ADSENSE

Isnin, 8 Disember 2014

Jom Masak Singgang Anak Dara Dua Sebilik

Tentu anda menyangka Amie buat kuih anak dara dua sebilik yang biasa kita makan tu.... tapi kenapa pula anak dara dua sebilik dimasak singgang pulak? Ha hahaha.... ikutilah coretan Amie seterusnya ya....
Banyak menu berkhasiat Bonda hidangkan untuk kami sewaktu zaman kanak-kanak sehinggalah kami meningkat remaja. Amie teringat Bonda selalu pujuk kami makan sayur, hirup kuah sayur .... sayur rebus... sayur bening! Sayangnya bila sudah menginjak dewasa hanya sekali-sekala sahaja dapat berkumpul di rumah, namun kami lihat Bonda masih lagi mengekalkan menu lama. Kebanyakan lauk-pauk Bonda akan masak singgang atau pindang, dan goreng begitu sahaja. Kalau kami masak gulai, kari dan yang berlemak-lemak, Bonda akan jamah sedikit sahaja. Barangkali itulah rahsia mengapa orang dulu-dulu berjaya mengekalkan kesihatan tubuh badan tanpa membawa beban pelbagai penyakit moden seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.
Salah satu menu yang Amie tak mungkin lupakan ialah menu singgang. Kalau ada kerang Bonda akan buat masak singgang, begitu juga dengan ale-ale (lala), mentarang dan kerang-kerangan yang sewaktu dengannya.
Seingat Amie ada dua benda yang mesti Bonda bubuh dalam masakan singgangnya.... daun kunyit dan serai! Wajib! Tidak boleh tidak!
Jadi, untuk resepi anak dara dua sebilik ini, Amie masak singgang sama seperti yang Bonda buat dulu-dulu.

Inilah rupa Singgang Anak Dara Dua Sebilik! Kalau tak nak makan singgang, masak lemak cili padi pun boleh. Nak tumis pun boleh, nak buat asam pedas pun boleh. Ikut suka selera masing-masinglah ya tuan-tuan dan puan-puan.

Barangkali anak dara dua sebilik ini berketurunan remis juga, sebab rupa bentuknya pun seakan-akan remis. Di Pantai Remis, semua penjual kerang-kerangan menyebutnya sebagai anak dara dua sebilik. Anak dara dua sebilik ini tidak lagi ditemui di Pantai Remis sebab kata peniaga di situ remis dalam pasir dah habis orang korek hari-hari. Anak dara dua sebilik ini datangnya dari Perak, dan katanya lagi ada satu teman anak dara dua sebilik iaitu retak seribu tapi tak adalah pulak retak seribu di situ pada hari kami datang!

Anak dara dua sebilik ini masih segar bugar! Kalau anda dapati air memancut keluar dari cengkerangnya bermakna anak dara dua sebilik ni sedang bernafas! Di Pantai Remis, dijual dengan harga RM7 satu kilogram.

Wokeeeh.... masak singgang anak dara dua sebilik dan siap. Semerbak aje baunya yang segar .... segar itu istilah yang selalu Bonda gunakan untuk menerangkan maksud 'aroma' serai dan daun kunyit! Masakan begini elok benar dihidangkan untuk makan tengahari. Sediakan juga sambal belacan, ulam-ulaman dan juga ikan goreng! Alhamdulillah......

Jom kita semak resepinya.

Bahan-bahan:
1 kg anak dara dua sebilik - bersihkan
800 ml air
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 ulas bawang putih - diketuk
1 batang serai - diketuk
1 helai daun kunyit - siat-siat
7 biji cili padi
garam / perasa pilihan
Cara:
1. Masukkan air ke dalam periuk dan masak / didihkan di atas api dapur.
2. Masukkan bawang besar, bawang putih, serai, dan cili padi.
3. Setelah air rebusan mendidih, masukkan anak dara dua sebilik. Masak sehingga kulit anak dara dua sebilik terbuka.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.
Senang aje kan nak masak singgang ni. Bonda selalu pesan jangan terlalu banyak masuk 'aksesori' sebab boleh mengurangkan rasa atau 'kesegaran' bahan utama yang nak kita masak!

8 ulasan:

Kakzakie berkata...

Unik pulak bila diberi nama anak dara dua sebilik. Kuih anak dara dua sebilik Amie tahu tak. Yg tepung pulut letak inti kelapa gula merah masuk dlm daun pisang bungkus dua biji letak santan dah tu kukus...

Tengok hidangan dua sebilik Amie ni berupa lauk pulak ye.. Namanya special ye:)

Cik Puan iLa berkata...

sedapnya menu anak dara sebilik masak rebus cmni..

Ahmad Zu Mal Md Rayi berkata...

Namanya begitu yer ^-^

Amie berkata...

KakZakie,
iye kak... saya suka makan kuih anak dara dua sebilik, yang ini pulak namanya sama... sana sini penjual tu kata anak dara dua sebilik.

Cik Puan Ila,
masakan sihat...

Ahmad Zu Mal,
aa''aah namanya memang gitu

sha bb berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
sha bb berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
sha bb berkata...

Perrgh..febret sye ni ank dara dua sbilik..ada yg panggil ank dara duk sbilik..
Tp memang sedap manis..bila lah nak ada lgi siput ni di kuala sel..

sha bb berkata...

Perrgh..febret sye ni ank dara dua sbilik..ada yg panggil ank dara duk sbilik..
Tp memang sedap manis..bila lah nak ada lgi siput ni di kuala sel..