ADSENSE

Jumaat, 28 Februari 2014

Ayam Masak Kari Pakistan

Bila melihat seekor ayam bulat depan mata, tiba-tiba teringat resepi Ayam Masak Kari Pakistan yang pernah Amie cuba hasil ehsan kiriman suara dari orang jauh... Kak Maria Hakem nun di Cardiff! Memang sedikit pun tak rasa muak disebabkan tiada penggunaan santan atau sebarang susu cair, cuma lebihkan bawang besar dengan tomato dan masak sampai hancur lunyai!


Kali ini Amie cuba kurangkan penggunaan daging ayam tapi tetap gunakan kuantiti bahan masakan lain yang sama sebab Amie ingin lebihkan kuah untuk dicicah dengan roti!



Resepinya bolehlah klik DI SINI. Ramai teman blogger sudah mencuba resepi ini, dan bukannya hanya sekali malah ada yang sampai dua atau tiga kali! Maknanya memang sedaplah tu kaaannn.... sekali lagi terima kasih buat Kak Maria Hakem... moga tambah-tambahlah rezeki di negara orang ye Umie Maria cayaaaang!


Resepi : Ayam Masak Kari Pakistan
Sumber : Kak Maria Hakem
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - potong 16 bahagian - kali ini Amie gunakan 1/2 ekor ayam sahaja (1kg)
4 biji bawang besar - cincang
4 biji tomato merah - cincang
1 sudu makan halia kisar
1 sudu makan bawang putih kisar
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu makan serbuk cili
1 sudu teh serbuk ketumbar
2 cawan air
garam
1/2 cawan minyak
garam masala - jika suka (tak bubuh pun tidak apa - Amie tidak bubuh)
hirisan cili padi dan daun ketumbar untuk hiasan

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar cincang hingga kekuningan.
2. Masukkan tomato cincang dan teruskan tumisan hingga sebati.
3. Tambahkan halia dan bawang putih kisar, serbuk cili serta serbuk kunyit.
4. Kacau hingga sebati dan masukkan air. Biarkan bahan tumisan masak sehingga bawang dan tomato hancur. (Menurut Kak Maria, menumis bahan ini boleh memakan masa selama 1 jam!)
5. Masukkan ayam dan gaul rata. 
6. Tidak perlu tambah air kerana daging ayam akan mengeluarkan air. Perasakan dengan garam (Amie tambah sedikit serbuk pati ayam).
7. Kacau sebati dan masak sehingga kuah kering. (sebaiknya jangan sampai kering).
8. Hidangkan bersama taburan cili padi hiris dan daun ketumbar.


Akhirnya tertunailah hajat hati nak makan roti cicah sama Ayam Masak Kari Pakistan! Kata Encik Suami: Terima kasih! Masakan ni sedap!

Selasa, 25 Februari 2014

Lamb Masak Black Pepper

Mohon maaflah kepada rakan-rakan yang sentiasa sudi berkunjung ke dapur Amie.... bukan apa... sejak akhir-akhir ini hanya hidangan lauk pauk saja yang mampu Amie kongsikan. Maklumlah, hidup kita yang sentiasa sibuk seperti burung: keluar awal pagi sebelum matahari terbit, dan pulang ke rumah menjelang petang menjadikan aktiviti masak-memasak semakin terhad. Memikirkan blog masakan kesayangan Amie ini akan ketandusan menu, Amie fikirkan baiklah kongsi apa saja yang sempat Amie masak terutama lauk pauk sebagai air tangan yang wajib Amie sediakan setiap petang.


Biasanya Encik Suami, Firdaus dan Fairuz akan sampai ke rumah menjelang Maghrib, antara pukul 6.10 hingga 6.20 petang. Fuad pula selepas tamat sesi belajar sebelah pagi akan terus ke kelas tuisyen menjelang pukul 2 petang. Dalam keadaan ini, biasanya Amie terpaksa bawa Fuad makan di kedai, dan kalau Encik Suami berkesempatan datang, kami akan makan bersama-sama. Sebelah malam pula, menjelang pukul 7 anak-anak akan keluar belajar mengaji Quran, dan ada malam-malam tertentu Fuad menghadiri kelas tuisyen sehingga pukul 10 malam. Jadi, kenalah Amie masak nasi dan siapkan semuanya sebelum pukul 6 petang atau sebelum anak-anak sampai ke rumah. Maklum sajalah.... kalau dah Firdaus sampai rumah, memang asyik nak susu cap gantung!
Wokeeeyyy....
Kita cerita tentang Kambing Masak Black Pepper, salah satu menu yang disukai anak-anak kami terutamanya Fuad! Seperti biasa, kalau Fuad mengadap hidangan kegemarannya, dialah orang terakhir meninggalkan meja makan seperti petang tadi.... sehingga agak terlewat untuk ke kelas tuisyen!


Resepi : Kambing  (Lamb) Masak Black Pepper
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
700 gram daging kambing - potong ikut suka
4 biji kentang - kupas kulit dan potong dadu - goreng hingga masak dan ketepikan
3 ulas bawang putih - cincang
5 biji bawang merah - cincang
1 inci halia - hiris halus 
1/2 biji capsicum merah - potong dadu
1/2 biji capsicum kuning - potong dadu
1/2 biji capsicum hijau - potong dadu
1 sudu teh lada putih - tumbuk kasar
1 sudu teh lada hitam - tumbuk kasar
3 sudu makan sos lada hitam
2 sudu makan kicap manis
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh perencah MAGGI Cukup Rasa
2 cawan air
minyak



Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, bawang merah dan halia hingga harum.
2. Masukkan daging kambing dan gaul sebati. Tutup kuali dan biarkan sehingga air daging keluar.
3. Masukkan sos tiram, sos lada hitam, kicap, lada hitam dan lada putih tumbuk. 
4. Setelah digaul rata, tambahkan air dan tutup kuali sekali lagi. Masak dengan api sederhana panas, dan biarkan sehingga daging kambing empuk.
5. Buka penutup, dan masukkan kentang goreng, capsicum merah, kuning dan hijau serta perencah MAGGI Cukup Rasa.
6. Gaul beberapa kali dan terus padamkan api dapur.

Sabtu, 22 Februari 2014

Bunga Betik Masak Lemak Cili Padi

Amie mula belajar masak dan makan sayur dari pokok betik semenjak berkahwin dengan Encik Suami. Rupa-rupanya banyak kegunaan buah betik muda, mengkal, pucuk betik sehinggalah ke bunga betik. Biasanya keluarga Encik Suami masak pucuk betik serta bunganya bercampur dengan jantung pisang serta pucuk ubi, disatukan menjadi sayur lodeh! Rasanya Amie belum pernah kongsikan resepi masak sayur lodeh cara keluarga sebelah Encik Suami dalam blog. In shaa Allah, ada kesempatan Amie akan paparkan juga. 
Suatu ketika dulu Amie pernah paparkan resepi bunga betik masak tumis dengan udang kering, dan kali ini Amie kongsikan pula resepi Bunga Betik Masak Lemak Cili Padi. Bagi yang kurang suka rasa pahit bunga betik, bolehlah rebus dengan asam keping atau daun senduduk, tapi Encik Suami lebih suka rasa pahitnya... jadi Amie celur saja dalam air mendidih. Maklumlah.... yang pahit itu boleh jadi ubat, hilang atau kurang pahitnya tentulah khasiatnya juga ikut pergi!


Resepi : Bunga Betik Masak Lemak Cili Padi
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cekak tangkai bunga betik - lurutkan bunganya dari tampuk - celur seketika dan toskan airnya
2 cawan pati santan
1 sudu teh serbuk kunyit
1 batang serai - diketuk
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
 5 biji bawang merah
15 biji cili padi - boleh tambah atau kurangkan ikut pedas yang dikehendaki
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang

Cara:
1. Satukan bahan tumbuk bersama serai, serbuk kunyit, dan pati santan serta bunga betik di dalam periuk.
2. Masak dengan api sederhana panas.
3. Setelah kelihatan buih-buih halus di tepi periuk, kacau selama 2-3 minit.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.


Asam Pedas Ikan Patin ... resepi Bonda Mentuaku!

Pertama kali  MIL melihat Amie hidangkan asam pedas kepala ikan tenggiri untuk makan tengahari di rumahnya selepas beberapa bulan jadi menantunya, beliau terus berkata.... oooooo begini rupanya asam pedas masakan orang negeri (bukan bermkasud orang Negeri Sembilan, tetapi merujuk kepada penduduk yang tinggal luar dari Pulau Cocos-Keeling, tempat kelahirannya). Amie pun tertanya-tanya dalam hati.... salahkan masakanku ini atau ada versi asam pedas yang lain? Akhirnya terjawab juga persoalan yang mengganggu minda ketika itu bila suatu hari MIL mengatakan ingin masak asam pedas ikan baung. Jadi, Amie pun dapat ilmu masakan asam pedas yang agak berbeza dengan masakan asam pedas yang biasa kita masak! Ternyata masakan asam pedas MIL sangat ringkas dan mudah sekali. MIL hanya gunakan beberapa biji cili padi, sedikit belacan, bawang putih dan bawang merah, sedikit halia dan juga serai serta asam jawa. Warna kuahnya juga sudah tentulah berbeza dengan kuah asam pedas yang biasa kita masak! Unik bukan? Walaupun namanya sama tapi cara olahan dan bahannya juga sedikit berbeza.  Kini, hampir 8 tahun MIL meninggalkan kami, namun Amie masih boleh mengingat dengan jelas cara MIL masak asam pedas. Kadang-kadang sewaktu kami berkunjung ke kampung menziarahi FIL, Amie dapati FIL masak asam pedas ikan baung atau ikan patin dan adakalanya ikan lawang. Caranya sama seperti yang MIL masak. Hari ini.... sudah lebih 2 tahun FIL pula yang meninggalkan kami. Masakan asam pedas mereka tidak Amie biarkan begitu saha, hilang bersama pemergian kedua-duanya, sebaliknya Amie cuba usahakan menjadikannya sebagai salah satu koleksi masakan kami.


Asam Pedas Ikan Patin resepi MIL memang diterima baik keluarga kecil kami. Kalau dihidangkan ikan patin, Fuadlah orang terakhir yang meninggalkan meja makan! Memang Fuad cukup suka dengan ikan patin. Di bawah ini Amie kongsikan resepi Asam Pedas Ikan Patin cara Bonda mentua Amie ye...

Resepi : Asam Pedas Ikan Patin
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg ikan patin - bersihkan dan potong ikut saiz & cita rasa masing-masing
1 batang serai - diketuk
2 keping asam gelugur - resepi asal MIL gunakan asam jawa
3 cawan air
minyak
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
10 biji cili padi - boleh tambah jika suka lebih pedas
3 ulas bawang putih
 biji bawang merah
1/2 inci halia
1/2 inci belacan


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk serta serai hingga naik bau.
2. Masukkan air, asam keping serta serai dan biarkan mendidih.
3. Setelah kuah mendidih, masukkan ikan patin dan biarkan sehingga masak antara 7-10 minit.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Padamkan api dapur.

Ahad, 16 Februari 2014

Ikan Goreng Berempah

Jom cuba masak Ikan Goreng Berempah! Fuad & Fairuz kata sangat sedap! Jadi... kita pun teruslah mengembang sebesen he heheheeh.....
Apa pun terima kasih untuk Chef Sarji kerana rajin membukukan resepi Masakan Mamak yang sememangnya cukup mudah  untuk dicuba dan sangat menyelerakan ketika dinikmati!


Resepi : Ikan Goreng Berempah
Sumber : Masakan Mamak oleh Chef Sarji

Bahan A:
8 potong ikan tenggiri - dipotong bulat 1/2 inci
1 tangkai daun kari

Bahan B : dikisar
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1/2 sudu teh serbuk jintan putih
3 kuntum bunga cengkih
3 cawan minyak masak
1/2 sudu teh garam - Amie tambah


Cara:
1. Satukan Bahan A dan Bahan B kecuali minyak masak di dalam mangkuk. Gaul dengan ikan hingga sebati.
2. Perap di dalam peti sejuk selama 20 minit.
3. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing dengan api sederhana.

Isnin, 10 Februari 2014

Kuey Teow Goreng Pedas & Secawan Kopi Tenom

Entri sebelum tidur.... sepiring Kuey Teow Pedas & Secawan Kopi Tenom. Atas permintaan Encik Suami dan anak-anak yang teringin makan kuey teow goreng, Amie pun usahakan juga memasaknya dengan apa sahaja bahan yang boleh diolah. Sebenarnya petang tadi kami sekeluarga makan di luar, dan kemudian sama-sama mengambil Firdaus di kampung, tapi bila dah malam Encik Suami & anak-anak kata lapar pulak! 


