ADSENSE

Selasa, 9 Disember 2014

Taugeh Kacang Soya Tumis Sama Lala

Selalunya taugeh merupakan pilihan terakhir untuk dijadikan sayur. Memasaknya pula kalau nak nampak meriah kenalah bubuh sayur campur lain seperti lobak merah suapaya nampak warna merah, dedaun sayur yang hijau dan sebagainya. Tapi kalau perut dah lapar.... tak bubuh warna-warni pun  masuk perut jugak!
Apa pun sebenarnya taugeh mempunyai banyak khasiat.
Mengikut kajian yang dijalankan tauge sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia yang berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin (canavanine), sejenis asid yang amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser leukimia, usus besar dan pankreas.
Selain itu, taugeh juga mempunyai estrogen semulajadi berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam tauge dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis)
Pengambilan taugeh oleh wanita secara kerap dapat membantu mereka menghindar mereka dari kanser payudara, gangguan menjelang menstruasi,simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.
Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan taugeh secara umum kadar saponinya meningkat sehingga 450 peratus. Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung, gara-gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil taugeh dalam menu harian mereka. Saponi dalam tauge, menghalau “lemak jahat” LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL. Dan seterusnya sila klik DI SINI untuk selanjutnya.

Cerita pasal taugeh ini, Amie tak lepaskan peluang untuk menikmati taugeh kepala besar, taugeh kacang soya! Susah nak jumpa taugeh kepala besar ni kecuali kalau kami balik kampung. Di tempat kami tinggal memang tak pernah jumpa.
Amie masak taugeh kepala besar dengan beberapa bahan campuran lain termasuk isi lala (ale-ale), tauhu basah, daun kucai, lobak merah dan juga anak jagung.

 Sayur taugeh kepala besar ni Amie suka ratah-ratah saja!

Ini lala (ale-ale) yang Amie jadikan bahan perencah untuk sayur taugeh. Sebab malas nak kopek, Amie beli yang siap dikopek. Kalau nak kopek juga alamat sampai petanglah tak siap lauk makan tengahari. Bukan apa... lala ni nipis kecil, sampai kecut jari kita mengopeknya nanti.... cukuplah mengopek lala zaman kanak-kanak dulu! Kalau nak buat rendang kami siram aje dengan air panas, jadi terbukalah kulitnya tapi kecutlah isinya dah hilanglah rasa manisnya!

1/2 kg harganya RM6.00. Maknanya kalau 1 kilogram isi lala, harganya RM12. Ini harga di Pasar Sungai Buluh... di tempat lain Amie tak tahu. Bila dah kita masak bukan banyak pun hasilnya sebab dah kecut!

Selain isi lala, Amie terpikatlah pulak dengan cili padi warna ungu yang Bonda tanam keliling rumah. Entah berapa pokok semuanya.... tak sempat nak kira!

Cantikkan warna cili padi ungu ini. Kalau masak warnanya merah sama seperti warna cili padi biasa. Amie ada ambil gambar cili padi ungu yang masak merah tapi entah di mana letaknya.... entah di folder mana Amie simpan. Nak cari satu persatu.... malas pulak sebab terlampau banyak gambar yang Amie ambil semasa bercuti di kampung tempohari.

Amie pun petiklah beberapa bili cili padi ungu yang cantik ni .... nak tambahkan dalam sayur taugeh kepala besar tadi. Eh! Jomlah masuk dapur Bonda... kita tengok resepi Taugeh Kacang Soya Tumis Sama Lala.....

Bahan-bahan:
1/2 kg taugeh kacang soya - bilas dan toskan
1/2 kg isi lala - bilas dan toskan
10 batang daun kucai - potong sepanjang 3cm
1/2 batang lobak merah - potong kecil sepanjang 3 cm
10 batang anak jagung - belah 2
2 keping tauhu basah - potong dadu
1 sudu makan sos tiram
1 sudu teh serbuk pati ayam
1/3 cawan minyak 

Bahan tumbuk kasar:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
10 biji cili padi

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk kasar hingga wangi.
2. Masukkan isi lala dan biarkan seketika sehingga keluar airnya.
3. Tambahkan lobak merah, tauhu basah dan anak jagung. Gaul rata.
4. Akhir sekali masukkan taugeh kacang soya. Kacau sekali sekala dan biarkan masak antara 3 - 5 minit.
6. Setelah taugeh kacang soya kelihatan layu, masukkan daun kucai dan seterusnya perasakan dengan sos tiram dan serbuk pati ayam.
7. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
Selamat menjamu selera!

3 ulasan:

adda syuhada berkata...

simple dan sedap ni k.amie...

Bicara Kak Noor berkata...

bekeenan sangat kat cili purple tu, skrg ni sdg gila tanam cili Mie best nye kalau ada benih ni

zila norazila berkata...

campur lala lg sedap..biasa zila taugeh kepala besar goreng n ikan masin kak..nmpkk cili segarr.