ADSENSE

Isnin, 31 Mac 2014

Sup Ikan Kerapu

Assalamualaikum kawan-kawan....
Hari ini entri ringkas saja ye.... gambar pun sekeping je! Tulis isi-isi penting seperti di bawah ni... okey tak?

1. Petang tadi ikut Encik Suami ambil Firdaus di kampung. 
2. Kakak ipar yang jaga Firdaus tu bagi kami 2 ekor ikan kerapu segar, siap dibersihkan sekali.
3. Lepas ambil Firdaus kami terus ke sekolah untuk ambil Fairuz pula.
4. Sampai rumah Amie masak nasi.
5. Sementara menunggu nasi tanak, Amie pun sediakan bahan untuk masak Sup Ikan Kerapu.
6. Disebabkan malas nak masak lauk lain, Amie pun campur masuk sekali harung segala macam sayur di dalam sup!
Sekian, terima kasih. Adapun resepi Sup Ikan Kerapu seperti di bawah gambar ini jua adanya.



Resepi : Sup Ikan Kerapu
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 ekor ikan kerapu - bersihkan dan potong 2
1 biji tomato - belah 4
1/2 batang lobak merah - potong bulat
1 cawan potongan bunga kobis
1 cawan potongan brokoli
1 keping asam gelugur
sedikit minyak 
1 sudu lada putih - tumbuk
600ml air
garam / perasa pilihan 

Bahan tumbuk:
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci halia
1 sudu teh ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis

Rempah penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 biji cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Bahan hiasan:
hirisan daun sup & daun bawang
bawang goreng

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng rempah penumis hingga wangi.
2. Masukkan bahan tumbuk dan goreng hingga garing.
3. Tambahkan air, dan masukkan lobak merah. Biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan kerapu, asam keping dan biarkan masak di antara 4-5 minit.
5. Masukkan brokoli, bunga kobis dan capsicum hijau dan biarkan seketika.
6. Tambahkan lada putih, garam /perasa pilihan dan juga tomato.
6. Padamkan api dapur.
7. Hidangkan segera dengan taburan daun bawang / sup hiris dan juga bawang goreng.

Ahad, 30 Mac 2014

Ketam Masak Kam Heong

Lama dah dia menunggu di bawah ni.... sampai termenung menopang dagu dengan sepitnya!
Alahai Ketam Masak Kam Heong.... marilah kami ratah-ratah kamu ha hahaaha....


Orang kata kalau nak menikmati ketam, jangan makan dengan nasi. Ratah-ratah gitu je.... Iyo.... iyolaaa tu... sebab dua tangan kena buat kerja! Mmmm.. tunggu apa lagi! Marilah sama-sama 'gasak' ini ketam! Lepas tu baru kita tengok resepinya.

Bahan-bahan:
3 ekor ketam seberat 1kg
7 ulas bawang putih cincang
3/4 cawan udang kering  
2 sudu besar serbuk kari
3 tangkai daun kari 
2 batang serai - hiris halus
2 biji cili merah - hiris (boleh gunakan cili padi jika suka lebih pedas)
2 sudu besar sos tiram
1 sudu teh lada hitam - kisar
1/3 cawan minyak

Cara:
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng terendam ketam  sehingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih sehingga wangi.
3. Masukkan udang kering dan goreng sehingga udang masak.
4. Masukkan serbuk kari, daun kari, hirisan serai serta cili merah / padi dan goreng seketika.
5. Tambah sos tiram dan lada hitam dan gaul sebati.
6. Masukkan ketam dan balik-balikkan supaya disaluti dengan sos.
7. Angkat dan hidangkan.



Alahai.... dapat sos yang menyelaputi kulit ketam pun sodap!