Teringin Mee Goreng Pedas tempohari yang kata anak-anak sedap, jadi untuk kuey teow goreng kali ini pun Amie gunakan lebih cili kisar! Sudahlah pedas... ditambah pula dengan kopi panas! Lagilah meleleh ya... Untuk resepi Kuey Teow Pedas ini Amie kisar cili kering bersama bawang dan juga udang kering. Amie juga tambahkan sos lada hitam dalam resepi ini. Tak kisahlah kan, bubuh apa pun... yang penting rasanya sedap dan boleh diterima keluarga.


Resepi : Kuey Teow Goreng Pedas
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg kuey teow - bilas dan toskan
20 ekor udang kertas - bersihkan dan belah belakang
3 tangkai sayur sawi - potong batang & daun
1/2 batang lobak merah - hiris kecil-kecil
5 batang sosej - potong serong
1 keping fish cake - potong dadu
1 cawan taugeh
2 sudu makan sos lada hitam
1 sudu makan sos tiram
3 sudu makan kicap manis
2 sudu makan sos tomato
1 sudu makan perencah MAGGI Cukup Rasa
2 sudu makan jus limau nipis
minyak

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 genggam udang kering


Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
2. Masukkan udang kertas, lobak merah, sosej, fish cake dan batang sawi. Gaul rata.
3. Masukkan sos tiram, sos lada hitam, sos tomato, dan  kicap manis.
4. Setelah kesemua bahan tumisan masak, masukkan kuey teow dan sayur sawi. Gaul beberapa kali.
5. Masukkan taugeh, dan perencah MAGGI Cukup Rasa.
6. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis, dan gaul sekali lagi.
7. Padamkan api dapur.


Ahad, 9 Februari 2014

Ikan Layar Masak Lada Putih, Terasi & Sayur Tumis Campur

Agak lama juga Amie tak masak 'BELACAN'... bukannya buat belacan tau! Belacan yang Amie maksudkan di sini ialah sejenis masakan keluarga Encik Suami dan masyarakat kampungnya. Tapi.... Encik Suami betulkan istilah 'BELACAN'  tadi kepada 'TERASI'. Nanti boleh tengok resepi TERASI di bawah ini ya...


Hidangan Ikan Layar Masak Lada Putih memang hidangan yang biasa Amie temui kalau berkunjung ke kampung ketika MIL & FIL masih ada. Amie belajar dari MIL dan masakan ini sangat digemari oleh semua anak kami. Resepinya mudah saja, hanya memerlukan beberapa bahan untuk menumis ikan layar. MIL gunakan banyak lada putih, jadi memang terasalah 'kepedasannya' itu!



Resepi : Ikan Layar Masak Lada Putih
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg isi ikan layar - potong ikut suka
minyak
1 sudu makan pati asam jawa - bancuh dengan 1 cawan air
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci halia
1 sudu makan lada putih

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan ikan layar dan gaul rata dengan bahan tumis.
3. Tambahkan air asam jawa, garam / perasa pilihan.
4. Masak dengan api sederhana sehingga ikan masak dan terbit minyak.
5. Padamkan api dapur.



Resepi TERASI @ BELACAN ini pernah Amie paparkan DI SINI dan DI SINI. Untuk memudahkan rakan pengunjung jika ingin mencuba, Amie kongsikan resepinya di bawah ini.


Resepi : Terasi
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 tin kecil sardin - toskan sosnya, dan hancurkan isi sardin
1 biji telur 
15 biji cili padi 
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 cm belacan
secubit garam / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Tumbuk cili padi bersama bawang putih, bawang merah dan belacan hingga lumat di dalam lesung.
2. Masukkan isi sardin bersama secubit garam dan perasa pilihan.
3. Pecahkan telur dan gaul sebati bersama bahan di dalam lesung.
4. Panaskan minyak dan bentuk mengikut acuan sudu atau ikut citarasa untuk menggoreng adunan tadi.
5. Goreng hingga masak.
6. Ketika menghidang perahkan jus limau kasturi di atas TERASI tadi.



Sayur Tumis Campur di atas ini bukan dari mana-mana resepi, tapi Amie sekadar ingin menghabiskan stok sayur-sayuran. Jadi Amie pun campur sajalah mana yang boleh!

Resepi : Sayur Tumis Campur
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 batang kacang buncis - bersihkan dan hiris serong
2 biji terung Taiwan - potong bulat - goreng hingga layu dan ketepikan
1/2 batang lobak merah - potong memanjang
minyak
1 sudu makan sos tiram
perencah MAGGI Cukup Rasa

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 genggam udang kering

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
2. Masukkan lobak merah dan kacang buncis. Gaul sebati.
3. Setelah kacang buncis berubah warna, masukkan pula terung yang telah digoreng tadi.
4. Perasakan dengan sos tiram dan sedikit perencah MAGGI Cukup Rasa.

Sayap @ Kepak Ayam Goreng ... yang mudah & ringkas!

Sesekali bila Encik Suami bawa pulang sayap @ kepak ayam, tak ada lain resepi yang Amie fikirkan. Goreng sajalah.... Potong sayap jadi dua, gaul dengan beberapa jenis bahan pemerap, kemudian biarkan beberapa minit ... lepas tu goreng. Senang kerja kaaaannn...


Resepi : Sayap @ Kepak Ayam Goreng
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
7 ketul sayap ayam - potong 2
1 sudu makan kicap manis
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh perencah MAGGI Cukup Rasa
1 batang serai - diketuk
2 sudu makan tepung jagung
2 sudu makan tepung gandum
minyak

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
1 sudu teh lada putih
1 sudu teh ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup


Cara:
1. Perap sayap @ kepak ayam dengan kesemua bahan di atas kecuali minyak selama 20 minit.
2. Goreng gunakan api sederhana panas.
3. Setelah nampak warna kuning keemasan, angkat dan toskan.


Selamat mencuba!

Sabtu, 8 Februari 2014

Ikan Talapia Goreng & Kerabu Mangga

Ada kalanya kita seperti kehilangan selera untuk makan... mungkin disebabkan rasa letih, kurang sihat atau sudah jemu dengan hidangan yang sama setiap hari. Kalau Amie.... bila rasa kurang berselera, terfikir pula mungkin boleh menikmati hidangan yang mempunyai pelbagai rasa seperti masam, manis pedas dan sebagainya.


Jadi, terhasillah resepi Ikan Talapia Goreng & Kerabu Mangga. Yang seronoknya tu sebab ikan talapia saiz besar, 500 gram seekor, jadi penuhlah isinya!


Mangganya pula petik dari belakang rumah, di tepi dapur... selalu Amie nampak buah mangga ni bergayut di tangkainya menerusi jendela dapur. Nampak tak.... tangkainya dipenuhi kerengga! Orang kata kalau ada kerengga bermakna isinya elok tak berulat. Memang betullah tu..... mangga udang seberat 1.4kg sebiji ini cantik sekali isinya.  Amie gunakan separuh dari isi mangga, dan memang banyaklah hasil kerabu mangganya. Ratah-ratah aje beb! Amie suka sangat kerabu mangga ini sebab rasa mangga yang tidak masam... tapi rasa masam manis tetap ada dengan tambahan jus limau kasturi.


Untuk menambah aroma pada hidangan kerabu mangga ini Amie bubuh hirisan daun ketumbar jawa. Bagi sesiapa yang belum pernah melihat pokok ketumbar jawa, bolehlah lihat gambarnya di atas tu.... baunya sama seperti daun ketumbar biasa.


Resepi : Ikan Talapia Goreng & Kerabu Mangga
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 ekor ikan talapia - bersihkan dan lumur dengan sedikit garam serta serbuk kunyit.
minyak

Bahan untuk Kerabu Mangga:
2 cawan hirisan mangga
3 biji bawang merah - hiris nipis
5 biji cili padi - hiris halus
1 biji cili merah - hiris nipis
3 helai daun ketumbar jawa - hiris -hiris
3 sudu makan jus limau kasturi
garam / gula secukup rasa

Cara:
1. Goreng ikan talapia hingga masak dan ketepikan.
2. Gaul semua bahan untuk kerabu mangga. Biarkan selama 15 minit.
3. Letakkan ikan talapia goreng di atas piring. Bubuh Kerabu Mangga di atasnya.
4. Sedia untuk dihiidangkan.






Jumaat, 7 Februari 2014

Ayam Ungkep .... lauk yang tak pernah menjemukan!

Yang dinamakan 'ungkep' itu ialah semua bahan termasuk garam dan perasa hendaklah dimasukkan bersama menjadi satu supaya mesra dalam keadaan 'diungkep nang njero wajan!
Nota:
Amie terima beberapa pertanyaan daripada rakan-rakan facebook tentang resepi Ayam Ungkep ini. Ada yang bertanya kenapa tak bubuh asam jawa?
Amie pun telefon Bonda untuk meminta kepastian. Kata Bonda, memang boleh bubuh asam jawa tapi kalau tak bubuh pun tidak ada salahnya. Jadi kepada kawan-kawan yang ingin mencuba resepi ini bolehlah bubuh dalam jumlah yang sedikit untuk 'memesrakan' lagu rasa masakan ungkep ini.
Selain itu ada yang bertanya, mestikah bubuh lengkuas, dan jawapan Bonda juga sama seperti di atas. Begitu juga dengan penggunaan daun salam. Ada yang gunakan ada yang tidak. Dan satu lagi ialah pertanyaan penggunaan santan.... beginilah ye kawan-kawan... barangkali lain daerah, lain negeri ada sedikit perbezaan, atau pun versi masakan yang tidak sama namun pada asalnya 'ungkep' ini membawa maksud yang dinamakan 'ungkep' itu ialah semua bahan termasuk garam dan perasa hendaklah dimasukkan bersama menjadi satu supaya mesra dalam keadaan 'diungkep nang njero wajan (tutup rapat-rapat dalam kuali) dan dimasak menggunakan api sederhana.

Boleh rujuk DI SINI dan DI SINI.


Resepi : Ayam Ungkep
Olahan : Amie's Little Kitchen 

Bahan-bahan:
1kg daging ayam - potong 10 - lumur dengan sedikit garam & kunyit - perap seketika
2 batang serai - dititik
3 cawan air
minyak
sedikit asam jawa (pilihan)
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah 
2 sudu makan ketumbar biji 
1 sudu makan jintan manis
1 sudu teh jintan putih
3 cm kunyit hidup
3cm halia
15 biji cili padi 

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan  serai dan daging ayam dan kemudian gaul rata hingga ayam kelihatan layu atau berubah warna.
3. Tambahkan air, garam / gula / perasa pilihan.
4. Tutup kuali rapat-rapat.
5. Kacau sekali-sekala untuk memastikan daging ayam tidak hangus kekeringan atau hancur.
6. Apabila kuah kering (jika suka kuahnya tak perlu masak sampai kering), dan ayam empuk, matikan api.



Singgang Ikan Susu Dengan Nanas

Dah banyak kali Amie paparkan resepi berasaskan ikan susu. Resepi kali ini atas permintaan Encik Suami. Katanya nak makan ikan rebus-rebus warna kuning. Jadi Amie pun buatkanlah Singgan Ikan Susu Dengan Nanas. Rasanya.... macam sedaplah pulak... tapi memang sedaplah tu sebab ikan susu sememangnya sedap berlemak, dan satu lagi sebab perut tengah lapar!


Amie gunakan nanas hampir masak, jadi ada rasa manis-manis dan sedikit masa. Hidangan sebegini memang sesuai benarlah dinikmati waktu tengahari.... ahh! Dengan penuh perasaannya bolehlah hirup kuahnya yang masam manis pedassss....

Resepi : Singgang Ikan Susu Dengan Nanas
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg ikan susu - bersihkan dan potong menjadi 6 bahagian
12 kepingan nanas - Amie gunakan nanas hampir masak
2 biji tomato - belah 2
1 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugur
1 helai daun kunyit - siat
600ml air
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 uls bawang putih
5 biji bawang merah
1 inci kunyit hidup
7 biji cili padi
1/2 inci lengkuas
1/2 inci halia
1 sudu teh lada hitam



Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis kesemua bahan kisar serta serai hingga wangi.
2. Masukkan nanas dan perlahankan api, sehingga keluar air nanas dan nanas menjadi layu.
3. Tambahkan air dan biarkan mendidih. Masukkan asam keping serta ikan.
4. Masak di antara 5-7 minit atau sehingga ikan masak.
5. Masukkan tomato, daun kunyit, garam / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur dan hidangkan panas.


Rabu, 5 Februari 2014

Mee Goreng Pedas.... walaupun pedas tapi sodap!

Entri sebelum tidur.... layan dulu Mee Goreng Pedas yang memang pedas tapi sodap! Saja je buat pedas-pedas! Malas nak masak nasi, Amie buat mee goreng untuk hidangan seisi keluarga. Anak-anak kata mee goreng ini cukup rasa, semua ada... dan sudah semestinya sedap! Bila dah habis licin, sambil angkat piring kosong Fairuz bertanya : Mummy masukkan berapa tan cili? Haaa.... memang sah sungguh pedaslah tu!


Sebenarnya tak tahu nak bubuh nama apa kat resepi mee goreng kali ini. Maklumlah, masak saja apa-apa bahan yang terjumpa dalam peti sejuk. Amie tak ada udang laut, tapi ada 10 ekor udang galah... jadi masuk sajalah... galah pun galahlah! Amie rasa yang buatkan mee goreng ni sedap mungkin Amie bubuh udang kering kisar dan juga sos lada hitam. Bahan itu mungkin yang membuatkan sedikit kelainan rasa di samping perahan sedikit jus limau nipis sebagai sentuhan terakhir. Apa pun, jom kita lihat resepinya di bawah ini:


Resepi : Mee Goreng
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg mee kuning - bilas dan toskan
2 pokok sayur sawi - potong ikut suka
10 ekor udang galah - bersihkan dan belah belakang
1 cawan hirisan sotong
2 cawan hirisan daging ayam
2 sudu makan sos lada hitam
2 sudu makan sos tiram
2 sudu makan sos tomato
3 sudu makan kicap manis
minyak
2 sudu makan jus limau nipis
garam / gula / perasa pilihan - jika perlu

Bahan kisar:
15 biji cili merah
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang



Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan daging ayam dan masak hingga lembut dan kemudian masukkan udang galah.
3. Setelah udang galah bertukar warna, masukkan pula sotong.
4. Masukkan sos tiram, sos lada hitam, dan sos tomato. Gaul sebati dan biarkan hingga kesemua bahan masak.
5. Masukkan sayur sawi, diikuti dengan mee kuning serta kicap manis.
6. Gaul rata dan jika perlu boleh tambahkan garam / gula / perasa pilihan.
7. Renjiskan jus limau nipis sebagai sentuhan akhir.
8. Padamkan api, dan sedia dihidang panas.

Kari Kepala Ikan Ala Mamak

Apa khabar semua rakan-rakan pengunjung Amie's Little Kitchen. Apa agaknya hidangan tengahari ini untuk keluarga yang disayangi. Amie paparkan Kari Kepala Ikan Ala Mamak.... walaupun sudah dua hari berlalu, dah tak ada apa yang tinggal, tapi gambar belum basi lagi! Jom cuba resepi yang memang pasti membangkitkan selera ini.

Walaupun dalam resepi hanya menggunakan kepala ikan, tapi Amie gunakan seekor ikan dari kepala sampai ke ekor! Amie gunakan seekor ikan nyok-nyok seberat 1kg.


Anak-anak tak berminat makan kepala ikan.... kata mereka... apa yang ada pada kepala ikan?


Ha haaaa... jadi Amie dan Encik Suami sajalah yang menikmati kepala ikan! Seronoknya dapat makan mata ikan!
Wokeeeeyyy.... ini resepinya ya!

Resepi : Kari Kepala Ikan
Sumber : Buku Resepi Masakan Mamak (Resepi Ala Gerai) : Chef Sarji

Bahan A:
1 kepala ikan - saiz besar (Amie gunakan 1 ekor ikan)
1/2 cawan asam jawa - bancuh dengan air
1/2 tin susu cair
5 biji bendi
2 biji tomato
2 biji terung - Amie tambah sendiri
1/2 cawan minyak masak
1 sudu makan garam
sedikit gula - Amie tambah sendiri

Bahan B:
2 sudu teh halba
1 sudu teh biji sawi
1 sudu teh jintan manis
1 tangkai daun kari
1/2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang

Bahan C:
4 ulas bawang putih - dimayang
3 biji bawang merah - dimayang
1 1/2 inci halia - Amie hiris halus
2 sudu teh serbuk ketumbar
2 sudu makan jintan manis - Amie gunakan 1 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan jintan putih - Amie gunakan serbuk jintan putih
1 sudu makan serbuk cili 
1 sudu makan serbuk kunyit
1 sudu makan serbuk lada hitam - bancuh dengan 2 sudu makan air panas
1/2 cawan kelapa parut - goreng (sangan) sebentar dan tumbuk kasar


Cara:

1. Panaskan minyak dan tumis Bahan B sehingga berbau harum.

2. Masukkan bahan C dan tumis sehingga berbau harum, kemudian masukkan kepala ikan / ikan.
3. Tutup periuk sebentar supaya air ikan keluar dan masukkan air asam jawa.
4. Masukkan susu, sayur-sayuran dan garam (serta gula).
5. Masak dengan api kecil selama 12 minit.
6. Sedia dihidangkan.