Kukus

Amie sebenarnya tak biasa makan pekasam. Tapi Encik Suami suka pula, dan mungkin kebetulan ada sebekas ikan pekasam pemberian kawannya yang baru pulang dari Kedah.... atau mungkin selera makannya inginkan sedikit perubahan! Maklum sajalah... lepas raya, kalau asyik makan daging atau ayam tekak pun rasa tak berapa nak terima. Minggu lepas Amie goreng 3 ekor ikan pekasam, dan Encik Suami akan mencuit sedikit ketika menjamah nasi. Tak habis, Amie simpan dalam peti sejuk. Disebabkan rasa sayang nak buang, setiap kali masak nasi dan sementara menunggu nasi tanak sepenuhnya, Amie bubuh ikan pekasam goreng tadi dengan alas pinggan kecil ke dalam rice cooker. Bila dihidang, Encik Suami tetap mencuitnya, sedikit dan begitulah seterusnya selama beberapa hari sehinggalah habis tiga ekor ikan pekasam yang kecil tadi.


Amie rasa macam terlebih goreng pulak sebab semacam je warna ikan pekasam tu. Pada masa yang sama butang rice cooker naik ke atas menandakan nasi sudah kering, jadi Amie pun masukkan ikan pekasam goreng tadi ke dalam piring kecil lalu letak di atas nasi tadi. Nampaknya, selepas digoreng, ikan pekasam tadi diwapkan pula... ha hahaha apa jadi?


Okey aje bentuk ikan pekasam goreng yang Amie wapkan @ kukus dalam rice cooker tadi. Amie kurangkan minyak gorengan ikan pekasam tadi, agak-agak cukup untuk goreng sebiji bawang besar, 5 ulas bawang putih yang dimayang, tga biji cili hijau dan sebiji cili merah yang dihiris. Untuk mendapatkan rasa yang lebih pedas, Amie tambahkan beberapa biji cili padi minyak. Wokey.... bila bahan gorengan tadi nampak layu, Amie pun tuangkan di atas ikan pekasam goreng kukus tadi. Jangan lupa perahkan limau kasturi!


Selasa, 12 Ogos 2014

Jom Intai Kek Lapis di Dapur Melly!

Agak lama juga Amie tidak paparkan perkembangan dalam Segmen Meriahnya Dunia Masakan. Kali ini Amie ingin bawa teman-teman sekalian berkunjung ke dapur negara jiran kita Indonesia, dan tuan punya dapur kini menetap di Kuching, Sarawak... jadi jiran bersebelahan negeri tempat tinggal Amie. Mari kita terjah terus ke dapurnya di sini: MASAKAN MELLY Bagi anda yang belum pernah membuat sendiri kek lapis atau teragak-agak untuk membuatnya, pastikan anda tidak terlepas pandang membaca pengalaman indah Melly ketika menyiapkan kek lapisnya yang pertama seperti di bawah ini.

Terima kasih Melly sebab pernah memeriahkan ruangan Meriahnya Dunia Masakan. Ayuh dong Melly.... kongsikan resepinya yang lain di dapurnya ya.... kok sepi aja!

Isnin, 11 Ogos 2014

Percubaan.... percubaan... satu... dua... tiga!

Alahai....
Entah berapa lama agaknya dapur mayaku ini tak berasap! Bukan apa... talian internet yang sangat lambat bak siput khinzir mengesot ini membuatkan daku rasa rimas! Asyik tertangguh-tangguh nak masukkan entri masakan. Berjam-jam menunggu depan Mr. Lappy membuatkan daku jadi bosan! Sehari dua ini talian okey pulak, tapi mood untuk kongsi resepi masih terbenam di dasar laut. Nak korek balik bawa naik ke pantai kena ambil masa pula kaaannn, sebab  tak tahu nak mula cerita dari mana.


Entahlaaaa... memulakan sesuatu adalah perkara yang  sukar dan ada kalanya rasa macam serba tak kena. Dicelah timbunan gambar masakan yang entah hape-hape tu, terjumpa gambar raya pula. Tepek sajalah di sini.... he hehheeh. Ini wajah bujang kami yang kedua, Fuad dengan adik bongsunya... Firdaus laaa tu! Selalunya dua beradik ni tak boleh jumpa.... asyik nak bercakar saja. Macam musuh ketat pulak. Tapi di pagi raya yang mulia itu elok pulak dua-duanya, berdamai sepanjang hari macam isi dengan kuku!

Isnin, 4 Ogos 2014

Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol.... hidangan untuk tetamu yang sudi bertandang.

Fikir punya fikir, banyak kali fikir akhirnya Amie hidangkan Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol untuk tetamu yang sudi bertandang pada hari raya ke-6. Untuk resepinya, bolehlah klik  DI SINI.


 Fuad & kawan-kawannya.

Farid pun tak mahu ketinggalan.


Selamat menjamu selera!


Selain nasi dagang, Amie sediakan mee hoon sup tulang! Amboiiii....  sampai tak sedar orang ambil gambar!

  Si kembar pun ada...  cucu buah... anak kepada anak buah kami.


Aduhai sayangku....! Sampai tertidur pulak dia! Penat layan tetamu ye sayang!


Hai.... ikut sukalah cari tempat yang selesa untuk menjamu selera!


Aktiviti gaya bebas....


Berehat-rehatlah yea...


Makanlah apa yang ada....


Jemput... silakan makan, jangan mau-malu!





Sempat juga Amie buat beberapa jenis kek lapis.
 


Alhamdulillah.... laku juga Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkolku di hari raya!