ADSENSE

Ahad, 28 Disember 2014

Sesekali Menyedut Siput : Sluuuuurrrrrppppp!

Assalamualaikum teman-teman...
Mudah-mudahan banjir yang melanda sebahagian negeri di pantai timur di negara kita akan segera surut. Dan mudah-mudahan juga usaha mencari dan menyelamat pesawat AirAsia Indonesia yang hilang dari radar akan segera menemukan hasilnya... kita hanya mampu harapkan yang baik-baik saja..... amin ya Allah.

Hari minggu nan suram ini, Amie kongsikan resepi siput sedut... yang belum sempat dijadikan entri semasa Amie bercuti tempohari. Amie masak siput ini di rumah Bonda.

Masakan saya di hujung minggu,
Rebus asam batang keladi,

Nasi panas sedang menunggu,
Bersama siput lemak cili padi.

Resepinya biasa-biasa saja. Yang ingin Amie rasai ialah menyedut siput itu.... Kalau dulu, leka menyedut siput bermangkuk-mangkuk, sekarang agak jarang ada siput dijual di pasar. Di Sungai Buluh, Jeram harga sekilogram RM10.00. Kalau rajin ke Pantai Remis harganya RM8.00 per/kg.

Masaklah berapa banyak pun akan habis juga! Cucu ciict Bonda rajin datang bertandang, terutamanya bila cuti sekolah menjelang tiba. Dah tu pulak pandai layan diri bila masuk dapur. Tak banyak songelnya... makan saja apa yang Amie masak. Bonda selalu pesan, kalau masak tu buatlah lebih. Katanya, nanti cucu cicitnya datang. Betul kata Bonda, setiap hari baik tengahari, petang atau malam ada saja anak menantu, cucu cicitnya berkunjung!
Bonda... kalau cucu cicit datang ke rumah, barulah terdengar riuh suaranya menegur itu dan ini. Rajinnya melayan budak-budak kecik!

Jom tengok resepi Siput Masak Lemak Cili Padi. Amie tambahkan sepokok keladi, ada 6 batang bersama isinya sekali. 

Bahan-bahan:
2 kg siput sedut - potong ekor siput dan cuci bersih
1 pokok keladi - siat kulit pada batang keladi dan potong serong sepanjang 4 cm - isi keladinya pula buangkan kulitnya dan potong dadu
3 keping asam gelugur
1 liter santan dari sebiji kelapa
2 batang serai - ketuk
garam / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
25 biji cili padi kampung
3 cm kunyit hidup

Cara:
1. Celur batang keladi bersama isinya dengan asam gelugur hingga lembut.
2. Dalam sebuah periuk, masukkan santan, bahan tumbuk, batang keladi, serai, siput sedut, garam / perasa pilihan.
3. Kacau sekali sekala sehingga kuah mendidih.
4. Padamkan api dapur.

Semangkuk siput sedut masak lemak cili padi ini Amie makan sendiri.... sluuurrpppp... sluuurrrpp! Jumpa lagi.

3 ulasan:

Wattie berkata...

Assalamualaikum wbt Amie,
seminggu dua ni sayu rasa hati melihat cerita2 banjir, terkini ribut pula di Balik Pulau, Allah.....sebaknya rasa hati melihat dugaan yg maha hebat ini. Semuga mereka tabah menghadapinya.

Kalau dpt semangkuk siput tu nak ratah sorang2 sbb lama benar tak mkn

aztazhr berkata...

Wahhh , rindunya nak menyedut , dulu kecik kecik mak selalu buat , dah besar dah jarang , berapa tahun dah x mengedut , hehe , kalau rajin post la sini .

kasihilmar.com berkata...

sedapnya Amie...