ADSENSE

Rabu, 1 Januari 2014

Batang Keladi Masak Lemak, Ikan Gelama Goreng & Sambal Belacan.... Belacan Papar!

Selamat Tahun Baru 2014 buat semua pengunjung budiman Amie's Little Kitchen, dan juga buat follower yang bertambah dari masa ke semasa. Apa agaknya azam tahun baru ini ya teman-teman? Amie... nampaknya tidak ada azam yang khusus tahun ini, sebab dari tahun ke tahun setiap azam yang dibina tidak pernah tercapai sepenuhnya. Jadi, tahun ini Amie hanya berazam untuk menyambung tugas sebagai ibu & suri rumah tangga sebaik mungkin. Kalau boleh.... Amie ingin sediakan sarapan pagi dari dapur sendiri! Maklum sajalah... sebelum ini setiap pagi kami hanya mengharapkan alas perut dari kantin sekolah dan gerai. 


Ini lauk-pauk hidangan malam tadi. Agak lama juga Amie mengidamkan hidangan begini. Inilah antara lauk-pauk yang begitu istimewa dalam keluarga Amie ketika kami masih kecil dahulu. Air tangan Bonda tidak mungkin dapat kami lupakan sampai bila-bila dan sudah semestinya kelazatannya tiada tolok bandingannya biarpun hanya sekadar masak lemak batang keladi, ikan gelama  goreng dan juga sambal belacan! 


Setakat ini Amie belum pernah terjumpa ikan gelama di Pasar Ikan Lahad Datu, tetapi setelah beberapa kali berkunjung ke Pasar Ikan Tawau, rupanya ada ikan ini di sana, jadi kami beli 2kg (takut tak habis). Ikan ini Amie hanya dapat menikmatinya sewaktu pulang ke kampung, sebab bekalan ikan gelama basah memang banyak di Pasar Sungai Buluh, Jeram. Entah berapa ekor ikan gelama Amie makan kalau Bonda hidangkan untuk kami anak-beranak! 


Selain ikan gelama goreng, Amie hidangkan juga ikan talapia goreng yang juga merupakan spesies ikan darat yang jarang-jarang ditemui di pasar Negeri di Bawah Bayu ini, apatah lagi ikan talapia merah! kalau nak makan kena tunggu balik Selangorlah jawabnya!



Pelengkapnya sudah tentulah sambal belacan! Istimewanya sambal belacan Amie kali ini Amie gunakan belacan Papar yang dikatakan mempunyai aroma dan rasa yang unik, enak dan lebih lazat kerna dihasilkan secara tradisional!



Belacan Papar ini agak mahal sedikit, tetapi rasanya memang berbaloi berbanding harganya! Jika anda berkunjung ke Sabah, cuba dapatkan belacan ini dari mana-mana gerai terutamanya gerai penjual ikan kering, atau apa-apa makanan laut kering termasuk udang kering, sotong kering dan sebagainya.



Amie gunakan cili padi di atas.... hanya guna beberapa biji saja sebab rasa pedasnya itu yang buat Amie tidak tahan he hehehe... apa pun sekali hadap habis sambal belacan walaupun agak cair sedikit sebab Amie lebihkan jus limau kasturi.


