ADSENSE

Ahad, 31 Ogos 2014

Ikan Belanak Panggang

Amie jarang jumpa ikan belanak saiz kecil di Lahad Datu. Kalau ada pun, saiz besar seberat 300-500 gram seekor. Pernah beberapa kali Amie makan ikan belanak saiz besar, tapi rasanya agak tawar berbanding ikan belanak saiz lebih kecil. Rindu rasanya nak makan ikan belanak kecil yang Bonda selalu goreng masa kami kecil dulu. Selalunya Ayahanda akan beli berkati-kati (sukatan dulu) banyaknya, dan Amie selalu 'temankan' bonda siang ikan bawah pokok rambutan mandul dekat dengan tepi kolam. Amie jadi penghalau kucing sebab sewaktu Bonda siang ikan, kucing-kucing yang entah berapa ekor banyaknya datang berkerumun dan dengan pantas mencakar ikan yang sedang Bonda siang! Tak sabar nak tunggu kepala dan isi perut ikan yang Bonda buanglah tu... ho hooo beza betul kucing zaman dulu dengan kucing zaman sekarang. Dulu siap bercakar berebut makanan, tapi sekarang nampak kucing gemuk-gemuk kekenyangan. Pandai pilih makanan pulak tu!


Keluarga sebelah Encik Suami memang jarang sangat masak atau makan ikan belanak. Pernah sekali dua Ayahanda mentua beli ikan belanak tapi disuruhnya Amie buat 'kilau' atau 'umai' kata orang Sarawak. Isi ikan belanak mentah dihiris nipis bubuh bawang hiris, lada dan jus limau nipis serta garam dan perasa pilihan. Kemudian dimakan bersama nasi. Amie pun lama-lama suka hidangan sebegini dan kalau rajin Amie buat menggunakan ikan bilis segar pula. Suatu hari, Bonda mentua jatuh sakit dan tidak ada selera makan. Kebetulan pula, Ayahanda mentua beli beberapa jenis ikan termasuk ikan belanak saiz besar. Ayahanda mentua minta Amie panggang ikan belanak tadi dengan meninggalkan pesan : Jangan panggang terlampau masak..... aduhai Ayahanda! Anakanda menantu pun berfikir sampai habis akal macamana nak panggang tapi tak terlampau masak! Memang selalu Ayahanda mentua pesan, kalau goreng ikan jangan terlalu lama, kalau panggang daging, jangan terlalu masak! Seingat Amie.... Amie tak pernah memenuhi selera Ayahanda mentua! Haisssyyyy.... beliau bekas tukang masak orang putih! Aku mana tahu ikan terlebih masak, ikan berjus, daging terlebih masak bla bla blaaa...
Akhirnya, setiap kali panggang ikan di rumah mentua, Amie bungkus ikan dengan daun pisang! Hasilnya, tak garing ikan tu. Ikan masak... basah lagi, tapi terlebih masak! Oh!



Kami terjumpa ikan belanak saiz kecil di pasaraya, jadi rebatlah dalam 9 ekor! Memang niat di hati nak panggang ikan belanak ni. Mulanya nak bungkus, tapi disebabkan malas yang melampau-lampau, Amie panggang saja dalam oven. 

Bahan-bahan:
9 ekor ikan belanak - bersihkan - kelar dan toskan
daun pisang untuk alas memanggang
1 sudu teh garam
2 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu makan minyak
  
Bahan tumbuk halus: 
2 ulas bawang putih
2cm halia

Cara:
1. Lumurkan ikan belanak dengan bahan tumbuk, garam dan serbuk kunyit.
2. Gaulkan dengan minyak.
3. Letakkan daun pisang di atas dulang pembakar.
4. Susun ikan di atasnya.
5. Panggang ikan sehingga masak. 



Ketika sedang menikmati ikan belanak panggang bersama Encik Suami, Amie bersuara:
Beginikah ikan panggang yang  arwah bapa suka makan? 
Iyalah....
Oh! Setelah Ayahanda mentua tiada, barulah Amie dapat memahami apa yang dimaksudkannya. Ikan panggang tidak terlebih masak, dan isinya berjus!
Dan hari ini Amie berjaya menghasilkannya!


Tiada ulasan: