ADSENSE

Isnin, 30 Jun 2014

Buka puasa dengan masakan Arab... Kharuf Fi Salsah At-Tawabil (Kambing Berempah)

Assalamualaikum teman-teman pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Kali ini Amie paparkan resepi yang Amie cuba dari buku Masakan Arab oleh Chef Norzailina Nordin. Berbaloi sangat Amie cuba resepi ini, selain mudah dan ringkas.... hasilnya sungguh enak! Resepi Kambing Berempah atau Kharuf Fi Salsah At-Tawabil ini Amie gandingkan dengan nasi beriyani dan juga acar mentah. Patutnya kena masak nasi Arablah juga, tapi Amie putuskan untuk dimakan bersama nasi beriyani saja.



Ketika Amie sedang memasak di dapur, Amie terhidu aroma yang lembut dari masakan ini. Mungkinkah gabungan bau kurma bersama jintan manis serta bawang? Dan ternyata Amie tidak silap sebab ketika Fuad masuk ke dapur, tukang komen masakan Amie ini turut mengakui ada aroma yang tersendiri dari masakan Amie kali ini.  Ini merupakan kali pertama Amie masak kambing (lamb) bersama kurma. Kita lihat resepinya di bawah ini. Amie gunakan 1 kg daging kambing manakala dalam resepi asal bahan yang digunakan hanya 350gram. Jadi kepada sesiapa yang ingin mencubanya, pandai-pandailah sukat bahan, misalnya untuk 1 kg daging kambing Amie gunakan 10 biji kurma bersama 2 biji tomato dan 1 biji bawang besar yang dikisar halus untuk dijadikan bahan pemerap, selain serbuk jintan manis, serbuk kulit kayu manis, serbuk cili dan lain-lain yang Amie telah gandakan kuantitinya






Bahan-bahan:
350 gram daging kambing - dipotong
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
1 sudu teh serbuk cili
3 sudu besar minyak sapi
1 biji bawang besar - dipotong dadu
450ml air
1 sudu besar pes tomato
garam

Bahan kisar:
1 biji tomato - buang biji
4 biji kurma - buang biji
1/2 biji bawang besar

Cara:
1. Satukan daging, serbuk jintan manis, serbuk kulit kayu manis, serbuk cili dan bahan kisar. Perap selama 2 jam.
2. Panaskan minyak sapi dan tumis bawang besar hingga berbau.
3. Masukkan daging dan dikacau rata. Bila daging berubah warna, tuangkan air dan pes tomato.
4. Kacau sekali sekala hingga mendidih dan kemudian tutup kuali dan perlahankan api.
5. Tambah air jika perlu. Masak hingga daging empuk.
6. Masukkan garam secukup rasa sebelum diangkat.



Jadi... inilah hidangan berbuka puasa kami pada hari ini.



Jangan lupa.... untuk seimbangkan rasa antara daging kambing dengan nasi beriyani, hidangkan bersama acar mentah. Amie campurkan buah epal hijau, timun jepun, lobak merah dan bawang besar, gula, sedikit garam dan cuka. Siap....

Ahad, 29 Jun 2014

Sup ayam yang sangat sedap sudah tentunya..... Sup Ayam Hadnyai!

Selamat berpuasa buat semua teman pengunjung Amie's Little Kitchen. Hari ini Amie paparkan resepi Sup Ayam Hadnyai, sup ayam yang sangat Amie gemari dan diterima baik juga oleh seisi keluarga kami. Kalau nak tahu di mana keenakan dan keistimewaan sup ini, kenalah cuba sendiri ye... Amie sudah banyak kali memasak resepi ini, dan atas permintaan Encik Suami untuk makan lauk berkuah semasa bersahur malam tadi, jadi Amie dengan senang hati menyediakan seadanya. Terima kasih buat empunya resepi asal Sup Ayam Hadnyai iaitu Pyonda. Amie ubah suai sedikit resepi ini ikut bahan yang Amie ada... oleh sebab tidak ada stok limau nipis, Amie gunakan jus lemon tetapi rasanya tetap lazat!


Resepi : Sup Ayam Hadnyai
Sumber : Pyonda

Bahan-bahan:
1 kg ayam - potong ikut suka
5 batang serai - tumbuk pecah
7 cm lengkuas - hiris sederhana nipis dan tumbuk pecah
2 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
3 batang kayu manis 
3 kuntum bunga cengkih
1 liter air
sedikit minyak
garam / perasa pilihan
hirisan daun sup dan daun bawang serta daun & batang sadri - Amie gunakan daun ketumbar
Amie tambah 2 batang lobak merah & 4 biji kentang

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 biji cabai
4 cm halia
2 sudu besar ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau.
2. Masukkan ayam dan gaul rata. Tutup selama 5 minit.
3. Masukkan batang sadri.
4. Tambahkan air dan masukkan lobak merah serta kentang. Biarkan hingga masak.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Hidangkan bersama hirisan daun bawang, daun sup dan perahkan sedikit limau nipis.


Jika anda inginkan kelainan rasa sup ayam, Sup Ayam Hadnyai merupakan pilihan terbaik untuk anda dan keluarga!

Khamis, 26 Jun 2014

Salam Rindu & Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak 2014!

Assalamualaikum teman-teman tersayang yang kurindui....
Hampir sebulan juga lamanya dapur kecilku ini tak berasap!
Nak mulakan entri pun tak pasti mana hujung pangkal yang nak ditulis.
Cuma... ini sajalah.... gambar buah kurma yang belum masak yang sempat Amie tangkap semasa lawatan ke kebun kurma di Madinah tempohari.


...dan dengan ini Amie ambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ibadah Puasa Ramadhan 2014. Moga kehadiran bulan penuh berkat ini lebih bermakna buat semua. Okey tak... ada kaitan tak dengan gambar kurma ... he heheheh... jangan lupa waktu berbuka puasa nanti maniskan mulut dengan buah penuh khasiat dan pemberi tenaga ini.