Menyusuri Kenangan Dari Pantai Jeram ke Pantai Remis

4:29 PTG

Ni cerita di kampung 1 Disember lalu.....
Anak buah Amie siap pesan suruh kami beli kerang dan mentarang di Pantai Remis pada petang Isnin. Katanya, esoknya hari Selasa nak buat bakar-bakar panggang-panggang di kampung. Ayam, ikan dan lain-lain pula disediakan oleh yang lain. Jadi, kami anak- beranak pun berangkatlah ke Pantai Remis untuk mencari kerang dan mentarang segar.

Sebenarnya Mukim Jeram telah mencatat seribu satu kenangan yang tak mungkin dapat Amie lupakan. Apa tidaknya, awal tahun 1980-an selama 3 tahun Amie bersama rakan-rakan mengayuh basikal dari kampung untuk menuntut ilmu .... belajar dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga dan sama-sama mengambil peperiksaan SRP.

Taman Asuhan Putera Puteri Islam.... itulah sekolah kami! Dan jejak kasih hari ini mendapati tapak sekolah tersebut sudah dijadikan masjid baru, mungkin menggantikan masjid lama di sebelahnya yang kelihatan sudah uzur.

Selama tiga tahun itulah kami dari Kampung Bukit Hijau, Parit Mahang, Bukit Kucing, Bukit Kucing Hilir, Bukit Kucing Tengah, Bukit Cheraka, Parit 8, Ijok, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, Asam Jawa, Kapar, Meru, Bukit Kerayong dan daerah sekitar berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh azam untuk menjadi sebahagian daripada insan yang punya cita-cita untuk berbakti pada agama, nusa dan bangsa. Amie.... setiap hari bersama rakan-rakan dari kampung yang sama akan mengayuh basikal sejauh 10 batu (kiraan dulu-dulu) untuk sampai ke sini.... seawal pagi selepas solat Subuh, dan pulang menjelang panas terik mentari memancar di kepala!
Bila dikenang kembali... rasa tak mampu untuk mengayuh basikal sejauh itu... pergi dan balik lebih kurang 20 batu melewati beberapa buah kampung dari Bukit Hijau ke Bukit Cheraka seterusnya melalui Bukit Kucing Tengah, mengayuh sepenuh tenaga hingga ke Bukit Samak, sampailah ke simpang Jalan Raja Abdullah dan seterusnya mengayuh arah kiri sehinggalah sampai ke sekolah.

Kalau anda berada di sini, di Kampung Jeram ini.... berdiri dari sebelah kiri anda akan dapat melihat pandu arah ke Kuala Selangor sejauh 15km. Sabak Bernam sejauh 74km dan seterusnya Teluk Intan sejauh 114km. Kalau dari daerah Kuala Selangor, rakan-rakan dari sana akan menaiki bas tambang terutama yang tinggal di Kampung Api-Api, Asam Jawa, Sungai Buluh dan juga dari Jeram Batu 20. Ada juga yang datang sejauh dari Batang Berjuntai dan Ijok, terpaksalah naik bas tukar dua kali untuk sampai ke sekolah.

Dari sekolah kami hanya sejauh 32 km sahaja untuk sampai ke Klang dan untuk ke Shah Alam pula jaraknya sekitar 44 km.
Akhirnya.... setelah 3 tahun berpanas dan berhujan menempuh pelbagai ranjau dan dugaan, kami pun lulus SRP dan seterusnya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Sultan Hishamuddin Klang. Di situlah kami selama 4 tahun tinggal di asrama, menduduki peperiksaan SRA sewaktu tingkatan 4, SPM tingkatan 5, SPA tingkatan enam bawah dan STPM tingkatan enam atas.
Sehinggalah ke hari ini.... semua nostalgia di sini tidak mungkin dapat dilupakan!
Wokeh.... kita teruskan cerita pencarian kerang dan mentarang di Pantai Remis pulak. Pantai Remis berjiran dengan Pantai Jeram. Kami sering menyusuri pantai-pantai ini suatu ketika dulu, mengutip kerang, mengorek pasir mencari remis, meredah lumpur mencari kijing dan mentarang! 
Aduhai.... 

Kalau nak cari kerang segar eloklah datang ke Pantai Remis. Saiz kecil atau saiz besar semuanya ada. Dulu Amie selalu beli di Simpang Tiga Jeram, satu bekas plastik merah berharga 50 sen sahaja, kemudian naik 1 ringgit, dan sekarang ditimbang pulak... 1 kg antara RM3 hingga RM4.
Biasanya kami beli banyak untuk buat rendang... oh! Rendang kerang memang tak dapat dipisahkan dari hidup kami baik rendang kerang basah atau rendang kering! Sedapnya kalau dapat cicah nasi himpit... makan di pagi raya! Lupa pulak rendang ayam!

Ada banyak jenis kerang sebenarnya. Cikgu Kamus Dewan kata kerang ni keluarga tiram, ada saudara sepupu yang lain termasuk kerang batu, kerang lumpur dan kerang kera. Ini pulak kerang bulu. Isinya liat sedikit berbanding kerang biasa. Dan harganya pun tentulah berbeza juga dengan kerang biasa... lebih mahal sikit!

Rasa kerang bulu walaupun liat sikit tapi lebih sedap berbanding kerang biasa. Kalau nak cuba, datanglah ke sini... tapi tak janji akan ada selalu kerang jenis ini ye!

Yang ini namanya kijing. Kijing ni dari keluarga kepah.

Ini nama dia remis. Ini yang kami suka cari di pasir .... korek pasir dan kumpul remis!

Ini lokan yang juga berkeluarga dengan kerang tapi ini jenis kerang besar.

Ini pulak namanya barai. Bonda panggil bareh. Bareh ni kata Bonda, sedap dibuat serunding. Kata Kamus Dewan, barai ni keturunan siput. Barai yang dijual di Pantai Remis datangnya dari Sekinchan. Sekarang ni tak banyak orang tahu tentang barai.

Yang ini nama dia akan-akan. Samalah juga dengan keluarga remis.

Ini siput duri. Setakat ini Amie belum pernah makan siput duri. Dulu suka sangat kumpul kulitnya buat koleksi!

Ini Amie lupa apa nama dia... 

Ini pulak sangat special namanya .... anak dara dua sebilik! Anak dara dua sebilik ni datangnya dari Perak.

Anak dara dua sebilik ni kalau asyik memancut-mancut keluar air itu tandanya masih hidup... bernafas!

Inilah lala... siput lala kata Kamus Dewan. Kami panggil ale-ale. Kalau musim perayaan, kami buat rendang! Puaslah kami makan masa kecik-kecik dulu... Bonda suka masak rebus dengan serai! Lagi sedap kalau ambil isinya dan masak lemak, atau buat jemput-jemput!

Ini siapa tak tau... angkat tangan! Cikgu Kamus Dewan kata ini sejenis kerang... iaitu siput sedut! Dulu tak ada harga, sekarang sudah RM8 sekilogram (harga di Pantai Remis). Beberapa hari sebelumnya Amie beli di Sungai Buluh, RM10 untuk seberat 1 kg.
Dulu... puas sedut... srooottt ssroottt... sebab berkilo-kilo masak! Sekarang kalau dah harga 1kg pun mencecah RM10, manalah nak puasnya makan!

Ini pepahat. Pepahat tidak ditemui di Pantai Jeram atau Pantai remis, tapi datangnya dari tempat lain. Lupa pulak dari mana... padahal Amie ada tanya penjualnya.

Selain siput dan kerang-kerangan, ada telur ikan mayung atau lebih terkenal di kampung kami dengan panggilan ikan baguk. Harga 1 kg telur ikan mayung ni RM18.

Dan pelbagai jenis ikan lain....

Kami dah borong kerang, tapi terpaksa tunggu mentarang naik ke darat. Kata penjualnya, kalau mahu kena tunggu hingga pukul 7.30 petang. Kami pun tunggulah dengan penuh sabar... 

