Pages

Isnin, 22 Disember 2014

Meriahnya Lauk Makan Tengah Hari: Ayam Goreng Gaya Kampung, Sup Campur, Sambal Mangga, Ikan Goreng & Telur Masin

Hari ini mendung dari pagi hingga ke petang. Sesekali sang mentari muncul memancarkan sinarnya yang terang dan cantik! Tapi hanya untuk seketika saja. Awan kelabu melindunginya....

Sementara Firdaus tidur, dan kakak ipar yang mengasuhnya ada di sisinya Amie pun ambil kesempatan menyediakan hidangan untuk makan tengahari kami. Amie perap daging ayam cara kampung dengan ketumbar jintan, halia, serai dan kunyit serta bawang putih. Mmmm... bila digoreng harumnya semerbak satu dapur! Ditambah pula pada masa yang sama sup di periuk sedang mendidih! Fairuz beberapa kali masuk dapur bertanya apa benda yang Amie masak? 
Oleh kerana kakak ipar suka makan ikan, Amie gorengkan ikan belais. Untuk melengkapkan hidangan, Amie tambah sambal mangga. Dan satu lagi... dengan penuh rasa terujanya Amie pun rebus telur itik masin yang Amie buat sendiri!

Ini dia Ayam Goreng Gaya Kampung. Memang Amie selalu ingat pesan Bonda kalau nak  perap daging ayam ini. Ketumbar dan jintan tumbuk kasar, kata Bonda! Jadi bila kita goreng, nampaklah biji ketumbar dan jintan yang pecah-pecah. Semerbaknya ketika digoreng mengembalikan ingatan dan kenangan aroma yang sering dihidu di majlis kenduri kendara di kampung kami.Kalau nak cuba, silakan... dijamin sedap!

Bahan-bahan:
1 ekor ayam sederhana besar- potong 16 bahagian
1 sudu makan serbuk pati ayam
1/2 sudu teh garam
1 sudu makan serbuk kunyit
minyak

Bahan kisar halus:
3 ulas bawang putih
3 cm halia
1 batang serai - ambil isinya yang putih dan hiris kasar

Bahan tumbuk / kisar kasar:
2 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara:
1. Gaul daging ayam bersama semua bahan kisar halus dan kasar, garam, serbuk pati ayam, dan kunyit . Perap lebih kurang 30 minit.
2. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam.
3. Goreng hingga masak atau sehingga daging ayam berwarna keemasan.
4. Angkat dan toskan.



Ikan belais goreng ini pun Amie perap dengan bahan yang sama untuk memerap daging ayam! Sedap oooo....

Ini Sup Campur. Main rebus aje. Kiranya sup ini masuk kategori sup bujanglah! Suka sangat hirup kuahnya!

Bahan-bahan:
1 bahagian paha ayam - potong 10
3 biji kentang - buang kulit dan belah 2
1 batang lobak merah - buang kulit dan potong bulat
3 batang celery - potong serong sepanjang 3 cm
4 batang fucuk - rendam hingga lembut dan kemudian potong sepanjang 3 cm
1 cawan suhun - rendam hingga lembut
2 labu bawang besar - belah 4
5 ulas bawang putih - pecahkan
3 cm halia muda - hiris nipis
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
2 liter air
1 sudu makan lada putih - tumbuk
1.5 sudu makan serbuk pati ayam
bawang goreng
hirisan daun sup

Cara:
1. Tuang air ke dalam periuk dan letakkan di atas dapur.
2. Masukkan ayam, lobak merah, celery, kentang, bawang besar, bawang putih dan halia. Jangan lupa masukkan sekali kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang.
3. Biarkan sehingga kuah mendidih. Kemudian perlahankan api dapur.
4. Renih sup sehingga daging ayam, lobak merah dan kentang empuk.
5. Perasakan dengan lada putih dan serbuk pati ayam.
6. Padamkan api dapur.
7. Taburkan bawang goreng dan juga hirisan daun sup ketika menghidangkannya.

Haaa... dah ada kuah sup untuk dihirup, kenalah lengkapkan dengan yang pedas-pedas sikit. Ini Sambal Mangga.... mmmmm memang sedap walaupun mangga yang digunakan sudah masak. Untuk menambah kelazatannya, bubuhlah lebih sikit jus limau kasturi, taklah terasa manis sangat mangganya tu.

Bahan-bahan:
20 biji cili padi
1 biji mangga harum manis - cincang
5 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
15 gram belacan 
7 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Goreng bawang putih, bawang merah dan belacan bersama-sama. Angkat dan toskan.
2. Tumbuk cili padi bersama belacan, bawang putih dan bawang merah goreng tetapi jangan terlalu lumat.
3. Gaulkan bersama cincangan mangga.
4. Tambahkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Akhir sekali tuangkan jua limau kasturi.
6. Biarkan beberapa minit supaya semua bahan mesra sebelum dihidang.

Terakhir.... telur itik masin buatan sendiri! Walaupun rtupanya tak lawa... tapi rasanya menepati selera kami sekeluarga sebab tak masin sangat! Nak tahu cara buat telur itik masin boleh klik DI SINI.

8 ulasan:

  1. bahagianya klu dpt lunch bersama kak amie sekeluarga..mcm2 ada..semua besttt ^_^

    BalasPadam
  2. memang meriah lauk-pauknya! berselera apatah lagi bila makan bersama keluarga kan.. :))

    BalasPadam
  3. ini kalau makan ramai2 memang meriah. sikit tapi cukup untuk semua sebab berkongsi. Sedapnya

    BalasPadam
  4. sedapnya...nanti saya nak cuba goreng ayam gaya kampong tu..

    BalasPadam
  5. Suka tengok cara Amie present lauk-pauk.. albeit setakat utk mkn anak-beranak..

    BalasPadam
  6. Yana,
    seminggu sekali dapat lunch bersama family pun dah syukur... alhamdulillah!

    Lia,
    betul tu Lia, rasa sedap je.

    Mel,
    sikit cukup, banyak pun habis ye Mel ha ahahaha...

    BalasPadam
  7. Nani,
    silakan... memang sedap sebab guna rempah segar, herba hidup seperti halia dan serai memang naik baunya.

    Shamsiah,
    terima kasih... biarlah setiap hidangan menjadi pengikat kasih sayang anak beranak :)

    BalasPadam
  8. Assalamualaikum Amie. Sedap sungguh nampak hidangan yang Amie masak!

    BalasPadam