ADSENSE

Ahad, 7 Disember 2014

Sedapnya Kerabu Mangga!

Akhirnya buah mangga udang di belakang rumah kami dapat menyeberang Laut China Selatan dan sampai ke kampung! Mangga yang beratnya melebihi 1.7 kg setiap biji ini Bonda cadangkan sebahagiannya untuk dibuat kerabu di rumah kakak di Batang Berjuntai sebagai salah satu menu tambahan dalam majlis doa selamat yang diadakan minggu lepas. Bonda simpan 5 biji yang masih keras untuk di bawa rewang di rumah kakak. Selebihnya yang sudah masak dalam perjalanan, kami makan ramai-ramai!
Wah! Nampaknya ada dua menu tambahan dalam majlis itu nanti termasuk SAMBAL GORENG KERING dan juga Kerabu Mangga! 

Amie sampai agak lewat di rumah kakak di Batang Berjuntai. Amie lihat kakak sibuk sangat bersama jiran tetangga membuat persiapan untuk hidangan pada sebelah malamnya. Ada tomyam, ayam masak kicap, sambal goreng (yang basah punya), dan pecal pun ada! Yang seronoknya pasal pecal ni sebab kakak buat sendiri taugehnya.... taugeh berekor pendek, yang rangup dan lemak!
Rupanya Bonda bawa telur itik segar. Amie nampak telur itik sedang dikupas dan katanya nak masak kari.
Jadi Amie pun tak bolehlah duduk santai di dapur.... kenalah cari sendiri bahan yang diperlukan untuk membuat kerabu mangga! Jumpa kacang tanah dan ikan bilis pun dah cukup syukur... tinggal lagi cari minyak dan kuali, terus goreng dua-dua benda tadi. Ingat pesan Bonda.... tak semua orang boleh makan udang kering... jadi memang sesuai sangatlah gunakan ikan bilis!

Sebelum tetamu datang, siaplah Kerabu Mangga seperti yang Bonda harapkan. Yang lucunya... setiap jiran tetangga ingin memegang sendiri buah mangga sebab teruja melihat saiznya yang besar! Biji mangganya pula... mereka ambil, katanya nak buat benih, nak tanam. Tak tahulah.... mangga tu belum masak, cuma tua saja. Kalau tanam bijinya boleh tumbuh ke? Wallahua'lam....


Sebulan sebelum balik kampung memang Bonda dah pesan bawa pulang mangga udang. Amie tidak berani berjanji sebab takut belum sampai masanya mangga udang sudah masak! Jadi macamana nak bawa balik kampung?

Seminggu sebelum pulang, mangga sudah mulai masak. Amie berdoa.... doa moga adalah sebiji dua mangga yang tidak masak! Sehari sebelum pulang, Encik Suami petik kesemua buah mangga, dan sebahagiannya yang masak Encik Suami makan dan berikan kepada kakak ipar. Selebihnya yang sudah tua dan matang kami bawa pulang ke kampung.

Jadinya... inilah 5 biji mangga yang masih belum masak, yang isinya masih mengkal dan sesuai sangat untuk disagat dijadikan kerabu! Kesemuanya seberat 8.5 kg. 
Wokeh... dengan dibantu oleh tangan-tangan yang ringan tulang, kita mulakan kerja-kerja sekarang ya.... 

Bahan-bahan:
5 biji mangga udang seberat 8.5 kg - kupas dan sagat
10 biji timun - buang biji dan sagat
10 biji epal hijau- sagat
15 biji bawang besar - kupas kulit dan mayang nipis
30 biji cili padi - hiris halus - kalau nak pedas boleh tambah - ini ambil kira tetamu yang tak makan pedas
10 biji cili merah - hiris nipis
5 biji cili hijau - hiris nipis
10 kuntum bunga kantan - hiris nipis
1 kg kacang tanah - goreng dan tumbuk kasar
1/2 kg ikan bilis - goreng dan tumbuk sedikit - anggaran patah pinggangnya
20 biji limau kasturi - ambil jusnya & ambil 5 biji kulitnya untuk dihiris nipis
1 cawan gula
1 sudu makan garam - ikut rasa sendiri sebab ikan bilis sudah ada rasa masin

Cara:

1. Ambil sebuah bekas yang besar. Masukkan mangga, timun, epal hijau, bawang besar, cili padi, cili merah, cili hijau, dan bunga kantan.
2. Gaul bersama garam, gula,dan kulit limau kasturi.
3. Kemudian masukkan jus limau kasturi, garam dan gula. Gaul sebati.
4. Biarkan seketika sebelum dihidangkan.
Kerabu Mangga dah siap! Satu bekas untuk tetamu lelaki, satu bekas untuk tetamu perempuan dan satu bekas lagi untuk yang rewang di dapur!

Terima kasih buat adik TriWahyu Ningsih yang manis.... sudi pinjamkan tangannya untuk Amie ambil gambar  di luar dapur... sebab waktu itu cuaca sangat gelap, mendung dan hujan kemudiannya! Bila ambil gambar di luar barulah nampak rupa Kerabu Mangga tu.

He hehehe... Wahyu yang Bonda kata ayu dan manis ini sangat rajin bantu kami di dapur!

6 ulasan:

Bicara Kak Noor berkata...

sedapnya kerabu mangga Mie, yg best tangan2 yg rajin membantu magic hand tu payah nk cari skrg ni

Yana Shaiful berkata...

sedapnya kerabu mangga..tringat pulak kerabu mangga bonda di kampung.. xyah makan ns pun xpe.. ratah kerabu ni je pun sodap ^_^

Bbwana adienia berkata...

mak oi..besarnya buah mangga..best la ada buah mangga yang besar macam tu..puas makan tu kak..hehe..

tapi serius terliur tengok kerabu mangga kak amie..melting..huuu

Acik Erna berkata...

adui Amie..telan air je acik tengok gambar kerabu mangga ni

Acik Erna berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Ahmad Zu Mal Md Rayi berkata...

Dah lama tak makan kerabu mangga nie..