JANGAN LUPA BUAT RAKAN-RAKAN BLOGGER YANG INGIN MENYERTAI AMIE'S 1st GIVEAWAY. LUANGKAN SEDIKIT MASA ANDA UNTUK MENCORETKAN KENANGAN DEBAR MENANTI KELAHIRAN.
SILA KLIK DI SINI UNTUK SYARAT-SYARAT PENYERTAAN DAN

DI SINI
UNTUK MELIHAT HADIAH YANG DITAWARKAN!
TARIKH TUTUP PENYERTAAN PADA 7 APRIL 2014!
JOM KAWAN-KAWAN.... ABADIKAN KENANGAN TERINDAH DALAM HIDUP ANDA UNTUK DIKONGSI BERSAMA KAMI!

Sabtu, 29 Mac 2014

Asam Pedas Ikan Pari

Dah makan tengahari?
Kalau belum, marilah jamu selera dengan Asam Pedas Ikan Pari di dapur Amie.


Syukur Alhamdulillah, siap juga hidangan untuk tengahari ini. Amie masak untuk tiga orang saja, termasuk Amie sendiri, Encik Suami dan Fuad. Fairuz masih mengikuti latihan robotik di sekolahnya dari pukul 8 pagi hingga 6 petang nanti. Nampaknya Asam Pedas Ikan Pari ini kekurangan bahan.... daun kesum! Tapi tak apalah, Amie lebihkan bunga kantan. Biasanya Amie gunakan sekuntum, kali ini Amie tambah menjadi 2 kuntum. Amie nak pekatkan kuah asam pedas dengan cara menumis semua bahan kisar bersama hirisan tomato, dan masak sehinggalah tomato hancur lunyai.

Resepi : Asam Pedas Ikan Pari
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
700 gram ikan pari - potong ikut suka - perap sebentar dengan sedikit garam dan jus limau nipis - cuci bersih dan toskan
2 batang terung Taiwan - belah 2 dan potong 3 - goreng hingga masak dan ketepikan
4 biji tomato masak ranum - belah 6
1 batang serai - dititik
2 kuntum bunga kantan - belah 4
2 keping asam gelugur
1 cawan air
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
20 biji cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
sedikit belacan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan tomato dan biarkan masak hingga tomato hancur dan tumisan pecah minyak.
3. Masukkan serai, bunga kantan, asam gelugur dan ikan pari.
4. Tambahkan 1 cawan air, dan biarkan sehingga kuah mendidih atau ikan pari masak.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Padam api dapur.


Dah selesai makan Amie tanya Encik Suami:
Amie : Sedap ke? Diam je....
Encik Suami : Kalau diam-diam tu tandanya sedaplah. Kalau bising-bising tu maknanya adalah yang tak kena.
Amie : Ohhh... ye ke...

Red Plum, Red Apple & Strawberry Smoothies

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen.
Macam mana cuaca di tempat anda hari ini?
Panas?
Sejuk?


Apa kata kita nikmati segelas smoothies di dapur Amie.... campuran red pluj, red apple & strawberry.


Kalau dah kenyang denga segelas smoothies, tak ambil hidangan tengahari pun ok juga.... sebab smoothies mengandungi serat buah-buahan.


Resepi : Red Plum, Red Apple & Strawberry Smoothies
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 biji red plum - buang biji dan potong kecil
2 biji epal merah - buang biji dan potong kecil
20 biji buah strawberi - belah 2
175ml yogurt asli
200ml susu segar
3 sudu makan gula pasir

Cara:
1. Sejukbekukan red plum, epal merah dan strawberry selama 4-5 jam.
2. Masukkan bahan sejukbeku tadi ke dalam pengisar. Tambhakan yogurt asli, susu segar dan gula pasir.
3. Kisar hingga halus.
4. Sedia untuk dihidangkan.

Jumaat, 28 Mac 2014

Kambing (Lamb) Masak Yogurt

Entri sebelum tidur.....
Hari ini agak terlewat menyiapkan hidangan malam, sebab 'terlewat' juga mengambil Fairuz dari sekolah (latihan robotik), dan sekali harung ambil Firdaus dari kampung. Fuad pula perlu menghadiri kelas tuisyen pada pukul 7 malam,. Jadi... kalau dah sampai ke rumah pukul 6 lebih, apa menu yang sempat disediakan? Syukurlah Fuad sudah masak nasi, dan keluarkan lamb dari peti sejuk!
Sebenarnya resepinya sama dengan LAMB MASAK BLACK PEPPER, cuma kali ini Amie tambah yogurt!



Inilah menu kesukaan Fuad. Dia sanggup tunggu sampai hidangan ini siap, dan agak terlewat menghadiri kelas tuisyen.... heiiii... hari ini semuanya asyik terlewat laaa....


Resepi : Kambing  (Lamb) Masak Yogurt
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
700 gram daging kambing - potong ikut suka
1 batang lobak merah - belah 2 & potong 4 - celur
1 cawan hirisan brokoli - celur
3 ulas bawang putih - cincang
5 biji bawang merah - cincang
4 sudu makan yogurt asli
1 inci halia - hiris halus 
1 sudu teh lada putih - tumbuk kasar
1 sudu teh lada hitam - tumbuk kasar
3 sudu makan sos lada hitam
2 sudu makan kicap manis
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh perencah MAGGI Cukup Rasa
2 cawan air
minyak



Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, bawang merah dan halia hingga harum.
2. Masukkan daging kambing dan gaul sebati. Tutup kuali dan biarkan sehingga air daging keluar.
3. Masukkan yogurt asli, sos tiram, sos lada hitam, kicap, lada hitam dan lada putih tumbuk. 
4. Setelah digaul rata, tambahkan air dan tutup kuali sekali lagi. Masak dengan api sederhana panas, dan biarkan sehingga daging kambing empuk.
5. Buka penutup, dan lobak merah, brokoli serta perencah MAGGI Cukup Rasa.

6. Kacau sekali dua dan terus padamkan api dapur.

JANGAN LUPA UNTUK MENYERTAI AMIE'S 1st GIVEAWAY.
HADIAH RANTAI TANGAN MUTIARA SEDANG MENANTI ANDA!
TARIKH TUTUP PENYERTAAN PADA 7 APRIL 2014.
UNTUK LEBIH LANJUT SILA KLIK


Pegedil Udang Sedap!

Selamat pagi semua.....
Dah sarapan ke belum? Jom jamu mata dengan Pegedil Udang di bawah ini.
Oh yaaa... sebelum menjamu selera, pastikan anda yang berminat untuk menyertai Amie's 1st Giveaway klik DI SINI untuk daftar nama sebagai peserta dan letak blog link sekali bagi memudahkan Amie membuat penilaian.
Untuk hadiah istimewa  dan tarikh tutup penyertaan,  sila klik DI SINI


Bonda kata.... pegedil pun boleh dijadikan hidangan untuk sarapan.
Sebelum ini Amie pernah buat Pegedil Udang DI SINI.


Resepi : Begedil @ Pegedel Udang
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 1/2 cawan kentang goreng yang telah dilenyek halus
1 cawan hirisan udang basah
1/2 cawan bawang goreng
1/2 cawan hirisan daun bawang dan daun sup
garam / gula / perasa pilihan secukup rasa
sebiji telur
minyak

Bahan tumbuk:
1 sudu makan udang kering - rendam hingga kembang
1 sudu teh lada putih

Cara:
1. Masukkan kentang lenyek ke dalam mangkuk, disusuli dengan udang basah, bawang goreng, hirisan daun bawang dan daun sup serta perasa.
2. Gaul sebati dan kepal-kepalkan mengikut saiz yang dikehendaki. Kemudian bulatkan dan tekan hingga menjadi agak leper. Kemaskan bahagian tepinya supaya menjadi bulat dan rata.
3. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali.
4. Sementara itu pecahkan sebiji telur dan pukul ringan.
5. Setelah minyak panas, masukkan salutkan begedil dengan telur dan terus goreng dengan api sederhana kuat. 
6. Goreng sehingga begedil masak atau kelihatan kuning kecoklatan.
7. Angkat dan toskan.


Kenapa suka sangat buat Pegedil Udang?
Sebaaaabbbb...... Pegedil Udang Sedap!

Tips: Jangan letak udang basah berlebihan sebab nanti air udang akan keluar menyebabkan kentang lenyek jadi lembik dan kemungkinan apabila digoreng, pegedil akan pecah!

Khamis, 27 Mac 2014

Rantai Tangan Mutiara Antara Hadiah Amie's 1st Giveaway : Debar Menanti Kelahiran!

Alhamdulillah.....
Hari ini Amie paparkan antara hadiah istimewa yang Amie sediakan untuk rakan-rakan yang sudi menyertai Amie's 1st Giveaway : Debar Menanti Kelahiran!
Antara hadiahnya termasuklah rantai tangan mutiara seperti di bawah ini......


Cantik tak?



Lawa tak?
Wokeeeyyy.... kita tengok satu-satu di bawah ini .


Hitam putih......


Yang cukup menawan!


Suka yang ini?

Atau yang ini?

Ada lagi ni.....


Kalau nak dapat rantai tangan mutiara ni kenalah cepat-cepat sertai Amie's 1st Giveaway : Debar Menanti Kelahiran!



Bukan rantai tangan mutiara saja tau.... mana tahu rezeki anda akan dapat kain sarung batik halus Seni Borneo......


... dan dicelah lipatannya ada rantai tangan mutiara! 


Fridge magnet pun ada.... semuanya oleh-oleh dari Negeri Di Bawah Bayu!



Jadi... jangan lepaskan peluang anda untuk menyertai Amie's 1st Giveaway!


Hadiah istimewa sedang menanti anda!

Untuk anda yang baru saja mengetahui segmen ini sila klik DI SINI untuk mengetahui syarat penyertaan dengan lebih lanjut. 



Jangan lupa sertakan blog link anda DI SINI untuk memudahkan Amie menjejaki semula bagi menilai penyertaan anda!


CEPAT! Siapa cepat menghantar penyertaan memungkinkan anda mendapat hadiah-hadiah di atas!
JADI... JANGAN LENGAHKAN MASA UNTUK MENYERTAINYA SEBELUM 31 MAC 2014..... OPPPPPSSS!!! DILANJUTKAN SEHINGGA 7 APRIL 2014!

Sabtu, 22 Mac 2014

Amie's 1st Giveaway : Debar Menanti Kelahiran

Entri ini Amie tujukan khas buat semua pengunjung  Amie's Little Kitchen yang sangat dihargai.
Barangkali paparan kali ini menyimpang jauh dari dunia masakan.... sebab tidak berkaitan dengan resepi, tapi apa salahnya jika sesekali Amie ingin berkongsi kisah keluarga bersama rakan-rakan blogger kaaannn...


Amie ingin merehatkan diri dan minda buat seketika bersama keluarga sempena cuti sekolah yang baru bermula kelmarin. Ini bermakna tiadalah paparan resepi untuk beberapa hari akan datang. Kebetulan pula hari ini 22 Mac 2014 genaplah putera kesayangan kami Mohamad Firdaus berusia 1 tahun. Rasanya baru kelmarin Amie keluar dari hospital membawa si kecil kami seperti gambar di atas. Syukur Ahamdulillah... Mohamad Firdaus adalah kurniaan Ilahi yang tidak ternilai harganya buat kami sekeluarga.

Buat bloggers yang terdiri daripada kaum ibu, apa kata kita luangkan sedikit masa untuk kongsi pengalaman suka atau duka semasa melahirkan cahayamata. Syarat penyertaannya sangatlah mudah seperti di bawah ini:

1. Terbuka kepada semua follower Amie's Little Kitchen, termasuk yang baru jadi follower.
2. Buat entri bertajuk : Amie's 1st Giveaway : Debar Menanti Kelahiran
3. Copy paste gambar di atas dan linkkan ke blog Amie.
4. Ceritakan pengalaman anda semasa melahirkan, tidak kiralah anak pertama, kedua atau ketiga atau seterusnya.
5. Kalau ada gambar, bolehlah kongsikan bersama.
6.Tarikh tutup penyertaan pada 7 April 2014.
7. Hadiah istimewa sedang menanti anda! Sila klik DI SINI untuk melihat hadiah yang ditawarkan! Jangan lupa, ... tuliskan warna kegemaran anda pada ayat paling akhir entri anda ( SAYA SUKA WARNA ...........)  supaya hadiah yang bakal diterima mempunyai warna kesukaan anda!
8. Jangan lupa, daftar nama anda serta blog link anda sebagai peserta di kotak komen di bawah ini untuk memudahkan Amie menilai penyertaan anda.

Di bawah ini Amie coretkan pengalaman ketika Debar Menanti Kelahiran putera bongsu kami setahun yang lalu:

Menanti kelahiran Mohamad Firdaus merupakan detik yang sungguh mendebarkan buat Amie. Barangkali di sebabkan jarak di antara Mohamad Firdaus dengan abangnya yang 'bongsu tidak jadi' itu, Mohd. Fairuz Zamri 11 tahun lamanya! 

Kelahiran Mohamad Firdaus lebih awal dari jangkaan. Mengikut tarikh yang diberi, kelahirannya pada 4 April 2013, tapi Mohamad Firdaus ingin lahir pada tarikh kelahiran yang sama dengan Tan Sri Dato Amar Dr P. Ramlee pada 22 Mac 2013. 

Pada 21 Mac 2013, Amie ke sekolah seperti biasa.  Disebabkan sudah ada sedikit lelehan cecair jernih sejak 2 hari lepas, Amie minta izin dari pihak sekolah untuk membuat pemeriksaan di hospital walaupun belum ada tanda-tanda sakit bersalin. Doktor mengesahkan belum ada bukaan di pintu rahim, dan katanya bayi dalam kandungan dalam keadaan normal. Melihat Amie tunjuk muka gelisah, doktor kata mungkin kalau Amie bersetuju untuk 'diinduce', kelahiran akan dijangka berlaku pada keesokan hari. Alamak! Amie tidak pernah melalui pengalaman melahirkan secara 'induce' sebelum ini.... dan dengarnya kesakitan yang dialami berlipat ganda dari kesakitan bersalin cara biasa! Apa pun, Amie pasrah sebab Amie lebih bimbangkan kandungan berbanding diri Amie sendiri. 

Dipendekkan cerita Amie pun dimasukkan ke wad pada pukul 11 pagi, dan menjelang pukul 3 petang doktor yang memeriksa Amie pada sebelah pagi tadi datang semula untuk memasukkan ubat, dan katanya kalau tidak ada sebarang masalah, Amie akan bersalin keesokan harinya. Namun.... Amie belum berasa sakit lagi! Sehingga ke malam.... dan ketika tengahmalam, Amie bertanya kepada jururawat yang bertugas, kenapa Amie tidak sakit lagi? Kata jururawat tadi, kalau sampai esok pagi belum rasa sakit, ubat dos kedua akan dimasukkan! Tapi katanya, sebaik-baiknya kalau dapat bersalin selepas ubat yang pertama, itu lebih baik!

Oh! Tuhan.... akhirnya menjelang pagi, datanglah rasa sakit itu! Lebih kurang pukul 9 pagi, Amie dibawa masuk ke bilik bersalin, walaupun pada ketika itu jururawat mengesahkan bukaan pintu rahim baru berukuran 3cm. Amie ditinggalkan bersendirian di bilik bersalin tetapi ketika seorang jururawat datang semula ke bilik, Amie meminta supaya dia memeriksa bukaan pintu rahim disebabkan Amie rasa sudah tidak dapat menahan sakit. Setelah diperiksa, Amie terus bertanya.

Amie : Berapa cm sudah Nurse?
Nurse : Tadi di wad, berapa cm Nurse bilang?
Amie  : 3 cm.
Nurse  : Samalah... 3 cm. Jangan cuba-cuba mengejan ya  (meneran).
Nurse tadi pun terus tinggalkan Amie. Amie terpinga-pinga. Mustahil baru 3cm setelah hampir 1 jam Amie berada di bilik bersalin sedangkan sakit yang dialami sudah begitu kerap!

Ya Allah! Habis segala doa-doa yang terpampang di dinding bilik bersalin Amie baca berulang-ulang tapi tidak juga datang Nurse tadi. Pada ketika ini, Amie berteriak agar suara Amie didengar oleh mana-mana jururawat yang berada di luar... dan tiba-tiba muncul 2 orang jururawat menerpa ke arah Amie.

Nurse I : Kenapa? Ada apa Mama?
Amie    : Saya rasa saya dah nak bersalin.
Nurse I  : Tidak boleh. Mama baru 3 cm.
Amie    : Tapi saya rasa saya nak meneran sekarang.
Nurse II : Tidak boleh Mama. Mesti tunggu sampai 10 cm.
Amie    : Oh! Saya tak boleh menahan.... saya nak teran sekarang!
Nurse II : Tak boleh... tak boleh! Kami belajar memang kena tunggu sampai 10 cm (Nurse II membuat ukuran 10cm dengan mencantumkan kedua-dua cari telunjuk dan ibu jarinya.
Amie    : Saya tak boleh tunggu lagi....
Nurse I kelam kabut memeriksa bukaan pintu rahim dan katanya:
Nurse I : Ya... Allah! Sudah 8cm... (benarkah atau lebih dari itu?). Bolehlah teran sekarang...
Amie    : Allahu Akbar.......!!!!

Syukur Alhamdulillah....nafas panjang & dalam sekali Amie tarik, dan dengan sepenuh tenaga melepaskannya dengan membayangkan insan kecil haruman syurga muncul di depan mata! Oh! Terasa amat merdu tangisannya yang pertama. Setelah dibersihkan dan dilengkapi dengan pakaian, si kecil diserahkan.... kepalanya di atas lengan Amie. Terasa ingin mengalir air mata kegembiraan... tapi Amie tahan dengan mengukir senyum merenung mata si kecil yang bulat memandang, sambil Amie bersuara...

Assalamualaikum sayang.... selamat datang ke dunia! 
Dan kemudian, Amie susukan si kecil.

Dua hari kemudian, ketika itu Mohamad Firdaus sedang tidur, dikelilingi oleh semua abang-abangnya... Mohd. Faridzuan, Mohd Fuad & Mohd. Fairuz Zamri... Encik Suami berkata:

Encik Suami: Entah kenapa, lebih kurang pukul 10.30 (ketika itu Amie sedang 'berkelahi' dengan jururawat), perasaan Baba rasa lain sangat bila teringat Mummy di bilik bersalin.
Amie : Macamana perasaan tu?
Encik Suami : Tak tahu nak cakap... cuma Baba tak putus-putus memohon pada Allah ... ya Allah, kenapa lain betul perasaan ini? Kalaulah isteriku ada berbuat salah padaku, Kau ampunilah segala dosanya.... tak tahu kenapa sampai Baba cakap begitu.
Amie : Kuat sungguh gelombang minda Baba ya... Baba seolah-olah tahu waktu tu kita rasa dah nak mati!
Encik Suami : Kenapa? 
Amie : Sakit yang paling sakit orang kata sakit nak bersalin... tapi kalau tak dibenarkan bersalin bukankah dah nak mati namanya?
Memang benar... sewaktu menahan sakit sebab tidak dibenarkan meneran itu Amie dah tak ingat yang lain kecuali menyebut nama Allah... nama Bonda dan mohon ampun dari Encik Suami sekiranya Amie ada berbuat salah kepadanya! Dan sesaat kemudian Amie 'berteriak' memanggil jururawat di luar! Subahanallah.... hidup ini penuh keajaiban!

Memang! Proses bersalin itu sangat sakit! Sangat derita... tapi bahagia akhirnya! Tambah bahagia bila Encik Suami sering berkata terutama sebelum tidur: Terima kasih... terima kasih sanggup mengandung dan lahirkan anak-anak Baba!

Dendeng Daging Rusa

Pernah sekali dulu Amie masak Dendeng Daging Rusa, makan bersama Nasi Epal & Kerabu Epal DI SINI. Lepas tu... lama tak buat. Nak cari daging rusa pun bukannya mudah walaupun dikatakan di sini banyak rusa. Kadang-kadang tempat sekilo daging, berbulan baru dapat. 