Syukurlah ada gerai menjual air dan makanan ringan seperti pisang goreng dan sebagainya. Dapatlah kami membasahkan tekak. Sebenarnya cuaca mendung pada petang itu...
Firdaus pun ambil kesempatan sedut air laici kang!

Fuad & Fairuz kata Firdaus nak main layang-layang! Pandai aje diorang buat cerita... mana Firdaus tau layang-layang! 
Sementara menunggu mentarang tiba, baiklah ke pantai dulu. Layang-layang tu dibeli dengan harga RM12.

Cuaca memang amat suram... mendung! Tapi layang-layang naik juga!

Firdaus tak pakai kasut jadi tak bolehlah suka hatinya meredah pantai... kang kaki tu tercucuk duri ke apa ke... susahlah kami. Encik Suamilah ang pikul Firdaus ke sana ke mari sebab dia nak tengok layang-layang yang diterbangkan Fuad. Haa... sekarang Firdaus baru tahu apa itu layang-layang!
Dah habis makan pisang goreng, keladi goreng dan keropok lekor, kami singgah pulak di gerai kerang bakar.

Satu pinggang kerang bakar berharga RM8. Anak-anak dan Encik Suami pesan makanan lain. Amie sorang je yang nak makan kerang bakar. Encik Suami dan anak-anak tak pernah makan kerang bakar, sebab nak makan kerang pun.... susah nak jumpa di Sabah!

Fuad & Fairuz tengok aje Amie makan kerang bakar. Dua-duanya duduk di kiri kanan Amie jadi tukang kopek kerang! Senanglah kita nak makan!

Memandangkan pukul 7.30 masih lama lagi, kami pun menyusur kembali ke Pantai Jeram. Sungguh tak kusangka dan tak pernah kuduga suatu ketika dulu... Pantai Jeram kini telah berubah sama sekali! Tiada lagi jalan tanah merah dan semak yang dulu pernah kami lalui....

Sekarang sudah tersergam megah Medan Ikan Bakar Pantai Jeram! Ketika kami sampai, kereta pun mula bersusun masuk memenuhi ruang....

Encik Suami letak kereta di sini... dekat dengan tempat permainan. Firdaus tak nampak tempat ni sebab ikut Fuad & Fairuz main layang-layang.... sambung terbangkan layang-layang dari Pantai Remis tadi.

Ketika inilah Amie ambil kesempatan meninjau-ninjau kawasan sekitar. Rasa hati memanglah tak tergambarkan lagi sebab semuanya sudah berubah! Tidak seperti dulu....
Entah di mana letaknya pasir pantai tempat kami kutip kulit siput.... tempat kami berlindung di bawah pohon sambil menikmati nasi lemak sambal bawang dan telur dadar!

Dulu kami melihat Pulau Angsa dari sini, tapi kini Amie sendiri sudah terlupa mana satu Pulau Angsa! Bayangkan kali terakhir kami sering berkunjung ke sini ialah pada tahun 80-an....
Cuma yang Amie ingat, pada suatu petang bersama seorang rakan... Amie turun ke pesisir dan mengejar anak ikan belanak sesat  bertabran dari laut ketika air laut mula pasang! Seronok sangat mengejar anak ikan belanak yang tercungap-cungap kelemasan di celah-celah lopak air. Bila dapat tangkap... sekor demi sekor Amie masukkan dalam kandut (kain sekolah ikat bahagian atasnya).
Tapi.... paling sakit hati betul bila nampak ikan belacak yang paling sukar untuk ditangkap! Ikan belacak ni suka main-mainkan orang.... datang mendekat tapi bila kita nak capai pandai pula dia lari sepantas kilat!

Amie tinggalkan Encik Suami dan anak-anak menikmati panorama di tepi pantai sambil menerbangkan layang-layang.

Amie meninjau ke bahagian belakang Medan Ikan Bakar Pantai Jeram dan suasananya memang  tidak seperti yang pernah Amie bayangkan suatu ketika dulu! Dulu.... tidak ada bot-bot seperti ini tertambat di sini.

