ADSENSE

Isnin, 28 April 2014

Sup Ikan Lawang @ Patin

Ada yang kata ikan patin. Ada yang kata ikan lawang.Ada pula kata patin dan lawang tu ikan yang sama. Entahlah.... Amie pun bukan pakar tentang nama dan jenis ikan baik ikan laut atau pun ikan darat. Biasanya kalau warna kulit kan tu agak gelap,  MIL & FIL kata ikan patin. Dan kalau kulitnya agak cerah, mereka kata ikan lawang. Baik patin atau pun lawang, kalau MIL masak memang sedap sangat! Bila MIL sudah tidak ada lagi, FIL pun pandai masak sendiri. Sekarang kedua-duanya sudah tiada lagi. Jadi, bila sesekali ada ikan patin atau ikan lawang, Amie pula masak ikut cara Amie sendiri.


Sup Ikan Lawang @ Patin ini masakan kelmarin, hidangan tengahari kami sekeluarga. Sebenarnya Amie keluarkan lebihan ikan selayang (pemberian kawan Encik Suami) dan ikan lampam (pemberian kakak ipar)  yang agak lama dalam peti sejuk. Terpandang pula dua ekor ikan lawang @ patin (juga pemberian kakak ipar) yang belum terusik. Hajat di hati Amie nak goreng ikan selayang dan juga ikan lampam, manakala ikan lawang itu pula Amie nak buat sup. Amie suka makan ikan darat sebab walaupun berlemak tapi ikan darat banyak khasiatnya, terutama untuk kulit kita.


Resepi : Sup Ikan Lawang @ Patin

Bahan-bahan:
8 keping ikan lawang @ patin - perap selama 5 minit dengan sedikit garam dan air limau nipis untuk kurangkan bau hanyir - cuci dan toskan
1 liter air
1 batang serai - dititk
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 ulas bawang putih - pecahkan
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 sudu teh serbuk kunyit
7 biji cili padi
garam / perasa pilihan
bawang goreng
hirisan daun sup

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk. Masukkan serbuk kunyit, bawang besar, bawang putih dan serai.
2. Setelah air mendidih masukkan ikan lawang dan masak lebih kurang 5 hingga 7 minit atau sehingga ikan masak.
3. Masukkan lada putih dan cili padi.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur dan hidangkan panas bersama taburan bawang goreng dan hirisan daun sup.


Ringkaskan? Tapi sedap dan berkhasiat!


Ahad, 27 April 2014

Resepi Amie's Little Kitchen dalam Majalah AROMA Edisi Mei 2014

Firdaus dah tak mau pakai baju!
Dari pagi sampai petang badannya basah kuyup dengan peluh. Cuaca panas menyebabkan badannya melekit-lekit.... haiyyooo model kenitku ini sungguh seksi!


Sukanya dia dapat tengok mukanya masuk majalah. Siap cium-cium gambarnya lagi tu!
Lepas tu menyegih manjang tayang gigi kapak dia!


Kali pertama masuk majalah Aroma pada Januari 2013 lepas, Firdaus masih dalam perut, lebih kurang 4 bulan gitu. Sekarang, dia pulak nak masuk majalah ha hahaha....


Wokeeeyyy.... ada 11 resepi yang disiarkan dalam Majalah AROMA Edisi Mei 2014. Terima kasih Faris Elazhar kerana memberi ruang untuk Kak Amie muncul sekali lagi dalam AROMA.


Antara resepi tersebut termasuklah Udang Galah Masak Lemak Hijau dan Ketam Kam Heong.



Tidak ketinggalan, resepi ala Thai iaitu Nasi Goreng Nanas atau Kao Pad Sapparot serta Sotong Goreng Oregano.


Satu lagi resepi yang sangat lazat.... adeeehhh rasa kecur nak makan, tak lain tak bukan Mango Casablanca, dan satu lagi Nasi Ayam Panggang Rosemary.


Masakan orang kampung tidak kulupakan.... Bubur Suro @ Asyura. 
Jangan lupa cuba resepi yang mudah dan ringkas tapi sedaaaappp.... Jeruk Ikan Talapia.


Ada resepi Pegedil Udang dan Dendeng Daging Rusa.



Dan yang teristimewa sekali sudah tentunya Kek Lapis Cempedak!


Kali ini Amie berjiran dengan Mieza When a Working Mother Cooks dalam majalah dengan 8 resepinya yang sedap-sedap! Macam berjanjilah pulak kita ye Mieza.... masing-masing dukung anak! Teman-teman... jangan lupa dapatkan AROMA Edisi Mei 2014 di pasaran ye.



Sambal Bawang

Kongsi menu ringkas di hari minggu.... Sambal Bawang!
Pernah makan Sambal Bawang seperti dalam gambar di bawah ini?
Kalau belum pernah, apa kata kita cuba resepi yang Amie kongsikan di bawah ini.
Beberapa tahun yang lalu, ada seorang insan mengirim sambal seperti ini melalui seseorang untuk disampaikan kepada Amie. Rupanya keluarga sebelah Encik Suami yang kirim, tapi Amie tidak mengenalinya. Amie bawa pulang dan tunjukkan pada Encik Suami, dan bila Amie tanya Encik Suami tak tahu pula apa nama kiriman itu. Amie rasa teruja ingin mencubanya, dan hairan juga melihat bawang merah yang dihiris kasar masih jelas utuh, tapi Encik Suami kata memang begitulah rupa sambal yang dia tak tahu namanya tu.
Berdasarkan rasa dan ingatan terhadap sambal itu, Amie pun cuba buat sendiri, tapi Amie belah-belah bawang merah, dan bukannya hiris-hiris kasar.


Sambal Bawang yang Amie buat ini tidaklah pedas sangat rasanya sebab Amie bubuh sedikit saja cili padi. Amie lebihkan belacan, dan kalau boleh gunakan belacan yang kurang masin. Amie gunakan belacan Papar. Bawangnya pula Amie gunakan bawang merah saiz kecil. Boleh belah 2 atau belah 4. Kalau mahu Sambal Bawang tahan beberapa hari tanpa disimpan dalam peti sejuk, lebihkan sedikit minyak  semasa menumis. Tapi.... Sambal Bawang ni sebenarnya tak tahan lama mana pun kalau dah dihidang atas meja makan!

Resepi : Sambal Bawang

Bahan-bahan:
300 gram bawang merah saiz kecil - kupas dan belah 2 atau 4
1/2 cawan gula melaka (sudah diparut)
1 sudu teh pati asam jawa
1/2 cawan minyak
1 sudu teh garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
20 biji cili padi - boleh tambah jika suka pedas
7 ulas bawang putih
3 sudu makan belacan (sukatan jika dihancurkan)

Cara:
1. Panaskn minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan gula melaka, pati asam jawa, dan bawang merah.
3. Masak dengan api perlahan sehingga terbit minyak.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.


Sabtu, 26 April 2014

Roti Chapati & Kari Kambing (Lamb)

Jumpa lagi....
Malam ni makan roti chapati jenama Kawan.
Panaskan atas kuali antara 1-2 minit. Jadi untuk 10 keping roti chapati, taklah sampai setengah jam mengadap kuali.
Pencicahnya sudah tentulah Kari Kambing (Lamb), yang menjadi kegemaran anak-anak.


Amie bubuh yogurt asli dalam Kari Kambing. Entah apa yang membuatkan anak-anak suka makan kari. Agaknya memang betullah kata orang.... aroma kari mampu membangkitkan selera! Seperti biasa Amie bubuh banyak bawang besar dan tomato dalam resepi kari, sebab memang sukakan rasa kuah kari yang manis-manis manja tu!


Resepi : Kari Kambing (Lamb)
Bahan - bahan:
700 gram daging bebiri muda (lamb) - potong ikut saiz yang disukai
4 biji kentang - kupas dan potong dadu
6 biji tomato - potong dadu
3 biji bawang besar - mayang kasar
2 tangkai daun kari - lurutkan
4 sudu makan serbuk kari daging
4 sudu makan yogurt asli
1 cawan santan pekat
2 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan penumis:
3 ulas bawang putih - hiris halus
5 biji bawang merah - hiris halus
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
1 sudu teh jintan manis

Bahan kisar:
7 biji cili kering 
3 cm halia
2 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
 1 sudu teh jintan putih

Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng daun kari serta bahan penumis hingga wangi. 
2. Masukkan bahan kisar serta sebuk kari dan masak sehingga pecah minyak. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air dan gunakan api sederhana panas.
3. Masukkan bawang besar dan tomato, serta daging.
4. Gaul seketika dan biarkan sehingga daging masak.
5. Masukkan yogurt asli, dan tambah air lagi jika perlu.
6. Setelah daging agak empuk, masukkan kentang diikuti dengan santan.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Setelah daging & kentang empuk, dan terbit minyak, padamkan api dapur.



Jumaat, 25 April 2014

Ikan Sardin Masak Lemak Cili Padi & Nasi Beras Wangi Keladi

Petang Jumaat yang cerah.....
Cuaca masih panas, berpeluh dan melekit....
Satu hari mandi 3 hingga 4 kali....
Firdaus tidur malam tak pakai baju.... walaupun ada penghawa dingin tapi panas tetap menyengat!
Alhamdulillah.... ujian sangat kecil ini adalah satu rezeki.... peringatan daripada-Nya supaya kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang diberikan oleh-Nya.
Marilah kita sentiasa menjadi hamba-Nya yang tahu dan pandai bersyukur.


Alhamdulillah.... hidangan tengahari yang memang sentiasa lewat hingga menjelang pukul 3 petang! Masakan yang ringkas tapi rasanya cukup menyelerakan, terutama sekali di saat perut sedang menyanyikan lagu keroncong. Lama dah sebenarnya berangan nak masak Ikan Sardin Lemak Cili Padi tapi setiap kali beli ikan sardin, lain jadinya. Biasanya tumis begitu saja dengan bawang dan kentang. Atau kalau ada roti terus saja bubuh mayonis dan hancurkan untuk dijadikan inti roti. Kali ini memang nekad dah nak masak lemak p-edas-pedas sebab dah lama teringin....!


Kebetulan pulak ada Beras Wangi Keladi @ Beras Huma @ Bukit yang masih belum terusik. Amie cuba masak sedikit, dan rasanya .... kalau masak nasi dagang memang terangkat! Bagi sesiapa yang belum pernah melihat Beras Wangi Keladi bolehlah lihat rupa parasnya di bawah ini:


Masaklah seperti masak nasi biasa tapi tak boleh bubuh air banyak, takut nanti jadi terlalu lembik. Untuk Lauknya pula, bolehlah lihat di bawah ini.


Resepi : Ikan Sardin Masak Lemak Cili Padi

Bahan-bahan:
1 tin sardin - saiz besar - 5 keping ikan - toskan sosnya
200ml santan pekat
5 batang kacang panjang - potong serong
2 biji tomato - belah 2
1 batang serai - dititik
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
20 biji cili padi
2 cm kunyit hidup
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang besar hingga layu.
2. Masukkan kesemua bahan tumbuk dan tumis hingga naik bau. Tambahkan air asam jawa.
3. Masukkan kacang panjang. Gaul sebati hingga kacang panjang berubah warna. 
4. Masukkan santan pekat, diikuti dengan ikan sardin serta tomato.
5. Perlahankan api dapur dan masak sehingga kuah mula mendidih.
6. Kacau sekali-sekala dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.



Rabu, 23 April 2014

Bubur Pulut Hitam Jagung Krim


Entri sebelum tidur....
Tiba-tiba teringat MIL yang suka buat Bubur Pulut Hitam. Nampaknya Amie berkesempatan melihat dan merasa dua cara yang berbeza masakan Bubur Pulut Hitam. Kalau gaya Bonda dan orang kampung kami, sudah tentunya santan kelapa dicampur sekali harung dengan bubur pulut hitam, tapi MIL pula akan tuangkan kepala santan di atas Bubur Pulut Hitam sebelum menikmatinya. Seronok rasanya dapat pengalaman begini dan rasa kedua-dua cara masakan ini sudah tentulah sungguh lazat!
Sampai giliran Amie pula berkongsi Bubur Pulut Hitam dan hasilnya seperti yang Amie paparkan di bawah ini. Amie tambahkan jagung krim dalam bubur.



Amie terus masak beras pulut hitam tanpa merendamnya terlebih dahulu. He he eheh.... sebab malas nak jaga api dapur, Amie masak gunakan slow cooker! Sementara menunggu beras pulut pecah, sempatlah Amie berdating dengan Encik Suami makan mee goreng mamak di kedai, dan kemudian ambil Firdaus di kampung dan seterusnya ambil Fairuz dari sekolah. Malas nak masak untuk makan malam, beli saja apa-apa yang patut untuk Fairuz & Fuad. Jadi, Amie gunakan sedikit masa untuk menjenguk Bubur Pulut Hitam yang sudah kembang dalam slow cooker.


Amie gunakan beras pulut hitam kampung, beras pulut bukit (huma). Kalau nak tengok rupa parasnya bolehlah lihat gambar di bawah ini.


Wokeeeeyyy... kita cerita tentang resepi Bubur Pulut Hitam ye, sebab kalau tangguh-tangguh entri nanti Amie terlupa pula cara masakannya sebab bukan selalu Amie buat Bubur Pulut Hitam.

Resepi : Bubur Pulut Hitam Jagung Krim

Bahan-bahan:
2 cawan beras pulut pulut - cuci bersih dan toskan airnya
1.2 liter air 
2 cawan gula Melaka yang telah dihancurkan / parut - boleh kurangkan jika tidak mahu manis
1 tin jagung krim
1 helai daun pandan - siat dan simpul
4 cawan santan pekat & sedikit garam

Cara:
1. Masukkan beras pulut bersama 1 liter air dan daun pandan ke dalam slow cooker. Kalau tak mahu guna slow cooker, gunalah periuk masak biasa. Biarkan hingga kembang atau pecah beras.
2. Masukkan jagung krim dan gula Melaka. 
3. Sementara menanti bubur masak dan sebati, bolehlah sediakan kuah santan.
4. Masak santan pekat bersama sedikit garam di atas api perlahan. Kacau sepanjang waktu supaya tidak pecah santan atau berkepala.
5. Hidangkan Bubur Pulut Hitam dan tuangkan santan di atasnya.



Kalau suka rasa lebih lemak, bubuhlah santan banyak-banyak!


Jom.... slurrrrrpppp!

Kuih Ketayap @ Lenggang

Kalau disebut kuih ketayap, memang orang di tempat Amie tak tahu.... tapi kalau disebut kuih lenggang, bermakna kuih ketayaplah tu! 
Jom minum petang dengan kuih ketayap @ lenggang di dapur Amie.
Kali ini rajin sikit nak buat kuih lenggang sebab gunakan jus daun pandan, jadi warnanya taklah hijau sangat. Nak lebih hijau  nanti lain pulak rasanya.... Intinya pula warna lebih gelap sebab Amie bubuh campuran gula melaka dengan gula merah.



Bahan A : Inti
2 cawan kelapa parut 
1/2 cawan gula melaka ( yang telah dipecahkan kecil-kecil)  & 1/2 cawan gula merah- larutkan bersama 1 cawan air
secubit garam
sehelai daun pandan - disimpul

Bahan A: Kulit Ketayap @ Lenggang
2 cawan tepung gandum
300 ml susu segar
1 biji telur
secubit garam
3 sudu makan minyak canola (minyak jagung atau minyak masak lain pun boleh)
1/2 cawan air pandan - dikisar dan ditapis dari 4 helai daun pandan


Cara:
1. Masukkan  semua Bahan A termasuk kelapa parut, secubit garam dan daun pandan ke dalam larutan air gula melaka.
2. Panaskan di atas api sederhana.
3. Kacau sehingga semua bahan sebati dan menjadi melekit. 
4. Tutup api dan ketepikan.
5. Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Tuangkan susu segar bersama secubit garam dan kacau rata.
6.Masukkan telur dan minyak,dan terus gaul sehingga adunan menjadi sebati. Sekiranya adunan agak kental, masukkan sedikit air.
7. Tambahkan air pandan dan kacau lagi. Jika adunan agak berketul, tapiskan.
8. Panaskan kuali (kuali non-stick adalah pilihan terbaik - jika ada), letak sedikit minyak dan tuang 1 senduk adunan ke dalam kuali dan lenggang-lenggangkan supaya menjadi bulat.
9. Biarkan masak di antara 1-2 minit dengan api perlahan. Jangan masak terlalu lama kerana akan mempengaruhi warna kulit ketayap.
10. Angkat kulit ketayap dan bubuh inti. Lipat kedua-dua belah tepi kulit dan gulung.


Kuih ketayap @ kuih lenggang ni kalau kena cara buatnya memang sodap!!!

Selasa, 22 April 2014

Cucur Burger

Jom jamu mata dengan Cucur Burger.....


Boleh tahan juga rasa Cucur Burger ni. 
Tapi mood nak kongsi resepi macam dah terjun ke laut.....
Hati masih kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku DI SINI.


Ada masa nanti kalau tak lupa resepinya, Amie kongsikan bersama ye....

Ahad, 20 April 2014

Kari Ikan Sama Nanas

Nak buat macamana.... dah anak-anak mahu masakan begini. Kalau masak singgang atau asam rebus, alamat tak disentuhlah jawabnya. Aduhai anak..... kalau boleh hari-hari nak makan ayam saja, tak mahu makan ikan! 


Bahan A:
4 kepingan ikan - Amie gunakan ikan alu-alu @ barracuda
1/2 cawan asam jawa - bancuh dengan air
1/2 tin susu cair
1/2 biji nanas- potong 3 segi - celur hingga layu & toskan airnya
2 biji tomato
1/2 cawan minyak masak
1 sudu makan garam
1 sudu teh gula

Bahan B:
2 sudu teh halba
1 sudu teh biji sawi
1 sudu teh jintan manis
1 tangkai daun kari
1/2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang

Bahan C:
4 ulas bawang putih - dimayang
3 biji bawang merah - dimayang
1 1/2 inci halia - hiris halus
2 sudu teh serbuk ketumbar
2 sudu teh serbuk jintan manis 
1 sudu teh serbuk jintan putih 
1 sudu makan serbuk cili 
1 sudu makan serbuk kunyit



 Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis Bahan B sehingga berbau harum.
2. Masukkan bahan C dan tumis dengan api sederhana sehingga terbit minyak, kemudian masukkan ikan dan nanas.
3. Tutup periuk sebentar supaya air ikan dan nanas keluar dan masukkan air asam jawa.
4. Masukkan susu,  dan garam serta gula.
5. Masak dengan api kecil selama 10 minit.
6. Sedia dihidangkan.


Jumpa lagi!

Ayam Masak Ungkep & Nasi Beras Kampung

Salam hujung minggu....
Masak apa? 
Masak Ayam Ungkep dan istimewanya sebab lawan makan dengan nasi beras kampung. Beras huma.... beras pandan wangi dari Kundasang.


Walaupun sudah beberapa kali kongsi paparan resepi Ayam Masak Ungkep, tapi Amie masih terima pertanyaan terutama adik-adik yang mungkin baru belajar masak. Terima kasih kerana dengan pertanyaan mereka membantu Amie menambahbaik paparan untuk setiap resepi. Maklumlah, bila gunapakai resepi orang kampung, kita pun guna sukatan kampung. Misalnya... jintan manis sejemput, jintan putih sejemput. Jadinya, adik-adik kita pun inginkan kepastian... sejemput tu berapa gram? Barulah teringat, betapa bezanya zaman kanak-kanak dan zaman remaja kita dulu berbanding zaman remaja hari ini. Dulu, sedari kecil kita nampak Bonda kita masak. Maknanya, berdasarkan pengalaman kita lihat orang dulu-dulu masak main campak-campak saja. Dan satu lagi.... ada yang bertanya tentang sukatan garam / gula / perasa pilihan. Memang jarang Amie tulis satu sudu teh / makan garam atau gula, tapi tulis saja benda-benda tersebut sebagai pelengkap rasa atau secukup rasa. Maksud Amie, kalau masak sendiri kenalah sesuaikan rasa ikut selera masing-masing. Rupanya, Amie tulis begitu menyulitkan adik-adik. Tak apalah ye... in shaa Allah lepas ini Amie akan tuliskan kuantitinya, tapi kenalah juga sesuaikan dengan citarasa masing-masing, nak lebih garam atau kurang garam / gula / perasa pilihan.


Wokeyyy.... Ayam Masak Ungkep sudah siap!
Daku masak dengan penuh kasih sayang dan rindu dendam tau!
Nasinya pula beras kampung atau beras bukit (padi huma) dari Kundasang, Ranau.
Nyum... nyummmmmm! Nak tengok beras bukit @ padi huma? Ni haaa... di bawah ni:



Ini jenis padi huma @ bukit: beras pandan wangi.



Bahan-bahan:
1kg daging ayam - potong 8 - lumur dengan 1 sudu teh  garam 1 sudu makan kunyit - perap seketika
2 batang serai - dititik
3 cawan air
minyak
1 sudu teh garam
1 sudu makan  gula pasir / gula melaka
perasa pilihan (jika suka)

Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
2 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
1 sudu makan jintan putih
3 cm kunyit hidup
3 cm halia
15 biji cili padi 

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan  serai dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam, gula dan perasa pilihan (jika suka).                                            4. Tutup kuali rapat-rapat.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan atau hancur.
6. Apabila kuah kering (jika suka kuahnya, tak perlu masaka sampai kering)dan ayam empuk, matikan api.


Habis licin..... tinggal tulang je!


Sabtu, 19 April 2014

Ikan Lampam Panggang & Sayur Kailan Goreng Sos Tiram.

Selain goreng garing, Amie suka buat ikan lampam panggang. Bukan panggang atas bara, tapi panggang bungkus dengan daun pisang dan masuk dalam oven. Cara begini disukai MIL & FIL.... katanya ikan lebih sedap sebab tidak kering di atas pemanggang, sebaliknya isinya lebih lembut dan lembap!


Resepi : Ikan Lampam Panggang

Bahan-bahan:
1 ekor ikan lampam saiz besar - bersihkan dan kelar-kelar
1 batang serai - dititik
daun pisang
1 sudu teh serbuk kunyit
garam

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
2 cm halia

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan semua bahan di atas.
2. Bungkus dengan daun pisang.
3. Panggang dalam oven hingga masak.


Dua-dua jenis pencicah di bawah ini Amie suka. Tapi sudah tentulah lebih suka yang di bawah ini, sementara yang di bawah lagi tu memang dah biasa kita jumpa, lebih kurang air asam gitu.


Sambal pencicah yang di atas tu Amie gunakan banyak jus limau kasturi untuk seimbangkan rasa. Amie tumbuk cili padi minyak bersama bawang putih, dan ketika menghidangkannya Amie masukkan hirisan kulit limau kasturi supaya lebih harum.

Resepi : Sambal Lada

Bahan:
10 biji cili padi minyak
5 ulas bawang putih
1/2 cawan jus limau kasturi
2 sudu makan gula pasir
1 sudu teh garam
sedikit hirisan kulit limau kasturi

Cara:
1. Tumbuk cili padi minyak bersama bawang putih hingga lumat.
2. Masukkan di dalam mangkuk, dan tambah gula pasir, garam serta jus limau kasturi.
3. Tambahkan hirisan kulit limau kasturi di dalamnya.


Resepi : Air Asam (Sambal Kicap)

Bahan-bahan:
10 biji cili padi - hiris
1 labu bawang besar - hiris 
1 sudu makan belacan serbuk
1/2 cawan kicap manis ABC
2 sudu makan jus limau kasturi
1 sudu teh pati asam jawa

Cara:
1. Satukan kesemua bahan di atas.
2. Sedia untuk dihidangkan.


Yang ini pulak, Sayur Kailan Goreng Sos Tiram kegemaran Encik Suami. 

Resepi : Sayur Kailan Goreng Sos Tiram

Bahan-bahan:
5 batang pokok kailan - potong ikut citarasa - asingkan bahagian daun dengan batang
1/2 batang lobak merah - potong bulat
1 cawan udang kertas siap dibersihkan
1 labu bawang besar - hiris kasar
3 ulas bawang putih - dipecahkan
2 sudu makan sos tiram
1 sudu makan kicap manis ABC
1/2 cawan bancuhan air tepung jagung
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar serta bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan lobak merah, batang kailan dan udang.
3. Setelah batang kailan dan lobak merah empuk, dan udang berubah warna, masukkan bahagian daun kailan.
4. Besarkan api dan tutup selama 1 minit supaya daun kailan masak dengan warna hijau yang cantik.
5. Buka penutup kuali dan tuangkan bancuhan air tepung jagung untuk memekatkan kuah dan perasakan dengan sos tiram serta kicap manis ABC.
6. Gaul seketika dan padamkan api dapur.

Jumaat, 18 April 2014

Nasi Kandar & Gulai Ikan

Assalamualaikum....
Kali ini Amie nak cerita panjang sikit tentang resepi yang akan Amie kongsi. Maklumlah, orang dapat cuti sehari sempena Good Friday, jadi macam-macamlah yang boleh dibuat di dapur. Di kesempatan keemasan ini juga Amie cuba masakan dari buku resepi Hidangan Tradisi Pulau Pinang oleh Puan Hasma Basir. Amie rasa seronok dapat mencuba resepi Nasi Kandar. Sekarang barulah Amie faham asal-usul Nasi Kandar. Kata Puan Hasma, asalnya Nasi Kandar ini dijual oleh orang India Muslim, yang dikenali sebagai 'mamak'. Mereka sangat aktif berniaga terutama di sekitar Tanjung, iaitu ibu negeri Pulau Pinang. Dahulu, mereka menjaja dengan mengandar nasi dan lauk-pauk dan berkemungkinan nasi tersebut dijual kepada orang bujang yang ramai bekerja di kota itu. Dan, katanya lagi dari sinilah nama 'Nasi Kandar' bermula.


Nasi Kandar dimasak dengan membuang air hingga hampir habis dan kemudian ditanak semula. Hasilnya sudah tentulah nasi kelihatan serai berderai!


Resepi : Nasi Kandar
Sumber : Hidangan Tradisi Pulau Pinang oleh Puan Hasma Basir


Bahan A:
500 gram beras jenis panjang - cuci - toskan

Bahan B:
12 cawan air
2 cm kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
1 helai daun pandan
3 sudu teh garam
1 sudu teh air kapur

Bahan C:
2 ulas bawang merah - mayang
2 sudu besar minyak sapi atau minyak jagung

Cara:
1. Satukan  Bahan B di dalam periuk dan jerang di atas api. Apabila mendidih, masukkan beras dan biarkan mendidih selama 5-10 minit. Buang air sehingga kering.
2. Masak di atas api perlahan atau masukkan ke dalam periuk nasi elektrik dan biar hingga masak. Sekiranya nasi terlalu lembut, tuskan. Basuh dengan air sejuk dan keringkan dengan api perlahan.
3. Tuang Bahan C ke dalam kuali dan goreng bawang hingga kekuningan. Tuang ke dalam nasi dan tutup periuk. Sebelum menghidang, kacau nasi hingga rata.


Untuk lauknya pula Amie cuba masak Gulai Ikan (Resepi asalnya Gulai Kepala Ikan). Menurut Puan Hasma 'gulai'  dalam penggunaan masyarakat Pulau Pinang adalah khusus merujuk kepada masakan yang disebut 'kari'  di tempat-tempat lain di negara kita. Ada petua istimewa yang Puan Hasma kongsikan, iaitu cara untuk mematikan rempah! Katanya, masakan Pulau Pinang memerlukan kesabaran yang tinggi! Selepas sahaja dimasukkan rempah, api hendaklah diperlahankan. Masak rempah sehingga pekat atau 'mati rempah'. 'Mati rempah' bermaksud rempah yang ditumis cukup masak dan sedia untuk dibubuh santan dan air asam. Rempah yang ditumis hendaklah selalu dikacau supaya tidak hangus.
Mungkinkah istilah 'terbit minyak' boleh digunakan untuk maksud 'mati rempah' ini.....


Resepi : Gulai Ikan (Gulai Kepala Ikan)
Sumber : Hidangan Tradisi Pulau Pinang oleh Puan Hasma Basir

Bahan-bahan:
600 gram kepala ikan kegemaran - Amie gunakan isi ikan
50 gram serbuk kari
1 sudu teh serbuk cili
50 gram asam jawa - perahan pertama dengan 1 cawan air & perahan kali kedua dengan 2 cawan air
1 biji tomato - belah 4
300 gram bendi - goreng separuh masak
2 pokok daun bawang - potong 3cm panjang
2 tangkai cabai hijau - belah 2 jangan putus
garam secukup rasa
1 cawan kelapa parut - perahan pertama dengan 1/2 cawan air (pati) & perahan kali kedua dengan 2 cawan air (kemencar)

Bahan tumbuk:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

Bahan penumis:
4 biji bawang besar - mayang
2 ulas bawang putih - mayang
1 sudu teh halba campur
2 tangkai daun kari
5 sudu besar minyak

Cara:
1. Bersihkan ikan. Potong ikut kegemaran anda.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan penumis hingga kekuningan. Masukkan bawang tumbuk, sedikit pati santan dan serbuk kari. Gunakan api perlahan. Kacau hingga wangi.
3. Masukkan baki pati santan dan 1 cawan santan kemencar. Masak dengan api perlahan sehingga naik minyak.
4. Masukkan 1 cawan santan kemencar dan perahan asam jawa kedua. Kacau dan biarkan mendidih.
5. Masukkan tomato dan ikan. Kuatkan api.Selepas 5 minit masukkan bendi, cabai dan daun bawang serta garam, secukup rasa. Hidangkan panas bersama nasi atau roti.


Kata Puan Hasma, kalau dah pandai masak gulai ala Pulau Pinang ini, tak perlulah lagi mengunjungi kedai mamak untuk membeli kari ikan... he heheheh.... Amie tambahkan acar mentah dalam hidangan Nasi Kandar Gulai Ikan ini.