Ikan gelama yang penuh nostalgia ini, sebenarnya buat pertama kalinya Amie goreng 1kg pada hari sebelumnya. Amie ingin simpan lebihnya seperti masa dulu-dulu! Maklumlah dulu-dulu manalah ada peti sejuk nak simpan ikan basah. Memandangkan Pasar Sungai Buluh agak jauh dari kampung kami, jadi setiap kali ayahbonda ke pasar sudah tentulah berkati-kati ikan (sama ada ikan gelama, kerisi atau ikan selayang) dibawa pulang (dulu-dulu sukatan menggunakan kati sebelum sukatan metrik kilogram digunakan). Jadi Bonda goreng kesemua ikan hingga garing. Ikan goreng yang selebihnya Bonda akan simpan dalam periuk besar, ditindih dengan periuk-periuk lain. Selain menghalang daripada dicuri oleh kucing atau tikus, sudah tentulah Bonda simpan ditempat yang tersorok untuk mengelakkan daripada terbau oleh kami 9 beradik! Maklum sajalah... zaman dulu-dulu bukannya banyak makanan dan lauk-pauk seperti sekarang! Kalau kami dapat hidu sudah tentulah berkati-kati ikan gelama goreng kami baham! Kalau anda ingin tahu... ikan goreng yang disimpan semalaman atau dua hari kemudian, rasanya dan aromanya berbeza dengan ikan goreng yang baru keluar dari kuali! Dan sudah tentulah ia lebih sedap sebab isi ikan menjadi lebih lembap, manakala garam & kunyit sudah meresap sepenuhnya ke dalam isi ikan!


Setelah kami makan, memang ada lebihan 7 atau 8 ekor ikan gelama goreng dan Amie sengaja biarkan di bawah tudung saji dengan harapan keesokan pagi atau petang selepas Amie pulang dari sekolah (ada orientasi murid tingkatan satu pagi kelmarin), Amie dapat menikmati aroma ikan gelama goreng yang menginap satu hari. Rupa-rupanya sebaik saja menjejakkan kaki ke dapur pulang dari sekolah, Amie dapati hanya kepala ikan gelama saja bersama tulang-tulangnya! Rupanya Fuad & Fairuz meratah habis! Amie hanya dapat bau saja! Bagi Amie itu pun sudah cukup memadai! Aroma yang enak itu dapat mengubat rindu!
Jadi, petang kelmarin Amie goreng lagi ikan gelama sebanyak 1kg, dan goreng juga beberapa ekor ikan talapia. Manalah tahu Encik Suami atau anak-anak sudah jemu makan ikan gelama. Rupa-rupanya tidak! Ikan gelama tetap mendapat tempat! Bagaimanapun, setelah puas kami anak-beranak meratah ikan malam tadi, ada lebihan 4 ekor ikan gelama. Pagi tadi... sambil menikmati sarapan pagi, Amie ratah habis 4 ekor ikan gelama! Baru terubat sepenuhnya rindu ini he he hehehe.... tapi mana nak cari ikan ini lagi di sini!


Batang keladi ini Amie masak lemak cara Bonda, Biasanya Bonda tidak gunakan cili padi, mungkin waktu kami kecil-kecil dulu tak tahan pedas, jadi Bonda masak cara begini. Dulu Bonda gunakan ikan bilis sebagai perencah, tapi kali ini Amie gunakan udang kering pula. Untuk rasa yang lebih sedap (bagi kami), tak perlu gunakan kunyit, tapi Amie derhaka lagi sekali dengan menambah kunyit hidup. 

Resepi : Batang Keladi Masak Lemak
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
5 batang keladi  & ubinya (siat kulit  batang keladi dan potong serong 5cm, kupas kulit keladi dan potong dadu)
400ml pati santan
1 keping asam gelugur 
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
1/2 cawan udang kering - rendam hingga kembang dan toskan
sedikit belacan

Cara:
1. Rebus isi keladi hingga empuk. Keluarkan dan tos. Celur batang keladi bersama  asam gelugur hingga masak / lembut. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk hingga wangi.
3. Masukkan santan bersama isi dan batang keladi.
5. Gunakan api sederhana panas dan kacau sekali-sekala seupaya tidak pecah santan.
6. Apabila kuah kelihatan mula mendidih, tambahkan garam / gula / perasa pilihan.
7. Padamkan api dapur.


1 ulasan:

Cheq Sue berkata...

keladi tu saya punya fav kak amie... masak lemak ke, asam pedas ke, pindang ke memang sedap, cuma jarang buat sebab tak boleh beli sikit-sikit. ikan gelama tu kalau di CH kadang2 ada, kadang2 tak ada...memang sedap digoreng kunyit, makan panas-panas... aduh!! selamat tahun baru kak amie, selamat kembali ke sekolah