ADSENSE

Sabtu, 17 Mei 2014

Fillet Ikan Dory Goreng Berempah


Bila Amie buka sejuk, hanya ada fillet ikan dory, kelapa parut & jantung lembu. Rupa-rupanya Encik Suami terlupa untuk 'mengisi' sejak beberapa hari lalu. Bila Amie telefon Encik Suami, katanya banyak kerja yang perlu disiapkan dan akan pulang menjelang petang. Jadi, Amie pun batalkan hasrat untuk meminta belikan ikan atau daging ayam segar. Nampaknya Amie kena gunakan jugalah fillet ikan dory untuk hidangan tengahari anak-anak. Sementara menunggu sup campur yang direnih masak dalam periuk, Amie masih terfikir-fikir apa nak buat dengan fillet ikan dory seberat 700 gram itu. 


Inilah hasilnya.... Fillet Ikan Dory Goreng Berempah! Pada mulanya Amie tidak berhasrat untuk berikan Firdaus makan, memandangkan ia berminyak dan Amie bubuh lada putih serta rempah di dalamnya. Tapi si kecil kesayangan kami asyik menjenguk ke dapur, dan Amie pun bagi seketul. Nampak macam sedap je Firdaus makan. Dia nak lagi, dan lagi.... habis 4 ketul diratahnya Fillet Ikan Dory Goreng Berempah. Agaknya sebab fillet ikan dory lembut kot, senang dia kunyah dengan 6 batang giginya tu. Lepas tu barulah makan sedikit nasi dengan sup campur!


Hadoii... berminyak-minyak tangan tu makan Fillet Ikan Dory Goreng Berempah!



Resepi : Fillet Ikan Dory Goreng Berempah

Bahan-bahan:
700 gram fillet ikan dory - potong memanjang lebih kurang 4-5 cm
10 tangkai daun ketumbar - cincang
1 sudu makan perencah MAGGI Cukup Rasa
1/2 sudu teh serbuk kunyit
3 sudu makan tepung gandum
3 sudu makan tepung jagung
minyak

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih

 1.5 cm halia
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
1 sudu teh lada putih

Cara:
1. Perap fillet ikan dory bersama semua bahan di atas kecuali minyak selama 20 minit.
2. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng.
3. Setelah minyak betul-betul panas masukkan satu persatu kepingan ikan dory.
4. Goreng hingga kuning keemasan atau sehingga garing.
5. Angkat dan toskan.



Sebenarnya.... tak sempat makan dengan nasi pun! Ratah-ratah aje... Lauk makan tengahari? Sabar menanti sampai petang.... tunggu Encik Suami pulang!

1 ulasan:

Rohah berkata...

As salam kak...lama x dholan sini..penak ngolahi iwak dori...enak pun iyo...ratah waei, marem...:-*