Jadi, sesekali dapat daging rusa, eloklah diolah lebih istimewa sedikit. He heheh.... istimewa tak olehan Dendeng Daging Rusa? Dendeng ni  pada Amie, sedap diratah-ratah je... 


Resepi: Dendeng Daging Rusa
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg daging rusa - bahagian peha
30 biji bawang merah - 300 gram - hiris nipis
sekepal asam jawa - bancuh dengan 50ml air
garam dan gula secukup rasa
minyak

Bahan A:
3cm halia - kisar
3 biji bawang putih - kisar
4 sudu besar kicap pekat manis

Bahan B: (kisar)
15  biji cili kering
10 biji cili merah
4 biji bawang besar

Bahan C: (sangai dan tumbuk / kisar)
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1 sudu makan ketumbar

Cara:
1. Hiris daging rusa secara melebar dan nipis. Rebus hingga empuk dan toskan airnya hingga kering.
2. Tumbuk atau ketuk daging rusa sehingga separuh hancur.
3. Gaul daging tadi bersama Bahan A. Perap seketika.
4. Goreng daging yang diperap tadi tetapi jangan terlalu garing. Angkat dan ketepikan.
5. Panaskan minyak dan goreng bawang sehingga garing.
6. Masukkan Bahan B dan tumis dengan api perlahan sehingga pecah minyak.
7. Masukkan air asam jawa. Masak lagi sehingga kelihatan kering.
8. Masukkan daging rusa dan perasakan dengan garam dan gula. 
9. Masukkan bahan C dan gaul sebati.
10. Daging Rusa Dendeng siap untuk dihidangkan. 

Jumaat, 21 Mac 2014

Selamat Ulang Tahun Anak-Anak Didikku...

Pagi tadi sewaktu bersiap-siap untuk ke sekolah, Fuad tegur...
Besarnya kek untuk adik.... (merujuk Firdaus yang akan menyambut ulang tahun pertamanya esok).
Amie diam-diam saja dan letakkan kotak kek di dalam kereta.
Oooo... Mummy nak sambut birthday adik di sekolah rupanya... kata Fuad lagi.


Sebenarnya kek itu untuk kawan-kawan sekelas Fuad. Amie saja ambil kesempatan pada pagi ini untuk meraikan ulang tahun 7 orang anak murid yang lahir dari Januari, Februari & Mac.


Ketika waktu rehat, Amie datang ke kelas di bawah jagaan Amie, dan ketika itu mereka sedang menceriakan kelas dengan hiasan bendera.


Strawberry Chocolate Cake ini untuk sambutan ulang tahun Nur Farina Amalia, Mohd Afiq Faiz, Amanda, Yong Mei Yee, Byvely, Natasha Wanis & Mohd. Riskiono. Semuanya berusia 16 tahun.


Walaupun hanya sebiji kek, tapi nampak sungguh meriah. 
Elsen sedang membantu menghidupkan api lilin. Ada 7 batang semuanya.


Selamat Ulang Tahun buat Amanda, Natasya Wanis, Mohd Riskiono dan Yong Mei Yee. Kebetulan hari ini 21 Mac 2014 hari ulang tahun Mohd Riskiono.


Hanya 4 orang? Kenapa tidak 7? Sebenarnya Byvely & Afiq mengikuti pertandingan ragbi. Manakala Nur Farina Amalia pula tidak hadir ke sekolah.


Moga kalian bakal menjadi pelajar cemerlang... menyumbang bakti kepada negara dan bangsa. Kalian bakal pemimpin pada masa akan datang, dan aset negara yang tidak ternilai....


Terima kasih Chaterine kerana pantas memotong dan membahagi kek untuk kawan-kawan kelas.


Kek habis licin.... syukur Alhamdulillah bila mereka kata sedap! 



Selamat bercuti!
Bertemu kembali pada 31 Mac 2014 nanti!