Dulu.... hanya ada sebuah muara berlumpur... menghubungkan mulut pantai dengan anak sungai menghala ke Simpang Tiga Jeram. Banyak ikan-ikan berenang di sini, tapi kini sudah tiada lagi.

Inilah anak sungai yang Amie maksudkan. Dulu hanya ada semak dan kawasannya lapang. Di sebelah sananya... rumah Pak Cik Abdul Wahab! Ada reban ayam ternak di situ.... ada Khadijah di situ.... entah di mana Khadijah sekarang. Khadijah satu kelas dengan Amie dari tingkatan satu hingga tiga.
Kadang-kadang kami singgah di rumah Khadijah... minum air kelapa... ah!

Bersebelahan dengan Medan Ikan Bakar, ada restoran Aroma Ikan Bakar. Ketika Amie sampai, restoran ini ditutup. Sebelum ini kakak Amie cadangkan supaya makan ikan bakar di sini. 

Ada masa lain kami akan berkunjung lagi ke sini... ingin menikmati ikan bakar baik di Medan Ikan Bakar atau di Aroma Ikan Bakar seperti yang diuwar-uwarkan.
Senja yang menjelma bertambah suram dengan cuaca mendung yang tak kunjung terang. Kami kembali ke Pantai Remis memandangkan janji untuk membeli mentarang yang katanya akan sampai pukul 7.30 petang!
Sayangnya.... bila kami sampai, mentarang pula yang tak sampai!
Terpaksalah tunggu hingga esok pagi....

Inilah mentarang yang kami tunggu....
Keesokan paginya seawal pukul 10 pagi kami sampai lagi ke sini. Gerai baru dibuka, dan mentarang baru dikeluarkan dari karung! Sekilogram berharga RM7.

Hai Firdaus!
Penat ikut cari kerang & mentarang ye?
Bila sampai rumah.... terus dia lari masuk lorong taman bunga nenek!
Petang nanti kita akan bakar-bakar kerang yea.... main-main dulu di luar, Mummy nak siapkan makanan di dapur!

11 comments

  1. Assalam Amie,
    wah balik kampung ya...sukalah Firdaus jumpa nenek & sepupu2nya..
    Seronoknya tengok cengkerang2 tu Amie... fresh lagi...menterang tu murahnya rm7 sekilo...kat sini jarang ada..kalau ada pun mahal..kita memang suka cenkerang2 yang dalam gambar..cuma belum cuba siput yang tajam2 tu kat sini tak jual pun.:)

    BalasPadam
  2. Ayu,
    waalaikumussalam.... memang Firdaus seronok sangat balik kampung... semua diredahnya!
    Banyak kerang di sini... sampai tak sempat nak merasa satu persatu... dah balik ke Sabah.

    BalasPadam
  3. Saya ke sana 2 minggu lepas. Memang memborong segala macam kerang dan ikan.

    BalasPadam
  4. mak oi..banyaknya jenis kerang-kerangan..

    wana suka makan kerang, remis dan lokan tu..fuh, apalagi dibakar..kena pula dengan cicahannya..layan habis.. :)

    BalasPadam
  5. memory terindah tu k.amie..bila tgok tmpat akk mgayuh basikal tu rasa mcm jauh sgt tu..fresh semua hasil laut.ikan segar2..kerang kerangan semua fresh..suka tgok yg tajam2 tu ..x pernah ada kt jb ..mgkin nk ke sblh laut baru jumpa..

    BalasPadam
  6. Saya betul2 mencari pembekal siput dr indonesia,0105059290

    BalasPadam
  7. Ada no Telefon penjual Telor mayong tu

    BalasPadam
  8. Ada number fon penjual telur ikan

    BalasPadam
  9. Slm ada no pembekal telur ikan tue tak.? Kalau ada saya nak. Serious buyer

    BalasPadam
  10. Minta maaf. Saya tak ada nombor telefon penjual telur ikan itu.

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe