ADSENSE

Jumaat, 31 Januari 2014

Brengkes Ikan Belais

Setelah berusaha mencuba beberapa kali dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, akhirnya.... buat pertama kalinya Encik Suami mengakui Brengkes Ikan Belais yang Amie masak sama rasanya dengan hasil air tangan Allahyarhamah bondanya.  Yuuhuuuu.... Amie sudah lulus melepasi tapisan keutuhan masakan Melayu Cocos!


Wah! Bukan main seronok rasa hatiku! Lepas ni bolehlah lauk begini Amie jadikan hidangan kalau ada majlis keluarga di rumah kami.


Bahan-bahan:
2 ekor ikan belais - bersihkan dan potong 2
3/4 cawan santan pekat - ambil kepala santannya sahaja
1  1/2 sudu makan serbuk kunyit 
2 biji limau nipis - perah jusnya 
garam / perasa pilihan
1/2 cawan minyak

Bahan kisar:
5 biji cili kering 
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
4 sudu makan biji ketumbar 

Cara:
1. Goreng ikan separuh masak - angkat dan ketepikan
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
3. Masukkan serbuk kunyit dan gaul rata.
4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat.
5. Masak sehingga kuah mulai pekat dan keluar minyak. Jangan selalu diterbalikkan ikan kerana isi ikan yang lembut (setengah masak) akan pecah. Gunakan api perlahan.
6. Tambahkan garam / perasa pilihan.
7. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis dan balik-balikkan ikan perlahan-lahan.



Bagi sesiapa yabg tidak biasa makan Brengkes Ikan Belais, tentu akan rasa kelainannya terutama dari segi rasanya yang sedikit masam dan aroma dari rempah ketumbar!



Encik Suami kata tak payahlah hidangkan dengan sayur.... sebab lauk begini saja sudah cukup menyelerakan dimakan bersama nasi panas! Oh......! Tiba-tiba daku teringat Ayam Masak Ungkep yang cukup popular di kampungku.... yang sememangnya enak dimakan bersama nasi tanpa perlu sayur di sisinya.... sebab, sesetengah penggemar Ayam Ungkep mengatakan akan hilang rasa enak lauk ini jika ada lauk lain yang mengganggu!

Khamis, 30 Januari 2014

Itik Peking & Happy CNY untuk teman-teman yang meraikannya....

Jom cuba resepi Itik Peking. Amie ubah suai dari resepi asalnya yang Amie salin dari katalog Tupperware.... entah bila masanya Amie salin, dah lupa! 
Bila dah siap panggang rasa seronok pulak melihat hasilnya... cuma ada sedikit penambahbaikan yang perlu Amie lakukan kalau nak cuba buat lagi pada masa akan datang.... maklumlah sambil memanggang, sibuk pulak siapkan tempahan Mango Casablanca. Amie sebenarnya dah tak ambil sebarang tempahan, tapi Encik Suami minta sangat supaya Amie buatkan untuk tempahan rakan sempena Tahun Baru Cina, sebagai buah tangan. 


Resepi : Itik Peking
Bahan A:
1.5-2kg itik - Amie gunakan 1.8kg itik
1 batang kulit kayu manis
i inci halia - dihiris
1/4 cawan madu
1/4 cawan kicap cair
1 sudu gula
3 kuntum bunga lawang
secubit lada putih  - Amie gunakan 1 sudu teh lada putih tumbuk
2 ulas bawang putih - diketuk
1 cawan tepung jagung + 1/2 cawan air

Bahan B: isi dalam itik
2 ulas bawang putih - dipotong halus
1 inci halia - dipotong halus
1 1/2 sudu garam - Amie gantikan dengan 1 sudu perencah MAGGI Cukup Rasa + 1 sudu makan sos tiram


Cara:
1. Ikatkan tali berjuntai pada leher itik. 
2. Didihkan air secukupnya dalam periuk besar dan masukkan Bahan A kecuali itik dan larutan tepung jagung. Kacau sebati.
3. Masukkan larutan tepung jagung dan kacau hingga pekat - nampaknya bahagian ini Amie gagal sebab Amie bubuh air agak banyak, jadi air didihan tak berapa pekat - lain kali Amie kena kurangkan air.
4. Masukkan itik - oleh sebab tidak diterangkan berapa lama itik dimasak, Amie pastikan daging itik masak -rebus dalam masa  jam.
5. Keluarkan itik dan gantungkan hingga kering.
6. Setelah kering, masukkan Bahan B ke dalam itik.
7. Panaskan Avon Grill Pan pada suhu sederhana - Amie gunakan oven biasa - dan letakkan itik di atas jaring keluli.
8. Panggang setiap sisi selama 30 minit atau sehingga cukup garing.
9. Hidangkan.


Agaknya kalau Amie ada Avon Grill Pan hasilnya kelihatan lebih cantik.... he hehe...ini kira okeylah juga kan! My first Itik Peking!


Sambil merebus & memanggang itik, sambil-sambil menyiapkan Mango Casablanca. Ini sajalah yang larat Amie buat... minta maaf, tempahan lain Amie tak dapat buat. Yang atas tu Mr. Chai punya, dan yang bawah Amirul punya untuk ulang tahun perkahwinan ayahbondanya. Yang tengah-tengah tu Amie buat untuk family...  wooooo... kami sedang tunggu kepulangan bujang sulung kami, Abang Farid dari Labuan. Pada Amie naik kapal terbang sajalah, cepat sampai & tak penat dalam perjalanan tapi lain pula fikiran Encik Suami. Katanya, biarlah anak tu berdikari dan bagi pengalaman baru untuk balik ikut jalan laut & darat. Maknanya terpaksalah Farid naik bot laju dari Labuan ke Kota Kinabalu dan kena ke stesyen bas untuk balik ke Lahad Datu. Bila Amie telefon tadi, Abang Farid sedang makan di KFC bersama rakan kolej, dan rupanya naik feri dari Labuan ke Menumbok dan bukannya naik bot laju dari Labuan ke Kota Kinabalu. Jadi, terpaksalah Abang Farid naik bas 2 jam perjalanan dari Menumbok ke Kota Kinabalu.
Memang Amie dapat bayangkan betapa lama & letihnya Abang Farid dalam perjalanan. Pukul 8 malam nanti barulah bas bertolak dari Kota Kinabalu, dan dijangka sampai ke Lahad Datu antara pukul 3 hingga 4 pagi esok.....

Rabu, 29 Januari 2014

WW : Sedihnya.... kepala dah botak!




Agaknya terkenang rambut lamanya....


Selasa, 28 Januari 2014

Ikan Nyok-Nyok Masak Sambal Cocos

Nampaknya Amie terpaksa ringkas-ringkaskan entri...  memang dah tak boleh nak berlama-lama di depan Mr Lappy. Nak jalan-jalan ke dapur kawan-kawan pun asyik tertangguh-tangguh. In shaa Allah ada kesempatan Amie akan jenguk juga. Bukan apa.... akhir-akhir ini astik sibuk memanjang! Tak dapatlah nak cerita satu persatu kesibukan itu di sini.... nanti tertunda lagi resepi-resepi yang banyak berderet dalam folder!


Kali ini Amie kongsikan sekali lagi menu kegemaran keluarga Encik Suami.... Sambal Masak Cocos, dan Amie gunakan ikan nyok-nyok pulak.
Jika anda inginkan kelainan dalam hidangan, sesekali cubalah resepi yang dibawa oleh keluarga Encik Suami dari Kepulauan Cocos-Keeling ini. Ada keunikan rasa kerana terdapat rempah biji ketumbar dan sentuhan terakhir dengan perahan jus limau nipis!


Resepi : Ikan Nyok-Nyok Masak Sambal Cocos
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan nyok-nyok seberat 1kg - bersihkan dan potong menjadi 5 keping - lumur dengan sedikit garam dan goreng separuh masak - angkat dan ketepikan
1 sudu pati asam jawa - bancuh dengan sedikit air ( atau 1-2 keping asam gelugur)
1/2 cawan perahan jus limau nipis
300ml santan cair
200ml santan pekat
garam / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
20 biji cili kering
1 genggam ketumbar biji
3 biji bawang putih
5 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan bancuhan air asam jawa atau asam keping / gelugur.
3. Tambahkan santan cair dan biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan dan biarkan sebentar.
5. Masukkan santan pekat, garam / perasa pilihan.
6. Biarkan kuah mendidih seketika, dan kemudian tuangkan jus limau nipis.
7. Gaul perlahan, dan padamkan api dapur.

Isnin, 27 Januari 2014

Otak-Otak Udang Campur Ikan

Kali ini Amie cuba buat Otak-Otak udang Campur Ikan pulak. Amie buat tak berapa pedas, cuma gunakan 2 biji cili merah saja. Oleh sebab nak cepat sebab Encik Suami akan pulang dari kerja, dan terus bawa Amie pergi kampung ambil Firdaus jadi Amie pun bungkuslah besar-besar sikit!
Amie gunakan 500 gram isi udang & 500 gram isi ikan (lebih kurang 200 gram isi ikan tenggiri Firdaus punya  untuk bubur he hehehe) dan 300 gram isi ikan pelaling... itu pun dengan kulitnya sekali.


Resepi : Otak-Otak Ikan
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
500 gram isi udang basah yang telah dikisar
500 gram isi ikan yang telah dikisar - Amie gunakan isi ikan tenggiri & pelaling
1 cawan pati santan
1/2 sudu teh pati asam jawa
4 biji telur
garam / gula / perasa pilihan
daun pisang - layurkan
lidi penyemat secukupnya

Bahan kisar:
2 biji cili merah - kalau nak pedas & warna merah tambah lagi cili merah atau cili kering
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 inci kunyit hidup
2 batang serai - ambil isinya yang putih sahaja
1 cm lengkuas
1 sudu makan ketumbar biji

Cara:
1. Satukan kesemua bahan di atas kecuali daun pisang dan lidi penyemat di dalam mangkuk.
2. Gaul hingga sebati dan bungkus di dalam daun pisang - ketebalan isi ikut cita rasa masing-masing - Amie bubuh banyak sikit sebab nak cepat siap.
3. Sematkan lidi di bahagian atas dan bawah bungkusan daun pisang.
4. Panggang hingga masak - Amie panggang dalam oven.
5. Enak dimakan ketika masih panas.


Bukan main suka Fuad bila nampak Amie hidangkan otak-otak ni di dapur... entah berapa keping diratahnya sebaik saja dikeluarkan dari oven!



Bila jengok semula ke dapur.... hanya tinggal daun pembungkusnya saja!
Otak-otak memang sedap! Siapa tak makan rugi tau!

Ahad, 26 Januari 2014

Kacang Bendi Tumis Dengan Udang


Entah apa namanya ni.... sayur kacang bendi atau udang tumis dengan kacang bendi?
Sebab... yang nak makan sayur Amie dengan Encik Suami, yang nak makan udang Fuad & Fairuz. Jadi.... masak sekali harung!


Resepi : Kacang Bendi Tumis Dengan Udang
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
12 biji kacang bendi - cuci dan toskan - buang tampuk dan ekor - hiris ikut suka
1 cawan udang basah siap dibuang kulit
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang & toskan
2 biji cili merah
2 biji bawang putih
3 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya.
2. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
3. Masukkan udang basah dan tumis lagi hingga udang berubah warna.
4. Masukkan kacang bendi dan kacau sebati sehingga kacang bendi masak atau berubah warna.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.

Ikan Layar Masak Taucu

Biasanya kalau ada ikan layar Amie akan masak ikut resepi MIL (Cocos recipe), tapi sesekali nak juga derhaka.... he hehehe... nak tahu sedap tidaknya kalau masak cara lain.
Anak-anak memang suka makan nasi kalau ada ikan masak taucu... jadi cubalah pulak resepi bubuh taucu.
Sodap oooo...
Penggemar tegar ikan layar... sudah tentulah Fuad! Masaklah apa pun.... berselera sekali dia menyuap!


Resepi : Ikan Layar Masak Taucu
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:1kg ikan layar - bersihkan dan potong ikut suka - lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
4 sudu makan taucu manis
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 biji cili merah - hiris kasar
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1 cawan air
gula secukup rasa
minyak

Cara:
1. Goreng ikan layar hingga masak - angkat dan toskan, ketepikan.
2. Tinggalkan sedikit minyak gorengan ikan tadi di dalam kuali.
3. Goreng bawang besar hingga wangi, dan kemudian masukkan hirisan cili merah. Kacau beberapa kali.
4. Masukkan taucu manis, dan air asam jawa.
5. Setelah mendidih masukkan ikan layar.
6. Perasakan dengan sedikit gula.
7. Setelah kuah hampir pekat, padamkan api dapur.


Sabtu, 25 Januari 2014

Bebola Udang.... tak bulat serupa bola tapi sodaaaap!


Sesekali cuba buat bebola udang memang berbaloi-baloi! Rasanya.... ya ampun! Belum sempat pindahkan dari tempat tos minyak, anak-anak sudah copet berketul-ketul!
Kononnya nak buat lauk makan nasi, tapi rupanya anak-anak tak sabar-sabar nak makan begitu saja!
Sambil makan sambil bertanya... lain kali boleh tak Mummy buat lagi?






Amie olah sendiri resepinya seperti di bawah ini:

Resepi : Bebola Udang
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg udang - buang semua kulit & kepala 
2 biji bawang putih - cincang halus
1 labu bawang besar - cincang halus
1/3 cawan cincangan halus lobak merah
1/2 cawan hirisan daun sup & daun bawang
1 sudu teh lada putih - tumbuk
1 sudu makan perencah MAGGI Cukup Rasa
4 sudu makan tepung gandum
2 sudu makan tepung jagung
1 sudu teh baking powder
minyak

Cara:
1. Kisar isi udang - kalau rajin boleh cincang sampai halus.
2. Gaul udang kisar bersama cincangan lobak merah, bawang putih, bawang besar. daun sup & daun bawang, lada putih, perencah,  tepung gandum, tepung jagung dan baking powder.
3. Biarkan selama 10 minit.
4. Untuk menggorengnya bolehlah gunakan sudu atau ambil dengan tangan (buat seperti jemput-jemput atau cekodok).
5. Goreng hingga perang kekuningan atau sehingga masak.
6. Hidangkan bersama sos pilihan - Amie hidangkan dengan sos mayonis & sos cili Thai.


Isnin, 20 Januari 2014

Laksa.... Asam Laksa?

Pagi tadi nak sarapan laksa di kantin tapi tak sempat. Kelas penuh berderet sampai tengahari. Hanya sempat kunyah dua keping biskut sambil tangan menulis itu dan ini dan minum air kosong yang dibawa dari rumah.... macam tak cukup tangan pulak bunyinya!


Fuad pulak tak sabar nak balik rumah. Oh! Kerja-kerja sekolah masih berlambak... Buku latihan sudah berlonggok depan mata minta disemak. Kemas kini Sistem Maklumat Murid pula perlu disiapkan segera. Akhirnya ... dengan rasa lelah, dan perut berkeroncong pulanglah Amie bersama Fuad yang sudah sedia menunggu dalam kereta. 
Alamak! Isyarat merah tangki kereta pulak yang keluar bila start enjin!
Pedulik!
Perut lapar! Rasa menggeletar pulak!
Terus kereta melencung ke KFC di Bandar Sri Perdana.

Bukan main suka Fuad dapat makan di situ.
Alhamdulillah... kenyang! 
Kemudian Amie singgah sebentar di Guardian beli syampu, wangian dan bedak untuk Firdaus.
Tapi....
Masih teringat-ingat laksa!
Terus singgah di Pasar Sri Perdana. Beli ikan selayang segar, dan bahan-bahan lain untuk laksa.
Dalam perjalanan pulang, hujan turun dengan lebatnya. Malas nak singgah stesyen minyak untuk isi tangki minyak. Harap-harap enjin kereta tak mati di tengah jalan!




Sampai rumah terus masuk dapur. Nak buat laksa sebelum Encik Suami pulang. 
Telur ayam pulak tak ada... yang ada cuma telur puyuh pemberian adik ipar!
He hehehhe.... jadilah kaaannn untuk aksesori laksa.
Laksa apa pulak yang Amie buat ni..... macam tak cukup bahan je.
Resepinya? Boleh klik DI SINI.
Amie copy paste di bawah ini ye...

Resepi : Asam Laksa
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan: 
1 kg ikan kembung & 1/2 kg ikan selayang - rebus dan ambil isinya / kisar
2 bungkus laksa kering - rendam hingga lembut - celur
7 keping asam gelugur
10 tangkai daun kesum
2 kuntum bunga kantan (belah 2)
garam & perasa pilihan

Bahan untuk hiasan laksa:
1 biji timun - potong nipis
1 rumpun daun salad - hiris nipis
4 labu bawang besar - mayang
10 biji telur - rebus, kupas dan belah
1 biji nanas - buang kulit dan ricih-ricih
5 biji lada merah - hiris nipis
limau kasturi - belah dua

Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
1.5cm belacan
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih

Cara:
1. Satukan isi ikan dengan air rebusan, bahan kisar dan tambah air mengikut kepekatan yang diingini.
2. Masukkan daun kesum, asam gelugur, bunga kantan dan garam serta perasa.
3. Kuah hendaklah sentiasa dikacau agar isi ikan tidak berketul.
4. Masak sehingga asam gelugur kembang dan rasanya sebati.
5. Jangan biarkan kuah mendidih terlalu lama di atas api.
6. Hidangkan bersama laksa yang telah direbus dengan bahan hiasan yang lain.


Walaupun nampak macam tak cukup bahan tapi serius.... sedap! Encik Suami dan anak-anak menambah-nambah terutama kuahnya! Agaknya sebab Amie bubuh belacan Papar kot!
Lepas tu... minta Encik Suami isi minyak kereta.
Encik Suami : Kenapa tak isi minyak waktu balik tadi?
Amie : Tak ada duit.
Encik Suami : Makan di KFC ada pulak duit ye.
Kwang kwang kwang!!!!!

Ahad, 19 Januari 2014

Gulai Ikan Tongkol Dengan Nanas

Nampak berselera sekali Fuad, Fairuz & Encik Suami makan nasi lauk Gulai Ikan Tongkol Dengan Nanas malam tadi. Amie pun terpaksalah angkat bakul berlubang untuk puji masakan sendiri ha hahahah......


Amie gunakan 3 biji bawang besar kisar dalam gulai ini. Tapi.... waktu menumis bahan perencah yang dikisar bersama bawang besar tu kenalah lama sikit hingga pecah minyak supaya bawang benar-benar masak, barulah timbul rasa yang sedap. Amie tambah nanas yang dicelur terlebih dahulu.... walaaaaaa... habis licin nasi dalam periuk. Kesian pulak tengok Fairuz yang hendak menambah nasi (entah kali keberapa), tapi tak dapat!


Resepi : Gulai Ikan Tongkol Dengan Nanas
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 kg ikan tongkol - bersihkan dan potong ikut citarasa
12 keping nanas yang telah dicelur (Amie gunakan nanas hampir masak - ada rasa masam manis) - toskan airnya
150 ml santan cair
200ml santan pekat
1 keping asam gelugur
gula melaka secukup rasa
garam / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
3 biji bawang besar - belah 4
3 biji bawang putih
1 biji tomato - belah 4
15 biji cili padi
3 biji cili merah
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
1 inci belacan



 Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan gula melaka, asam gelugur dan santan cair. Biarkan mendidih seketika.
3. Masukkan nanas dan ikan tongkol. Tambahkan santan pekat.
4. Masak sehingga kuah menjadi pekat. 
5. Perasakan dengan garam /  perasa pilihan.

Sabtu, 18 Januari 2014

Udang Galah Goreng Taucu

Selamat berhujung minggu!
Sementara menunggu Fuad & Fairuz selesai mengikuti aktiviti kokurikulum (Amie sudah selesai beraktiviti bersama guru penasihat lain & ahli kumpulan), Amie ambil kesempatan untuk paparkan resepi Udang Galah Goreng Taucu hasil masakan kelmarin.



Amie ingin kekalkan rasa segar udang galah. Jadi Amie putuskan untuk goreng begitu saja dan kemudian tumiskan sos taucu manis.



Cara penyediaannya sangat mudah dan ringkas tapi sedap tau!



Jom .... kita lihat resepinya di bawah ini.

Resepi : Udang Galah Goreng Taucu
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan:
500 gram udang galah - cuci dan bersihkan, toskan air dan tabur sedikit garam, ketepikan
1 biji bawang besar - mayang kasar
4 sudu makan taucu manis
1 biji cili merah dan cili hijau - buang biji dan potong ikut suka
1 sudu makan sos cili Thai
1 sudu makan kicap manis ABC
1 sudu teh gula
1 cawan air
minyak


Cara:
1. Goreng udang galah hingga masak. Keluarkan dari kuali dan toskan minyak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan masukkan bawang besar.
3. Setelah bawang besar mengeluarkan bau, masukkan taucu  serta hirisan cili merah / hijau dan kacau seketika.
4. Masukkan air dan biarkan mendidih.
5. Tambahkan sos cili Thai, kicap manis ABC dan gula. Biarkan seketika sehingga kuah agak pekat.
6. Masukkan udang galah goreng dan gaul rata. 
7. Padamkan api dapur.



Nyum nyummmm....



Nampak macam masak cincai-cincai aje kan...
Tapi kalau dah namanya udang, masak apa pun sodap!

Khamis, 16 Januari 2014

Nasi Khabsa Kambing

Oh! Rasanya lama sungguh tak kongsi resepi! Ringkaskan cerita.... sebenarnya sibuk dengan  pelbagai tugasan! Kalau boleh nak suruh jarum jam lambat bergerak supaya peredaran masa tidak dirasakan begitu pantas berlalu!
Namun, dapat juga kusiapkan hidangan Nasi Khabsa Kambing yang semerbak memenuhi ruang dapur menerobos hingga ke ruang tamu!




Puas Amie cuba belajar menyediakan hidangan ini dari beberapa buah blog yang memang menghidangkan masakan dari Tanah Arab. Bolehlah rujuk ke LAMB KABSA, di blog Ya Salam Cooking dan LAMB SAUDI KABSA dan juga ZAINAB'S EASY SAUDI KABSA di Arabic Bites. Amie memang selalu ketinggalan bas... orang lain dah cuba resepi ini, Amie juga yang teredek-kedek mengejar dari belakang! Kalaulah Amie tahu resepi ini sungguh sedap, dah lama Amie mencubanya!


Anak-anak dan Encik Suami nampak berselera sekali menjamah Nasi Khabsa Kambing ini. Salata Hara (gambar di atas) pun anak-anak kata sedap! 


Apa tidak sedapnya! Daging kambing terasa begitu lembut sebab direbus terlebih dahulu hingga empuk. Nas Khabsa pula cukup wangi dengan aroma rempah-rempahan dan gabungan pelbagai bahan lain! Rasanya Amie akan buat lagi menu ini memandangkan tidak berpuas hati dengan salah satu bahan yang tidak dapat dicari iaitu kulit limau kering seperti yang dinyatakan oleh tuan punya resepi Ya Salam Cooking! Encik Suami cari di merata kedai tapi tak jumpa!



Ada masa nanti Amie kongsikan resepinya.... apa pun jika anda ingin mengetahui resepi ini dengan lebih lanjut silalah berkunjung ke dapur Arabic Bites & Ya Salam Cooking.

Khamis, 9 Januari 2014

Talapia Goreng Berlada Aroma Pudina

Syukur Alhamdulillah kerana daku mendapat anugerah Allah isi rumah yang tidak banyak songel bila menghadap hidangan yang disediakan. Kalau asyik ikutkan selera anak-anak memanglah hari-hari nak makan ayam goreng, tapi kalau begitu gayanya alamatnya.... cuma dua atau tiga resepi saja dalam setahun yang boleh Amie kongsi di sini ha hahahaha.....!


Kali ini Amie kongsikan pua resepi Talapia Gopreng Berlada Aroma Pudina. Tidak semua orang menggemari rasa dan aroma pudina! Tapi setelah beberapa kali Amie masak ayam dan masak kurma daging menggunakan daun pudina, nampaknya menu sebegini mendapat sambutan dari keluarga kecil kami.
Amie ada 2 ekor ikan talapia seberat 1kg, dan salah seekornya Amie cuba masak goreng berlada, manakala seekor lagi Amie goreng begitu saja takut kalau dimasak sekali anak-anak tak mahu makan! Amie tambahkan segenggam girisan daun pudina. Waduuuuhhh... boleh tahan dong! Hilang terus aroma belacan dikalahkan oleh bau daun pudina!

Resepi : Talapia Goreng Berlada Aroma Pudina
Olahan : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
1 ekor ikan talapia hitam seberat 500 gram - bersihkan dan kemudian lumur dengan sedikit garam kunyit, goreng hingga masak dan ketepikan
minyak
1 sudu teh pati asam jawa  bancuh dengan 1/2 cawan air
20 helai daun pudina  hiris halus
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar kasar:
5 biji cili merah
1 uas bawang putih
3 ulas bawang merah
sedikit belacan


Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis kesemua bahan kisar kasar hingga terbit minyak.
2. Masukkan bancuhan air asam jawa, garam / gula / perasa pilihan.
3. Masak sehingga tumisan menjadi pekat.
4. Taburkan daun pudina di atas tumisan diikuti dengan ikan talapia.
5.  Balik-balikkan ikan supaya tersalut dengan sambal.
6. Padamkan api dapur.


Jangan mareeeeee..... tinggal tulang ikan je dikerjakan oleh Fuad & Fairuz!!!!